Jumaat, 28 Ogos 2015

DAH BACA QURAN BELUM?

Pagi sebelum Subuh yang indah tadi, buka mata, terpisat-pisat sebentar. Langsung berterima kasih pada Allah kerana berhasil bangun sebelum Subuh menjelang.

"Alhamdulillahillazi ahyana ba'dama amatana wa ilaihin nusyur." -Doa bangun tidur.

Teringat untuk membaca al-Ikhlas. Usai bacaan, langsung ke kamar mandi. Usai membersih diri, sejadah dibentang telekung dipakai. Bersila menghadap ke arah rumah Allah s.w.t. Damai mengalun semuka bacaan al-Quran sebelum kedengaran alunan azan Subuh. Perlahan ditutup al-Quran. Tenangkan diri menjawab setiap seruan dari hati.

Usai Subuh, cubaan membaca al-Kahfi seluruhnya. Fikiran terganggu sedikit dek terasa lapar. Bacaan diteruskan. Fikiran terganggu lagi. Sambil membaca sambil menyelak helaian mencari di mana penamatnya suratul Kahfi. "Jauh lagi.", desis hati. Fikiran terganggu lagi. "Bolehkah ditamatkan sehingga habis sebelum Aleef bangun?", soal hati. Bacaan diteruskan. Hampir 1 jam berlalu jika dihitung dari selesai solat tadi.

"Ehek." Suara kecil.

"Ek...." Lagi sekali. Sedikit kuat.

Isyarat sebelum tangisan berpanjangan. Tutup al-Quran. Baru separuh suratul Kahfi. Terasa ralat. Al-Quran dicium. Diletak semula ke tempatnya.

Aturan langkah ke kamar tidur. Masih merengek kecil. Hampir menangis. Tangan menarik selimut menutup tubuh kecil kesejukan. Erat pelukan sambil dibiar menikmati titisan emas. Kembali lena.

Alhamdulillah. Salam pagi Jumaat yang indah.

Sumber foto: Kumpulan Whatsapp DBQB (Dah Baca Quran Belum)

Jumaat, 21 Ogos 2015

KEWAJIPAN MENDIDIK ANAK DAN ISTERI : KISAH ANAK KECIL DAN PEROMPAK

Hari ini tiada perkara menarik. Hanya aktiviti rutin dan aktiviti melayan kerenah Aleef yang bosan kerana abang-abangnya tiada di rumah. Suami juga lambat pulang kerana bekerja lebih masa.

Saya cuma mahu kongsi sedikit sahaja hari ini. Tadi saya tonton TV AlHijrah slot Taman Syurga yang dihoskan oleh Syeikh Habib Ali, bertajuk Wajib Mendidik Anak dan Isteri. Saya tertarik dengan kisah yang disampaikan dan mahu berkongsi dengan anda semua. Komen pendapat anda setelah membacanya ya.

*******************************************
Slot Taman Syurga - Habib Ali - TV Alhijrah
Tajuk: Wajib Mendidik Anak dan Isteri
Teks olahan: Ziadah Zainal Abidin

Satu ketika, seorang anak kecil dipesan ibunya supaya tidak berkata dusta (bohong/tipu) walau di mana saja dia berada.

Anak kecil ini kemudiannya mengikuti sebuah kafilah. Di pertengahan jalan, kafilah ini ditahan perompak. Semua barangan mereka dirampas. Anak kecil ini hanya memerhati sahaja sehingga dia ditanya oleh salah seorang perompak.

"Apakah kamu punya harta?"

"Ya. Ada." Jawab anak kecil tadi.

"Di mana hartamu?"

"Di dalam kocek aku ini."

Perompak tersebut memanggil ketuanya untuk memeriksa. Ternyata kata-kata anak kecil tersebut adalah benar. Perompak yang hairan bertanya kepada anak kecil itu.

"Mengapa kamu berkata benar sedang engkau tahu apa yang aku sedang lakukan?"

"Aku telah berjanji pada ibuku agar tidak berdusta."

"Ibumu tidak ada di sini. Jadi kenapa engkau masih kekal tidak berdusta?"

