10 TIPS PERKEMBANGAN KANAK-KANAK DARI PAKAR PSIKIATRI KANAK-KANAK

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: saatakukaupilih.blogspot.com, befrienders dan persendirian
Entri: 11

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Kelmarin semasa saya singgah mengintai khabar rakan-rakan di Facebook. Sempat juga baca perkongsian dari seorang bekas rakan kelas saya. Jadi saya pun ikut serta membaca laman tersebut yang menceritakan tentang 10 tips ini. Tips ini dikongsikan dari seorang doktor pakar psikiatri (mental) kanak-kanak. Jangan salah anggap pula psikiatri untuk orang gila saja ye. Sebelum saya kongsi tips-tips tersebut, mari kita fahami dulu apa itu psikiatri.

Psikiatri adalah antara cabang ilmu dalam ilmu kedoktoran yang merujuk kepada kesihatan mental seseorang individu. Ia merangkumi corak pemahaman pemikiran dan emosi yang mempengaruhi tingkah laku individu.



TIPS 1: KERAP BAWA ANAK MENGENAL ALAM
Bawa anak-anak selalu keluar rumah. Biar mereka pijak tanah, pasir, rumput dan sebagainya bagi merangsang kemahiran merasa dan mengenal tekstur alam.

TIPS 2: ELAKKAN PENDEDAHAN BERLEBIHAN KEPADA GAJET
Menurut pengalaman pemilik blog saatakukaupilih,blogspot.com, beliau melihat sendiri betapa teruk kesan pendedahan berlebihan peralatan gajet kepada anak-anak kecil. Sehingga anak tersebut tidak dibenarkan langsung melihat gajet dan orang-orang yang mendekati anak tersebut juga tidak dibenarkan menjawab panggilan atau mesej di hadapan kanak-kanak tersebut. Melalui perkongsian ibu anak tersebut, dia langsung tidak merangsang anaknya dan membiarkan anaknya bersama gajet seawal usia bayi selama 24 jam atas alasan terlalu sibuk dan tiada pembantu rumah. Na'uzubillahi min zalik. Anak tersebut kini masih dalam rawatan. Menurut doktor pakar tersebut, penggunaan gajet dibolehkan tetapi dengan syarat tidak lebih 10 minit dan jangan tinggalkan anak bersendirian melihat gajet. Antara tanda bahaya yang dikongsikan doktor tersebut ialah apabila anak tidak mahu mengajak sesiapa pun atau berasa terganggu apabila ada orang lain bersamanya menggunakan gajet tersebut. Pendedahan berlebihan juga akan menyebabkan bola mata anak-anak menjadi statik kerana tiada  pergerakan mata untuk saliran yang lebih baik pada saraf mata.

TIPS 3: KEMAHIRAN MENIRU / MENGIKUT PERKARA SEKEILING
Kemahiran ini merangkumi kebolehan mengikut pergerakan atau percakapan orang di sekelilingnya seperti menepuk tangan, bercakap, melukis, membuat mimik muka dan sebagainya. Menurut doktor tersebut, perbuatan merangkak adalah sangat baik untuk kanak-kanak. Sekiranya anak-anak merangkak lebih lama sebelum berjalan, mereka akan lebih kreatif dan genius. Ini kerana pergerakan tersebut memerlukan penglibatan seluruh anggota badan dari kepala hingga kaki.

TIPS 4: BANYAKKAN PERMAINAN PENDIDIKAN
Permainan pendidikan adalah permainan yang mengenalkan anak-anak kepada huruf, abjad dan sebagainya bagi menambah kemahiran berkomunikasi anak-anak. Permainan bertema karekter kartun fantasi seperti superman, spiderman, ultraman dan sebagainya tidak digalakkan kerana tidak 'berpijak di bumi nyata' malah anak boleh jadi terlalu taksub hingga tidak peduli perkara lain dan kurang fokus.

