HARI SAKIT YANG TIDAK SAKIT DEMI ANAK-ANAK

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 20

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Semalam saya offline dan tidak muatnaik apa-apa di sini. Saya mahu catat aktiviti semalam pada hari ini.

Bangun pagi saya dikejutkan suami untuk berjemaah Subuh. Alhamdulillah masih bernafas. Anak-anak masih tidur. Kami berjemaah seperti biasa. Selesai solat, suami bersiap-siap ke tempat kerja. Saya pula mengemas mainan anak yang bersepah sambil menjenguk ke bilik kalau-kalau Aleef sudah bangun. Selepas bersalaman dengan suami, saya terus ke bilik. Aleef sudah bangun rupanya. Saya susukan sebelum mandikannya.

Selepas mandikan Aleef, abangnya Akif pula bangun. Oleh kerana saya perlu menghantar Aleef untuk pemeriksaan rutin di klinik berdekatan, agak mudah menyuruh Akif mandi kali ini. Selalunya, dia akan beri alasan jika disuruh mandi. Hanya waktu keluar dari rumah sahaja dia akan mandi. Jika dipaksa, dia akan meraung-raung seperti orang kesakitan.

Oleh sebab saya tidak tahu memandu, saya minta bantuan adik perempuan saya menghantar kami. Sampai di klinik, saya turun di bahu jalan kerana tiada tempat meletak kenderaan. Kawasan klinik ini memang sukar mencari tempat meletak kenderaan kerana pesakit terlalu ramai. Akif tidak saya bawa supaya keadaan lebih terkawal. Jadi, tinggallah dia bersama adik saya.

Selepas mendapatkan nombor giliran, saya terus ke bhagian ibu mengandung dan bayi dan meletakkan buku temujanji di dalam bekas yang disediakan jururawat mengikut jam temujanji. Nombor giliran saya lambat lagi akan dipanggil. Ini perkara biasa di mana-mana klinik kerajaan pun. Saya mengambil tempat duduk di sebelah sekeluarga India muslim. Tiada kaum lelaki bersama mereka. Mungkin bekerja seperti suami saya dan tidak dapat menemani.

Saya memerhati keadaan sekeliling. Kebanyakan pesakit tidak ceria. Mungkin kerana terlalu lama menunggu giliran. Ada ibu yang marah anak kerana sukar mengawal mereka. Tidak terkecuali ibu di sebelah saya yang tiba-tiba memukul dan marah-marah belakang anaknya yang saya rasa umurnya sekitar 10 hingga 12 bulan. Terkejut juga saya. Saya terpaksa buat tidak endah saja melihat ibu-ibu begini. Sambil menunggu saya zikir dan selawat meemohon kesabaran. Saya menunggu sekitar 2 jam, iaitu dari jam 10.30 hingga 12.30 sebelum dipanggil masuk.

Jururawat menimbang dan mengukur tinggi Aleef sebelum bertanya perkembangan Aleef dan memberitahu saya untuk menghantar Aleef ke bilik suntikan vaksin. Memandangkan Aleef masih batuk, saya diminta membawanya berjumpa doktor terlebih dahulu. Alhamdulillah. Batuknya tidak teruk lagi. Ada sedikit kahak lagi. Selesai mengambil preskripsi ubat, saya bawa Aleef menunggu gilirannya untuk penyuntikan vaksin. Aleef sudah mula gelisah kerana terlalu lama dipegang ke sana ke mari, Mujur gilirannya agak cepat juga.Walaupun meronta semasa disuntik, tangisannya sekejap sahaja. Kami terus menuju ke kaunter farmasi pula untuk mengambil ubat. 10 minit juga saya habiskan menunggu giliran.

Selesai urusan, saya segera menelefon adik saya untuk mengambil kami pulang. Kepala saya sudah mula sakit kerana tidak bersarapan pagi sebelum keluar rumah. Sambil berzikir, saya menunggu adik saya di perhentian bas di luar kawasan klinik. Ada beberapa orang warga asing di situ. Saya duduk berjauhan. Bimbang ada yang berniat serong. Dalam hati berdoa dengan zikir, selawat dan ayat kursi agar adik saya segera sampai sambil menenangkan Aleef yang gelisah mahukan susu. Setelah beberapa minit menunggu, saya didekati seorang warga asing yang berkopiah dan berjanggut. Saya risau tetapi buat-buat tidak takut. Rupanya dia hanya ingin tahu dia berada di mana kerana dia tidak ingat nama tempat tinggalnya. Yang dia ingat hanya perkataan "balai". Sudah tentulah saya gagal membantu kerana tidak faham. Dia terus beredar apabila melihat reaksi saya yang memang jelas tidak mahu melayan pertanyaannya. Syukur. Betapa saya khuatir keselamatan di bumi Malaysia ini sendiri.

Selepas 15 minit menanti barulah kelihatan kelibat kereta adik saya. Syukur sangat. Masuk ke dalam kenderaan, kami terus ke restoran berdekatan rumah saya dan membeli nasi ayam untuk makan tengahari.Kepala saya memang sangat-sangat sakit ketika ini. Sampai di rumah, tidak sabar rasanya mahu makan dan berehat bagi menghilangkan keletihan mendukung Aleef  yang sudah mencecah 7.2kg selama beberapa jam.

Selesai makan bersama Akif, saya menyusukan Aleef dan mengajak Akif tidur bersama. Saya cuba hilangkan sakit kepala dengan tidur. Ternyata tidak menjadi. Selesai solat zuhur di hujung waktu kerana tidur tadi, saya menunggu solat asar sambil mengintai berita rakan-rakan ABDR di laman Facebook. Saya terbaca status "guru besar" Puan Masayu Ahmad yang mahu pelajar-pelajarnya memberikan tarikh daftar dan komen tentang ABDR bagi mendapatkan e-book terbarunya dengan percuma. Masalah telefon bimbit yang agak lambat, menghalang saya menulis komen. Ditambah dengan sakit kepala yang amat sangat. Saya tinggalkan telefon dan solat Asar pula sebelum berbaring menyusukan Aleef.

Selesai menyusukan dan memandikan Aleef, saya paksa diri untuk bangun memasak. Sedang saya membasuh beras untuk memasak nasi, terdengar bunyi pagar dibuka tanda suami sudah pulang dari tempat kerja. Alhamdulillah. Saya berehat lagi sambil mendengar celoteh suami tentang kerjanya dan jadual kerjanya esok hari (hari ini) yang memerlukan dia ke Nusajaya, Johor Bharu atas tugasan menghantar pegawai. Pulangnya pada Sabtu (esok). Disebabkan sakit kepala masih tidak kurang, saya kurang reaksi dengan celotehnya. Suami yang faham saya kesakitan hingga berjalan menunduk memegang kepala, henti berceloteh dan memasak lauk makan malam kami. Jarang dia memasak, kecuali jika saya sakit. Kami makan malam telur dadar dan sayur lobak merah masak tumis. Alhamdulillah.

Selepas berjemaah Maghrib dan Isya', saya terus makan ubat tahan sakit dan berbaring menyusukan Aleef. Suami pula terpaksa menyiapkan sendiri pakaiannya untuk ke Johor. Saya memang sudah tidak mampu menahan sakit walaupun cuba juga membaca mesej dari kumpulan sokongan ABDR, saya terpaksa mengaku kalah dan mohon tidur awal.

Begitulah urusan saya semalam. Hari ini, saya cuba juga menulis di blog ini dalam kesempitan waktu kerana Aleef tiba-tiba diserang demam panas. Mungkin kerana kesan suntikan vaksin semalam. Asalkan saya berganjak dari sebelahnya, tidak sampai 5 minit, dia sudah merengek. Semasa memasak lauk tengahari tadi, saya terpaksa biarkan saja dia menangis mengenangkan abangnya sudah lapar. Selesai makan, kami berehat dan tidur selepas solat zuhur. Alhamdulillah. Sebentar lagi, si sulung Aiman pula akan pulang dihantar neneknya dari Semenyih memandangkan suami saya tidak dapat berbuat demikian. Jadi, malam ini, kami akan tidur berempat saja. Alhamdulillah.

Sampai sini dulu catatan harian saya. Terima kasih sudi membaca. (^_^)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN