Ahad, 21 Februari 2016

TAMBAH ILMU PERCETAKAN BERSAMA KOTAK HITAM ART STUDIO

Semalam adalah hari yang telah dijanjikan untuk saya berjumpa semula dengan rakan sekelas masa sekolah menengah dahulu. Dia adalah antara pengasas Kotak Hitam Art Studio dan Kotak Hitam Clothing (seingat saya la). Saya pula antara rakan yang sering mengikuti perkembangan perniagaannya. Lebih-lebih lagi apabila bidang yang diceburinya sama dengan bidang yang saya baru belajar iaitu percetakan.

Sebenarnya saya telah bertanya pakcik Google banyak kali kalau-kalau ada kursus percetakan yang percuma. Ternyata kursus-kursus yang ada dalam senarai pakcik Google tidak menepati keinginan saya. Kesemuanya memerlukan pembayaran yuran sekurang-kurangnya RM500 hingga ribuan.
Allah Maha Pemurah telah menggerakkan hati saya mengintai-intai perniagaan rakan saya ini. Kebetulan pula dia mengadakan sesi "Sembang Kopi" secara percuma untuk rakan niaga. Saya tak faham konsep "Sembang Kopi" sebenarnya. Rupanya ia adalah ruang untuk saya bertanya apa saja mengenai percetakan.

Seawal jam 12 tengahari saya dan pasukan saya (mak, suami dan adik) telah tiba di hadapan kedai beliau. Kami pusing-pusing dulu mencari surau atau masjid berdekatan. Mujur ada surau berdekatan.Saya cadang mahu makan di dalam kereta saja memandangkan ada membawa bekalan makanan tetapi mak saya mengajak makan di kedai berdekatan. Ikut sajalah walaupun saya dan adik dah mula buka bekal dan makan sesuap dua. Kami singgah di warung berdekatan.

Selesai makan, kami terus ke surau tadi semula, menanti azan zuhur berkumandang. Kami bergilir-gilir solat kerana perlu bergilir menjaga anak-anak saya. Selesai makan, kami terus ke Kotak Hitam Art Studio.

Kami paling awal. Tuan kedai pun tak sampai lagi. Hohoho

Tuan kedai pertama datang, buka pagar, kami (saya, mak dan anak bongsu saya) teus serbu. Suami bawa anak-anak lain berjalan-jalan sekitar situ. Saya sangka dia malas nak belajar tentang percetakan ni. Lebih-lebih lagi sebab yang mengajar tu kawan saya. Bukan kawan suami... Sedih lak. SWITCH!!!


OK. Kembali kepada cerita kita. Tuan kedai pertama sampai ialah yang baju kemeja pelekat (rujuk gambar). Nama penuh saya tak ingat. Panggil Mus je. Ala-ala Mus May gitu kan... Jangan marah. Gurau je kot. Tuan kedai kedua, Hazrian Sya Kamal Sha, ex-classmate saya, gelaran terkini Tok Pek.

Jom baca apa kami belajar dengan Brader Mus dan Tok Pek ni. Siapa yang pakar kain tu, bolehlah tambah-tambah nota saya ni sebab saya tak belajar tekstil. Saya belajar bisnes IT je. Tambahan lagi, bawa anak kecil, fokus kurang dan ada nota yang tertinggal. (T-T)

Mula-mula, kami diberi penerangan tentang pakaian. Antara dalam senarai pakaian yang boleh cetak ialah:
1. Baju
2. Seluar
3. Vest
4. Jaket
5. Kot Makmal
6. Pakaian Seragam / Uniform

Lain-lain yang boleh dicetak:
1. Bendera.
2. Baju Cut Paste: gabungan baju dengan gambar yang sudah dicetak pada kain.

***
POIN-POIN PENTING TENTANG PAKAIAN - BAHAN

Bahan yang digunakan dalam pembuatan baju antaranya:
1. Tetra Cotton
  • Terma: TC30, TC26, TC28 dsbnya.
  • TC26: paling bagus
  • TC30: paling murah

2. Microfibre
  • Lebih dikenali sebagai Jersi atau Quickdry (cepat kering)
  • Eyelet: ada lubang-lubang pada kain
  • Non-eyelet:
    • Mesh: licin tanpa lubang-lubang
    • Interlock: lebih lembut

3. Full Cotton / CVC
  • 100% diperbuat dari kapas

***

POIN-POIN PENTING TENTANG PAKAIAN - JENIS

Jenis-jenis baju:
1. Singlet
  • Takde lengan, lebih besar.

2. Sleeveless
  • Takde lengan juga. Seperti baju-T yang telah dibuang lengan.

3. Baju-T
  • Paling popular dan digunakan kebanyakan orang.

4. Muslimah-T
  • Kebiasaannya menggunakan bahan Terra Cotton.
  • Kadang-kadang menggunakan bahan Honeycomb.
  • 2 jenis sahaja:
    • Roundneck (leher bulat)
    • V-Neck (leher V)

5. Raglan
  • Ilham dari baju pemain Baseball di US.
  • Menggunakan bahan dari kapas (cotton / TC).

6. Honeycomb / Lacoste / Polo
  • Selalunya digunakan oleh pekerja kilang sebagai uniform mereka.
  • Menggunakan 2 bahan sama ada:
    • CVC: lembut
    • TC: kasar

7. Cotton Interlock
  • Diminati oleh golongan berduit.

8. F1 / Baju Korporat
  • Diinspirasi dari Formula 1.
  • Bahan:
    • Viscost
    • Polysoft - senang terbakar.
  • Tempahan:
    • ready made biasanya didapati dari pembekal Oren Sport.
    • custom made biasanya lebih lembut.

9. Anggola Combed-Cotton
  • Hitam berkilat.
  • Murah tetapi nampak ekslusif.

10. Vest
  • Ada kain lining di dalam.
  • Jaket jenis takde lengan.

11. Jaket
  • Biasanya digunakan dalam bidang:
    • Teknikal.
    • Korporat: bahagian luar dari polyster atau polysoft.

12. Kot Makmal
  • Biasanya digunakan oleh pekerja makmal atau doktor.
  • Bahan digunakan adalah TC Drill / Cotton Drill.

13. Tahan Api / Fire Re-standard Drill (tak tahu la betul ke tak eja ni) haha
  • Mampu tahan api selama 5 saat hingga 30 saat
  • Biasanya digunakan oleh polis, bomba, askar, RELA dan sebagainya.
***


POIN-POIN PENTING TENTANG TEKNIK PERCETAKAN - SILKSCREEN / SCREEN PRINTING

Apa itu silkscreen printing? Biasanya guna bahasa Inggeris kan? Dalam bahasa Melayu, ia adalah cetakan saring sutera. Kain untuk mencetak setiap rekaan adalah diperbuat daripada kain sutera.

Kain sutera tu pula ada jenis-jenis dia. Harga ikut jenis kehalusan setiap sulaman benang pada kain. Nak terangkan detail sangat kang korang pening pula. Google la sendiri ye.

Sebab itu harga setiap blok cetakan mampu mencecah RM60 untuk blok bersaiz A4 dan RM80 untuk blok bersaiz A3. Bukan hanya sebab kain saja tetapi bahan grafik yang nak dicetak pun mainkan peanan dalam penentuan harga. Ada la proses-proses dia.

Dan apabila pelanggan ingin mencetak banyak spot (sama ada di dada, belakang, lengan dsbnya), ia menjadi semakin mahal apabila rekaan yang mahu dicetak memerlukan pelbagai warna. Ia sama sekali tidak sama dengan cetakan heatpress yang menggunakan teknik cetakan komputer warna penuh. Nak 100 warna pun tiada masalah harga mahal.

***

POIN-POIN PENTING TENTANG TEKNIK PERCETAKAN - DTG
   
POIN-POIN PENTING TENTANG PERCETAKAN - JENIS CAT

Bahan utama untuk mencetak mestilah cat kan? Cat untuk cetakan baju ni ada macam-macam. Jom sambung baca lagi!

Jenis-jenis cat dan sedikit sebanyak penerangannya:
1. Rubber Dye
  • Selalunya digunakan untuk hasil cetakan timbul (emboss) melalui teknik heatpress.
  • Cepat kering dan ramai pencetak baju menggunakannya.
  • Ada dua jenis bancuhan:
    • Oil base
    • Water base
  • Warna hitam boleh digunakan seperti TC Dye.

