Khamis, 30 Julai 2015

SELAMAT ULANGTAHUN YANG KE-34 BUAT SUAMIKU

Hari ini adalah ulangtahun suami yang ke-34 tahun. Sayangnya tahun ini kami tidak dapat mengadakan apa-apa acara kerana dia perlu bekerja di luar kawasan. Dia ditugaskan ke 4 buah negeri dalam masa 7 hari bersama seorang pegawai atasan. Entah apa urusannya saya tidak ambil tahu. Yang saya tahu dia bekerja sebagai seorang pemandu yang berhemah dan tanggungjawabnya adalah membawa pegawai-pegawai atasan kerajaan. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah s.w.t.

Tahun lalu saya mengadakan majlis kecil-kecilan untuknya yang pertama kali saya buat. Lama juga saya rancang. Menunya adalah rendang ayam dan ketupat. Bermula dari pagi saya sudah sibuk di dapur memasak kerana saya turut menjemput saudara-maranya. Dalam hati, takut juga kalau rumah diserbu dan makanan tidak cukup.

Saya usahakan mencari sebuah gitar kapok untuknya melalui adik saya sebagai hadiah kerana saya tahu dia sangat suka muzik. Kebetulan harijadinya jatuh pada hari raya ke-4 jika tidak salah. Jadi, ramai orang masih dalam mood raya. Suami pula kebetulan bekerja pada hari itu. Masa tu dia masih seorang anggota RELA di Depot Tanahan Imigresen Semenyih. Waktu kerjanya pula mengambil masa 12 jam tidak termasuk perjalanan dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya. Jadi saya ada banyak masa merancang dan menyusun atur segalanya dengan tenang.

Adik perempuan saya dan rakannya banyak membantu saya mendapatkan gitar tersebut. Dari KL ke Kajang, Kajang ke Bangi, kemudian ke KL semula dan akhirnya saya minta beli di sebuah kedai menjual peralatan muzik di Times Square kerana di situlah saya mendapat idea ketika sedang membeli-belah pakaian raya bersama. Adik saya pula beritahu kedai akan buka hanya pada jam 8 malam. Suami pula akan pulang jam 8.30 malam. Maknanya saya tak sempat untuk membalut hadiah tersebut. Saya tawakal sahaja demi menggembirakan hati suami. Sementara adik saya sampai, saya meneruskan saja kerja-kerja memasak, menyusun atur hidangan dan perabot serta membeli kek di Secret Recipe Kajang.

Agak mencabar kerana saya tidak tahu memandu dan trauma menunggang motosikal. Jadi, saya perlu bantuan untuk ke mana-mana. Inilah salah satu sebab saya sentiasa berada di rumah. Mujurlah ada adik-beradik yang punya kereta untuk saya usung anak-anak sekali mengikut membeli semua yang diperlukan. Memang kelam-kabut sedikit.

Malamnya, saya berdebar menanti kepulangan suami. Bapa saudara dan ibu saudara serta ahli keluarga mereka sudah sampai. Saya jemput mereka makan dahulu. Kek harijadi berada di dalam peti sejuk. Suami tidak tahu saya mengadakan majlis ini.

Pulangnya dia terpinga-pinga sedikit bersama ucapan terima kasih. Walau nampak keletihan, saya tahu dia gembira kerana tidak pernah diadakan majlis seperti ini untuknya. Selepas dia makan masakan saya, saya keluarkan kek dari peti sejuk, nyalakan lilin dan bawa ke ruang tamu. Dia malu-malu tetapi bapa saudaranya agak sporting, menghilangkan rasa malunya.

Adik saya mesej beritahu sudah hampir sampai ke rumah. Saya tidak tahu bagaimana hendak menyorokkan hadiah tersebut. Saya pun minta adik sorokkan sedikit di tepi rumah. Entah bila suami pula keluar rumah dan duduk di tepi untuk merokok. Dia perhatikan kotak berbentuk gitar itu. Saya pula terlambat untuk menghalang dia keluar rumah.

"Gitar siapa ni?" Tanyanya sambil membelek kotak gitar yang belum berbuka tu.

Dalam hati saya, tak tahu nak cakap apa sebab dah kantoi. Reaksi saya yang tersenyum-senyum tu pun pastilah lebih 'mengantoikan' lagi. Saya akhirnya mengaku saja itu untuk dia. Tak sempat balut sebab kedai lambat buka dan majlis sudah bermula.

Saya benarkan dia buka dan main. Sementara tu, saya berdiri di tepi memerhatikan reaksinya. Sepanjang masa majlis saya lihat dia tidak berhenti senyum. Tetamu yang hadir juga terhibur dan sama-sama berhibur.

Usai majlis, pelukan dan ciuman ikhlas pula diberi pada saya berserta ucapan terima kasih yang berulang-kali. Saat itu, saya hanya berdoa agar hubungan kami kekal hingga ke syurga tanpa gangguan dari sesiapa pun. Alhamdulillah. Masih kekal hingga ke hari ini malahan bertambah mesra.

Itu kisah tahun lalu. 2014. Tahun ini, saya hanya mengucapkan selamat sahaja melalui mesej dan mengingatkannya untuk membelikan hadiah untuk ibunya kerana ibunya sahaja sebenarnya yang layak menerima hadiah pada hari ulangtahunnya. Ibunyalah yang telah bersusah-payah mengandungkannya dan melahirkannya 34 tahun lalu penuh derita dan seksa zahir dan batin sehingga saat membesarkannya. Ibunyalah yang paling layak dihargai dan digembirakan.

Saya masih menanti kepulangannya. Semoga pulang dengan selamat dan sentiasa di dalam lindungan Allah s.w.t.

SELAMAT HARI JADI CINTA... SUAMIKU, SUDIR SYAHRIN BIN KASTOR. Semoga terus menjadi insan beriman dan bertambah iman serta menjadi insan berjaya yang sentiasa diberkati. Amiin.

PENSTRUKTURAN SEMULA PAKEJ KELAS ONLINE ABDR

Beberapa hari ini agak sibuk dengan penstrukturan semula pakej kelas dalam akademi ini. Sibuklah para pengurus online seperti saya menyelaraskan semula entri mengenai pakej kelas di blog.

Alhamdulillah. Berita paling baiknya, setiap pakej juga ada keistimewaannya. Saya agak cemburu juga kerana masa saya daftar dulu, bonusnya tidak seperti sekarang. Apapun, itulah dinamakan rezeki.

Saya bukan sahaja perlu struktur semula pakej kelas. Saya juga sedang berusaha menstruktur semula jadual rutin harian dan mingguan yang sudah tunggang-langgang sejak akhir-akhir ini. Menjadi suri bekerja di rumah ini memerlukan ketangkasan, kepantasan dan disiplin.

Keadaan hidup yang makin memaksa ibu-ibu dan suri-suri bekerja mengalahkan kaum lelaki juga menjadikan ramai kawan saya yang terasa mahu berhenti bekerja kerana masa bersama anak-anak sangat terhad dan kadangkala langsung tiada masa. Ia memang sangat menyedihkan. Sedar-sedar saja anak sudah besar dan mulalah episod pelbagai jenis drama kerana kesilapan ini.

Semoga kita semua dapat menjadi ibubapa yang baik walau apapun cabarannya. Kan rezeki itu Allah yang beri? Jadi, tenang-tenang sahaja berusaha.

Rabu, 29 Julai 2015

10 JALAN SMA : SISTEM MAZELAN ABAS

Assalamu'alaikum semua. Senyum.

Masih panas hati ke awak semua dengan isu politik semalam? Biarkan sajalah. Usah fokus pada mereka. Kita fokus pada diri kita sahaja sudah. Ok?

Hari ni saya nak cerita tentang buku yang saya baru baca. Saya dapat percuma dari rakan setelah saya beli sekeping simkad yang dikatakan mampu menjana pendapatan pasif. Bersama simkad tersebut, saya juga dibekalkan flyers dan buku mengenai simkad tersebut. Bagus juga. Sudah 2 bulan rasanya saya beli simkad tu. Suami saya juga saya belikan. Memang benar pun ia berpendapatan pasif sebab saya sudah terima komisen sebelum raya kelmarin.

Berbalik pada buku yang saya baca tu. Tajuknya "10 Jalan SMA" tulisan tuan Mazelan Abas yang juga seorang pengguna simkad tersebut. Tapi dia guna bukan untuk suka-suka saja. Dia guna untuk jadikan perniagaan. Saya pula tidak pasti lagi nak guna untuk apa sebab saya mahu berjaya dulu dalam akademi bekerja di rumah ini.

Akhir-akhir ini tak banyak saya kongsi tips ke apa-apa yang menarik. Saya banyak kongsi aktiviti dengan keluarga saja. Entah ada yang baca ke tidak, tak tahulah. Tapi takpelah. Asalkan hati saya tenang sebab dengan menulis sahajalah hati saya tenang. Menulis ni macam kita meluah perasaan. Tapi tidaklah menulis stress itu ini. Akademi ini tidak mengajar kami begitu. Mesti tulis benda positif.

Balik lagi pada buku "10 Jalan SMA" tadi, banyak tips yang dikongsikan dan sangat logik penerangannya. Saya sudah mohon izin tuan Mazelan Abas sendiri untuk berkongsi tentang apa yang ditulisnya di dalam buku tersebut. Insya-Allah ada manfaatnya.

Saya senaraikan dulu apa 10 tu ye.
1. Jalan jadikan bisnes sendiri.
2. Jalan 3 akaun.
3. Jalan tingkatkan ilmu marketing.
4. Jalan promosi tanpa henti.
5. Jalan jawab telefon.
6. Jalan jadi pusat penerangan.
7. Jalan upgrade level.
8. Jalan tidak sentuh pendaftaran.
9. Jalan fokus.
10. Jalan bersyukur dan pemurah.

Buku ini sesuai dibaca untuk yang suka bisnes simkad. Kalau anda berminat, boleh hubungi saya. Sampai sini dulu. Saya nak sambung buat target bulan depan. Selamat malam.

Sumber foto: Peribadi.

Ahad, 26 Julai 2015

BELI PENCETAK HP 1510 DI TESCO, KAJANG

Assalamu'alaikum.

Apa khabar agaknya semua selepas raya ni? Saya rasa ramai yang dapat penyakit selsema, batuk dan demam kan? Maklumlah, kebanyakan rumah yang diziarahi menyediakan air sejuk seperti air gas dan ais batu. Kadang-kadang saja ada atau jika ada permintaan, kan? Apapun kondisi kesihatan anda semua, semoga sentiasa dalam rahmat dan keberkatan. Saya baru sahaja diserang sakit 3 serangkai ni selepas sebulan elok darinya.

Dalam pada sakit tu, sempat juga memasang printer baru yang suami saya belikan Sabtu lepas. Ikutkan badan yang tidak sihat ni, memang malas nak hadap. Tapi memandangkan belum diperiksa lagi samada elok atau tak, terpaksalah buka juga kotak tu dan pasang printer tu.

Alhamdulillah. Saya berjaya pasang mengikut arahan tertera pada buku panduan disediakan. Saya pun cuba cetak dan fotokopi. Semuanya dalam keadaan baik. Tinggal waranti saja perlu diaktifkan melalui online.

Kami beli printer tersebut di pasaraya berdekatan rumah dengan harga tidak sampai RM170. Ia bukan sekadar boleh mencetak tetapi juga boleh imbas dan fotokopi (fotostat). Alhamdulillah.
Saya rancang untuk cuba usahakan jadual untuk diri dan keluarga agar tidak terus hidup dalam jadual yang tidak nampak, di mana tugasannya juga ikut serta caca-marba (kelam-kabut). Lebih-lebih lagi jika tersasar masa tidur.
Semoga usaha ini kelak membuahkan hasil positif untuk diri sendiri dan keluarga.

Bukanlah tidak ada jadual di dalam telefon pintar cerdik pandai ni. Tetapi jari-jemari saya terasa bermasalah bila memegang telefon ini kerana butang-butang yang lain sentiasa 'memanggil' jari saya untuk turut menekan mereka hingga terjadilah penangguhan kerja-kerja yang sepatutnya. 

Sampai sini saja dulu. Batuk-batuk pula cuba menyerang. Doakan kesembuhan saya ye. Semoga anda semua turut didoakan para malaikat. Amiin.

Khamis, 23 Julai 2015

KELAS ONLINE BLOG PENULISAN DAN FANPAGE BISNES

Teks: Ziadah Zainal Abidin

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Sudah hampir 4 bulan saya bersama akademi ini. Banyak ilmu yang dikongsi dengan arahan serta tunjuk ajar yang tiada had. Seperti yang dinyatakan di dalam ebook Super WAHM, Super Mom, ibu yang beranak kecil seperti saya jauh lebih lambat bergerak. Ia memang kenyataan. Komitmen terhadap bayi tidak dapat dijangka. Semua suri juga sedia maklum hal ini.

Saya mula berkenalan dengan guru online saya ketika saya terkontang-kanting mencari ilmu kira-kira demi mempertahankan perniagaan percetakan saya yang baru berusia lebih kurang 1 bulan suku akhir tahun lepas (2014). Permintaan yang tinggi secara mendadak menjadikan saya tidak menang tangan mahu membuat kira-kira kos, pengurusan perakaunan, promosi, jualan, pentadbiran dan sebagainya sendirian. Salah saya yang memilih orang 'kapal' saya tanpa menyiasat dan memandang masalah yang bakal timbul nanti.

Sayangnya saya terlupa tentang kelas yang guru Anys promosikan. Saat saya mengandung anak ketiga ini adalah saat saya benar-benar diuji sangat hebat oleh Allah s.w.t. Saya lalu menjadi orang yang sangat pelupa kesan stress melampau. Hatta pemeriksaan klinik yang tidak pernah saya lupa dari mengandung anak pertama dahulu, pun saya lupa dan tidak pergi. Dalam masa yang sama, saya masih cuba mencapai apa yang boleh dicapai asal tidak jatuh teruk. Setelah sekian lama saya menyepi, tepat 14 hari, guru Anys bertanya khabar. Saya terpaksa batalkan keinginan mengikuti kelas kerana terlalu sibuk menguruskan anak-anak, rumahtangga dan perniagaan yang saya hanya dapat kira untung kasar sahaja.




Perkenalan kami bermula lagi melalui laman peminat buku Mudahnya Menjemput Rezeki (MMR). Entah bagaimana saya ingin memiliki buku tersebut. Saya komen pada salah satu status laman tersebut dan guru Anys segera mempromosikan buku tersebut kepada saya. Saya yang tertarik dengan promosinya tidak menunggu lama meminta akaun bank guru Anys. Tidak sabar mahu memiliki buku MMR tersebut. Sempat juga saya pesan pada guru untuk mengingatkan saya kerana semasa saya mengandung anak ketiga saya, saya sangat pelupa. Keesokannya saya buat pembayaran buku MMR dan terus lupa tentang tawaran guru Anys mengenai peluang menjadi agen dropship buku tersebut.








Selang hampir 2 bulan kemudian saya tertarik dengan status guru mengenai kelas blog akademi yang ditawarkan dengan syarat jika mahu masuk kelas secara percuma. Syaratnya boleh lihat gambar di bawah. Saya usahakan juga mengikut apa yang guru Anys tunjuk ajar tetapi tidak mendapat sambutan. Saya akhirnya mendiamkan diri dan diam-diam menjadi pembaca senyap status-status guru di Facebook hinggalah 3 bulan berlalu.






Hampir penghujung bulan Mac 2014, saya tidak mampu bertahan membaca status guru lagi yang setiap hari melintas di dinding Facebook saya. Akhirnya saya mohon untuk mengikuti kelas dengan bayaran secara ansuran. Saya ambil kelas paling popular dan paling mahal dalam akademi berharga RM300. Setiap kali saya membayar ansuran (RM100 sebanyak 3 kali), saya diberikan e-book untuk dibaca hingga habis, hadam dan faham. Pakej blog yang saya ambil ini menawarkan 5 e-book yang saya mesti baca habis dan faham serta ulangkaji.



Alhamdulillah. Setelah habis ansuran tanpa bunga yang guru tawarkan, saya terus diserap masuk ke dalam kelas (kumpulan Facebook). Guru menandakan nama saya pada tugasan-tugasan yang perlu disiapkan dan langkah demi langkah menambah pelbagai gajet untuk blog dalam bentuk tutorial bergambar.

Saya juga mencontohi guru dan rakan menjadi seorang peniaga beretika iaitu peniaga yang meniaga dengan nama sebenar atau nama komersial yang berkaitan dengan perniagaannya. Lebih baik lagi jika berdaftar. Bukankah ia agak mencurigakan jika nama peniaga adalah Penggembala Lembu tetapi gambar produk dan penerangannya adalah tudung Fareeda (contoh sahaja ye). Begitulah misalannya.

Dari apa yang saya pelajari, ini adalah tanda peniaga tidak konsisten, tidak faham pelanggan, tiada target khusus, tidak tahu potensi dirinya dan kurang fokus pada produk jualannya. Sekejap jadi katak, sekejap jadi sesumpah. Sekejap lompat bisnes sini, sekejap menjelma bisnes sana yang sama tapi tak serupa.

Saya sarankan belajar langkah demi langkah yang betul bersama saya di Akademi Bekerja Di Rumah‬ (ABDR) selaku ‪‎pengurus online ABDR‬ dan juga ‎rakan niaga ABDR‬.

Nota: Saya pernah jadi katak dan sesumpah dari tahun 2007 hingga 2014. ABDR buat saya menahan diri dari menjelma dari katak kepada kodok atau dari sesumpah kepada biawak komodo. Boleh lihat di ruangan kenali penulis berapa banyak saya gagal.

Berada bersama ABDR membantu saya fokus dan jalan terus walau ada tangan suruh berhenti sekejap, nak bagi projek ni. Saya belajar dari kesilapan lalu. Cukuplah gagal selama 7 tahun. Sudah beratus habis. Nasib baik beratus. Jika berjuta, mungkin saya patut benam muka dalam tanah.

Jumaat, 17 Julai 2015

Rabu, 15 Julai 2015

RUTIN AIDILFITRI

Assalamu'alaikum.

Hari ni tiada aktiviti menarik pun nak saya kongsi. Banyak baca status kawan-kawan di Facebook je. Ramai yang dah mula balik kampung. Pengetua ABDR pun ada bertanya semua ahli.

Suami saya orang Semenyih, Selangor. Saya pula anak jati Kajang, Selangor. Jadi, nak balik kampung tu, tak perlu bergaduh bercekau bagai. Biasanya saya akan ikut suami balik kampung dia dulu di Kampung Pasir Baru, Semenyih. Lepas tu, bawa mertua, anak-anak dan adik-adik ipar beraya rumah saudara-mara suami.

