Khamis, 30 April 2015

BERSAMA ANAK-ANAK DI RUMAH MERTUA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 28

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini saya tersedar jam 5 ketika terdengar bunyi orang mandi di bilik air. Pastinya ibu mertua saya. Aleef juga terjaga mahu menyusu. Saya yang masih mamai segera menyusukannya. Aiman pula bangun awal pagi ini penuh semangat. Saya dengar suara ibu mertua saya menyiapkannya ke sekolah dan menyuruh Aiman bersalam dengan saya dahulu sebelum ke sekolah. Saya yang masih menyusukan Aleef pastilah dengan senyuman mencambah semangat buat Aiman, menyambut salamnya dengan peluk cium yang sudah lama saya teringin buat sejak awal dia masuk sekolah. Maklumlah dia terpaksa tinggal dengan neneknya kerana sekolahnya berdekatan dengan rumah neneknya. Nampak air muka semangat Aiman yang senyum saja melangkah le sekolah bersama neneknya.

Akif yang sudah turut terjaga dari tidur pula meminta mahu menonton Super Mario dan Ultraman di YouTube. Sukar juga mahu mengajar dia faham rumah neneknya tiada talian internet. Sehingga tertidur semula dia.

Saya ambil peluang ini membantu mertua saya mengemas dan menyapu lantai rumah yang berpasir. Biasalah rumah kampung berpasir lantainya. Kenalah rajin menyapu jika tidak mahu mendapat penyakit. Aleef masih tidur. Kulitnya yang kelihatan seperti ruam sudah mula beransur pulih selepas diberi minum air kelapa oleh ibu mertua saya. Syukur sekali. Lena dan selesa tidurnya hinggakan lewat mandi. Sementara Aleef tidur, saya mengemas bilik yang sudah banyak habuk. Sudah lama tiada tuannya, berhabuklah. Saya susun semula baju-baju anak, suami dan saya sendiri yang bercampur-aduk. Senang hati melihatkan semuanya sudah kemas.

Selesai mengemas, Aleef pun terjaga. Saya bawanya mandi dan melayannya bermain bersama Akif. Tiba waktu tengahari, ibu mertua seperti biasa menjemput Aiman pulang. Saya hanya menunggu di rumah. Tidak terniat mengikut sekali. Pulangnya Aiman membawa jajan dari majlis hari lahir kawan-kawannya di sekolah dan berkongsi dengan adiknya, Akif.

Tiba makan tengahari, ibu mertua menyuruh saya menyuapkan anak-anak makan sementara dia menjaga Aleef. Selesai makan, saya bawa anak-anak ke bilik. Saya melayan keinginan mereka untuk melukis sambil menyusukan Aleef hingga Aleef tertidur. Sambil-sambil itu saya  bertukar khabar dengan suami dan rakan-rakan perniagaan yang lain. Bercerita tentang rakan perniagaan ini, hari ini mereka kongsikan sesuatu yang agak menarik. Dinosaur. Ya. Mereka hantarkan gambar dinosaur berdekatan tapak perniagaan mereka. Ini memang sesuatu yang baru untuk kami.

Selesai solat Asar, saya mandikan anak-anak. Bermula dengan Aiman dan Akif. Selesai memakaikan pakaian mereka, saya mandikan Aleef pula. Saya cuba lakukan secepat mungkin. Kononnya nak mengikut ibu mertua pusing keliling kampung dengan motosikal. Maklumlah sudah lama tidak tengok keadaan di kampung. Sayang sekali, tak sempat saya mengikut. Anak-anak tak sabar menunggu adiknya pakai baju, diajaknya neneknya cepat. Tidak sampai hati ibu mertua saya melihat gelagat cucu-cucunya, terpaksalah tinggalkan kami di rumah bersama bapa mertua saya. Saya pun temankan bapa mertua menonton televisyen sambil menyusukan Aleef hingga tertidur Aleef.

Hampir setengah jam menunggu ibu mertua saya pulang, bapa mertua saya bangkit ke dapur untuk minum petang sendiri. Hampir jam 6.30 petang baru ibu mertua saya pulang membawa roti kegemaran cucunya, roti inti coklat jenama Gardenia. Tak sabar-sabar masing-masing meminta saya bukakan bungkusan roti,

Malamnya, saya bertukar khabar dengan suami sambil membantu Aiman menyiapkan kerja sekolahnya. Saya hantarkan gambar dinosaur siang tadi. Terus dia tanya pergi dengan siapa naik kereta. Walhal gambar tersebut bukan milik saya. Aduhai. Tergelak saya. Masih ada cemburu rupanya dia walau sudah 8 tahun kami bersama. Habis berborak tentang aktiviti masing-masing dan Aiman pun selesai menyiapkan kerja sekolahnya, kami menamatkan perbualan. Saya tidur bersama anak-anak dengan hati berbunga.

Terima kasih Allah untuk hari gembira ini.

Selasa, 28 April 2015

URUSAN PENDAFTARAN SEKOLAH ANAK TAHUN 1

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 27

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini terlepas Subuh. Cuaca sejuklah katakan. Bangun pagi jam sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Selepas qadha solat Subuh, segera saya mandikan anak-anak. Hari ini perlu ke kedai fotostat untuk membuat salinan sijil kelahiran Muhammad Aiman, membeli sampul surat bersaiz A4 dan membawa dokumen ke sekolah baru yang Aiman bakal daftar.

Selepas menyediakan susu untuk Akif, saya dan Akif bersarapan biskut kering sahaja. Mujur Akif tidak banyak kerenah makan. Apa saya sediakan hari ini, dimakan sahaja. Selesai sarapan baru saya susukan Aleef. Ruamnya masih tidak hilang.

Jam 8 pagi masih belum nampak batang hidung ibu mertua saya. Saya segera menelefon. Manalah tahu ibu mertua saya lupa. Katanya selepas bersarapan bersama ayah mertua barulah dia akan ke rumah saya. Tanggungjawab sebagai isteri taat masih sempat dia tunaikan. Hebat mertua saya ini. Begitulah kata hati saya.

Jam 9.30 pagi ibu mertua saya sampai. Alhamdulillah. Semua dokumen saya sudah sediakan untuk dibuat salinan dan saya letakkan di dalam fail. Ibu mertua saya masuk dan menghulurkan bungkusan berisi roti canai.  Alhamdulillah. Rezeki kami. Kami makan bersama dan saya bancuhkan air madu suam untuk menambah tenaga.

Selesai sarapan, kami bergerak keluar rumah menuju ke kedai fotostat. Tiada yang buka. Risau mula bertandang di hati saya. Kami teruskan ke sekolah apabila teringat di kawasan sekolah juga ada kedai buku. Pasti ada mesin fotostat juga.

Sampai di sekolah, ibu mertua turunkan saya di depan pagar sementara dia meletakkan motosikal di sebelah perhentian bas berdekatan sekolah. Saya terus menuju ke pagar sekolah. Pengawal keselamatannya seorang wanita. Bertanya tujuan saya. Belum sempat menerangkan, dia bertanya lagi mengenai ibu mertua saya. Saya hairan juga bagaimana dia kenal ibu mertua saya. Saya segera membawanya kepada ibu mertua saya. Rupanya mereka rakan sekampung di Kampung Pasir Baru, Semenyih, tempar ibu mertua saya tinggal. Kecil betul dunia ini, bisik hati saya. Ada saja jodoh bertemu dengan orang Semenyih.

Kami diberitahu supaya mengisi borang pendaftaran secara online sebelum tarikh tutup 30 April 2015. Saya yang tidak perasan notis pendaftaran tersebut. Rasa kasihan pada ibu mertua saya yang susah-payah datang membantu tetapi rupanya pendaftaran hanya secara atas talian. Nasib baik ibu mertua saya baik hati dan tidak marah-marah. Allah. Malu betul rasa masa itu. Saya sudah menyusahkannya. Saya minta maaf dan kami pulang ke rumah saya.

Kami berehat sebentar sambil berbual. Saya pula rasa terdorong untuk mengikut ibu mertua pulang ke rumahnya saat dia mempelawa Akif ke rumahnya. Mungkin kerana rasa bersalah tadi. Aleef pula mula mengantuk. Tidak mahu diam dan merengek saja. Ibu mertua menyuruh saya meletakkannya tidur di dalam buaian dahulu serta mengemas apa yang patut. Saya segera mengemas baju-baju Aleef dan lampin pakai buangnya. Turut saya bawa komputer riba saya bagi menghilangkan kebosanan anak-anak nanti.

Selesai mengemas, segera saya ke dapur dan menjemur pakaian yang sudah dibasuh. Pakaian yang saya bawa hanya baju Aleef kerana pakaian saya dan Akif sudah ada di rumahnya. Sengaja saya tinggalkan pakaian lebih di sana supaya senang jika ada acara mengejut. Jam 11.00 baru Aleef bangun. Masa makin suntuk. Kami segera keluar rumah selepas memastikan semua berada dalam keadaan selamat.

Sampai di rumah ibu mertua saya, segera ibu mertua menuju ke dapur menyiapkan bahan untuk memasak makan tengahari. Saya pula meletakkan beg di bilik yang memang sudah disediakan untuk kami. Bilik itu dibina hasil wang pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan sedikit sumbangan ibu mertua saya. Alhamdulillah.

Ibu mertua saya sudah biasa memasak sendirian. Jadi saya tidak ke dapur mengganggunya. Hanya jika dipanggil barulah saya membantu. Tambahan pula dapur sempit dan hanya muat mertua saya seorang sahaja. Saya hanya melayan kerenah anak-anak syurga saya sambil menemankan ayah mertua saya menonton TV. Leka melayan anak-anak dan bapa mertua, kami tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari. Masa untuk mengambil Aiman dari sekolah. Mujur ibu mertua saya perasan. Cepat-cepat dia bersiap menjemput Aiman dari sekolah. Kasihan. Saya masih trauma kesan kemalangan 6 tahun lalu. Jadi saya tidak berani menunggang motosikal lagi hingga kini.

Aiman pulang dan nampak Akif. Dia tidak menyangka saya juga ada. Jelas kelihatan gembiranya dia. Sudah hampir 1 tahun saya tidak tidur di rumah mertua sejak berpindah semula ke Kajang. Ada sebabnya. Biarlah rahsia.

Saya sambung melayan anak-anak syurga saya sementara ibu mertua saya memasak di dapur. Saya bukakan komputer riba membiarkan anak-anak bermain aplikasi berunsur pendidikan bahasa Inggeris. Lama mereka leka sebelum tumpuan teralih dan cuba membuka YouTube. Rumah mertua saya tiada talian internet. Hanya ada Astro sahaja. Berulang kali anak-anak bertanyakan saya dan berulang kali juga saya jelaskan rumah nenek mereka tiada internet.

Oleh kerana bosan, Aiman mula mencari aktiviti sendiri. Diam-diam dia keluar rumah mengejar ayam. Rupanya itulah aktivitinya setiap hari jika mertua saya sedang sibuk di dapur. Bapa mertua saya pula tidak berapa sihat kerana sudah 2 kali diserang strok. Geram juga saya dibuatnya bila terdengar ibu mertua saya terpanggil-panggil Aiman tapi tidak berjawab. Terpaksalah saya juga memanggil Aiman masuk dengan suara keras. Begitulah setiap hari gelagat Aiman bila bosan, adu mertua saya. Dalam hati saya memang kasihan dan ingin Aiman berpindah ke Kajang supaya tidak menyusahkan mertua saya lagi. Apakan daya. Sudah terlajak mendaftar sekolahnya di Semenyih tahun lepas. Terpaksalah biarkan dia bersekolah di situ. Tahun hadapan baru pindah ke Kajang dan mengambil khidmat van sekolah memandangkan saya trauma menunggang motosikal dan tidak tahu memandu.

Tiba waktu Zuhur dan makan tengahari, ibu mertua mengarahkan saya makan dan solat dulu sementara dia bermain dengan Aleef. Begitulah rutinnya di sini sejak saya melahirkan cucu-cucunya. Selesai semuanya barulah saya bawa Aleef ke bilik untuk tidurkannya dan mengalih perhatian 2 lagi abang-abangnya dengan membuka kartun kegemaran mereka di tablet dan komputer riba. Akhirnya saya tertidur bersama anak-anak. Begitu juga ibubapa mertua saya. Menjelang Asar, barulah masing-masing terjaga.

Ibu mertua menunaikan solat Asar terlebih dahulu sebelum mula menyediakan minum petang. Saya pula melayan kerenah anak-anak sekadar mampu. Tepat jam 6 petang, ibu mertua menjemput semua ke dapur. Berlumba-lumba anak-anak ke dapur. Tidak sabar rasanya minum air teh tarik nenek mereka. Begitulah setiap kali anak-anak berada di kampung, teh tarik untuk datuknya akan dikongsi bersama mereka. Tidak pernah bapa mertua saya mengeluh dan membezakan cucu-cucu ini walaupun sebenarnya mereka hanya cucu tiri. Alhamdulillah juga nikmat Allah beri pada saya ini. Dapat mertua yang baik.

Aktiviti malam kami hanya berbaring-baring menanti rasa mengantuk sambil membantu Aiman menyiapkan kerja sekolahnya. Malam ini kami tidur berempat. Sebelum tidur sempat juga bertanya khabar suami di Perak. Katanya dia ditugaskan menjadi pembantu pegawai urusetia disana memandangkan orang yang dibawanya adalah pegawai urusetia. Cuma sedikit bosan kerana tiada talian internet dan suasana sunyi seperti di dalam hutan. Kawasannya seperti kem latihan PLKN. 

Selesai berbual dan melihatkan anak-anak pun sudah tidur, saya akhirnya turut tertidur.

Sumber foto: Peribadi

3 LANGKAH PERTAMA BINA BLOG

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Koleksi Peribadi dan Google
Entri: 26


Tahukah anda hanya dengan 3 langkah sahaja anda sudah boleh mula membina blog sendiri? Saya pasti semua orang mempunyai akaun Google memandangkan kebanyakan orang mempunyai telefon pintar. Ya. 3 langkah sahaja iaitu:


Ikuti selanjutnya bersama Akademi Bekerja Di Rumah. Hubungi saya.

HARI PENUH AKTIVITI DENGAN MELAYAN ANAK-ANAK

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 25

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Pagi ini suami ditugaskan ke Perak untuk menghantar pegawai kursus. Usai bersalaman dan meninggalkan pelukan erat tanda beratnya hati ditinggalkan selama 4 hari, saya segera kembali menjenguk anak-anak syurga saya.

Muhammad Aleef Azfar sudah bangun. Abangnya Muhammad Akif Aqil memang sudah terjaga semasa ayahnya sedang bersiap tadi. Sama-sama melambai tangan melepaskan pemergian ketua keluarga kami demi rezeki halal lagi berkat. Saya segera mandikan anak-anak.

Semasa memandikan Aleef, kelihatan ruamnya semakin menjadi-jadi. Risau hati tapi dengan kesempitan yang ada sebagai ujian, saya hanya sapukannya krim ruam jenama Drapolene yang biasa saya sapukan pada anak-anak jika terkena ruam dan berdoa agar segeralah hilang. Kasihan melihat anak syurga yang belum tahu apa-apa ini derita.

Selesai merawat Aleef, saya beralih pada Akif pula yang kelaparan. Selepas menyuapkan makan dan minum Akif sambil melayan Aleef, saya bukakan komputer riba untuk Akif. Dia sudah pandai menggunakan aplikasi pendidikan di dalam perisian Windows 8 yang saya muatturun sebelum ini. Apabila bosan, dia akan buka enjin carian Google Chrome dan membuka YouTube untuk menonton rancangan kartun kegemarannya sama ada Upin Ipin, BoboiBoy, Ultraman, Pocoyo dan Didi&Friends. Saya pula segera ke dapur menggoreng ikan keli. Itu saja menu hari ini. Maklumlah, saya seorang saja yang makan bersama Akif nanti. Selesai memasak, saya bawa Aleef ke bilik tidur dan menyusukannya sambil berbaring. Saya turut tertidur sama.

Bangun dari tidur, jam sudah menunjukkan 12 tengahari. Saya masih belum makan. Melihatkan Aleef yang masih tidur, saya jenguk Akif. Dia pun tertidur juga rupanya.

Saya ambil peluang makan tengahari sambil menonton TV dan berbual dengan suami melalui telefon rumah. Habis makan, Akif sudah bangun. Saya mempelawanya makan. Mungkin masih mamai atau kenyang, dia hanya minta susu dan sambung menonton YouTube. Kali ini rancangan kartun Tutitu. 

Selepas solat Zuhur, saya menemankannya sambil menerangkan apa yang ditontonnya.
Selepas Asar, saya bermesej pula dengan ibu saya, membuang kebosanan dan bertukar khabar masing-masing. Kemudian saya menelefon ibu mertua pula sekadar menanyakan keadaan Aiman dan pendaftaran sekolah untuk Aiman bagi tahun 2016 nanti. Katanya esok ibu mertua akan datang membantu memandangkan tarikh tutup pendaftaran berakhir pada 30 April 2015. Begitulah ibu mertua saya. Besar pengorbanannya bukan setakat pada anak menantu tetapi juga pada cucu-cucunya. Semoga Allah melimpahkan umur yang berkat buat kedua ibu kandung dan mertua saya.

Menjelang Maghrib, saya mengajarkan Akif dan Aleef membaca muqaddam dengan kaedah Qiraati. Sekadar 1 muka sahaja untuk mengenalkan dan menarik minatnya. Kemudian kami makan malam bersama. Aleef sudah saya susukan selepas memandikannya Asar tadi. Tidaklah dia merengek lapar waktu saya makan bersama abangnya. Sambil itu kami menonton Berita di TV9.

Waktu solat Isya' tiba, saya solat dan membaca surah al-Waqi'ah serta menyambung bacaan al-Quran dari surah al-Imran. Hati tenang tetapi tidak puas kerana tidak faham maksud ayat yang dibaca. Mungkin satu hari nanti saya akan miliki al-Quran terjemahan saya sendiri.

Usai membaca naskhah wasiat Rasulullah s.a.w tersebut, saya dan anak-anak kembali menonton TV. Kali ini kisah anak-anak jalanan bertajuk Pelarian yang menjadi buruan sindiket organ kanak-kanak. Na'uzubillahiminzalik. Semoga tidak pernah terjadi pada anak-anak kami.

Habis menonton, saya menelefon suami untuk berbual bersama anak-anak. Akif pun sudah pandai cuba menyusun ayat bertanya macam-macam pada ayahnya. Malam yang sudah semakin sunyi dan hujan lebat membuat kami lena bersama.

Alhamdulillah untuk hari ini.

Ahad, 26 April 2015

ALASAN MENGGUNAKAN BLOG

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Koleksi Peribadi
Entri: 24

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Semalam menelaah buku Blogspot Step By Step saya tertarik dengan bab pertamanya yang menceritakan alasan menggunakan blog. Terfikir juga, apa alasan saya menggunakan dan belajar menggunakan Blogspot serta kaitannya dengan ABDR.

Sebenarnya Blogspot menjadi pilihan ramai terutama bagi penulis seperti saya yang baru mula belajar menulis dan mahu memiliki laman web sendiri dengan percuma. Blogspot sesuai bagi golongan yang sangat-sangat tidak tahu menggunakan bahasa komputer seperti Programming C++ dan Virtual Basic.

Antara alasan yang disenaraikan di dalam buku yang saya baca ini adalah:

  • Mudah dipelajari.
  • Mempunyai pelbagai rekaan.
  • Cepat dan mudah.
  • Media pemasaran.
  • Tidak perlu memasang sebarang perisian.
  • Perkhidmatan percuma.
  • Mudah diubahsuai.
  • Semudah heret dan letak.
  • Penggantian alamat domain secara percuma.


Saya pula, walaupun sudah mempunyai buku untuk dijadikan rujukan menggunakan blog, masih baru menggunakannya. Komitmen keluarga saya letak di tahap tinggi sebagai alasan tidak berblog. Setelah menyertai ABDR, baru saya sedar yang saya sebenarnya hanya memerlukan sebuah kumpulan sokongan untuk mendorong saya berblog. Lama saya mencari. Akhirnya berjumpa dengan kumpulan ABDR ini. Alhamdulillah. Rakan seperjuangan sentiasa boleh menaikkan semangat saat terasa cita-cita dan impian saya 'dibenam' dengan reaksi realiti di sekeliling. Wallahua'lam. Mungkin ini jalan saya. Tidak mungkin ada yang memahami selain rakan-rakan seperjuangan.

HARI YANG KURANG BERTENAGA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 23

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah masih lagi bernafas untuk menaip di sini.

Hari ini kurang aktiviti bersama anak-anak. Si kecil Aleef masih kurang sihat dan sukar berenggang. Oleh kerana tidak mampu menahan berat badannya untuk saya dukung sambil buat kerja, saya lebih banyak berbaring di sebelahnya. Kadang saya peluk. Kadang saya berbual sambil menyusukannya. Kasihan juga abang-abangnya yang juga mahu dilayan sama. Nasib baik lauk dan nasi sudah siap awal-awal. Kalau tidak, mungkin saya akan panik dan kelam-kabut menyediakan makanan mereka.

Lepas makan tengahari, saya bukakan laptop untuk mereka. Sudah saya tetapkan hanya waktu itu sahaja peluang mereka bermain laptop atau menonton kartun kegemaran mereka. Saya bawa Aleef tidur di bilik dengan meletakkan kain basah di kepalanya. Bimbang jika suhunya terlalu tinggi, diserang sawan pula. Menjaga anak lelaki yang demam tidak sama dengan anak perempuan. Bayi dan kanak-kanak lelaki lebih mudah mendapat sawan.

Entah berapa minit saya terlelap dengan Aleef. Saya dikejutkan suami yang baru pulang dari Johor. Disebabkan Aleef enggan berjauhan, saya kembali tidur dengannya. Terlupa pula saya belum masak lauk untuk makan malam. Suami pula memberitahu yang dia perlu ke pejabat menghantar kenderaan.
Saya dikejutkan dengan bunyi azan Asar dari telefon pintar. Kebetulan suami baru pulang. Melihatkan saya baru bangun dan sedang menyusukan Aleef dan faham keadaan saya yang perlu melayan Aleef, suami terus ke dapur dan memasak makan malam.