2. TC Dye
  • Cat jenis ini jenis mampu serap peluh.

3. Gold Dye
  • Kos agak mahal tapi cantik.
  • Untuk yang tiada bajet, boleh guna warna kuning keemasan.

4. Glow In The Dark
  • Dihasilkan daripada sejenis serbuk yang dicampur dengan dye.
  • Selalunya ada warna hijau sahaja kerana warna lain kurang permintaan.
5. CMYK
  • Singkatan daripada Cyan, Magenta, Yellow, Black.
  • Untuk cetakan ini kos perlu ditambah adalah kos filem.
  • Biasanya harga filem mengikut saiz adalah:
    • Saiz A4: RM100
    • Saiz A3: RM150
***

POIN-POIN PENTING TENTANG TEKNIK PERCETAKAN - CETAKAN DTG

1. DTG adalah singkatan dari frasa Direct To Garment yang dalam bahasa Melayu bermaksud Terus Ke Pakaian.
2. Seperti namanya, ia adalah teknik cetak dari mesin cetak terus ke atas pakaian. Untuk hasil lebih cantik lagi, tambahkan dengan kaedah heatpress.

POIN-POIN PENTING TENTANG TEKNIK PERCETAKAN - CETAKAN PLASTISOL

1. Sesuai untuk cetakan halus dan tahan lama.
2. Dua jenis:
  • Oil base
  • Water base

POIN-POIN PENTING TENTANG TEKNIK PERCETAKAN - CETAKAN SUBLIMATION

1. Cetakan menggunakan mesin cetak (printer).
2. Sesuai untuk kain dari bahan polyster sahaja.

****

Setakat itulah ilmu percetakan yang sempat saya kutip sambil main kejar-kejar dengan si bongsu. Takpelah. Sekurangnya saya dah dapat rasa (pegang untuk tahu kualiti, ketebalan dsbnnya) kain-kain tu. Malah boleh bezakan sikit-sikit bila sentuh setiap hasil cetakan dengan teknik berbeza.

Siapa nak "rasa" dan tahu kain-kain dan jenis cetakan tu, silalah ke Kotak Hitam Art Studio. Saya tak simpan stok sebab belum ada tempat sesuai. Tapi kalau nak datang jenguk tempat kami beroperasi boleh juga. PM saya di 011-18578412 atau hubungi saya di 03-87416034.

Terima kasih sudi baca sampai habis...


Isnin, 8 Februari 2016

KEJUTAN UNTUK MAMA...

Sambil melayan Aleef menyusu, sambil membaca di telefon pintar hadiah suami ini, sambil mengintai anak-anak yang lain...

Aiman tertonggeng-tonggeng mencatat sesuatu di buku nota kecil mama. Dibantu samar-samar cahaya lampu kuning bilik air.

Kelihatan dia mengoyakkan nota tersebut dan keluar sambil menutup pintu bilik. Sambil cuba menyelitkan nota itu di celahan pintu.

Aleef bingkas bangun melihat abangnya keluar dan menutup pintu. Saya juga bingkas bangun. Membuka pintu sambil mengambil nota-nota itu.

Catatannya buat saya tersenyum... Terima kasih Aiman. Aiman selalu ada di saat hati mama rentan. Aiman selalu ada di saat mama mengerang sakit. Aiman selalu risau di saat mama kelihatan kurang sihat.

Drama ini tak habis di situ...

Secawan kopi panas terhidang. Khas untuk mama sahaja. Terima kasih Aiman.

Anak seorang ini, walau pusarnya dua, walau dikata susah dijaga dan banyak kerenah, tapi tahukah mereka yang berkata.... Dialah satu-satu anak paling berbakti padaku buat masa ini... Biar sebesar apa marah ibunya ini atas keaalahannya, biar setinggi apa suara ibunya ini atas kesilapannya, tetap, dia akan datang, selepas melihat ibunya ini mulai 'sejuk'. Datang seperti tiada apa yang terjadi sebelum ini.

Allah, sungguh hamba ini tidak semulia amanah-Mu... Bimbing aku ya Allah...

