HARI PENUH AKTIVITI DENGAN MELAYAN ANAK-ANAK

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 25

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Pagi ini suami ditugaskan ke Perak untuk menghantar pegawai kursus. Usai bersalaman dan meninggalkan pelukan erat tanda beratnya hati ditinggalkan selama 4 hari, saya segera kembali menjenguk anak-anak syurga saya.

Muhammad Aleef Azfar sudah bangun. Abangnya Muhammad Akif Aqil memang sudah terjaga semasa ayahnya sedang bersiap tadi. Sama-sama melambai tangan melepaskan pemergian ketua keluarga kami demi rezeki halal lagi berkat. Saya segera mandikan anak-anak.

Semasa memandikan Aleef, kelihatan ruamnya semakin menjadi-jadi. Risau hati tapi dengan kesempitan yang ada sebagai ujian, saya hanya sapukannya krim ruam jenama Drapolene yang biasa saya sapukan pada anak-anak jika terkena ruam dan berdoa agar segeralah hilang. Kasihan melihat anak syurga yang belum tahu apa-apa ini derita.

Selesai merawat Aleef, saya beralih pada Akif pula yang kelaparan. Selepas menyuapkan makan dan minum Akif sambil melayan Aleef, saya bukakan komputer riba untuk Akif. Dia sudah pandai menggunakan aplikasi pendidikan di dalam perisian Windows 8 yang saya muatturun sebelum ini. Apabila bosan, dia akan buka enjin carian Google Chrome dan membuka YouTube untuk menonton rancangan kartun kegemarannya sama ada Upin Ipin, BoboiBoy, Ultraman, Pocoyo dan Didi&Friends. Saya pula segera ke dapur menggoreng ikan keli. Itu saja menu hari ini. Maklumlah, saya seorang saja yang makan bersama Akif nanti. Selesai memasak, saya bawa Aleef ke bilik tidur dan menyusukannya sambil berbaring. Saya turut tertidur sama.

Bangun dari tidur, jam sudah menunjukkan 12 tengahari. Saya masih belum makan. Melihatkan Aleef yang masih tidur, saya jenguk Akif. Dia pun tertidur juga rupanya.

Saya ambil peluang makan tengahari sambil menonton TV dan berbual dengan suami melalui telefon rumah. Habis makan, Akif sudah bangun. Saya mempelawanya makan. Mungkin masih mamai atau kenyang, dia hanya minta susu dan sambung menonton YouTube. Kali ini rancangan kartun Tutitu. 

Selepas solat Zuhur, saya menemankannya sambil menerangkan apa yang ditontonnya.
Selepas Asar, saya bermesej pula dengan ibu saya, membuang kebosanan dan bertukar khabar masing-masing. Kemudian saya menelefon ibu mertua pula sekadar menanyakan keadaan Aiman dan pendaftaran sekolah untuk Aiman bagi tahun 2016 nanti. Katanya esok ibu mertua akan datang membantu memandangkan tarikh tutup pendaftaran berakhir pada 30 April 2015. Begitulah ibu mertua saya. Besar pengorbanannya bukan setakat pada anak menantu tetapi juga pada cucu-cucunya. Semoga Allah melimpahkan umur yang berkat buat kedua ibu kandung dan mertua saya.

Menjelang Maghrib, saya mengajarkan Akif dan Aleef membaca muqaddam dengan kaedah Qiraati. Sekadar 1 muka sahaja untuk mengenalkan dan menarik minatnya. Kemudian kami makan malam bersama. Aleef sudah saya susukan selepas memandikannya Asar tadi. Tidaklah dia merengek lapar waktu saya makan bersama abangnya. Sambil itu kami menonton Berita di TV9.

Waktu solat Isya' tiba, saya solat dan membaca surah al-Waqi'ah serta menyambung bacaan al-Quran dari surah al-Imran. Hati tenang tetapi tidak puas kerana tidak faham maksud ayat yang dibaca. Mungkin satu hari nanti saya akan miliki al-Quran terjemahan saya sendiri.

Usai membaca naskhah wasiat Rasulullah s.a.w tersebut, saya dan anak-anak kembali menonton TV. Kali ini kisah anak-anak jalanan bertajuk Pelarian yang menjadi buruan sindiket organ kanak-kanak. Na'uzubillahiminzalik. Semoga tidak pernah terjadi pada anak-anak kami.

Habis menonton, saya menelefon suami untuk berbual bersama anak-anak. Akif pun sudah pandai cuba menyusun ayat bertanya macam-macam pada ayahnya. Malam yang sudah semakin sunyi dan hujan lebat membuat kami lena bersama.

Alhamdulillah untuk hari ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN