Khamis, 26 Januari 2017

Hari yang sangat letih...

Salam'alaik semua.

Semalam adalah hari yang agak letih untuk saya. Pagi-pagi sudah bergegas ke klinik untuk temujanji pemeriksaan kesihatan. Bukan 1 temujanji tapi 3; saya, anak kedua dan anak ketiga. Mujurlah suami tidak ke luar kawasan dan dibenarkan keluar pejabat. Kalau tak, mungkin saya tak pergi temujanji tu semua. Faham-fahamlah situasi jika 3 orang kanak-kanak bersama seorang ibu sarat ke klinik. Dapat bayangkan kerenahnya? Demam! Terima kasih suami yang sudi membantu.

Urusan temujanji di klinik pun memakan masa 4 jam tidak termasuk urusan mengambil ubatan di kaunter farmasi. Sabarlah yang paling penting. 😅

Pulang ke rumah, kami singgah membeli nasi ayam untuk makan tengahari sekeluarga. Nak memasak memang tak sempat memandangkan jam hampir pukul 1 petang dan anak pertama belum makan dan belum siap pakaian sekolahnya. Selesai makan, cepat-cepat bersiap dan hantar anak ke sekolah. Suami terus bergegas ke pejabat.

Saya yang tinggal dengan 2 orang anak lagi, sudah sangat keletihan membawa perut.😅😅😅

Apalagi? Tidurlah bersama anak-anak selepas solat Zuhur. Tidur diiringi lagu nasyid kanak-kanak dari YouTube. Jam 6 petang baru terjaga. 😅😅😅 Letih sangat nampaknya.

Selesai solat Asar, cuba mengemas rumah tapi perut yang membesar ni menyebabkan letih cepat menyinggah. Tak sabar rasanya nak bayi ni lahir supaya mudah bergerak. Kandungan kali ni luarbiasa berbanding semasa mengandungkan anak-anak sebelum ini. Perempuan agaknya. 😁

Jam 6.45 petang, telefon pintar saya berbunyi. Nombor pemandu van sekolah tertera. Dah kenapa pula tiba-tiba call? Itu desis hati saya. Rupanya anak pertama saya tiada di sekolah katanya. Puas ditunggu. Ah, sudah! Saya segera menelefon suami. 5 minit kemudian saya menelefon semula pemandu van sekolah tadi. Katanya, dah jumpa anak saya. Anak saya buat kerja sekolah, katanya lagi. Dia juga minta saya cari van lain kerana dia tak sanggup lagi melayan kerenah anak pertama saya ni. Memanjang hari-hari nak kena bebel. Setiap kali tiba waktu balik, pemandu tu terpaksa tunggu dia. Itu pun ada saja benda dibuatnya. Beg sekolah tinggal la, pergi ambil wudhu' la, ikut ustaz solat la dan macam-macam lagi.

Saya maklumkan pada suami dan pulangnya suami, kami berbincang sedikit. Suami berniat hentikan sekolah anak pertama ini dan masukkan dia ke sekolah tahfiz berasrama. Walaupun saya sedikit sedih tapi memikirkan anak ini banyak ketinggalan pelajaran agama dan masih belum pandai mengaji, saya pujuk hati merelakan. Ibu mana tak sedih bila anak jauh di mata nanti? Tapi jika ini pengorbanan yang terpaksa dilalui, semoga Allah memberikan jalan terbaik untuk kami.

Bukanlah saya tak mahu ajar anak tetapi saya memang tak dapat ajar kerana kekangan tenaga. Sehari suntuk dengan urusan anak-anak kecil dan rumah sendirian, bila tiba waktu malam, saya sudah sangat lesu untuk mengeluarkan suara mengajar anak-anak ilmu. Sangat-sangat letih kerana semua kerja saya seorang diri lakukan. 😭

Saya cuma berharap suatu hari nanti saya punya ruang menggapai impian saya sehabis baik dan berjaya setelah semua masa dan tenaga saya (yang saya mahu guna untuk berniaga sepenuh masa), saya korbankan untuk suami dan keluarga terlebih dahulu. 😭

10 tahun sudah usia perkahwinan kami dan bakal dikurniakan anak ke-empat pula. Entah menang tangan atau tidak saya mahu berniaga sambil membesarkan anak-anak ini, Allah saja tahu. Apapun, semua perkara perlu diserahkan kepada Allah. Semoga pengakhirannya semua, baik-baik. 😔

Isnin, 23 Januari 2017

RELAKS DI USIA 40

Salam'alaik semua.

Beberapa hari ni kesihatan tak mengizinkan saya fokus pada perancangan bisnes. Batuk-batuk, asma dan sakit pinggang silih berganti. Mujurlah anak-anak sudah sihat. Kalau tak, ke hospital sudahnya saya ni. 😅

Kandungan pun sudah mencecah 9 bulan lebih. Menunggu masa saja melahirkan. Harapnya dah sembuh batuk ni barulah bersalin. Kalau tak, seksa nak menahan batuk dengan luka bersalin. 😱

Soal bisnes percetakan, perlahan-lahan Allah bukakan jalan. Bertemu dengan pembekal-pembekal lain secara online. Ia betul-betul jalan untuk saya merancang dengan lebih baik perlahan-lahan dan sendirian.

Mungkin benar kata mak mertua saya, nanti umur kau 40 barulah boleh relaks.

Begitulah katanya ketika mengetahui saya hamil cucunya yang ke-4 beberapa bulan lalu.

Ya. Memang saya berniat relaks pada usia 40-an. Relaks yang bermaksud, perniagaan saya sudah mampu dijalankan secara automatik. Wallahua'lam. Saya hanya merancang. Allah saja tentukan segalanya.

Selasa, 17 Januari 2017

PEGAWAI JUALAN HARASH COLLECTION

Pengalaman singkat dari 6 Januari 2017 hingga 15 Januari 2017 sebagai pegawai jualan Harash Collection banyak mengajar saya ilmu close sales dan menyimpan data pelanggan. Ia mampu buat kita lihat lebih jelas adakah target kita mampu dicapai atau tidak.

Perancangan untuk menjadi pegawai jualan ini tidak mampu saya teruskan lagi selepas melihat wajah suami yang mula mencuka setiap kali pulang kerja apabila melihat saya asyik memegang smartphone menjawab mesej Whatsapp yang bertalu-talu sambil mencatat di dalam laptop. Ya. Saya sangat sibuk. Sehari akan masuk sekurang-kurangnya 20 ke 30 mesej Whatsapp. Tidak kira siang mahupun malam.

Ya. Memang mampu jana RM1000 ke atas setiap bulan hanya dari rumah jika saya teruskan tapi apabila pertukaran nilainya adalah MASA BERSAMA KELUARGA terlalu tinggi, pastilah kita perlu lepaskan demi menjaga rasa hati keluarga yang jauh lebih bernilai dari wang dan ringgit.

Kita bekerja di rumah atas alasan mudah jaga anak membesar di depan mata tapi ADAKAH KITA BENAR-BENAR ADA BERSAMA mereka atau hanya jasad kita sahaja sedangkan roh, fikiran kita sebenarnya terperangkap di DUNIA INTERNET?

Selamat bermenung.

Jumaat, 13 Januari 2017

Kerjasama dengan HARASH COLLECTIONS

Salam'alaik semua.

Hari ni nak kongsi kerjasama saya dan Harash Collection, peneraju pakaian sedondon patuh syariah.

Sebenarnya dah lama saya ikut Harash Collection diam-diam sebab rekaan baju berpasangan (couple t-shirt) mereka sangat cantik. Kalau banyak duit, semua saya borong. 😁

Bermula raya 2016 yang lalu saya mula membeli. Saya tak beli banyak. Hanya sepasang untuk saya dan suami. Kemudian baru saya beli pakaian untuk anak-anak. Tunggu bajet la katakan.... 😅

Tak berapa lama kemudian saya terbaca Harash Collection buka peluang menjadi agen dropship secara percuma dan akan mengadakan kelas percuma juga. Teruja dengan ilmu yang bakal diterima, saya daftar.

