Khamis, 28 Januari 2016

TEMURAMAH ONLINE ABDR & AKTIVITI TERKINI SAYA

Beberapa hari lalu pengasas ABDR mencari suri yang telah berhenti kerja selama 3 tahun ke atas untuk ditemuramah secara online. Beliau mahu tahu apa pengalaman yang dialami dan  produk dan servis apa yang sedang diusahakan kini.

Untuk saya, pengalaman berhenti kerja adalah setiap kali hamil. Saya tekad bekerja di rumah sahaja selepas hamil anak ke-3 (bongsu). Serik nak kerja luar kerana bila kerja luar rumah, saya ditakdirkan hamil. 😅

Kini saya mengusahakan 2 perniagaan percetakan. Perniagaan inu masih di tangga pertama dan bertatih-tatih.

Aktiviti perniagaan terkini adalah gabungan perniagaan adik-beradik saya (lelaki & perempuan berlainan syarikat) bersama usaha membina penjenamaan kami dengan sebuah syarikat pengurusan event dan akan terlibat dalam Muslim Model Wedding Show 2016 (MMWS 2016).

Perniagaan adik-beradik perempuan saya (Legasi Cetak). Perniagaan adik lelaki saya (Zatshin Enterprise). Kami masih dalam perbincangan untuk penajaan MMWS 2016.

Insya-Allah. Semoga kejayaan dan sukses menjengah terus-terusan selepas ini. Apa pun, rezeki kita Allah s.w.t. yang tentukan.

Selasa, 26 Januari 2016

LEGASI CETAK

Legasi Cetak

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini saya mahu perkenalkan perniagaan saya yang sudah sekian lama "tidur ayam" selepas saya melahirkan anak ketiga tahun 2014 lalu. Anak sudah besar, mudah sikit bergerak. Ini bukan alasan. Ini kenyataan. Lain orang lain caranya.

Perniagaan ini adalah perniagaan pertama saya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Ia gabungan antara adik-beradik perempuan saya, suami dan ibu saya. Saya bertanggungjawab mengasaskan perniagaan ini. Setelah kejatuhan pertama dek kerana emosi saya ( perangai lady boss - baru belajar mengurus perniagaan), saya banyak belajar melalui tips-tips yang dikongsikan "mem" besar PTS, Puan Ainon Mohd.

Setelah menuntut ilmu secara online dan percuma selama setahun (2015), saya mula nampak di mana salah saya, apa perlu saya baiki dan bagaimana bangun semula.

Sekarang, Allah s.w.t. membuka jalan dan peluang semula. Kami akan bergabung bersama sahabat adik saya dalam Muslim Model Show 2016. Semoga permulaan baru ini membuahkan hasil dan berkat.

Sebenarnya saya agak gementar. Ini pertama kali saya menguruskan perniagaan dengan gabungan syarikat lain. Agak besar dan baru bagi saya. Insya-Allah saya akan kongsi lagi di lain hari. Saya perlu menyiapkan semua dokumen utama perniagaan ini.

Terima kasih sudi baca blog saya.

Selasa, 19 Januari 2016

MENSTRUKTUR SEMULA AKTIVITI

Melihat pada tarikh yang dicatat pada skrin komputer, menunjukkan sudah seminggu saya tidak menaip di sini. Ya. Agak lama. Mungkin aktiviti persekolahan anak-anak, perniagaan sampingan dan sedikit masalah keluarga memaksa saya meninggalkan blog ini dan blog niaga saya buat sementara waktu.

Biasa saja bagi ibu beranak kecil seperti saya "lari" dari jadual. Kita merancang tetapi pastinya Allah punya perancangan lebih baik.

Melihatkan pada keadaan SOHO saya yang agak bersepah, saya tahu saya perlu susun dan struktur semula segalanya. Kesabaran itu penting apabila berhadapan dengan diri sendiri yang mahukan kesempurnaan tetapi seringkali gagal. Masa akan menentukan.

Ya Allah... Ya Baari.. Yang Maha Mengatur. Bantulah hamba mengatur langkah ini hingga segalanya sempurna seperti mahuku. Tiada yang mustahil bagi-Mu....


Jumaat, 15 Januari 2016

PANDUAN BERNIAGA PASAR MALAM

Malam ni saya cuba cari idea untuk menaip di blog ini berdasarkan pengalaman dulu dan dapat idea untuk dijadikan panduan kepada sesiapa yang baru nak mula berniaga di pasar malam dan tidak tahu bagaimana.

Sebelum anda pergi ke pasar malam dan dengan selamba letak kenderaan dan buka tapak meja tanpa segan silu atau main 'langgar' je, ada baiknya anda baca dulu sedikit perkongsian saya.

1. Cari tapak niaga pasar malam paling dekat dengan kawasan tempat tinggal anda supaya mudah anda mengusung barang dan jimat petrol. Sekarang zaman online. Cari saja guna khidmat Google. Masuk ke laman web Majlis Perbandaran kawasan anda dan anda akan jumpa senarai pasar malam yang ada di kawasan anda. Jadi, anda tak perlu buang masa dan duit untuk pergi berpusing seluruh daerah untuk mencari. Senaraikan ikut hari setiap pasar diadakan.

2. Dah ada senarai pasar mana anda mahu berniaga, kenalah anda "berjalan-jalan" sambil beramah-mesra bertanya dan berbual-bual dengan peniaga yang sudah sedia ada di situ. Lebih baik lagi jika anda menunggu penganjur pasar malam itu dan bertanyakan prosedur yang perlu diikuti. Biasanya, peniaga yang pertama kali berniaga di satu-satu tapak pasar malam akan "dimaafkan" sekiranya main parking dan buka meja saja. Tapi minggu-minggu berikutnya, syarat-syarat yang diberi oleh penganjur mestilah dipatuhi.

3. Dah dapat tapak, mulakanlah perniagaan anda dengan niat yang baik. Berniagalah semahu anda asal tak lupa kewajipan pada Allah s.w.t. Jaga solat terutamanya. Ramai peniaga pasar malam tidak menjaga solat (merujuk pengalaman saya selama lebih 5 tahun). Hasilnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Kalau dapat pula, tidak bahagia. Kalau tak bergaduh suami isteri, anak-anak huru-hara.

Itu saja perkongsian saya kali ini. Ada soalan boleh mesej Facebook saya atau Whatsapp saya. 😉

Rabu, 13 Januari 2016

ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE-9

Alhamdulillah. Syukur atas nikmat hari ini dan sebelumnya. Kalau rajin, bacalah. Bawah sekali saya kongsikan sikit tips cari jodoh. Sikit je.

Ya. Hari ini ulangtahun perkahwinan saya dan suami yang ke-9 tahun. Banyak perubahan sepanjang perjalanan mengenalnya.

2004 - Kami berkenalan sebagai rakan biasa. Asalnya saya mahu jadi 'cupid' untuk kawan baik saya. Bahasa KAU - AKU itu biasa walaupun dia tua 4 tahun. Tak hormat orang tua betul kan? 

2005 - Dari cuba jadi 'cupid', saya akhirnya terpanah diri sendiri. Baru belajar guna bahasa ABANG - AWAK. Kelakar pun ada dari KAU - AKU jadi ABANG - AWAK. 

Sakitnya tu di sana sini! Sebab saya dan dia bercinta jarak jauh. Pada katil double decker asrama, saya tampal gambar ukuran pasport dia di papan katil atas saya (saya tidur katil bawah) dan tengok setiap hari sambil berbual bila saya bosan. Kami juga guna cara kirim surat. Tu pun beberapa bulan sekali. Telefon 3 kali saja sepanjang saya di asrama. Maklumlah. Saya tinggal di asrama. Dia pula bantu arwah abahnya meniaga pasar. Jauh pula jaraknya.