Jumaat, 5 Februari 2016

MEMULAKAN BISNES SEMULA

Pagi ni (5 Feb 2016) saya kena taip laju-laju sebab sebenarnya mata saya dah rabak kena gosok dan saya sangat letih untuk menaip. Saya perlu paksa diri untuk kekalkan blog ini updated supaya tak tenggelam ditelan masa.

Sebelum ni saya pernah cerita tentang bisnes percetakan saya yang kembali semula. Undangan daripada pengurus Muslim Model Show 2016 untuk kami menjadi salah satu penaja mereka kami terima dengan salah seorang anggota syarikat menyuntik modal yang bagi saya dan adik-adik, agak besar.

Hari ni (4 Feb 2016) bermula pencarian kami untuk menguruskan semua tempahan setelah semua perkara diminta dipersetujui melalui mesyuarat secara online melalui aplikasi Whatsapp.

Sebenarnya hari ni jadual yang saya susun adalah ke kilang untuk mengambil baju-T, kemudian ke HQ Put3 Sweet Gallery untuk tempahan pelekat dan backdrop selain memantau perkembangan tempahan kad kahwin pelanggan dan terakhir ke Cheras untuk tempahan bunting jenis roll-up.

Ia satu cabaran besar apabila anak-anak turut mengikut memandangkan saya memang tidak pernah meninggalkan anak-anak kepada sesiapa selain ibu mertua. Saya takut untuk lepaskan anak-anak kerana berita-berita penderaan yang banyak berlaku. Rasa tak berbaloi jika berlaku sesuatu pada anak-anak hanya kerana saya terlalu ingin mengejar kerjaya dan kejayaan. Jangan pula samakan anak-anak saya dan pembaca semua (jika anak-anak anda jenis duduk diam tengok luar tingkap saja). Lain padang, lain belalang.

Sambung cerita, lepas hantar anak sulung saya ke sekolah kebangsaan jam 1 petang, saya dan adik saya, Angah, terus ke kilang baju-T. Sebenarnya saya sudah tahu serba-sedikit prosedur tempahan. Tetapi oleh kerana melihat kesungguhan Angah, saya ikutkan saja cadangan dia mahu ke sana sini mencari baju-T yang dia mahu. Sengaja beri dia pengalaman berurusan.

Syarat pembelian adalah mesti mengambil sekurangnya 10 helai untuk setiap saiz dan warna. Untuk modal sekecil kami, tak mungkinlah. Kami tinggalkan kilang tersebut kerana mereka tiada stok sedia ada. Hanya jika kami menelefon untuk menempah sahaja barulah mereka akan sediakan stok.

Kami terus ke HQ bisnes percetakan kad saya. Adik saya, Al dan adik ipar saya, Cida bekerja di situ sebagai pereka grafik. Dah lama mereka bekerja di situ. Bertahun-tahun. Kami tempah backdrop dan pelekat. Deposit biasanya serendah RM50. Dah nak cetak nanti baru bayar penuh.

Selesai di HQ, saya fikir mahu ke Cheras menempah bunting memandangkan HQ tidak buat bunting jenis roll-up. Sayangnya, si kecil Aleef dah mula buat perangai kerana keletihan dan mengantuk. Jam juga sudah menunjukkan 3 petang. Saya juga rasa letih sangat kerana anak-anak melasak di dalam kereta dan sistem badan saya kurang baik akibat kehabisan ubat resdung yang biasa saya makan.

Kami pulang dan Angah saja pergi membeli stok baju-T yang dimahukan. Dia hanya beli separuh dari tempahan. Separuh lagi akan ditempah di kilang yang kami pergi tadi memandangkan ia akan digunakan pada minggu ke-3 bulan ini.

Saya di rumah pula sambil melayan anak-anak, sambil menyusun jadual untuk esok hari, sambil melayan soalan-soalan pelanggan dan pereka grafik. Letih? Triple! Tapi takpe. Ia pengalaman yang akan jadi sejarah pembukaan bisnes ini. Permulaan memang meletihkan.

Apa pun, esok akan semakin baik dengan izin Allah s.w.t. Semoga semuanya diberkati dan kami berjaya.