Saya terus mandi dan solat Asar. Sedang mandi terdengar suara ibu saya. Kunjungan yang tidak disangka. Ibu datang menghantar ubat rupanya. Ada juga sehelai baju blaus baru untuk saya. Sekejap sahaja singgah. Ibu saya bergegas pulang ke rumah selepas menyelitkan sedikit wang saku kepada anak sulung saya. Begitulah kebiasaannya ibu ayah saya. Tidak betah berlama-lama di rumah orang walaupun rumah anak sendiri. Saya kemudiannya memandikan Aleef. Kali ni dia nampak segar sedikit berbanding pagi dan tengahari tadi. Mungkin kerana cukup rehat tadi. Sementara menanti makan malam, saya melayan anak-anak. Kadang bergaduh sesama mereka. Kadang gelak ketawa. Saya layankan saja.

Selesai makan malam, saya dan suami berjemaah solat Maghrib. Aleef saya letakkan di dalam buaian automatik. Selepas solat, saya menjenguk Aleef yang masih tidur di dalam buaian. Lena. Saya ambil peluang ini melipat kain baju yang sudah 2 bakul penuh tidak berkemas lagi. Sambil melipat kain baju, saya mendengar ceramah Ustaz Kazim Elias di Youtube bertajuk "Bahana Lidah".

Tidak sedar saya mengemas hingga jam 12.00 pagi. Banyak sungguh baju. Selesai kemas, perut pula berkeroncong lagi. Apalagi? Rendam Maggilah jawabnya. Sambil makan Maggi, saya menelaah buku Step By Step Blogspot yang saya beli pertengahan tahun lepas. Ada beberapa idea terlintas di kepala. Insya-Allah akan saya kongsi nanti.  

Mata saya pun dah gatal tanda perlu rehat. Setakat ini saja untuk hari ini.

Muhammad Aleef Azfar dan Muhammad Akif Aqil.
Maaf gambar kurang jelas. Kamera ada masalah. Terima kasih sudi membaca.

Sabtu, 25 April 2015

HADIAH DARI 'GURU BESAR'

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 22

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Semalam guru besar Akademi Bekerja Di Rumah, Puan Masayu Ahmad mengumumkan kepada kami anak muridnya, iaitu 1200 orang pelajar akademi ini akan diberikan hadiah e-book terbaru beliau bertajuk "10 Langkah Mudah Bina Kedai Online".

Alhamdulillah. Syukur dan terima kasih kepada beliau yang bermurah hati. Hanya dengan syarat memberi tarikh daftar dan ulasan tentang akademi ini sahaja kami diberi hadiah ini. Tidak sabar rasanya mahu membaca dan mempraktikkan ilmu ini.


E-book ini masih berada dalam tangan guru besar kami. Belum berada di pasaran lagi. Insya-Allah akan keluar dalam masa terdekat.

SYUKUR UNTUK KELUARGA KECIL SAYA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 21

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah masih dapat menaip di sini untuk tugasan 44 entri wajib siap yang diberi guru. Petang tadi sementara menanti ketibaan anak sulung saya, Muhammad Aiman yang dihantar neneknya dari Semenyih, saya dan 2 orang anak lagi berbaring-baring sahaja di dalam bilik.

Tepat jam 5 petang, mak mertua saya sampai. Kelam kabut anak kedua saya, Muhammad Akif Aqil berkejar ke ruang tamu hingga terlepas bekas biskut kegemarannya dan bertaburan di atas lantai. Teruja betul. Begitulah setiap kali tiba hari Jumaat. Maklumlah, abangnya sudah "terdaftar" di sekolah di Semenyih. Jadi, terpaksalah dia ditinggalkan di rumah neneknya yang lebih dekat dengan sekolah itu, Setiap hari Jumaat masing-masing sudah tertunggu-tunggu untuk bermain bersama.

Sepatutnya kami menghadiri majlis kesyukuran yang dianjurkan bapa saudara suami saya malam ini sempena kedai makan yang baru dibukanya. Tetapi memandangkan suami saya tiada dan tiada kenderaan saudara lain yang boleh kami tumpang, tidaklah kami dapat hadir ke sana. Jadi, melepaklah di rumah dengan anak-anak.

Selesai solat maghrib, saya mengajarkan anak-anak membaca muqaddam. Laptop dan telefon tidak dibenarkan sentuh. Televisyen juga saya tutup. Selesai mengajar, saya teruskan membaca al-Quran sambil memegang anak ketiga, Muhammad Aleef Azfar. Sampai terkoyak al-Quran ditarik Aleef yang masih bayi.

Selepas solat Isya', saya menelefon suami supaya anak-anak boleh bercakap dengannya. Habis bercakap, giliran saya pula bermesej dengan suami. Tidak perasan entah bila anak-anak tertidur dek kerana leka dating dalam telefon. Aleef tidur selepas saya letakkan kain basah di dahinya. Kali ini dia memang betul-betul demam. Mungkin proses belajar meniarap yang buat dia demam, Sudah 2 hari saya perhatikan dia meniarap sendiri. Tetapi apabila sudah meniarap, menangis pula sebab tidak boleh berbaring semula. Lucu mengenangkannya.

Bila difikirkan semua peristiwa manis atau pahit bersama keluarga kecil saya ini, sebenarnya inilah rezeki saya yang paling berharga yang Allah berikan. Ada orang kaya berharta membumbung tetapi tidak dikurniakan rezeki anak. Ada orang tiada rezeki harta tetapi kaya dengan rezeki anak sehingga berbelas orang. Maha Besar Allah yang membahagikan rezeki dengan begitu adil. Setiap yang ada kelebihan tetap ada kekurangan. Hubungan manusia saling bersangkut-paut. Dunia ini indah sebenarnya.

Alhamdulillah. Terima kasih kerana membaca,

Jumaat, 24 April 2015

HARI SAKIT YANG TIDAK SAKIT DEMI ANAK-ANAK

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 20

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Semalam saya offline dan tidak muatnaik apa-apa di sini. Saya mahu catat aktiviti semalam pada hari ini.

Bangun pagi saya dikejutkan suami untuk berjemaah Subuh. Alhamdulillah masih bernafas. Anak-anak masih tidur. Kami berjemaah seperti biasa. Selesai solat, suami bersiap-siap ke tempat kerja. Saya pula mengemas mainan anak yang bersepah sambil menjenguk ke bilik kalau-kalau Aleef sudah bangun. Selepas bersalaman dengan suami, saya terus ke bilik. Aleef sudah bangun rupanya. Saya susukan sebelum mandikannya.

Selepas mandikan Aleef, abangnya Akif pula bangun. Oleh kerana saya perlu menghantar Aleef untuk pemeriksaan rutin di klinik berdekatan, agak mudah menyuruh Akif mandi kali ini. Selalunya, dia akan beri alasan jika disuruh mandi. Hanya waktu keluar dari rumah sahaja dia akan mandi. Jika dipaksa, dia akan meraung-raung seperti orang kesakitan.

Oleh sebab saya tidak tahu memandu, saya minta bantuan adik perempuan saya menghantar kami. Sampai di klinik, saya turun di bahu jalan kerana tiada tempat meletak kenderaan. Kawasan klinik ini memang sukar mencari tempat meletak kenderaan kerana pesakit terlalu ramai. Akif tidak saya bawa supaya keadaan lebih terkawal. Jadi, tinggallah dia bersama adik saya.

Selepas mendapatkan nombor giliran, saya terus ke bhagian ibu mengandung dan bayi dan meletakkan buku temujanji di dalam bekas yang disediakan jururawat mengikut jam temujanji. Nombor giliran saya lambat lagi akan dipanggil. Ini perkara biasa di mana-mana klinik kerajaan pun. Saya mengambil tempat duduk di sebelah sekeluarga India muslim. Tiada kaum lelaki bersama mereka. Mungkin bekerja seperti suami saya dan tidak dapat menemani.

Saya memerhati keadaan sekeliling. Kebanyakan pesakit tidak ceria. Mungkin kerana terlalu lama menunggu giliran. Ada ibu yang marah anak kerana sukar mengawal mereka. Tidak terkecuali ibu di sebelah saya yang tiba-tiba memukul dan marah-marah belakang anaknya yang saya rasa umurnya sekitar 10 hingga 12 bulan. Terkejut juga saya. Saya terpaksa buat tidak endah saja melihat ibu-ibu begini. Sambil menunggu saya zikir dan selawat meemohon kesabaran. Saya menunggu sekitar 2 jam, iaitu dari jam 10.30 hingga 12.30 sebelum dipanggil masuk.

Jururawat menimbang dan mengukur tinggi Aleef sebelum bertanya perkembangan Aleef dan memberitahu saya untuk menghantar Aleef ke bilik suntikan vaksin. Memandangkan Aleef masih batuk, saya diminta membawanya berjumpa doktor terlebih dahulu. Alhamdulillah. Batuknya tidak teruk lagi. Ada sedikit kahak lagi. Selesai mengambil preskripsi ubat, saya bawa Aleef menunggu gilirannya untuk penyuntikan vaksin. Aleef sudah mula gelisah kerana terlalu lama dipegang ke sana ke mari, Mujur gilirannya agak cepat juga.Walaupun meronta semasa disuntik, tangisannya sekejap sahaja. Kami terus menuju ke kaunter farmasi pula untuk mengambil ubat. 10 minit juga saya habiskan menunggu giliran.

Selesai urusan, saya segera menelefon adik saya untuk mengambil kami pulang. Kepala saya sudah mula sakit kerana tidak bersarapan pagi sebelum keluar rumah. Sambil berzikir, saya menunggu adik saya di perhentian bas di luar kawasan klinik. Ada beberapa orang warga asing di situ. Saya duduk berjauhan. Bimbang ada yang berniat serong. Dalam hati berdoa dengan zikir, selawat dan ayat kursi agar adik saya segera sampai sambil menenangkan Aleef yang gelisah mahukan susu. Setelah beberapa minit menunggu, saya didekati seorang warga asing yang berkopiah dan berjanggut. Saya risau tetapi buat-buat tidak takut. Rupanya dia hanya ingin tahu dia berada di mana kerana dia tidak ingat nama tempat tinggalnya. Yang dia ingat hanya perkataan "balai". Sudah tentulah saya gagal membantu kerana tidak faham. Dia terus beredar apabila melihat reaksi saya yang memang jelas tidak mahu melayan pertanyaannya. Syukur. Betapa saya khuatir keselamatan di bumi Malaysia ini sendiri.

Selepas 15 minit menanti barulah kelihatan kelibat kereta adik saya. Syukur sangat. Masuk ke dalam kenderaan, kami terus ke restoran berdekatan rumah saya dan membeli nasi ayam untuk makan tengahari.Kepala saya memang sangat-sangat sakit ketika ini. Sampai di rumah, tidak sabar rasanya mahu makan dan berehat bagi menghilangkan keletihan mendukung Aleef  yang sudah mencecah 7.2kg selama beberapa jam.

Selesai makan bersama Akif, saya menyusukan Aleef dan mengajak Akif tidur bersama. Saya cuba hilangkan sakit kepala dengan tidur. Ternyata tidak menjadi. Selesai solat zuhur di hujung waktu kerana tidur tadi, saya menunggu solat asar sambil mengintai berita rakan-rakan ABDR di laman Facebook. Saya terbaca status "guru besar" Puan Masayu Ahmad yang mahu pelajar-pelajarnya memberikan tarikh daftar dan komen tentang ABDR bagi mendapatkan e-book terbarunya dengan percuma. Masalah telefon bimbit yang agak lambat, menghalang saya menulis komen. Ditambah dengan sakit kepala yang amat sangat. Saya tinggalkan telefon dan solat Asar pula sebelum berbaring menyusukan Aleef.