2006 - Keluar dari asrama, saya tinggal dengan nenek di Johor selama sebulan sementara tunggu panggilan dari kolej. Tak dapat jumpa lagi. Dapat telefon saja.
Sebaik terima panggilan dari kolej, saya ditempatkan di hostel pula. Dapat juga jumpa akhirnya dengan dia bila saya cuti semester atau hujung minggu.

Dek kerana kecemburuan menguasai diri, kami memutuskan untuk bertunang. Dengan rasminya saya dan dia bertunang dengan pinangan dihadiri oleh kaum keluarganya (adik-beradik mak mertua). Bertunang tak perlu majlis hebahan ye awak semua. Ingat tu. Kan Nabi Muhammad s.a.w. dah pesan.
Hari dia meminang tu, saya demam pula. 

2007 - Dek kerana pergaduhan akibat cemburu (sehingga saya tanpa niat telah mencederakan pipi dia - tumbuk dengan cincin tunang bersarung di jari - maaf ye awak), kami pun membuat keputusan segera bernikah. Niat untuk nikah dahulu, majlis kemudian sebab saya masih belajar di kolej.

12 Jan 2007 - Kami disahkan sebagai suami isteri. Alhamdulillah.  Oleh kerana saya masih belajar, kebanyakan masa senggang saya, saya akan ikut dia pergi kerja. Masa tu dia kerja pemandu lori kilang air mineral. Kerja berat tu. Saya pernah cuba angkat 1 karton air mineral tu. Jangan harap la dapat angkat kalau badan kalah papan lapis kan? Ada hati nak tolong! 
Masa ni banyak kerja kami buat bersama. Pergi mana pun bersama. Maklumlah. Isteri pelajar, suami pemandu. Bos suami  pun tak kisah saya ikut suami.

Masa ni saya mula kenal kawan-kawannya dan mereka juga jadi kawan-kawan saya. Saya yang tak pernah konvoi motosikal, dapat ikut. Saya yang tak pernah tahu dunia sebenar mat motor atau mat rempit, dapat tahu. Tak semua mereka ni jahat ye. Saya paling suka bab gosok motor dan topi keledar sama-sama untuk tukar warna cover set motor tu. Selalu juga saya bersengkang mata dengan dia menghadap enjin motor "jerung" dia tu.

2008 - Saya mula kerja sambil belajar di kolej. Saya kerja di CyberCafe, pusat snuker (sila jangan salah anggap sebab suami saya pun kerja sama-sama), kerani kedai baiki mesin dan juga berniaga pasar malam. Nak tampung belanja pengangkutan dan makan di kolej punya pasal, macam-macam kerja buat.

Akhir tahun, tamatlah pengajian di kolej. Saya pula disahkan hamil anak pertama selepas kemalangan dilanggar orang asli mabuk ketika pulang ke rumah bersama suami. Tak jadilah perancangan keluarga saya nak buat majlis sanding saya. 

Suami juga sudah bekerja sebagai anggota RELA di Depot Tahanan Imigresen masa tu. Saya tak lagi
bekerja dan hanya mengular di rumah (layan game The Sims saja). Nasib suami jenis penyabar yang amat.  Teruk betul! Jangan kecam saya ok. Saya cerita pengalaman je. Takde ilmu macam tu la jadinya. Why so serious? Ambil pengajaran ok?

April 2009 - Saya ambil sijil di majlis konvokesyen dengan semua orang perasan saya dah hamil, terutama pensyarah kegemaran saya, Puan Roslaily.  Malu je rasa. Masa tu kandungan sekitar 5 bulan. Perut dah besar walau pakai baju besar tetap tak boleh sorok. 

September 2009 - Lahirlah anak pertama yang kecil macam saya.  2.4 kg sahaja. Saya tinggal dengan mertua sepanjang masa pantang. Ceaserean adalah satu mimpi ngeri.