Saya hadir ke kelas mereka yang saya rasa ilmunya sangat-sangat mahal kerana co-founder mereka, Tuan Zulqurnain mengajarkan kami ilmu dari BRC (Bukhari Ramli) dan Write To Wealth (Aqif Azizan) secara percuma untuk melatih kami menjadi agen yang bagus.

Tapi sayang... Seperti biasa, ilmu yang saya belajar tertinggal di dalam buku nota saja dek melayan kesibukan urusan rumahtangga dan bisnes percetakan yang sedia ada. Saya usaha juga menarik pelanggan dari bisnes percetakan untuk membeli koleksi Harash tapi tidak pernah ada yang bertanya pun. Mungkin sebab saya tidak buat setiap hari. Sekali-sekala saja saya iklankan. 😅😅

Selepas sekian lama berada di dalam kumpulan agen Harash yang kedua dan masih gagal menjual apa-apa koleksi mereka, saya fokus kepada bisnes percetakan yang hidup segan mati tak mahu.

Tak lama lepas tu, co-founder Harash mencari pegawai jualan yang boleh bekerja dari rumah dengan syarat tertentu. Saya dan 5 orang agen dropship lagi menyertai barisan pegawai jualan. Saya berusaha datang ke mesyuarat yang diadakan di pejabat kedua (berpindah) di Jalan Reko. Sekali lagi Tuan Zul menekankan mengenai apa yang kami belajar semasa mendaftar menjadi agen dropship dulu. Saya fikir semua kami dapat. Rupanya siapa respon cepat, dia dapat kerja tu. Orang pertama dapat jadi pegawai jualan, bernama Hanani. Saya sedikit kecewa tapi tidak meninggalkan kumpulan whatsapp yang ditubuhkan.

Selepas beberapa bulan, tiba-tiba awal Januari 2017 yang lalu, Tuan Zul bertanya di dalam kumpulan jika ada sesiapa yang mahu mengurus jualan lagi bulan Januari 2017 ini. Saya lambat baca lagi. Tapi dek kerana calon pegawai jualan yang lain ada urusan masing-masing, saya dapat tawaran tersebut.

Jam 9.30 malam adalah perjanjiannya untuk berjumpa di pejabat baru Harash di Kajang Perdana. Tetapi dek kerana mereka silap beri alamat, saya tak jumpa pejabatnya. Hinggalah suami naik bengang sebab tak jumpa dan minyak kereta dah nak habis, saya cuba menelefon Tuan Zul. Gagal menelefon, kami ambil keputusan untuk mengisi minyak dahulu. Tuan Zul pula mula menelefon saya kembali.

Kami berjumpa di pejabat Harash jam 10 malam. Turut bersama, pengasas Harash iaitu isteri Tuan Zul sendiri, Puan Aida Rahayu dan anak kecil mereka. Setelah diberi penerangan tugas, saya dibekalkan sebuah telefon pintar untuk urusan jual beli koleksi Harash nanti. Dalam hati rasa bersyukur sangat sebab saya memang sangat perlukan wang untuk melahirkan anak ke-empat saya ini sebulan lagi.

Bermulalah episod super sibuk saya pada 6 Januari 2017 hingga kini. Mula-mula rasa susah juga sebab saya perlu selaraskan jadual harian dan waktu menghantar laporan jualan Harash Collection (rekaan H16). Selepas 3 hari saya mula terbiasa dengan jadual baru ini. Alhamdulillah.

Tugas saya adalah menjawab semua mesej Whatsapp yang masuk dan bertanyakan koleksi Harash. Sambil menjawab Whatsapp, sambil menyimpan data pelanggan dan data jualan. Ada template fail Excel yang telah disediakan khas untuk mengira jumlah pelanggan dan jualan harian. Semuanya lengkap. Malah saya rasa saya boleh gunakan untuk bisnes percetakan saya kelak. Ia sesuatu yang menyeronokkan melihat angka-angka jualan yang semakin meningkat dan mampu mencecah 4 angka dalam masa 4 hari.

Ok la. Lain kali saya kongsi lagi. Salam'alik dan terima kasih sudi membaca. 😘