Selesai menyusukan dan memandikan Aleef, saya paksa diri untuk bangun memasak. Sedang saya membasuh beras untuk memasak nasi, terdengar bunyi pagar dibuka tanda suami sudah pulang dari tempat kerja. Alhamdulillah. Saya berehat lagi sambil mendengar celoteh suami tentang kerjanya dan jadual kerjanya esok hari (hari ini) yang memerlukan dia ke Nusajaya, Johor Bharu atas tugasan menghantar pegawai. Pulangnya pada Sabtu (esok). Disebabkan sakit kepala masih tidak kurang, saya kurang reaksi dengan celotehnya. Suami yang faham saya kesakitan hingga berjalan menunduk memegang kepala, henti berceloteh dan memasak lauk makan malam kami. Jarang dia memasak, kecuali jika saya sakit. Kami makan malam telur dadar dan sayur lobak merah masak tumis. Alhamdulillah.

Selepas berjemaah Maghrib dan Isya', saya terus makan ubat tahan sakit dan berbaring menyusukan Aleef. Suami pula terpaksa menyiapkan sendiri pakaiannya untuk ke Johor. Saya memang sudah tidak mampu menahan sakit walaupun cuba juga membaca mesej dari kumpulan sokongan ABDR, saya terpaksa mengaku kalah dan mohon tidur awal.

Begitulah urusan saya semalam. Hari ini, saya cuba juga menulis di blog ini dalam kesempitan waktu kerana Aleef tiba-tiba diserang demam panas. Mungkin kerana kesan suntikan vaksin semalam. Asalkan saya berganjak dari sebelahnya, tidak sampai 5 minit, dia sudah merengek. Semasa memasak lauk tengahari tadi, saya terpaksa biarkan saja dia menangis mengenangkan abangnya sudah lapar. Selesai makan, kami berehat dan tidur selepas solat zuhur. Alhamdulillah. Sebentar lagi, si sulung Aiman pula akan pulang dihantar neneknya dari Semenyih memandangkan suami saya tidak dapat berbuat demikian. Jadi, malam ini, kami akan tidur berempat saja. Alhamdulillah.

Sampai sini dulu catatan harian saya. Terima kasih sudi membaca. (^_^)

Rabu, 22 April 2015

BERNIAGA KIOSK

Teks: Zaidah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 19

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah syukur masih bernafas dan boleh menaip di sini untuk berkongsi sedikit pengalaman. Perkongsian hari ini adalah mengenai perniagaan kiosk di pasaraya.

Imbas kembali kenangan ini yang berlaku pada Oktober 2012. Saya dann suami berjalan-jalan di dalam sebuah pasaraya bernama MetroPoint Plaza di Kajang bersama anak-anak petang itu. Sekadar meninjau dan window shopping mendapatkan suasana sejuk penghawa dingin. Menjadi kebiasaan kami menghiburkan anak-anak dengan cara ini. Berjalan hingga lenguh kaki mengelilingi dan melihat barangan dipamerkan di setiap kedai.

Sampai di tingkat 2 pasaraya, kami lihat ada kiosk-kiosk kosong diletakkan di situ. Hanya ada 2 kiosk sahaja yang baru buka yang dikendalikan seorang jurujual berbangsa Cina di setiap kiosk. Sebuah kiosk menjual anak patung dan sebuah lagi menjual aksesori telefon. Mahu juga bertanya berapa harga sewanya tetapi kerana jelingan 'manja' jurujual tersebut, saya mengambil keputusan mengambil nombor telefon yang tertera di kiosk-kiosk yang kosong.

Kami kembali ke rumah dan menjalankan aktiviti seperti biasa. Suami saya pula kebetulan dipanggil bekerja sebagai pemandu peribadi kepada bekas rakan niaga majikan lamanya di HSL Builders Sdn Bhd yang mengusahakan bahan hiasan binaan bangunan.

Saya fikir dia tidak berminat lagi dengan promosi kiosk tersebut memandangkan gaji diberikan majikan barunya boleh menampung perbelanjaan kami secukupnya. Sangkaan saya salah. Dalam diam-diam dia berbincang dengan pemilik kiosk-kiosk tersebut. Jumlah sewaan adalah sebanyak RM500 sebulan dan deposit sebanyak 3 bulan, iaitu RM1500. Berbekalkan gajinya yang boleh dikatakan mampu memberi kami rasa mewah, dia mengumpul modal bagi membayar jumlah sewaan diperlukan kepada pemilik kiosk. Kami kemudian diberikan tarikh menyusun produk jualan kami.



Inilah gambar permulaan kami membuka kiosk tersebut. Produk inilah yang kami jual pada permulaan. Sebenarnya ia stok lama kami semasa berniaga pasar dahulu. Sudah agak lama terperam. Nak dibuang, sayang. Nak dijual, tiada masa dan tidak tahu cara bagaimana berkesan. Tambahan lagi kesibukan dengan kehadiran cahaya mata kedua yang tidak dirancang ketika itu.

Sayalah orangnya yang bertugas menjaga kiosk ini, membersihkan produk, menyusun produk (diajar suami), melayan pelanggan dan membuat kira-kira. Di samping itu, saya juga menjaga anak kedua saya yang ketika itu berusia sekitar 9 bulan dan masih menyusu badan sepenuhnya. Bunyinya macam susah kan? Itulah cabaran untuk saya. Di samping keseronokan berniaga, membuat kira-kira, anak pastilah menjadi perkara utama bagi saya.

Kesukaran saya dihidu keluarga tatkala mereka datang menjenguk dan memberi sokongan. Adik saya yang kedua menawarkan bantuan. Syukur alhamdulillah. Ringan sedikit beban saya. Suami hanya datang ketika menghantar stok produk di waktu menanti majikannya selesai sesuatu urusan. Semua rekod resit saya minta dia simpan dan belajar rekod. Produk yang sudah dijual juga saya minta dia rekodkan. Bukan saya tidak mahu bantu merekod tetapi saya mahu dia belajar mengurus aliran kewangan perniagaan.


Setelah 2 bulan, produk jualan kami semakin bertambah. Daripada hanya menjual cermin mata, kami juga menjual topi kanak-kanak dan dewasa, belon dengan karekter kartun, rambut palsu, dompet dan tali pinggang. Saat ini, saya sebenarnya sudah mula stress kerana perlu menjaga anak dan mengawasi kiosk. Lebih-lebih lagi apabila diserbu warga asing. Memang tidak cukup tangan. Adik saya pula ada komitmen sendiri dan sukar membantu lagi.

Akhirnya suami saya mengambil keputusan mengambil pekerja setelah saya mula hilang kawalan dan enggan membantu lagi. Serik kerana makan dan minum tidak terurus dan keletihan yang menjadikan saya sering marah-marah dan bermasam muka. Hanya saya seboleh-bolehnya menjaga waktu solat. Ada juga waktu, saya berjalan-jalan menenagkan anak yang merengek sementara adik saya menjaga kiosk.

Dalam pada berjalan itu, berbual-bual juga dengan peniaga-peniaga lain sekitar pasaraya tersebut. Melalui perbualan dan perbincangan antara peniaga, akhirnya kami dapati, harga sewaan kiosk tersebut bersamaan dengan harga sewaan lot kedai di dalam pasaraya tersebut. Pemilik juga mula berura-ura mahu menaikkan kadar sewa daripada RM500 sebulan kepada RM650. Kadar sewa yang mahal dan jumlah pelanggan yang tidak menentu kerana kiosk berada di kedudukan yang kurang strategik, memeningkan kepala.

Selang beberapa minggu, suami saya mengambil keputusan berhenti kerja dan cuba fokus pada perniagaan kiosk. Namun, sayang sekali. Rupanya dia sebenarnya tiada masa untuk benar-benar merekod dan menjejak aliran kewangan perniagaan kami dan tidak tahu adakah kami sebenarnya mendapat keuntungan atau kerugian. Akibat perselisihan faham antara kami mengenai rekod kewangan dan stok serta masalah pengambilan pekerja yang tidak berdedikasi, perniagaan kiosk kami terpaksa ditutup selepas habis tempoh deposit dan kembali kepada kehidupan biasa.

Selepas beberapa bulan, kami diberitakan kiosk-kiosk tersebut terpaksa ditutup atas aduan peniaga mengenai sewa yang mahal berbanding kondisi kiosk yang tiada ciri keselamatan (produk jualan kami pernah dicuri ketika kiosk sudah ditutup) serta rosak. Pihak pasaraya pula menyatakan kiosk tersebut bukan milik mereka tetapi milik peniaga sewaan kiosk dari luar.

Hanya 1 kiosk yang berjaya bertahan iaitu kiosk seorang peniaga berbangsa Cina yang menjual pelekat-pelekat kecil dengan rekaannya sendiri. Namanya Kelvin. Beliau seorang yang sangat mesra, ramah dan baik hati. Walaupun beliau tidak lagi menggunakan kiosk tersebut, beliau diberi keistimewaan terus berjualan di situ dengan kiosk yang disediakan sendiri pihak pasaraya berserta ciri keselamatan yang lebih baik.

Pengajaran yang saya dapat dari perniagaan ini:

  • Buat kajian harga, jumlah pelanggan, lokasi perniagaan dan kondisi kemudahan yang disediakan sebelum mula membayar sewa.
  • Hargai dan beri "upah letih" kepada pembantu ''percuma" anda supaya perniagaan anda berkat dan berkekalan.
  • Rancang sehabis-habisnya perniagaan yang diceburi dari segi merekod aliran keluar masuk kewangan, stok dan pengambilan pekerja.
  • Kenali setiap produk jualan anda supaya mudah merekod dan menjawab pertanyaan pelanggan.
  • Ambil pekerja yang benar-benar mahu bekerja dan menimba pengalaman. Bukan atas dasar simpati atau hubungan baik sesama sendiri.
  • Sabar.
  • Jaga kesihatan dan pemakanan.
  • Mohon restu dan doa keluarga terutama ibubapa.
  • Jaga hubungan dengan Allah.

PENERANGAN TENTANG ABDR

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 18

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Hari ini saya ingin menerangkan tentang akademi yang saya sertai ini kerana ramai yang masih tidak faham dan tidak tahu tentang akademi ini.



APA ITU ABDR?