Tinggal dengan mertua ni, banyak sangat saya belajar dari dia. Rajin mengemas, memasak, membasuh dan sebagainya. Rumah sentiasa teratur. Tiada longgokan baju yang perlu dilipat menjelang malam! Waktu masak dan makan sentiasa tepat. Kalau lewat pun setakat beberapa minit. Sampah juga akan dibuang setiap petang.

2010 - Begitulah hidup saya hingga saya berpindah ke rumah ibu saya di Kajang (ibu saya tinggal di rumah lain) dan suami bertukar kerja lagi. Saya hanya mengurus anak dan makan minum di rumah. Cukup bulan, suami bayar bil dan kami beli barang dapur. Agak membosankan. Jadi, suami pasang Astro. Kurang bosan. Tapi tidak membantu.  Bazir je. Bukan tengok semua saluran pun.

2011 - Saya mula kerja di kilang pembekal bahan pastri dan kek sebagai kerani am sebaik sahaja anak pertama bercerai susu.

Sekitar 2 minggu kemudian saya disahkan hamil anak kedua.  3 bulan saya bekerja sebagai kerani dan saya berhenti kerana mendapat tawaran kerja sebagai pembantu tadbir di Sekolah Pengajian Siswazah di UPM. Suami pula membantu arwah abahnya meniaga di Klang.

Februari 2012 - Sepatutnya saya sambung kontrak dengan UPM tapi rasa penat sangat. Bukan senang jadi pembantu tadbir ni dengan perut besar naik turun tangga berkejar ke sana sini. 

Anak kedua saya lahir. Besar sikit dari abangnya. 2.6 kg. Alhamdulillah. Normal.

Saya kembali duduk di rumah mengasuh anak dan mengurus rumahtangga. Surirumah sepenuh masa. Kebosanan. Saya gunakan internet untuk mencuba dropship dan topup. Baru belajar, takde guru, pandai-pandai sendiri, mana nak ada untung.  Main hentam je.

2013 - Saya berpindah ke rumah ayah saya pula di Kajang. Rumah yang tak perlu saya turun naik tangga dan kedai agak jauh. 

Saya mula berminat dengan bisnes percetakan dan mencari tahu serba sedikit, mengikuti program HEARTS untuk surirumah bersijil dan berijazah.

2014 - Saya berpindah ke rumah mertua semula. Saya sah hamil anak ketiga dan  berhenti bekerja RELA dan berusaha menumpukan kerjaya baru di bawah HEARTS. Namun...
Tahun ini paling perit kerana proses perubahan mendadak yang saya lakukan demi menjadi insan lebih baik. Saya mula cuba amalkan tahajud, usaha menjaga solat 5 waktu, baca al-Quran dan sebagainya. Pelbagai kifarah saya terima sepanjang proses membaiki diri hingga saya jadi amat pelupa dan hampir hilang akal. Malah hampir tidak peduli kehamilan saya.

Saat berjuang dengan maut kerana denggi berdarah dan konflik diri serta keharmonian rumahtangga adalah saat paling saya tahu siapa yang sentiasa ada di belakang saya saat saya susah dan jatuh. Terima kasih Allah.

Saya bangkit kembali selepas pulih mental dan fizikal sekitar 40%, berpindah ke rumah ayah saya semula dan mula  melibatkan diri dengan dunia percetakan.

November 2014 - Anak ketiga lahir. 2.6 kg. Normal.

Bisnes percetakan saya merudum kerana tidak cukup kakitangan dan ilmu. Saya biarkan dan tumpu pada anak-anak dan urusan rumahtangga.

2015 - Tahun saya mengasuh anak-anak tanpa anak pertama turut serta kerana telah terdaftar di sekolah yang jauh nun di rumah mertua. Emosinya tercalar walau agak cemerlang pelajarannya.

Saya pulih 80% dari segi mental dan fizikal. Suami juga mendapat kerja baru bersama kerajaan.
Alhamdulillah. Rumahtangga tidak lagi dibadai taufan. Aman. Kami jaga solat. Kami belajar jaga aurat. Kami usahakan menatap al-Quran dan membacanya.

Saya buang senarai kawan yang negatif. Saya audit diri habis-habisan. Saya mula cari ilmu perniagaan, ilmu penulisan, ilmu kewangan, ilmu pengurusan rumahtangga dan anak-anak. Alhamdulillah. Semua semakin lancar.

Jan 2016 - Ulangtahun perkahwinan ke-9 ini penuh makna apabila saya mengimbas perubahan diri dan teguran Allah beri. Tidak perlu hadiah atau janji manis apa-apa. Cukup hanya keharmonian ini kekal selamanya. Alhamdulillah.

Khamis, 7 Januari 2016

TAHUN PENUH PERUBAHAN

Assalamualaikum semua. ヾ(^-^)ノ

Tahun 2015 sudah beberapa hari meninggalkan kita. Guru online memberi tugasan mencatat peristiwa sepanjang tahun 2015. Saya cuba catatkan juga dalam waktu senggang ini (takdelah senggang sangat - sambil menyusu anak).

Bermula awal tahun 2015 saya bersama Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR), di mana ketika itu semangat saya mengendalikan bisnes percetakan sedang sangat menurun dan saya menceburi bidang penulisan blog dengan bimbingan guru dan rakan di dalam ABDR.

Tiada perkara sangat istimewa sepanjang tahun 2015 melainkan pembabitan saya dalam usaha menggilap penulisan saya dan perkongsian ilmu yang saya ada melalui blog. Banyak yang dipelajari. Banyak perubahan saya buat bermula dengan usaha kekal positif dan mengelak anasir minda negatif dari bertapak dalam hati dan fikiran.

Syukur juga apabila suami diterima bekerja dalam sektor kerajaan sebagai pemandu. Ia sekaligus mengubah penerimaan dirinya kepada nasibnya sendiri yang hidup dalam keluarga susah selama ini. Ia juga meningkatkan keyakinan diri beliau sekaligus menjadikan dia lebih positif.

Sepanjang tahun 2015 juga, dalam saya berusaha merubah corak pemikiran, ada 1 lompong dalam diri sebenarnya. Saya rindu anak sulung saya, Muhammad Aiman. Ini kerana dia terpaksa tinggal berasingan dengan saya hingga habis pra-sekolah di Semenyih (sudah daftar sekolah di situ). Melihat dia dari jauh dan seminggu sekali, tidak mengetahui perkembangan dan kebolehan sebenarnya adalah satu perkara yang menyeksa jiwa raga saya.

Bagi melupakan ruang kosong di hati, saya usaha mengalih perhatian kepada bisnes dan blog. Alhamdulillah.

Menjelang Oktober 2015, saya kembali ke dunia bisnes percetakan setelah bisnes dropship tidak mendapat sambutan. Selepas sebulan membina tapak blog seperti dipelajari di dalam ABDR, tempahan mulai masuk sedikit demi sedikit. Ditambah dengan sedikit ilmu dari tuan Bukhari Ramli dan tuan Aqif Azizan yang saya praktikkan sekadar perlu.

Kini, 2016 menjengah, saya menjadi sangat sibuk dengan urusan persekolahan anak sulung saya, perniagaan percetakan yang masih baru, keadaan SOHO dan dekorasi rumah yang masih tunggang-langgang, jadual yang terpaksa diolah semula setelah saya dapati ia tidak sesuai dengan keadaan saya memandangkan anak yang sudah mula bersekolah dan sebagainya.

Semoga tahun 2016 ini saya dapat menyusun langkah lebih baik lagi dan mampu menjana pendapatan yang halal lagi berkat dan melimpah-ruah supaya dapat membantu orang lain pula.

(^.^)Amiin. Ya robbal alamiin.