Kalau mertua sudah letih dan tiada tempat lagi mahu dituju, barulah kami ke rumah ibu bapa saya pula yang tinggal di Taman Putra Kajang. Adik-beradik keluarga ibubapa saya jauh-jauh. Jadi, kami sekadar beraya rumah ibubapa saya saja. Bila ada rezeki lebih, barulah ikut bapa saya ke Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor untuk menziarah nenek saya.

Begitulah rutin raya saya dan suami. Tak pernah lagi gaduh pasal nak balik mana dulu. Alhamdulillah.

Mata saya sakit semula semenjak bulan lepas sebab ubat dan mesin urut mata tertinggal di rumah ibu saya. Jadi, saya tak dapat nak berlama-lama menatap skrin. Sampai sini saja dulu untuk hari ni.

Isnin, 13 Julai 2015

PERSIAPAN MENYAMBUT AIDILFITRI

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Lama sangat 'cuti' menaip blog. Apa pun sebabnya, biarkanlah. Alasan je semua tu.
Jadi, apa khabar rakan dan sahabat semua? Bagaimana dengan persiapan menyambut Syawal tahun ini?

Sebenarnya tahun ini saya tidak bernafsu untuk membeli-belah baju raya dan kuih raya. Tetapi dek kerana paksaan suami untuk bergaya pada hari raya yang memang sudah menjadi rutin dari awal perkenalan kami, saya ikutkan sahajalah.

Pagi-pagi suami sudah bersiap-siap bersama anak-anak untuk keluar membeli-belah. Sayalah yang menjadi tempat rujukan suami untuk ke mana membeli. Saya cadangkan untuk ke Plaza Metro Kajang kerana ibu mertua saya cadangkan kami ke situ beberapa hari yang lalu selepas membeli baju raya adik ipar saya. Murah dan cantik katanya.

Sampai di Plaza Metro Kajang, kami 'cuci mata' sebelum membeli. Selepas belikan anak-anak makanan untuk 'alas perut', mulalah aktiviti mencari dan memilih baju yang sesuai. Bertawaflah kami di dalam pusat beli-belah tersebut.

Suami gunakan konsep 'lady first' untuk memilih dan membeli baju. Maklumlah, saya seorang sahaja berjantina perempuan di dalam keluarga kami. Lepas satu ke satu butik saya kunjungi. Baju-baju di butik semuanya cantik-cantik dan menarik. Dari tingkat bawah tanah (lower ground) ke tingkat dua, kami mengelilingi pusat beli-belah. Malangnya saya yang berbadan kecil dan kurus ini, tidak ada saiz di semua butik-butik yang nampak mewah di sini.

Setelah letih berpusing-pusing mencari, kami berhenti di tingkat tiga. Tingkat ini tingkat teratas yang ada butik pakaian setaraf pakaian dijual di Mydin iaitu Bintang Fashion. Selain dari butik itu, ada juga kedai buku Smart, kedai sticker, kedai komputer, kedai peralatan aktiviti outdoor, karaoke dan permainan, gerai-gerai kecil dan panggung wayang.

Kami berhenti sekejap dan sempat saya bincang dengan suami untuk mencari kedai yang menjual pakaian untuk semua. Tidak perlu ke tempat berlainan kerana ia sangat meletihkan. Suami setuju.
Kami kunjungi butik terakhir di tingkat tiga ini. Alhamdulillah. Semua yang dimahukan ada di butik ini. Dari baju Melayu bersaiz bayi hingga saiz dewasa semua ada. Suami dahulukan saya. Kami akhirnya memilih warna hijau zamrud. Sedondon. Songkok juga beli di tempat sama. Selesai misi kami. Tinggal tudung saya sahaja belum dibeli.

Misi kedua, membeli kasut. Oleh kerana keletihan, kami tidak lagi berpusing mencari. Suami mencadangkan untuk membeli di sebuah kedai kasut di luar pusat beli-belah Plaza Metro Kajang. Entah apa namanya. Lupa saya untuk mencatatkannya. Hanya saya dan anak-anak sahaja yang membeli kasut. Suami enggan. Adalah seleranya itu di tempat lain.

Selesai membeli-belah, matahari sudah terik. Segera kami pulang dan menunaikan solat zuhur serta berehat-rehat. Aiman ambil peluang menonton kartun di Youtube. Akif, saya dan Aleef tidur. Suami saya pula menonton drama Tamil di saluran TV2.

Hampir jam 5 petang barulah kami bersiap-siap lagi sekali untuk menghantar Aiman ke kampung. Masih berbaki dua hari lagi untuk dia bersekolah sebelum cuti hari raya. Suami mencadangkan untuk berbuka puasa di luar memandangkan letih masih berbaki lagi. Selesai berbuka puasa, kami biarkan anak-anak bermain di taman permainan berdekatan sementara kami bergilir menunaikan solat.
Selesai bersolat, kami bergegas menghantar Aiman ke kampung. Hanya ada ayah mertua tiri saya di rumah. Kami berbual sebentar. Beberapa kali ayah mertua saya mengadu tangannya sakit. Urat tangannya kejang tidak boleh diluruskan. Tidak diketahui puncanya. Saya ceritakan pada suami dan suami bercadang mencari tukang urut sebelum raya.

Hampir 10.30 malam baru nampak kelibat ibu mertua saya pulang dari masjid. Gembira terpancar di wajah dan tona suaranya melihat cucu-cucunya menyambut kepulangannya. Kami berbual sebentar. Hampir jam 11 malam baru kami bergerak pulang ke rumah. Saya sempat masak nasi untuk sahur sebelum tidur.

Alhamdulillah untuk hari ini.

Warna tema Aidilfitri tahun ini.

Ahad, 5 Julai 2015

NUZUL QURAN YANG MENGUNDANG TETAMU

Assalamu'alaikum pembaca (kalau ada la). (^.^)

Hari Nuzul Quran hari ni, ramai pula tetamu datang tanpa diundang. Mula-mula datang pagi tadi, adik ipar (lelaki) saya yang masih solo, mengambil topi keledar yang tertinggal selepas dia datang menghantar Aiman semalam. Tengahari, makcik pakcik suami datang menghantar kabel pencetak (printer) untuk saya install ke dalam komputer mereka yang sedang dalam proses format kerana sistem operasi Windows yang digunakan tidak sesuai dengab komputer mereka. Petang pula, adik-adik saya pula datang bersama anak susuan saya, mengambil baju-baju mereka yang tertinggal semasa berpindah ke rumah ibubapa saya.

Rumah memang riuh sekejap, senyap sekejap. Bila ada tetamu, anak-anak memang serta-merta jadi aktif. Bila pulang tetamu, kurang sikit aktifnya. Cuma Aleef yang masih kecil (7 bulan) saja akan terpinga-pinga jika ada tetamu. Jika tiada tetamu, saya perlu awasi dia kerana sudah mula pandai merangkak dan cuba berdiri dengan memaut tepi-tepi sofa atau almari.

Hari ini juga hari kedua terakhir suami saya mengikuti konvoi jelajah Perak untuk mengagihkan bantuan kepada mereka yang ditimpa banjir, pasukan dari Jabatan Perkhidmatan Awam. Esok pulanglah dia. Semoga pulang dengan selamat.

Tugasan blog yang saya perlu siapkan pun tinggal sedikit lagi. Alhamdulillah. Guru pun sudah menetapkan KPI saya dan rakan akademi sebagai pengurus online. Kedai online saya pula masih dalam status loading barang. Biasalah bila kerja seorang diri ni. Lambat. Tapi saya yakin, akan tiba masanya saya akan lari laju pecut terus. Selalunya begitulah semua peristiwa dalam hidup saya. Bermula dengan kelajuan seekor siput dan bila tiba masanya, menjelma menjadi harimau bintang.

Selamat malam semua. Tidurlah. Takut terlewat sahur pula. ヽ(´▽`)/