ABDR adalah nama singkatan Akademi Bekerja Di Rumah yang diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad. ABDR juga menawarkan kelas-kelas tertentu mengikut kehendak semasa. Kelas-kelas ini termasuklah:

Kelas Online Asas Bina Blog Penulisan
  • Belajar menulis secara santai tetapi mengekalkan bahasa Melayu formal.
  • Cara menarik minat pembaca suka baca dan bertandang.
  • Bina tapak awal memperkenalkan diri kepada pembaca atau bakal pelanggan.
  • Teknik tulisan yang mempengaruhi pembaca untuk datang dan datang lagi.
  • Bergabung dengan lebih ramai blogger di akademi yang sudah mencecah 1200 orang bagi membantu aliran trafik ke blog.
  • Belajar mengetahui teknik yang betul tentang apa yang kita suka tulis.
  • Belajar cara konsisten untuk terus aktif menulis di blog.
  • Bagi yang sudah ada blog tetapi masih tiada idea menulis, dialu-alukan untuk menyertai kelas ini.
Kelas Online Asas Blog Fanpage Mula Bisnes
  • Bagi yang mahu mulakan bisnes online tetapi tidak tahu cara.
  • Mahu mula bisnes tapi masih tiada produk.
  • Belajar urusniaga mudah dengan menggunakan medium percuma seperti blog, fanpage dan facebook.
  • Belajar jana pendapatan awal bermula RM5, RM10 dan tingkatkan lagi menjadi RM20, RM50, RM100 dan seterusnya. (Hasil tertakluk kepada kerajinan dan tahap konsistensi individu).
  • Sangat sesuai untuk suri berkerjaya yang sangat sibuk, surirumah sepenuh masa dan mereka yang mahu buat secara sambilan atau sepenuh masa.
  • Belajar membuat blog kedai online, menulis secara konsisten, buat borang tempahan, jenis-jenis entri blog, buat fanpage dan buat pautan antara blog untuk aliran trafik.
Kelas Beriklan Di mudah.my
  • Belajar teknik beriklan dengan betul menggunakan medium promosi online secara percuma di laman mudah.my.
Kelas Penulisan Kreatif
  • Bagi mereka yang bercita-cita menulis cerpen.
  • Belajar menulis cerpen dahulu sebelum menulis novel.
Kelas Urusniaga Akaun Bisnes Kecil WAHM dan SOHO
  • Belajar mengurus akaun bisnes.
Pengurus Online atau Rakan Niaga
  • Penyertaan dibuka kepada mereka yang tidak mempunyai produk untuk diniagakan.
  • Mempromosi 3 produk utama akademi iaitu kelas online, produk digital ebook dan pakej iklan.
  • Hanya atas talian (online).
  • Syarat mudah hanya mempunyai komputer dan talian internet.
  • Belajar bagaimana mendapatka RM50 hingga RM100 untung bersih hanya melalui produk akademi dan servis atas talian.
========================================================================
MATLAMAT UTAMA KELAS:
  • Memberi pencerahan dan ruang kepada surirumah yang baru mengenal dunia online terutama fanpage, blog dan sebagainya.
  • Untuk mereka yang 'zero' tentang urusniaga online, disarankan mengambil kelas asas blog dan fanpage sebagai permulaan  membina kedai online dan latiham urusniaga. Selepas boleh berdikari, belajar dengan lebih meluas melalui pakar-pakar pemasaran lain dan bina rangkaian bisnes sendiri. Akademi ini adalah sebagai trek pemula atau kit starter bagi mereka yang benar-benar 'zero' tentang bisnes dan urusniaga online.
  • Kelas asas blog dan penulisan bermatlamat memberikan pendedahan dan cara membina blog yang disukai pembaca, membina jaringan dan pengaruh penulis blog dan juga penjenamaan diri dalam carian Google.
BAGAIMANA KELAS DIJALANKAN:
  • Berbentuk tutorial dan dijalankan sepenuhnya secara atas talian.
  • Pelajar akan diberikan e-book rujukan utama iaitu "Belajar Asas Blog".
  • Diserap masuk ke dalam kumpulan kelas di Facebook dan Telegram.
  • Komunikasi secara peribadi melalui mesej atau kumpulan kelas.
  • Nota dan tutorial bergambar disediakan di dalam kumpulan kelas.
  • Jadual kelas adalah fleksibel mengikut masa pelajar sendiri.
  • Pertanyaan boleh dilontarkan terus kepada guru online melalui mesej Facebook dan Telegram.
  • Pelajar perlu rajin menyiapkan tugasan diberikan dan rajin bertanya.
  • Tugasan diberikan adalah tugasan penuh yang membantu pelajar terus menyiapkan blog masing-masing.
  • Kelengkapan gajet seperti komputer riba, komputer, telefon pintar dan talian internet. Penggunaan telefon pintar adalah satu kelebihan kerana boleh menyiapkan tugasan di mana saja.
DI MANA KELAS DIJALANKAN:
  • Hanya secara online. Boleh bermula bila-bila masa sudah sedia.
========================================================================

SOALAN POPULAR:

Bekerja dan tiada masa?
Kelas ini memerlukan masa yang fleksibel sahaja dengan 10 langkah mudah untuk kelas penulisan dan 16 langkah mudah untuk kelas bisnes.

Tiada produk?
Akademi sediakan dan boleh menjadi rakan niaga akademi.

Jangka masa pembelajaran?
Keputusan ini tertakluk kepada individu iaitu bergantung kepada kepantasan pelajar menyiapkan tugasan. Lebih cepat siap, lebih cepat boleh mula menggunakan blog, Facebook dan fanpage untuk menjana pendapatan.

Apa lagi dapat?
Jaringan dan perhubungan sahabat-sahabat lain yang juga dari kalangan surirumah dan suri berkerjaya serta kumpulan sokongan yang diperlukan untuk wanita yang berkerja di rumah mendapatkan semangat, pendapat, bina kenalan baru dan pertukaran antara blog di akademi yang membantu aliran trafik ke blog.

Jika anda berminat untuk menyertai keluarga besar akademi ini, bolehlah berdaftar dengan saya. Hubungi saya melalui Facebook, Telegram dan juga Whatsapp.

Selasa, 21 April 2015

5 RENCAH 5 RASA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi dan YouTube
Entri: 17

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Kenapa tajuk catatan saya hari ini macam pernah tengok ye? Ya. Pasti ramai yang pernah menonton rancangan masakan yang disiarkan di TV3 ini yang bertajuk 5 Rencah 5 Rasa yang dikendalikan oleh Chef Shers.

Apa yang menarik ingin saya kongsi mengenainya? Memanglah menarik bagi saya kerana Chef Shers ini adalah rakan sekelas saya semasa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang dulu. Sebagai rakan kelas, sebenarnya saya agak tertarik untuk bercerita mengenai beliau kerana saya tidak pernah melihat beliau memasak ataupun masuk pertandingan memasak di sekolah. Saya cuma pernah belajar Tae-Kwan-Do saja dengannya tetapi tidak habis kerana ayah saya tidak benarkan saya belajar seni pertahanan diri. Mungkin sebab saya sudah cukup garang. Hihi

Nama sebenar Chef Shers ini adalah Lian Sher Son. Saya kenal beliau hanya setakat Tingkatan 5 kerana terputus hubungan dengan kawan-kawan sekolah selepas itu. Beliau memang rajin. Malahan saya juga terkejut sebenarnya semasa beliau tunjukkan jumlah mata pelajaran yang beliau ambil untuk Sijil Pelajaran Malaysia dulu. Beliau juga pernah bertanya saya mengenai Islam serba sedikit. Hanya sekadar cuba memahami kenapa dan mengapa Islam melarang itu dan ini. Walaupun saya bukan pakar, cuba juga jawab. Tidak ingat pula saya bentuk soalan dan jawapannya. Sudah lebih 10 tahun berlalu semua itu.

Setahu saya beliau beragama Kristian dan keturunan Baba Nyonya. Pernah juga saya tanya mengenai bahasa Cina sebab saya tidak pernah dengar beliau berborak dalam bahasa tersebut sama ada dalam bahasa Mandarin mahupun Kantonis. Beliau cuma beritahu yang beliau faham tetapi sukar menuturkan semula. Ini perkara yang saya ingatlah.

Rancangan TV3 inilah yang mendorong saya mencuba mencari beliau di laman Facebook. Melalui beliau jugalah saya berjaya menjejak kawan-kawan sekolah menengah dahulu. Teknologi memang bagus kan? 

Chef Shers a.k.a Lian Sher Son
Baiklah. Sekian saja perkongsian saya hari ini. Sebenarnya saya sedang memasak sambil menonton rancangan ini. Terpanggil pula untuk berkongsi di sini. Terima kasih sudi membaca. (^_^)

Isnin, 20 April 2015

CAR BOOT SALES SEMENYIH

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 16

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Semalam saya offline sepenuhnya. Pagi-pagi sudah bersiap balik kampung suami. Suami saya rancang mahu berniaga di Car Boot Sale, Semenyih. Alang-alang suami nak ke rumah ibunya untuk ambil payung meniaga dan menghantar anak sulung kami, Muhammad Aiman (sekolah berdekatan rumah mertua), suami ajak ke sana terus. Meniaga begini sahaja caranya mencari sedikit rezeki sementara menanti gaji yang entah bulan ini atau bulan hadapan baru dapat. Maklumlah baru diterima bekerja dalam sektor awam sebagai pemandu 6 April lalu.

Sampai rumah mertua, orang pertama paling ceria mestilah ibu mertua yang memang sentiasa rindukan cucu-cucu kecilnya terutama yang paling kecil, Muhammad Aleef Azfar (5 bulan). Tak sempat keluar kereta lagi dah menyambut si kecil comel.

Suami pula bergegas mengambil payung meniaganya dan selepas bersalaman, terus ke tapak perniagaan. Tinggallah kami di rumah ibunya. Di sini tiada internet. Sebab itu saya offline. Tambahan lagi kredit simkad saya lupa ditambah nilai. Jadi, melayan kerenah anak-anak dan berborak panjanglah dengan mertua saya. Nasib mertua saya terima saya. Teringat kawan-kawan yang dapat mertua cerewet dan tidak terima menantu. Kasihan. Syukur nikmat yang diberi pada saya.

Gambar di bawah ini saya kongsikan gambar dari suami saya yang dihantar melalui Whatsapp. Inilah barangan yang dijualnya semalam. Sebenarnya ada lagi barangan lain tetapi tidak muat kereta.


Gambar tapak meniaga suami saya. Gambar orang baju belang ini bukan suami saya ye. Itu pelanggan yang lalu lalang.
Sampai sini dahulu perkongsian saya. Terima kasih sudi membaca. (^_^)

BELAJAR PENJENAMAAN DIRI DI ABDR

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi dan Cik Azuriyah
Entri: 15

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Saya ingin berkongsi lagi perjalanan saya dalam Akademi Bekerja Di Rumah ini. Walaupun baru lagi di dalam akademi ini, saya mula belajar lenggok bahasa aras tinggi daripada senior-senior kelas. Insya-Allah, lagi banyak membaca dan menulis, lagi banyak perkongsian saya yang boleh memberi manfaat pada pembaca.

Apa yang saya belajar setakat hari ini di dalam akademi ini ialah meletakkan Allah s.w.t sebagai perkara utama dalam setiap perkara yang dilakukan. Saya juga diberi tips-tips menjemput rezeki yang dipraktikkan mereka. Bertatih-tatih saya dalam bidang ini bersama mereka. Sambil belajar menulis dapat juga belajar bagaimana menjenamakan diri sendiri atau lebih dikenali sebagai online positioning.

Pagi ini saya dapat mesej dalam kumpulan rakan sekelas. Guru Anyss minta kami cuba mencari nama masing-masing di carian Google. Apa yang saya jumpa semasa menaip nama saya? Lihat gambar di bawah:


Dua gambar ini melambangkan saya gagal menjenamakan diri saya dengan betul kerana kurang aktif di blog. Lihat pula gambar di bawah:


Blog saya hanya keluar apabila saya menambah perkataan 'jurnal' selepas nama saya. Saya disarankan guru supaya lebih aktif lagi di blog.

Blog sebenarnya adalah satu kad bisnes percuma untuk peniaga mahupun penulis yang baru memulakan langkah. Ini kerana salah satu kebiasaan apabila kita mencari sesuatu pada carian Google, kita akan menaip perkataan tersebut. Begitu juga halnya dengan blog. Apabila pembaca atau bakal pelanggan mahu mencari kita, mereka akan terlintas nama 'kita' terlebih dahulu. Jadi, letak seberapa banyak 'kad bisnes' ini. Semakin banyak kita muatnaik (update), semakin mudah carian pembaca dan bakal pelanggan. Sangat penting juga apabila kia meletakkan satu aras kaitan nama dan apa yang kita usahakan.

Sebagai contoh, jika dengar nama Azuriyah (salah seorang alumni ABDR) mesti pasak pembaca dengan sulaman (beliau pemilik blog seni sulaman dan kreatif). Jadi tak ada bayangan jual kek, jual roti atau jual perabot.

Apabila kita sendiri fokus dengan apa yang kita mahu tulis, pembaca juga jelas dengan kita. Jika kita sendiri keliru mahu fokus tulis apa, pembaca 10 kali keliru.

Di sini langkah pertama penjenamaan diri dan bisnes cik Azuriyah tadi.

Nama: Azuriyah Mohamad
Emel: azuriyahmohamad@gmail.com
Url blog: azuriyahmohamad.blogspot
Tajuk blog: Seni Sulaman Dan Kreatif

Di bawah ini adalah ulasan pembaca mengenai blog Cik Azuriyah yang menyatakan pembaca jatuh cinta dengan tulisan beliau lalu terus menghubungi beliau. Begitulah apabila pembaca sudah teratrik dengan apa yang kita kongsi, gaya bahasa yang menarik, pembaca akhirnya terus berhubung dengan kita.



Belajar lebih lanjut dalam kelas ABDR. Pendaftaran dibuka setiap hari. Hubungi saya. Terima kasih sudi membaca.

Jumaat, 17 April 2015

MENIAGA BAZAR RAMADHAN

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 14

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman saya berniaga di bazar Ramadhan. Mungkin ramai yang ada pengalaman ini. Mungkin juga ada yang baru nak belajar. Pada masa itu, usia saya 10 tahun (jika tidak salah). Ketika itu, bulan Ramadhan. Ibu dan ayah saya bekerja dengan kerajaan sebagai pembantu makmal ketika itu di tempat yang berasingan. Ayah bekerja di Universiti Putra Malaysia manakala ibu pula bekerja di Kementerian Kesihatan di Petaling Jaya. Oleh kerana waktu kerja mereka setakat jam 5 petang, ada masa terluang untuk menambah pendapatan untuk menyara saya dan adik-beradik lain.

Masih saya ingat ayah menyewa beli sebuah van terpakai yang entah berapa harganya ketika itu dan kelengkapan memasak serta membungkus untuk berniaga di bazar Ramadhan. Saya sebagai anak sulung pastilah diberi kepercayaan membantu. Pulang dari kerja, ibulah yang akan memasak bersama ayah. Kami berniaga nasi ayan hainan dan air. Saya akan membantu pembungkusan sos cili. Memang seronok. Walaupun berpuasa, tidak terasa langsung yang kami sedang berpuasa.

Perniagaan kami dibuat di tapak bazar yang berada dalam lingkungan 3km dari rumah kami, iaitu di Taman Zamrud, Kajang. Hanya saya yang akan ikut membantu jualan di bazar bersama ayah. Seronok walaupun letih. Rasanya saya tidak meminta upah apa-apa ketika itu. :-)
Mungkin dari situlah datangnya minat saya berniaga.

Apabila menjelang waktu berbuka puasa, memang saat yang saya nanti-natikan kerana rezeki banyak. Para peniaga yang tidak kehabisan barang niaga akan saling bersedekah. Saya masih ingat di hadapan tapak perniagaan kami ada seorang warga Arab (jika tidak salah). Beliau meniaga nasi tomato. Saya adalah orang yang paling tertunggu-tunggu pemberiannya setiap kali habis waktu berniaga. Saya tidak meminta tetapi Allah tahu hati kecil budak hingusan seperti saya ketika itu. Rasa nasi tomato itu masih saya ingat tetapi sayang, zaman sekarang ni memang sudah tiada lagi rasa sesedap itu.

Apa pun, semua itu tinggal kenangan saja selepas ayah dan ibu saya tidak lagi meniaga sehabis bulan Ramadhan tersebut. Van pun sudah dijual. Barangan meniaga pula guna untuk masak sendiri. Ada juga yang telah rosak. Tapi semangat dan minat yang sudah terserap masuk ke dalam diri saya, tidak pernah hilang. Walaupun saya pernah gagal banyak kali. Terima kasih ibu dan ayah yang memberikan peluang kepada saya ketika itu. Sayang ibu, sayang ayah.

Sekian. Terima kasih sudi membaca.

BERJAYA DILETAKKAN BERSAMA BARISAN PENGURUS ONLINE ABDR

TEKS: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 13

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah sekali lagi kepada Allah s.w.t yang menggerakkan hati guru online saya yang menaiktaraf saya menjadi salah seorang Pengurus Online dalam Akademi Bekerja Di Rumah. Syukur diberi peluang ini. Terima kasih Allah dan terima kasih guru.

Tengahari tadi ketika sibuk melayan anak-anak, terdengar bunyi nada dering mesej dari telefon. Mesej yang memberi saya lebih semangat. Saya sudah diserap masuk ke dalam kumpulan barisan pengurus ABDR. Lebih banyak perkongsian ilmu di situ. Malahan ilmu menjemput rezeki juga disarankan selain ilmu-ilmu lain.

Jika ini jalan saya yang ditentukan oleh Allah s.w.t, saya terima dengan hati terbuka lagi berbunga. Belajar memberi supaya boleh lebih menerima. Memberi tidak semestinya dengan wang ringgit. Memberi ilmu adalah jalan terbaik.

Semoga saya lebih istiqomah dalam langkah ini. Tak tahu nak taip apa lagi. Hanya syukur. Syukur. Syukur.

ABDR Di Hati ♥

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 12

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Seperti biasa, sebagai ahli Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR), saya perlu mencatat di sini setiap hari sebagai latihan menambahbaik skil mengarang dan berkongsi.

Bekerja dari rumah tidak semudah disangka orang yang tidak pernah bekerja dari rumah terutamanya jika belum punyai anak. Inilah cabarannya sebagai surirumah yang melakukan semua kerja di dunia di dalam rumah sendiri. Kenapa semua kerja di dunia? Kerana surirumah bukan sahaja isteri dan ibu tetapi juga chef, guru, pengasuh, pencuci, pembantu fesyen, akauntan dan sebagainya.

Hebat kan jadi surirumah? Saya sudah menyandang jawatan ini terlalu lama. Namun rasa lelah itu akan hilang bila semua kerja saya dihargai dengan senyuman dan pertolongan. Apalagi jika anak-anak comel memandang ke dalam mata, senyum dan berkata "Terima kasih" apabila hajat mereka tercapai. Kadang-kadang mereka tidak menyatakannya dengan perkataan tetapi memberi pelukan dan senyuman.

Kembali kepada topik ABDR tadi, pilihan saya menyertai blog penulisan, kelihatan tidak salah kerana ia mengajar saya menukar emosi negatif akibat letih kepada emosi positif. Malahan dengan bimbingan dari guru dan sokongan rakan kelas juga banyak membantu kestabilan emosi.

Tiada juga paksaan untuk menyiapkan tugasan diberi. Semuanya bergantung kepada keputusan tindakan sendiri. Cepat bergerak, cepatlah hasilnya. Begitu juga sebaliknya. Kan kita yang membuat pilihan? Apa pun, saya syukur menemui ABDR ini.

Rabu, 15 April 2015

10 TIPS PERKEMBANGAN KANAK-KANAK DARI PAKAR PSIKIATRI KANAK-KANAK

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: saatakukaupilih.blogspot.com, befrienders dan persendirian
Entri: 11

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Kelmarin semasa saya singgah mengintai khabar rakan-rakan di Facebook. Sempat juga baca perkongsian dari seorang bekas rakan kelas saya. Jadi saya pun ikut serta membaca laman tersebut yang menceritakan tentang 10 tips ini. Tips ini dikongsikan dari seorang doktor pakar psikiatri (mental) kanak-kanak. Jangan salah anggap pula psikiatri untuk orang gila saja ye. Sebelum saya kongsi tips-tips tersebut, mari kita fahami dulu apa itu psikiatri.

Psikiatri adalah antara cabang ilmu dalam ilmu kedoktoran yang merujuk kepada kesihatan mental seseorang individu. Ia merangkumi corak pemahaman pemikiran dan emosi yang mempengaruhi tingkah laku individu.



TIPS 1: KERAP BAWA ANAK MENGENAL ALAM
Bawa anak-anak selalu keluar rumah. Biar mereka pijak tanah, pasir, rumput dan sebagainya bagi merangsang kemahiran merasa dan mengenal tekstur alam.

TIPS 2: ELAKKAN PENDEDAHAN BERLEBIHAN KEPADA GAJET
Menurut pengalaman pemilik blog saatakukaupilih,blogspot.com, beliau melihat sendiri betapa teruk kesan pendedahan berlebihan peralatan gajet kepada anak-anak kecil. Sehingga anak tersebut tidak dibenarkan langsung melihat gajet dan orang-orang yang mendekati anak tersebut juga tidak dibenarkan menjawab panggilan atau mesej di hadapan kanak-kanak tersebut. Melalui perkongsian ibu anak tersebut, dia langsung tidak merangsang anaknya dan membiarkan anaknya bersama gajet seawal usia bayi selama 24 jam atas alasan terlalu sibuk dan tiada pembantu rumah. Na'uzubillahi min zalik. Anak tersebut kini masih dalam rawatan. Menurut doktor pakar tersebut, penggunaan gajet dibolehkan tetapi dengan syarat tidak lebih 10 minit dan jangan tinggalkan anak bersendirian melihat gajet. Antara tanda bahaya yang dikongsikan doktor tersebut ialah apabila anak tidak mahu mengajak sesiapa pun atau berasa terganggu apabila ada orang lain bersamanya menggunakan gajet tersebut. Pendedahan berlebihan juga akan menyebabkan bola mata anak-anak menjadi statik kerana tiada  pergerakan mata untuk saliran yang lebih baik pada saraf mata.

TIPS 3: KEMAHIRAN MENIRU / MENGIKUT PERKARA SEKEILING
Kemahiran ini merangkumi kebolehan mengikut pergerakan atau percakapan orang di sekelilingnya seperti menepuk tangan, bercakap, melukis, membuat mimik muka dan sebagainya. Menurut doktor tersebut, perbuatan merangkak adalah sangat baik untuk kanak-kanak. Sekiranya anak-anak merangkak lebih lama sebelum berjalan, mereka akan lebih kreatif dan genius. Ini kerana pergerakan tersebut memerlukan penglibatan seluruh anggota badan dari kepala hingga kaki.

TIPS 4: BANYAKKAN PERMAINAN PENDIDIKAN
Permainan pendidikan adalah permainan yang mengenalkan anak-anak kepada huruf, abjad dan sebagainya bagi menambah kemahiran berkomunikasi anak-anak. Permainan bertema karekter kartun fantasi seperti superman, spiderman, ultraman dan sebagainya tidak digalakkan kerana tidak 'berpijak di bumi nyata' malah anak boleh jadi terlalu taksub hingga tidak peduli perkara lain dan kurang fokus.

TIPS 5: AJAR ANAK BERCAKAP MENGGUNAKAN PERKATAAN BUKAN AYAT
Penggunaan perkataan seperti "Gajah", "Arnab" dan sebagainya lebih baik berbanding penggunaan ayat seperti "Ini gajah", Selepas anak kenal sesuatu benda itu barulah ajar mereka menggunakan ayat. Begitu juga jika ingin mengarahkan anak berbuat sesuatu seperti duduk. Hanya beri arahan "Duduk" dan bukannya "Mari sini duduk sebelah mama" atau "Duduk dan diam", Ini cara cepat ajar anak bercakap.

TIPS 6: ANAK TIDAK TAKUT ORANG
Jika anak takut dengan 'orang luar' seperti pakcik makcik mereka, tunjukkan bahawa orang yang mereka takut itu tidak perlu ditakuti. Gunakan cara High-5 (tepuk tangan) dengan orang yang mereka takut tersebut. Beritahu pada ahli keluarga untuk High-5 terlebih dahulu dengan anak sebagai tanda anak selamat dengan mereka.

TIPS 7: ELAKKAN MARAH APABILA ANAK MELAKUKAN KESALAHAN
Kebanyakan kita akan marah apabila anak buat salah. Perkara ini seolah-olah sudah menjadi adat dalam institusi keluarga kerana ia wujud dari zaman nenek moyang kita dulu yang akhirnya turun kepada ibubapa kita dan juga kita. Kita perlu ubah ini. Baiki kesalahan 'orang dulu' ini dengan menerangkan kesalahan anak tersebut. Jelaskan kenapa ia salah. Contohnya, menyepahkan barang mainan sehingga kadang terpijak-pijak. Katakan pada anak jika bersepah dan terpijak, permainannya akan rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Ajak dia mengemas bersama. Sewaktu bercakap dengan anak, kita perlu bercakap bertentang mata dengannya dengan aras badan yang sama tinggi dengannya. Elakkan bercakap dengan keadaan marah dan berdiri kerana anak akan jadi lebih takut dan menyebabkan dia tidak faham apa yang kita cakap.

TIPS 8: HUBUNGAN ANTARA AHLI KELUARGA
Perkara ini penting. Hubungan 'berat sebelah' adalah tidak bagus untuk anak-anak. Contohnya, anak rapat dengan ibu saja dan tidak rapat dengan ayah. Ini tidak bagus untuk pembangunan self-esteem mereka. Perkara ini berlaku dengan orang sekeliling saya berdasarkan hubungan mereka dengan ibubapa. Tahap self-esteem mereka jadi terlalu rendah sehingga dewasa akibat hubungan 'berat sebelah' ini. Tak perlulah saya nyatakan di sini siapa dan bagaimana ye. Kasihan mereka yang terlibat.

TIPS 9: DALAMI MINAT ANAK APABILA MEREKA BERMAIN
Apabila anda melihat anak-anak sedang melakukan sesuatu perkara seperti bermain bola, jangan cuba ubah keseronokan mereka bermain bola dengan mengajak mereka bermain basikal. Sebaliknya, ikut bermain bersama anak-anak. Ini penting untuk perkembangan otak mereka kerana saat mereka berada dalam keadaan berminat dan seronok ini, otak mereka berkembang pada tahap maksima. Jika permainan atau perkara yang sedang mereka lakukan itu tidak baik, barulah kita alih perhatian mereka.

TIPS 10: MAHIRKAN KOMUNIKASI ANAK DENGAN JAWAPAN OBJEKTIF
Kadang-kadang ada waktu, anak kita tiba-tiba diam seperti merajuk atau apa, kita tidak tahu. Apabila ditanya, mereka diam. Jika ini berlaku, berikan soalan berserta jawapan objektif. Contohnya, "Kenapa Aiman menangis?". Berikan jawapan objektif berbentuk soalan seperti "Aiman sakit perut?", "Jatuh?" atau "Nak ikut ayah?". Sekurang-kurangnya jika mereka mengangguk di antara jawapan tersebut, kita sudah tahu apa masalahnya dan mereka tahu bagaimana menjawab soalan apabila ditanya.

Inilah sahaja tips-tips yang dikongsikan oleh penulis blog tersebut yang didapati dari doktor pakar yang bernama Dr. Sherine dari bahagian Psikiatri Kanak-Kanak di Hospital Gleneagles, Penang. Sekian sahaja perkongsian saya buat masa ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

Selasa, 14 April 2015

RUTIN HARIAN WAHM BERSAMA GOOGLE KEEP

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 10

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Hari ini saya ingin berkongsi rutin harian saya sebagai ibu yang bekerja dari rumah. Jadual saya sangat padat. Dari pagi hingga malam. Tiada waktu senggang sebenarnya kerana anak-anak masih sangat kecil untuk saya berehat dari jadual yang sangat padat ini.

Jadual ini saya buat mengikut apa yang saya lakukan setiap hari. Saya gunakan aplikasi Google Keep untuk sentiasa mengikut jadual supaya saya tidak 'keluar landasan' kerja dan menjadi kelam-kabut. Cuba lihat dulu.


SUBUH
  • Mandi dan pakai pakaian yang menaikkan semangat.
  • Sambil minum kopi / teh / minuman coklat, senaraikan perkara yang ingin dilakukan. Perkara ini bermaksud membuang barangan yang tidak digunakan / sedekahkan pada orang. Ini untuk memastikan keadaan rumah sentiasa 'sedap mata memandang'. Buat sikit-sikit, lama-lama rumah bersih dari barang yang tidak perlu ada dalam rumah.
  • SUBUH BERJEMAAH.
  • Sediakan sarapan.
  • Mandikan anak-anak.
  • Kemas tempat tidur.
  • Basuh baju kotor.
  • Bersihkan bilik air. Sekadar siram / berus kotoran untuk pastikan tidak kotor hingga perlu sental setiap bulan.
  • Sarapan.
ZUHUR
  • Bersihkan bekas sarapan dan susun di tempatnya.
  • Aktiviti dengan anak-anak.
  • Bersihkan dapur dan tempat penyediaan makanan.
  • Keluarkan bahan masakan untuk menu harian.
  • RUTIN MINGGUAN
  • Jemur pakaian.
  • Sediakan makan tengahari.
  • Makan tengahari.
  • Bersihkan bekas makan tengahari dan susun di tempatnya.
  • Sapu lantai dapur.
  • RUTIN MINGGUAN
  • Lap cermin sliding door.
  • Mandi
  • ZUHUR.
  • Tidurkan anak-anak.
ASAR
  • Aktiviti blog / buang barang yang tak perlu atau tak digunakan lagi.
  • ASAR.
  • Lipat dan simpan pakaian.
  • RUTIN MINGGUAN.
  • Tonton TV bersama anak-anak / aktiviti bersama anak-anak.
  • Makan Malam.
  • Bersihkan bekas makan malam dan susun di tempatnya.
MAGHRIB
  • Mandi.
  • MAGHRIB BERJEMAAH.
  • Aktiviti bersama anak-anak dan suami.
ISYA'
  • ISYA'.
  • Tidurkan anak-anak.
  • Aktiviti sendiri.
Inilah perkara yang saya ulang setiap hari selama lebih kurang 6 tahun selepas mempunyai anak-anak. Waktu menidurkan anak-anak selalunya saya akan tertidur sekali dan rutin saya akan jadi berganda keesokannya. Itulah yang paling saya cuba elakkan. Rutin mingguan adalah rutin yang memerlukan saya memastikan rumah sentiasa bersih, kemas dan teratur sepanjang tahun. Aktiviti blogging pula aktiviti yang baru masuk dalam rutin harian saya.

Saya teringin buat semua senarai ini dalam bentuk cetakan dan laminate. Bajet belum mengizinkan. Jadi saya guna telefon pintar sahaja. Kalau nak tengok senarai saya di aplikasi tersebut, kenalah beri emel kepada saya supaya saya boleh tunjukkan sebab aplikasi ini boleh dikongsi sekiranya anda gunakan aplikasi yang sama.

Bagaimana pula dengan anda semua? Kongsilah dengan saya. Komen di bawah ye. Terima kasih sudi baca.

Sabtu, 11 April 2015

HARI GEMBIRA SEKELUARGA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 9

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah s.w.t yang memberi peluang merasa gembira hari ini. Semenjak suami diterima bekerja dalam sektor awam Isnin lalu, ibubapa kami nampak begitu gembira dan mampu menarik nafas lega. Hasil doa ibu, isteri, diri sendiri dan keluarga serta penjagaan 'tiang agama', nampak sedikit demi sedikit Allah yang Maha Memberi membuka pintu rezeki kami.

Hari ini, saya menyambung Projek April menyusun atur rumah dengan dibantu suami. Sambil melayan kerenah anak-anak yang kebelakangan ini sering jatuh sakit selsema, batuk, asma dan demam, sambil mengemas. Bila ada yang dapat membantu ni, ringanlah kerja di rumah ni.
Menjelang makan tengahari, saya sempat memasak sambal ayam madu. Menu untuk anak-anak yang kurang sihat. Madu kan makanan sunnah. Syukur. Selesai makan dan solat zuhur, masing-masing berehat. Saya pula berhempas-pulas cuba menidurkan si kecil Muhammad Aleef Azfar yang sukar tidur kerana masalah pernafasan. Akhirnya saya mengalah. Minta bantuan suami untuk tidurkan Aleef. Tidurlah dia berdukung dengan ayahnya. Beratnya 7.1kg. Tak tahan badan saya mendukung dia dengan keadaan cuaca panas.

Tiba waktu Asar, kami bergilir solat kerana menjaga Aleef. Melihat waktu sudah hampir 6 petang dan cuaca yang baik, kami buat keputusan membawa anak-anak ke taman. Waktu yang paling ditunggu anak-anak. Tengok saja gambar-gambar yang saya selitkan. Sampai 2 buah taman permainan kami pergi. Yang pertama tu, banyak nyamuk aedes. Bahaya betul. Jadi, kami pergi ke taman yang lebih baik dan baru dibina. Walaupun jauh sedikit, ia lebih baik berbanding mendapat sakit denggi. Nampak gembira betul anak-anak termasuk si Aleef. Hilang sekejap sakitnya.

Jam 7 malam sudah mula kedengaran suara mengaji dari masjid berdekatan. Jadi, kami bergegas pulang dan mandi. Si sulung Muhammad Aiman kelaparan dek kerana banyak tenaga keluar. Selesai mandi, terus duduk di meja makan yang baru dipindahkan dan makan sendiri. Saya yang selesai mandi segera menyiapkan tempat solat dan berjemaah bersama anak-anak. Alhamdulillah.

Selesai solat, makan malam pula sambil menonton berita. Azan isya', kami segera tunaikan solat dan berehat di bilik tidur. Masing-masing melayan gajet. Suami menonton perlawanan bola sepak di laptop. Anak-anak yang sudah besar menonton video kartun di YouTube. Saya pula menaip catatan ini menggunakan telefon pintar yang dihadiahkan suami bulan lepas. Cuma bayi kecil Aleef saja yang tidur selepas menyusu.

Sampai sini saja catatan hari ini.













Rabu, 8 April 2015

ANAK KURANG SIHAT HARI JADI SURAM

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 8

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Hari ni agak suram kerana anak-anak saya kurang sihat dan memerlukan penjagaan rapi. Muhammad Aleef Azfar yang baru berusia 4 bulan diserang selsema dan demam dari malam semalam. Tak senang tidur dibuatnya.

Tengahari tadi suami minta kebenaran keluar pejabat untuk menghantar anak-anak ke klinik tempat saya bekerja dulu. Klinik Aisha di Seksyen 7, Bangi. Doktor timbang beratnya sebelum memberi preskripsi ubat. 7.1 kg beratnya. Kata doktor, macam budak umur 1 tahun. Memang betul pun. Abang-abangnya tidak sebesar dia semasa bayi. Berat juga tidak tambah 1kg setiap bulan. Cuma dia seorang saja yang berbadan besar dan berat naik ketara. Selepas pemeriksaan doktor, tak sangka pula yang bayi saya ini perlu diberi Neb. Maklumlah. Dia tak pernah demam dan selsema teruk. Sayu tapi comel je tengok reaksi dia masa ambil Neb. Selesai Neb, doktor periksa lagi dan beri preskripsi. Giliran abangnya, Muhammad Akif Aqil pula diperiksa. Nasib baik tidak perlu Neb. Hanya diberikan ubat selsema dan batuk sahaja.

Pulang ke rumah, saya tidurkan bayi dalam buaian dan menyambung kerja-kerja rumah yang tertangguh. Menjelang zohor, saya sudah mula kehabisan tenaga. Selepas makan tengahari dan solat zohor, saya ambil masa untuk tidur sebentar. Walaupun kurang selesa kerana cuaca terlalu panas, bila mata dah mengantuk, tidur tetap tidur.

Bangun dari tidur, sudah asar. Mandi dan solat kemudian mandikan anak-anak dan sediakan makan malam. Makan bersama anak-anak dan kemudian menonton TV2 rancangan Golden Phoenix kegemaran saya. Habis menonton, kemaskan rumah dan solat maghrib. Selepas solat, berbaring-baring bersama anak-anak menanti mereka mengantuk dan tidur. Sambil itu, saya bersosial bersama rakan-rakan bisnes di dalam kumpulan Semenyih Bisnes Group. Saling bertukar pendapat dan memperkenalkan perkhidmatan dan produk masing-masing.

Selepas anak-anak tidur, barulah saya menaip di sini. Sekarang saya pula semakin beransur sihat dengan amalan minuman beralkali iaitu Jus Himax5 dan CMD. Alhamdulillah. Walaupun mata saya masih gatal-gatal kerana resdung, ia semakin berkurangan. Nanti saya ceritakan lagi. Terima kasih sudi baca.

Muhammad Aleef Azfar

UJIAN ITU INDAH

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Persendirian
Entri: 7

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Hari ini mungkin terlalu awal saya menaip di sini. Ketika orang lain sedang lena diulit mimpi, saya pula sukar tidur kerana anak bongsu yang terganggu kesihatannya, dijangkiti demam dan selsema. Kasihan mendengar bunyi nafasnya yang tidak selesa. Selepas saya usahakan melapangkan rongga hidungnya dengan menyedut hingusnya menggunakan alat khas, barulah dia boleh tidur lena. Saya pula yang sukar lelapkan mata semula.

Anak kedua yang baru sembuh dari demam selsema juga mula didatangi selsema semula. Mungkin kerana antibodi yang kurang kuat kerana tidak mengamalkan makanan sunnah dan tidak minum susu lagi. Hanya minum minuman coklat yang seiras Milo sahaja.

Saya juga mula didatangi selsema kembali selepas 2 hari pulih. Mungkin kerana Projek April saya menyusun atur dan membersihkan rumah. Suami juga begitu. Melayan kerenah saya yang suka menyusun atur perabot, kejap di sana, kejap di sini, bergelumang habuk demi keadaan yang lebih selesa.

Ini semua ujian sahaja. Ujian itu indah sebenarnya. Ujian kesihatan sebagai kifarah dosa lalu. Ujian kewangan sebagai didikan ekonomi. Ujian makanan sebagai peringatan kepada orang-orang yang jauh lebih susah daripada kita untuk mendapat makanan yang baik. Ujian solat 5 waktu sebagai pembuka jalan kebahagiaan dunia dan akhirat. Setiap perkara adalah ujian.

Saya rasa macam dah lari tajuk pula. Sambung tidur dulu ye. Assalamu'alaikum.

Selasa, 7 April 2015

MENGAPA SAYA JADI PENGURUS ONLINE AKADEMI BEKERJA DARI RUMAH (ABDR)?

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 6

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah s.w.t yang membuka jalan bagi saya meneruskan cita-cita saya menjadi surirumah yang mampu mengurus rumah dan kerja dari rumah. Saya sebenarnya seorang yang tidak gemar keluar rumah walaupun hanya ke kedai. Saya suka buat kerja hanya dari rumah. Tanyalah suami saya sendiri. Memang susah nak suruh saya belajar bawa kenderaan untuk memudahkan saya pergi membeli di kedai mahupun menghantar anak ke sekolah. Lagipun saya trauma untuk membawa kenderaan bersama anak-anak kecil. Tak tahulah sampai bila saya trauma ni.

Oleh kerana ketakutan keluar rumah sendirian atau bersama anak-anak sahaja, saya memilih untuk menyertai Akademi ini. Saya hanya perlu menguruskan semuanya hanya melalui talian internet. Jika ada urusan lain yang memerlukan saya keluar rumah, suami sayalah yang berjasa menghantar dan mengambil. Jadi, saya memilih Akademi ini.

Setelah menyiapkan hampir kesemua 18 tugasan yang diberikan guru online saya, akhirnya saya layak menjadi Pengurus Online ABDR. Syukur dan terima kasih juga kepada guru dan rakan kelas juga yang telah bersama-sama menaikkan semangat. Masa adalah fleksibel kerana mengikut kemampuan, keinginan, keadaan dan kebolehan masing-masing. Tiada paksaan. Anda buat, anda dapat. Itu saja.

Surirumah bukan lagi satu kerjaya yang boleh dipandang rendah. Kerjaya ini memerlukan disiplin. Kerjaya ini 'gajinya' bukan dari makhluk Allah. Kerjaya ini anugerahnya tidak ternilai harganya kerana surirumah merangkumi semua kerjaya terhebat dunia.

MENGEMAS RUMAH DALAM MASA 4 MINGGU

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 5

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Saya selalu muatnaik status di Facebook tentang Projek April 2015 saya sejak bulan Mac lalu. Sebenarnya projek tersebut adalah projek mengemas rumah saya yang semakin tunggang-langgang kerana terlalu sibuk dengan bayi baru saya yang berusia 4 bulan yang memerlukan perhatian penuh dan penyusuan eksklusif.

Di sini saya kongsikan mengenai tips susun atur dan mengemas rumah dalam masa 4 minggu yang saya buat untuk pastikan rumah sentiasa bersih dan kemas. Tips ini boleh diulang-ulang setiap bulan supaya makin hari, rumah makin kemas dan bersih. Ikuti tips di bawah:

MINGGU PERTAMA

  • Isnin - Bersihkan dompet, kemas beg tangan dan beg lampin anak.
  • Selasa - Bersihkan peti sejuk. Jika peti sejuk 2 pintu, bersihkan bahagian bawah.
  • Rabu - Bersihkan peti ais. Jika peti sejuk 2 pintu, bersihkan bahagian atas.
  • Khamis - Bersihkan bahagian bawah katil dan perabot. Barang-barang yang tidak digunakan atau tidak berkaitan, buang atau letak di tempat yang sesuai. Alihkan perabot (jika boleh) dan vakum di bawahnya.
  • Jumaat - Bersihkan tempat duduk. Buka sarung kusyen/sofa dan bersihkan semua kotoran, permainan yang terselit di celahan kusyen/sofa. Vakum kusyen/sofa, bawahnya dan semua bahagian. Bersihkan kesan-kesan tumpahan cecair pada kain kusyen/sofa.
MINGGU KEDUA
  • Isnin - Bersihkan bahagian dalam kenderaan (kereta). Buang semua sampah dan barang yang tidak digunakan letak di tempat sesuai. Vakum tempat duduk dan lantai kenderaan.
  • Selasa - Lap semua permukaan meja di dalam rumah. Jika ada anak-anak yang boleh membantu, bahagikan tugas mengikut ruang.
  • Rabu - Lap semua tombol pintu di dalam rumah.
  • Khamis - Bersihkan semua suis lampu.
  • Jumaat - Buang habuk pada semua kipas siling dan bersihkan semua lampu. Periksa jika ada mentol lampu yang tidak berfungsi dan gantikan.
MINGGU KETIGA
  • Isnin - Bersihkan rak pinggan mangkuk. Keluarkan semua barang dan bersihkan. Vakum habuk dan keluarkan barang yang tidak digunakan untuk letak di tempat sesuai atau buang. Susun semula.
  • Selasa - Bersihkan ketuhar gelombang mikro (microwave) dan tungku dapaur (stove).
  • Rabu - Bersihkan bahagian atas almari dapur dan peti sejuk. Jika ada barangan yang tidak berkaitan di atas peti sejuk, alihkan ke tempat yang lebih sesuai. Di atas peti sejuk sepatutnya tidak perlu letak apa-apa. Lap bahagian luar pintu almari dapur.
  • Khamis - Bersihkan laci alatam memasak. Keluarkan semua barang. Buang sampah dan barang yang tidak berkenaan. Lap dan susun semula alatan mengikut jenisnya.
  • Jumaat - Bersihkan komputer/laptop. Lap skrin dan papan kekunci (keyboard) dengan kain, susun fail-fail di dalam komputer, padam emel lama dan sebagainya.
MINGGU KEEMPAT
  • Isnin - Bersihkan ruang pengaliran udara. Vakum dan bersihkan kotoran.
  • Selasa - Bersihkan dan susun atur almari dapur dan pantri.
  • Rabu - Vakum almari baju dan karpet. Sapu dan mop lantai. Buang semua sampah dan barang yang tidak berkenaan.
  • Khamis - Bersihkan tingkap dan langsir. Bersihkan bahagian luar dan dalam. Basuh langsir.
  • Jumaat - Bersihkan dan susun semula bekas ubat-ubatan. Periksa tarikh luput dan buang jika sudah sampai tarikh luputnya.
Projek ini sebenarnya sudah lama saya usahakan. Namun, kekerapan saya bersama keluarga berpindah-randah menghalang saya menjalankan aktiviti ini secara bulanan. Setiap bulan, inilah yang akan saya usahakan. Maklumlah. Jika rumah bersepah, mulalah saya menggigil satu badan dan rasa serabut. Saya kongsikan tips ini kepada semua supaya lebih mudah untuk kita buat sesuatu mengikut perancangan. Jika tidak jadi, usaha lagi.

Tips ini saya gabungkan dengan rutin harian saya. Saya luangkan masa 15 minit setiap hari untuk selesaikan 1 kerja 1 hari. 15 minit itu saya bahagikan 3 kali sehari iaitu pagi, tengahari dan petang. Contohnya: Hari Khamis, minggu keempat. 5 minit luangkan untuk turunkan langsir. 5 minit untuk bersihkan tingkap. 5 minit untuk kumpul langsir dan letak dalam mesin basuh untuk dibasuh.

Boleh saja tips ini dijadikan dalam bentuk jadual atau dicatat pada kalendar. Ikut keselesaan masing-masing. Setakat ini sahaja dapat saya kongsikan. Selamat mencuba dan terima kasih sudi baca.