TIPS 5: AJAR ANAK BERCAKAP MENGGUNAKAN PERKATAAN BUKAN AYAT
Penggunaan perkataan seperti "Gajah", "Arnab" dan sebagainya lebih baik berbanding penggunaan ayat seperti "Ini gajah", Selepas anak kenal sesuatu benda itu barulah ajar mereka menggunakan ayat. Begitu juga jika ingin mengarahkan anak berbuat sesuatu seperti duduk. Hanya beri arahan "Duduk" dan bukannya "Mari sini duduk sebelah mama" atau "Duduk dan diam", Ini cara cepat ajar anak bercakap.

TIPS 6: ANAK TIDAK TAKUT ORANG
Jika anak takut dengan 'orang luar' seperti pakcik makcik mereka, tunjukkan bahawa orang yang mereka takut itu tidak perlu ditakuti. Gunakan cara High-5 (tepuk tangan) dengan orang yang mereka takut tersebut. Beritahu pada ahli keluarga untuk High-5 terlebih dahulu dengan anak sebagai tanda anak selamat dengan mereka.

TIPS 7: ELAKKAN MARAH APABILA ANAK MELAKUKAN KESALAHAN
Kebanyakan kita akan marah apabila anak buat salah. Perkara ini seolah-olah sudah menjadi adat dalam institusi keluarga kerana ia wujud dari zaman nenek moyang kita dulu yang akhirnya turun kepada ibubapa kita dan juga kita. Kita perlu ubah ini. Baiki kesalahan 'orang dulu' ini dengan menerangkan kesalahan anak tersebut. Jelaskan kenapa ia salah. Contohnya, menyepahkan barang mainan sehingga kadang terpijak-pijak. Katakan pada anak jika bersepah dan terpijak, permainannya akan rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Ajak dia mengemas bersama. Sewaktu bercakap dengan anak, kita perlu bercakap bertentang mata dengannya dengan aras badan yang sama tinggi dengannya. Elakkan bercakap dengan keadaan marah dan berdiri kerana anak akan jadi lebih takut dan menyebabkan dia tidak faham apa yang kita cakap.

TIPS 8: HUBUNGAN ANTARA AHLI KELUARGA
Perkara ini penting. Hubungan 'berat sebelah' adalah tidak bagus untuk anak-anak. Contohnya, anak rapat dengan ibu saja dan tidak rapat dengan ayah. Ini tidak bagus untuk pembangunan self-esteem mereka. Perkara ini berlaku dengan orang sekeliling saya berdasarkan hubungan mereka dengan ibubapa. Tahap self-esteem mereka jadi terlalu rendah sehingga dewasa akibat hubungan 'berat sebelah' ini. Tak perlulah saya nyatakan di sini siapa dan bagaimana ye. Kasihan mereka yang terlibat.

TIPS 9: DALAMI MINAT ANAK APABILA MEREKA BERMAIN
Apabila anda melihat anak-anak sedang melakukan sesuatu perkara seperti bermain bola, jangan cuba ubah keseronokan mereka bermain bola dengan mengajak mereka bermain basikal. Sebaliknya, ikut bermain bersama anak-anak. Ini penting untuk perkembangan otak mereka kerana saat mereka berada dalam keadaan berminat dan seronok ini, otak mereka berkembang pada tahap maksima. Jika permainan atau perkara yang sedang mereka lakukan itu tidak baik, barulah kita alih perhatian mereka.

TIPS 10: MAHIRKAN KOMUNIKASI ANAK DENGAN JAWAPAN OBJEKTIF
Kadang-kadang ada waktu, anak kita tiba-tiba diam seperti merajuk atau apa, kita tidak tahu. Apabila ditanya, mereka diam. Jika ini berlaku, berikan soalan berserta jawapan objektif. Contohnya, "Kenapa Aiman menangis?". Berikan jawapan objektif berbentuk soalan seperti "Aiman sakit perut?", "Jatuh?" atau "Nak ikut ayah?". Sekurang-kurangnya jika mereka mengangguk di antara jawapan tersebut, kita sudah tahu apa masalahnya dan mereka tahu bagaimana menjawab soalan apabila ditanya.

Inilah sahaja tips-tips yang dikongsikan oleh penulis blog tersebut yang didapati dari doktor pakar yang bernama Dr. Sherine dari bahagian Psikiatri Kanak-Kanak di Hospital Gleneagles, Penang. Sekian sahaja perkongsian saya buat masa ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN