HARI YANG KURANG BERTENAGA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 23

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah masih lagi bernafas untuk menaip di sini.

Hari ini kurang aktiviti bersama anak-anak. Si kecil Aleef masih kurang sihat dan sukar berenggang. Oleh kerana tidak mampu menahan berat badannya untuk saya dukung sambil buat kerja, saya lebih banyak berbaring di sebelahnya. Kadang saya peluk. Kadang saya berbual sambil menyusukannya. Kasihan juga abang-abangnya yang juga mahu dilayan sama. Nasib baik lauk dan nasi sudah siap awal-awal. Kalau tidak, mungkin saya akan panik dan kelam-kabut menyediakan makanan mereka.

Lepas makan tengahari, saya bukakan laptop untuk mereka. Sudah saya tetapkan hanya waktu itu sahaja peluang mereka bermain laptop atau menonton kartun kegemaran mereka. Saya bawa Aleef tidur di bilik dengan meletakkan kain basah di kepalanya. Bimbang jika suhunya terlalu tinggi, diserang sawan pula. Menjaga anak lelaki yang demam tidak sama dengan anak perempuan. Bayi dan kanak-kanak lelaki lebih mudah mendapat sawan.

Entah berapa minit saya terlelap dengan Aleef. Saya dikejutkan suami yang baru pulang dari Johor. Disebabkan Aleef enggan berjauhan, saya kembali tidur dengannya. Terlupa pula saya belum masak lauk untuk makan malam. Suami pula memberitahu yang dia perlu ke pejabat menghantar kenderaan.
Saya dikejutkan dengan bunyi azan Asar dari telefon pintar. Kebetulan suami baru pulang. Melihatkan saya baru bangun dan sedang menyusukan Aleef dan faham keadaan saya yang perlu melayan Aleef, suami terus ke dapur dan memasak makan malam.

Saya terus mandi dan solat Asar. Sedang mandi terdengar suara ibu saya. Kunjungan yang tidak disangka. Ibu datang menghantar ubat rupanya. Ada juga sehelai baju blaus baru untuk saya. Sekejap sahaja singgah. Ibu saya bergegas pulang ke rumah selepas menyelitkan sedikit wang saku kepada anak sulung saya. Begitulah kebiasaannya ibu ayah saya. Tidak betah berlama-lama di rumah orang walaupun rumah anak sendiri. Saya kemudiannya memandikan Aleef. Kali ni dia nampak segar sedikit berbanding pagi dan tengahari tadi. Mungkin kerana cukup rehat tadi. Sementara menanti makan malam, saya melayan anak-anak. Kadang bergaduh sesama mereka. Kadang gelak ketawa. Saya layankan saja.

Selesai makan malam, saya dan suami berjemaah solat Maghrib. Aleef saya letakkan di dalam buaian automatik. Selepas solat, saya menjenguk Aleef yang masih tidur di dalam buaian. Lena. Saya ambil peluang ini melipat kain baju yang sudah 2 bakul penuh tidak berkemas lagi. Sambil melipat kain baju, saya mendengar ceramah Ustaz Kazim Elias di Youtube bertajuk "Bahana Lidah".

Tidak sedar saya mengemas hingga jam 12.00 pagi. Banyak sungguh baju. Selesai kemas, perut pula berkeroncong lagi. Apalagi? Rendam Maggilah jawabnya. Sambil makan Maggi, saya menelaah buku Step By Step Blogspot yang saya beli pertengahan tahun lepas. Ada beberapa idea terlintas di kepala. Insya-Allah akan saya kongsi nanti.  

Mata saya pun dah gatal tanda perlu rehat. Setakat ini saja untuk hari ini.

Muhammad Aleef Azfar dan Muhammad Akif Aqil.
Maaf gambar kurang jelas. Kamera ada masalah. Terima kasih sudi membaca.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN