Rabu, 30 Disember 2015

KACANG

Biarkan saja
Bisa hamburan cerca-nya
Bisa hembusan sinis-nya
Bisa tusukan kata-nya

Tuhanmu ada
Sentiasa

Mungkin kau punya dosa
Tak sengaja atau sengaja
Lalu itu cara menghapuskannya
Dengan cara yang buat hatimu bernanah
Hari demi hari, masa demi masa

Manusia
Biasa lupa
Saat enak di dalam genggam dirinya
Saat baru tampak puncak jayanya
Saat sedang dongak melihat bintang yang hampir di telapaknya

Manusia
Biasa kesal
Saat enak tidak terasa
Saat puncak tiba-tiba meninggi jauh
Saat tersadung kerna tak nampak apa ada di hujung kakinya

Allah
Selalu mendengar
Selalu melihat
Selalu bersama
Kepada Dia tempat meminta, segalanya...

Jumaat, 11 Disember 2015

PROMOSI E-BOOK DISEMBER 2015: 44 HARI PANTANG

Anda hamil? Pertama kali?

Sudah hampir masa bersalin dan pantang bersendirian?

Atau mahu hadiahkan e-book ini kepada rakan dan keluarga yang hamil?

Tiada masa nak "punggah" kedai dan pesta buku di luar sana?

Mahu jimat kos petrol dan masa?

Dapatkan 2 E-book ini!!!

+   44 Resepi Pantang Tradisi Melayu
+   Panduan 44 Hari Pantang Tradisional & Moden
Promosi E-Book Disember 2015

PROMOSI E-BOOK DISEMBER 2015

Dapatkan e-book ini! Harga RM60! Diskaun RM10!

Hubungi talian Whatsapp 011-18578412 (Puan Ziadah)

Rabu, 9 Disember 2015

SIAP SEPENUHNYA BLOG BISNES PERCETAKAN SAYA

Alhamdulillah. Selepas berhempas pulas selama 3 bulan bermula Oktober 2015, akhirnya siap juga blog bisnes percetakan saya iaitu Put3 Sweet Gallery Cawangan Semenyih. Beginilah hakikat bekerja di rumah. Mungkin orang lain lebih pantas dan efisien. Tetapi untuk seoerang surirumah sepenuh masa yang perlu memberi komitmen 80 peratus kepada anak-anak dan urusan rumahtangga, untuk diri saya agak memakan masa menyiapkan sepenuhnya blog dan halaman Facebook. Tambahan lagi suami juga sering ke luar kawasan dan tidak dapat menyediakan waktu untuk saya gunakan bagi menyiapkan blog secepat mungkin.

Antara servis cetakan yang disediakan adalah:

  • Kad kahwin
  • Yasin
  • Kotak-kotak cenderahati
  • Baju-T
  • Bunting
  • Banner
  • Kad Perniagaan
  • Buku Tetamu
  • Backdrop
  • Sampul Surat
Sebahagian barangan belum saya masukkan gambar kerana lebih tertumpu kepada percetakan kad undangan perkahwinan.

put3gallerysemenyih.blogspot.com
Paparan laman blog bisnes percetakan saya.
Mungkin ada yang rasa laman ini agak ringkas. Ini kerana saya menerapkan perkara Asas Blog yang diajar semasa mengikuti kelas online Asas Blog Penulisan dan Blog Bisnes di bawah Akademi Bekerja Di Rumah.

Rakan dan pembaca yang berminat berurusan dan ingin tahu mengenai Kelas Online Asas Blog ini boleh hubungi saya.

Tinggal blog peribadi ini dan blog bisnes saya yang lagi satu perlu disiapkan. Bukan senang nak senang, kan? Selamat malam semua.

Selasa, 8 Disember 2015

TEMUJANJI KLINIK KESIHATAN KERAJAAN

Alhamdulillah. Pagi ini bergegas bersama anak-anak dan suami bersiap-siap untuk ke Klinik Kesihatan Kajang. Temujanji si kecil Aleef jam 11 pagi.

Kami ambil keputusan untuk datang jam 8 pagi selepas melihat kebaikan datang awal untuk pemeriksaan pada beberapa bulan yang lalu.

Selepas Subuh kami sudah siap dan bersarapan sambil menunggu suami yang punch card di tempat kerja dulu. Pulangnya dia, terus kami bergegas ke dalam kereta menuju ke klinik.

Sampai di klinik jam 8 pagi. Selepas pendaftaran, saya letakkan buku pemeriksaan di bakul temujanji jam 11 dan ambil tempat duduk. Selang 5 minit kemudian nombor giliran kami dipanggil.

"Tunggu bilik 28 ye." Kata jururawat.

Terus kami bergerak ke kawasan menunggu. Ramai orang hari ni. Sempat juga berbual pendek dengan salah seorang ibu di situ. Comel anaknya. Orangnya mesra. Bila saya tanya anak ke berapa, katanya anak yang ke-10. Terkejut saya! Hampir 45 minit menunggu sambil melayan anak, nombor giliran kami dipanggil.

Pemeriksaan berjalan seperti biasa. Selesai pemeriksaan, kami diminta menunggu giliran untuk suntikan vaksin MMR. Sekitar 15 minit, giliran kami tiba. Aleef sedikit merengek ketika dicucuk jarum. Pegangan saya yang kuat menghalangnya dari meronta. Selesai dalam 1 minit.

Saya ambil buku pemeriksaan dan berjumpa jururawat yang memeriksa tadi untuk memohon time slip untuk suami. 3 minit untuk mengisi maklumat, cop dan tandangan.

Selesai semuanya. Masa yang diambil lebih baik dari jangkaan. Sekitar 1 jam lebih berbanding temujanji sebelum ini yang mengambil masa 3 jam.

Kami singgah mengalas perut di kedai makan bersebelahan klinik. Satu-satunya kedai makan yang ada. Masakannya boleh tahan juga. Alhamdulillah. Selesai makan, kami bergegas pulang ke rumah. Jam 10.30 pagi kami sampai. Suami pula mengambil sedikit keperluan lagi untuk perjalanannya ke Kuala Terengganu.

Salam, peluk dan cium anak-anak sebelum beransur pergi. Saya pula menyambung tugas.😊

Selasa, 1 Disember 2015

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

Dua minggu sebelum tarikh 3 November 2011, satu panggilan telefon meminta saya bersiap-sedia untuk melapor diri di Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia. Saya hairan kerana saya belum ditemuduga. Saya hanya menghantar borang memohon jawatan melalui ayah saya yang kebetulan bekerja di universiti itu kira-kira 2 bulan sebelumnya.

Saya terima pelantikan itu hanya melalui telefon dengan menjawab mahu atau tidak. Pastilah saya mahu merasa bekerja dalam sektor kerajaan itu. Ia peluang yang sangat ditunggu-tunggu semua orang! Tambahan lagi saya tidak perlu temuduga! Macam bermimpi rasanya.

Hanya ada dua kemungkinan saya diterima bekerja tanpa perlu temuduga. Pertama, semasa ayah saya menghantar borang tersebut kepada pihak atasan di Sekolah Pengajian Siswazah itu, ayah saya memakai baju uniform universiti. Jadi, ayah saya mungkin dikira sebagai "orang dalam".
Kedua, berkat hamil anak kedua saya. Ketika saya menerima jawatan tersebut, saya sedang sarat hamil. Hanya 3 bulan lagi saya akan bersalin. Rezeki manusia Allah saja yang tahu kan?

Pagi 3 November 2011, saya berdebar-debar menanti kaki melangkah ke tempat kerja baru saya. Saya pergi bersama ayah saya kerana suami saya perlu membantu abahnya (arwah) berniaga di Klang dan lumpuh separuh badan. Anak sulung saya juga dijaga suami ketika itu. Terima kasih kepadanya.

Perkara pertama saya perlu buat semasa tiba di Sekolah Pengajian Siswazah di UPM ialah melapor diri kepada pegawai pembantu tadbir. Perasaan saya bercampur-baur antara gembira dan teruja. Pegawai tersebut seorang wanita. Tutur katanya sopan dan teratur. Sekaligus menghilangkan perasaan gementar saya. Dia agak terkejut kerana saya diterima bekerja sedangkan saya sedang sarat hamil.

Ya. Jika sedang hamil memang tidak ada orang mahu ambil kita bekerja. Sebelum saya mendapat jawatan ini, saya sudah bertanya sana-sini untuk pekerjaan. Tetapi oleh kerana hamil, tiada yang berani mengambil saya bekerja. Rupanya rezeki saya di UPM ketika itu.

Pegawai tadi memberitahu saya skop tugas saya sebagai pembantu tadbir di situ. Dia turut memberikan salinan skop tugas, carta aliran kerja dan beberapa borang untuk saya isi dan tandatangan. Dia kemudiannya memperkenalkan saya kepada barisan pembantu tadbir kendaliannya. Saya diletakkan di bahagian pengurusan tesis dan peperiksaan VIVA VOCE untuk siswazah yang mengambil Master dan PhD bagi Fakulti Pengajian Pendidikan.

Hari pertama ini memang saya 'blur'. Saya tidak tahu mahu mula dari mana dan buat apa. Mahu bertanya, saya lihat semua orang sangat sibuk. Akhirnya, saya ditunjuk ajar juga setelah keadaan kurang sibuk pada waktu petang. Keesokannya saya sudah mulakan tugas.

Inilah jadual rutin kerja saya sebagai Pembantu Tadbir di Sekolah Pengajian Siswazah, UPM.

7.30 pagi - 8.00 pagi : Daftar masuk kerja secara atas talian. Sarapan.
8.00 pagi - 10.00 pagi : Semak jadual peperiksaan dan VIVA VOCE pelajar, Sediakan bilik peperiksaan jika ada temujanji peperiksaan pada waktu dan tarikh ini. Sambut kedatangan pensyarah dan pelajar serta bawa ke bilik peperiksaan yang telah disediakan. Kemas, tutup peralatan elektrik yang digunakan setelah peperiksaan selesai.
10.00 pagi - 10.15 pagi : Minum pagi.
10.15 pagi - 12:30 tengahari : Cetak, masukkan dalam sampul, taip atau tulis nama dan alamat atas sampul surat-surat rasmi kepada pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah berkaitan peperiksaan. Susun surat yang telah siap di tempat khas untuk dikutip penghantar surat. Isi maklumat penghantaran di dalam buku log. Sediakan bilik peperiksaan jika ada temujanji peperiksaan pada waktu dan tarikh ini.  Sambut kedatangan pensyarah dan pelajar serta bawa ke bilik peperiksaan yang telah disediakan. Kemas, tutup peralatan elektrik yang digunakan setelah peperiksaan selesai.
12.30 tengahari - 1.30 petang : Makan tengahari dan solat Zuhur.
1.30 petang - 4.00 petang : Buat panggilan dan hantar emel untuk menentukan tarikh dan masa temujanji peperiksaan kepada semua pensyarah terlibat. Sediakan bilik peperiksaan jika ada temujanji peperiksaan pada waktu dan tarikh ini.  Sambut kedatangan pensyarah dan pelajar serta bawa ke bilik peperiksaan yang telah disediakan. Kemas, tutup peralatan elektrik yang digunakan setelah peperiksaan selesai.
4.00 petang - 5.00 petang : Semak dan siapkan fail-fail untuk peperiksaan keesokan hari (jika ada). Simpan fail pelajar yang telah selesai peperiksaan di bilik rekod fail. Sediakan bilik peperiksaan jika ada temujanji peperiksaan pada waktu dan tarikh ini.  Sambut kedatangan pensyarah dan pelajar serta bawa ke bilik peperiksaan yang telah disediakan. Kemas, tutup peralatan elektrik yang digunakan setelah peperiksaan selesai.
5.00 petang : Daftar keluar kerja secara atas talian.

Pengalaman selama 3 bulan berturut-turut itu sangat banyak membuka mata saya bagaimana sibuknya kerja-kerja pejabat seperti sektor kerajaan. Bermacam-macam kerenah pelajar dan pensyarah dijumpai. Ada pelajar hari-hari telefon untuk mengetahui tarikh peperiksaan VIVA hingga mengganggu jadual kerja yang telah disusun. Kebiasaannya pelajar-pelajar dari negara Iran bersikap begini. Ada juga yang bersikap biadab dan masuk ke kawasan pejabat kakitangan dan mendesak kami mempercepatkan proses peperiksaan. Ada yang menghadiahkan kami dengan kek dan manisan dari negara mereka sebagai tanda terima kasih atau cubaan membodek mempercepat proses.

Pensyarah juga begitu. Ada yang tiba-tiba membatalkan temujanji hingga menyusahkan pensyarah lain dan kami kerana terpaksa menelefon setiap pensyarah semula untuk menentukan tarikh baru. Ada juga yang agak angkuh dengan gelaran mereka dan akan marah-marah apabila kami tidak menyebut gelarannya. Ada yang pakaiannya tidak memenuhi etika berpakaian walaupun sudah diletakkan poster di pintu masuk. Ada yang perlu sentiasa diingatkan tarikh peperiksaan. Ada yang kaki komplen tentang penyediaan makanan semasa peperiksaan dan macam-macam lagi.

Ditambah lagi dengan politik di tempat kerja. Ada staf yang gemar melepak sambil mengumpat. Ada staf yang suka mengadu-domba. Ada staf yang suka berpuak-puak. Ada juga yang berebut bilik peperiksaan untuk pelajar dan pensyarah bagi fakulti yang mereka uruskan. Ada staf yang suka cari gaduh dan sebagainya.

Selalunya kerja saya juga terganggu kerana sistem pemfailan staf yang memegang jawatan saya sebelum ini tidak teratur. Semuanya caca-marba. Sudahnya saya pening dan sering naik angin apabila kerja saya terganggu dengan kehadiran pelajar-pelajar yang datang mendesak.

Saya akhirnya berhenti kerja walaupun berhasrat ingin menyambung kontrak. Ini kerana keadaan saya yang hamil dan tinggal lagi 3 bulan bersalin menghalang saya dari teruskan kontrak. Saya tidak mampu naik turun tangga menyiapkan bilik peperiksaan, berjalan ke hulu ke hilir menyimpan fail pelajar dan keluar membeli makanan kerana tiada kantin di situ.

Di sebalik semua kepayahan itu, saya juga sangat bersyukur kerana saya sudah faham bagaimana "golongan pejabat hawa dingin" bekerja di dalam sektor kerajaan. Pokok pangkalnya mesti sangat banyak bersabar dengan kerenah manusia yang pelbagai.

KISAH SI PERANTAU: KATIL 19 WAD NICU HOSPITAL KAJANG

Ini kisah setahun lalu.

1 December 2014 at 17:23

Catatan petang ini. KISAH SI PERANTAU KATIL 19.

Seorang ibu yang kelihatannya agak berumur untuk melahirkan seorang bayi. Namun, Allah adalah pemberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Takdir menentukan bayi ke-2nya ini menghidap leukimia, jantung berlubang dan sindrom down. Bayinya tidak pernah menangis seperti bayi yang lain. Saya juga tidak pernah melihat ibu bayi ini menangis atau mengeluh. Kuatnya semangat seorang perantau...

Ya, dia sang perantau dari negara seberang. Umurnya mungkin sekitar 50-an. Bekerja sebagai tukang membersih di Mines, Serdang. Tidak tinggal bersama suaminya kerana suaminya bekerja di Johor. Saya hairan melihat tabah dan kuatnya dia sebagai ibu. Saya tak sekuat itu.

Petang ini ibu itu tiada di katilnya. Bos tempat dia bekerja telefon dan ingin berjumpa. Saya hairan lagi.. Bos dia tak tahu ke dia baru bersalin beberapa hari? Saya tanya siapa bos dia. Katanya sebangsa dengan saya. Terdetik kesal dan malu di hati. Mana pergi hati nurani bos itu? Membayangkan ibu itu yang baru melahirkan, sudah berusia, berjalan kaki ke stesen bas dan komuter dengan hanya bert-shirt, seluar panjang, selipar. Semata2 memenuhi arahan bos dan mengambil baju ganti di rumah.... Tanpa bantuan sesiapa. Terasa syukur sekali dengan nasib sendiri.

Esok doktor akan membenarkan dia pulang sekiranya bayinya tiada demam selepas disuntik antibiotik. Dia sekali lagi akan berjalan kaki, naik bas, bersama barangan yang banyak dan bayinya yang tidak sihat, pulang ke rumah yang jaraknya jauh dari Kajang. Semoga Allah membantu dan mempermudah perjalanan-Nya. Sungguh saya benar-benar bersimpati. Ingin membantu tetapi saya juga dibantu orang.

KISAH SI JURURAWAT : KENANGAN SETAHUN LALU



1 December 2014 pada 21:38 · Kajang ·

Catatan malam ini. KISAH KERJA/TUGAS/AMANAH.

Hari pertama di sini hingga hari ini, sudah lebih 10 kali Aleef "terseksa" dicucuk jarum. Hanya kerana sikap dan cara kerja seorang jururawat yang sangat tidak peka. Nyatanya ia mendatangkan kesusahan hati bukan sahaja pada saya sebagai ibu malahan kepada rakan sekerjanya juga yang terpaksa "membersihkan" kerjanya.

Sebagai ibu, saya hairan melihat cara kerjanya yang sangat teruk. Melakukan banyak kerja dalam satu masa namun kesemua kerjanya tidak selesai tetapi menyusahkan orang lain. Salah seorang rakan sekerjanya mengeluh kerana cara kerjanya membahayakan pesakit di mana pesakit2 adalah bayi2 baru lahir.

Pada mulanya saya fikir hanya saya yang marah...

Alkisahnya, setiap kali jururawat tersebut ditugaskan memberi ubat pada anak saya, pasti berlaku jarum tercabut, bengkak atau tersumbat pada saluran urat tempat masukkan ubat samada di kaki, tangan atau betis. Sehingga kesabaran saya mula hilang petang tadi kerana dia membiarkan saluran ubat terbuka (tidak clamp) ketika cuba memasukkan ubat dan darah mula ikut keluar dari saluran tersebut sedangkan jururawat tersebut pergi merawat bayi lain dan membiarkan saya memegang tiub ubat yang terbuka di betis bayi saya. Selepas saya memanggilnya dengan kuat,barulah dia cepat2 mencari penutup saluran ubat tersebut. Saya tahu perkara ini akan menyebabkan sekali lagi anak saya dicucuk di kawasan lain pula. Saya memang sangat marah tetapi tidaklah hingga menjerit marah. Hanya wajah saya yang menampakkan kemarahan. Saya masih bertahan dari meletup.

Masuk waktu maghrib, rakan sekerjanya menggantikan tugas. Waktu ini, rakannya mula bising kerana ubat gagal dimasukkan akibat salurannya sudah tersumbat dengan darah beku. Katanya, perkara ini boleh mendatangkan masalah pada kaki bayi jika saluran darahnya tersumbat. Marah betul dia. Saya sangka saya saja yang kena. Rupanya yang lain juga begitu.

Pada pendapat saya, jururawat begini usahlah diberi tugas yang melibatkan bayi. Kenapa saya tak cakap beri peluang pada dia? Kerana, rakannya sudah mengingatkan dia supaya buat kerja secara serius dan bukan sambil lewa. Namun reaksinya sangat mengecewakan malahan kerjanya menjadi lebih membahayakan. Kemudian sibuk bercakap nak balik sedang waktu kerja belum tamat dan kerjanya separuh jalan (hasil pasang telinga).

Harap2 tiga hari lagi di sini saya tidak nampak muka dia ditugaskan memberi ubat. Takut2 saya termalukan dia di khalayak...

Pesanan buat para jururawat, jalankan tanggungjawab/kerja anda dengan penuh amanah. Berkat hidup didoakan nanti.