Ahad, 29 November 2015

FOKUS! RAHSIA KEKAL ATAS 'TREK' SEMASA BEKERJA DI RUMAH

Sumber foto: aqifazizan.com

Setiap apa pekerjaan yang dilakukan, semuanya memerlukan fokus. Fokus adalah kemampuan konsentrasi kepada sesuatu objek atau perkara tanpa mempedulikan hal-hal lain.

Bila sebut fokus, selalunya golongan ibu lebih mudah terganggu. Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak-anak sekecil 1 hari hingga 6 tahun.

Sebagai seorang surirumah yang berniaga kecil seperti saya, fokus memang sangat mudah terganggu. Masa yang ada mesti dibahagi sebaiknya antara anak, suami, kerja rumah dan pengurusan perniagaan.

Kehadiran anak-anak kecil pastinya lebih memerlukan perhatian memandangkan mereka kecil hanya sekali. Jadi, bagaimana mahu menguruskan perniagaan sambil mengurus rumahtangga?

Antara yang boleh saya kongsikan buat masa ini adalah:

#1 Wujudkan jadual rutin harian anda
Image result for rutin harian
Sumber foto: mkhai,com

Jika anda cari di Google mengenai bekerja di rumah, kebanyakan mereka yang bekerja di rumah mempunyai jadual rutin harian mereka sendiri. Wajib ada jika mahu fokus!

Jadual rutin tidak semestinya anda perlu tulis dengan waktunya sekali. Anda boleh mulakan dengan menyenaraikan semua aktiviti anda setiap hari. Kemudian barulah anda tuliskan waktu bila aktiviti itu selalunya dilakukan.


#2 Gunakan papan buletin
Image result for papan buletin
Sumber foto: id.getfreedownload.com

Selepas tulis dan senaraikan, anda boleh cetak (jika anda taip di dalam komputer). Hiaskan juga untuk menambah semangat anda setiap kali merujuk jadual anda. Kemudian tampalkan di papan buletin.

Papan buletin ini anda boleh lekatkan di dinding. Pilihlah sama ada menggunakan polistrin, papan kayu, papan putih dan sebagainya yang anda selesa.

Kaedah visual ini selalunya akan buat anda lebih fokus berbanding jadual yang diletak di dalam fail.


#3 Susun atur aktiviti anak-anak
Sumber foto: amomjourneys81.wordpress.com

Cara ini sangat membantu anak-anak dan diri anda dalam mengekalkan fokus. Selain anda memerlukan jadual, anak-anak juga mesti diajar mempunyai rutin harian mereka sendiri. Tampalkan di tempat yang sesuai dan mudah dilihat anak-anak.

Untuk anak-anak yang belum pandai membaca, gunakan gambar. Cubalah!


#4 Sokongan suami / keluarga
Sumber foto: irfankhairi.com

Sokongan dari suami juga perlu. Ini penting bagi memastikan rancangan anda berjalan dengan lancar. Bagaimana sokongan yang diperlukan? Bincang dengan suami dan ajak suami memahami rutin harian anda supaya suami boleh membantu ketika berkelapangan.

Untuk mereka yang mempunyai suami yang sering ke luar kawasan, disiplin diri sangat penting. Anda juga mesti usaha bersabar dengan kerenah anak-anak yang pastinya akan membuat anda tersasar dari fokus.

Jika tiada suami, keluarga juga boleh dibawa berbincang mengenai apa yang anda mahu lakukan. Atau anda mulakan sahaja senarai dan buletin. Kemudian, terangkan kepada ahli keluarga supaya mereka mahu melibatkan diri membantu anda juga.


*********

Saya juga sedang berusaha fokus. Susah itu bukan alasan. Yang penting, bertindak atau tidak. Merangkak atau berlari, buat sahaja! Asalkan bergerak setapak ke hadapan.

Orang yang gagal merancang, merancang untuk gagal. Rancangan tanpa tindakan hanyalah mimpi dan harapan.

Sumber teks: Pengalaman
http://ziadahzainalabidin.blogspot.my/

Jumaat, 13 November 2015

DILEMA IBU: ANAK DEGIL JIKA DICIUM! BENARKAH?

Mencium tangan anak / mencium anak, anak jadi makin degil?

Saya pernah juga ditegur mengenai hal ini. Saya suka cium tapak kaki bayi dan tapak tangan bayi.

Hakikatnya, teguran itu sebenarnya menunjukkan kesalah-fahaman "orang dulu-dulu".

Ilmu dicedok tanpa dirujuk.

Ilmu disebar tanpa penyandar.

Kasihan pada ibu-ibu yang kurang pengetahuan.

Takde masalah awak cium anak awak kat mana bahagian pun. Anak suka ibu bahagia dan sel-sel otaknya berhubung lebih baik apabila dicium. Tenang dan rasa selamat.

Mahu hadis dan ayat al-Quran? Maaf. Saya bukan penghafal. Saya hanya pembaca, pengamal dan orang biasa-biasa seperti anda juga.

"Tidak akan disayangi, orang yang tidak menyayangi." - sumber: tak ingat.

Selamat malam warga blogosfera. Esok saya dan keluarga sudah ada program bersama anjuran Jakim di Masjid Putra, Putrajaya. Saya akan kongsikan apa saya belajar di sana nanti.

Semoga semua anak-anak dan suami serta diri saya sihat untuk belajar esok. Amin. Ya robbal'alamin.

Rabu, 4 November 2015

SIAPKAN PERANCANG TAHUN 2016

Alhamdulillah untuk hari yang agak panjang rasanya hari ni.

Apa khabarnya persediaan anda semua ye? Saya agak sibuk merancang aktiviti untuk bulan Disember ini dan tahun 2016 nanti.

Rancang bukan dalam otak sahaja ye. Kena rancang betul-betul. Saya buat banyak rujukan dan bacaan untuk wujudkan sistem untuk diri saya dan keluarga.

Ya. Dalam hidup ini kita memang sangat perlu satu sistem untuk setiap kerja. Cerita tentang sistem ni, jika saya taip tentang work at home, begitu banyak carian mengenainya yang dikongsi oleh bangsa sebelah Eropah sana.

Jika saya taip "bekerja di rumah", kebanyakan tulisan di blog tidak begitu spesifik tentangnya. Kebanyakannya menulis pengalaman sendiri dan tiada tunjuk ajar yang hampir tepat atau isi yang boleh ditiru bulat-bulat oleh mereka yang sangat kosong mengenainya. Saya tak boleh kata ia tepat kerana semua orang ada cara hidup berbeza.

Dari carian saya sejak tahun 2012 mengenai bagaimana merancang segalanya dari atas kertas dan dipraktikkan dalam hidup seharian, saya akhirnya berjumpa caranya dan sedang berusaha menghasilkannya. Harapnya perkongsian saya kelak akan lebih bermanfaat kepada "pekerja-pekerja di rumah".

Oh ya! Hari ini Facebook mengingatkan saya hari pertama saya bekerja di Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia sebagai seorang pembantu tadbir gred N17. Ikuti catatan seterusnya di label catatan pengalaman saya jika mahu tahu bagaimana bekerja sebagai pembantu tadbir.

Sekian dulu untuk hari ini. Terima kasih kerana membaca.

Isnin, 2 November 2015

SEKOLAH DI RUMAH

Assalamualaikum semua. Lama juga saya tidak menulis di blog ini.

Sebenarnya saya sedang menyusun atur perancangan untuk aktiviti tahun 2016. Sebagai seorang surirumah sepenuh masa, aktiviti rutin urusan rumahtangga adalah satu keutamaan. Memandangkan tahun depan, anak kedua saya akan masuk usia 4 tahun, saya mahu usahakan mengajarnya sendiri. Tanpa menghantar ke taska atau pra-sekolah! Ia tidak mustahil.

Pada tahun 2013, anak pertama saya yang ketika itu mencecah usia 4 tahun, saya hantar ke taska. Dia tidak fokus di sekolah dan lebih kerap membantu tukang masak sekolah memasak daripada menghadap guru! Ini kerana saya jarang dan boleh dikatakan tidak pernah membacakan buku, menulis atau melukis dengannya di rumah. Saya lebih banyak mengajarnya kemahiran kerja rumah! Tapi saya tidak perasan semua itu dan tidak ada ilmu tentang keibubapaan. Selepas 3 bulan bersekolah, saya dan suami menghentikan persekolahannya.

Saya pula masih tidak tahu sumber mana untuk saya rujuk. Walaupun pernah dengar dan cari aktiviti homeschool di internet, saya tidak berjumpa laman yang berbahasa Melayu pada masa itu. Saya suka baca dan rujukan dalam bahasa Melayu walaupun saya faham dan tahu bahasa Inggeris.

Pada tahun 2014, saya hantar anak pertama saya ke sekolah lain pula. Kali ini dia lebih fokus malahan sangat sayang guru yang mengajarnya hingga digelarnya guru itu "cikgu cantik". Kadang-kadang suami terpaksa tunggu sebentar sebelum mengambilnya pulang kerana dia pasti akan ada kelas tambahan (beberapa minit) dengan gurunya itu. Markah peperiksaannya juga agak memberangsangkan.

Tahun ini saya menghantarnya ke pra-sekolah bantuan penuh kerajaan pula. Dia sudah semakin pandai membaca walaupun gurunya kali ini garang orangnya dan juga selalu hilang sabar dengan anak pertama saya ini yang agak cengeng (sikit-sikit menangis). Saya faham situasi guru tersebut memandangkan bukan anak saya seorang sahaja yang perlu dihadapnya. Jadi, saya tidak kisah dia sering marah-marah anak saya asalkan tidak berlebihan perkataan negatif.

Jadi, berdasarkan pengalaman dengan anak pertama, saya berazam untuk mengajar anak kedua dan ketiga saya sendiri. Buku-buku sekolah anak pertama saya tahun lepas masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Silibusnya juga lebih menjurus kepada sahsiah diri sebagai seorang muslim.

Ditambah pula dengan tertubuhnya kumpulan-kumpulan homeschool di Facebook, perkongsian para ibu dan sedikit kaum bapa tentang homeschool sangat banyak membantu. Malahan sekarang jika saya taip "muslim homeschool", Google akan memaparkan maklumat yang memang banyak dan perlu. Banyak juga bahan mengajar yang boleh dimuat turun dan dicetak secara percuma. Masa tahun 2013 dulu, belum ada lagi saya jumpa. Kebanyakan perkara mengenai homeschool adalah untuk orang bukan Islam. Untuk orang baru jadi ibu seperti saya memanglah sangat sukar untuk saya reka sendiri tanpa faham konsep homeschool.

Begitulah salah satu azam saya untuk sekolah di rumah sahaja anak-anak saya tahun depan. Jadual pun sedang difikirkan dan dilakar. Ada 7 bahagian rancangan 2016 saya. Sebelum ini saya tidak pernah merancang dengan kertas secara konsisten. Sebenarnya, jika kita benar-benar merancang dan buat dengan teliti, badan kita automatik akan ikut apa yang kita rancang itu. Ini kuasa minda! Minda kita beri arahan mengikut perancangan yang telah kita buat. Tak percaya? Cuba buat dulu.

Saya akan kongsikan rancangan 2016 saya sepenuhnya nanti. Sudah siap barulah seronok nak kongsi, kan? Barulah pembaca semua juga boleh cuba dan ikut. Saya bersengkang mata untuk menyiapkannya. Sudah hampir seminggu! Masih belum siap. Lakaran sahaja. Harap boleh siap sebelum Disember ini.