"Kerana perjanjianku ini disaksikan Allah s.w.t. yang sentiasa memperhatikan aku."

Ketua perompak lantas mengarahkan pengikutnya memulangkan barangan kafilah tersebut. Dia kemudian bertanya.

"Mahu ke mana kamu selepas ini?"

"Aku mahu belajar di sebuah negeri.."

"Aku mahu mengikut kamu." Kata ketua perompak itu.

*****************************************

Dari kisah ini, apa pelajaran yang anda dapat jika dipandang dari segi kekeluargaan?

Khamis, 20 Ogos 2015

MENCARI TEMAN BIAR YANG BAIK BUDI PEKERTI

Assalamualaikum. Alhamdulillah untuk hari ini.

Pagi ni saya perlu ke klinik kesihatan bagi menepati temujanji pemeriksaan kesihatan Aleef. Temujanji pada jam 11 pagi tapi saya datang awal jam 10 pagi. Suami saya hantarkan dan tinggalkan kami berurusan di sana. Akif mengikut suami saya untuk menjemput ibu mertua saya ke Pesuruhjaya Sumpah di Putrajaya bagi menyelesaikan permohonan Rumah Mesra Rakyat. Aiman terpaksa cuti kerana ikut sekali ibu mertua. Jika tidak, tiada orang dapat mengambilnya pulang sekolah nanti.

Dalam masa saya menunggu giliran, sempat juga membaca Whatsapp. Masalah ugutan masih berlanjutan. Sehingga bergaduh adik-beradik saya. Sebagai kakak, saya tidak menyebelahi sesiapa. Hanya cuba mengekalkan fokus mereka agar tidak saling menuding jari dan hilang fokus. Ayah bercadang berjumpa ibubapa individu biadab tersebut yang masih mengugut pelbagai perkara sehingga ada pula kaitan dengan dadah. Haih. Semoga Allah berikan jalan terbaik kepada kami untuk menjernihkan keadaan.

Selesai urusan di klinik jam 11.30 pagi. Alhamdulillah. Cepat kerana datang awal dari temujanji ditetapkan. Saya telefon suami untuk memberitahunya. Suami minta saya naik teksi memandangkan dia sudah berada di Putrajaya kerana ada tugas untuk menghantar pegawai ke KLIA (Kuala Lumpur International Airport) dan akan kembali ke Putrajaya untuk membawa ibunya ke Pesuruhjaya Sumpah di sana bersama anak-anak. Sementara itu ibu dan anak-anak saya ditinggalkan di Alamanda Putrajaya bagi mengisi perut dan bersiar-siar.

Saya takut sebenarnya untuk keluar dan menunggu di hentian bas berdekatan kerana terlalu banyak kes orang hilang dilaporkan melibatkan kanak-kanak dan wanita. Saya rasa sangat tidak selamat. Mujurlah awal-awal lagi saya sudah tambah nilai kredit untuk memastikan talian internet berfungsi dan saya sudah memuatturun aplikasi MyTeksi.

Ini pertama kali saya menggunakan aplikasi MyTeksi. Alhamdulillah. Saya hanya perlu isi ruangan destinasi dan menunggu pemandu teksi sampai setelah diberikan nombor plat teksi yang akan mengambil saya serta nama dan nombor telefon pemandu. Saya fikir mahu menghantar mesej tetapi oleh kerana nak cepat sebab Aleef sudah merengek-rengek mengantuk, saya terus menelefon pemandu teksi tersebut. Kurang 5 minit, pemandu teksi tersebut sampai dan sudah menunggu saya. Mudahnya dunia online. Alhamdulillah.

Tahniah kepada pengasas MyTeksi dan pemandu yang ramah dan cepat bertindak. Kamaruddin namanya. Tak sempat pula saya ambil gambar tadi memandangkan Aleef merengek-rengek. Ditambah pula dengan masalah sandal saya tiba-tiba putus. Sabar sajalah. Lepas bayar tambang teksi sebanyak RM9, kami bergegas masuk ke rumah. Alhamdulillah. Selamat sampai.

Aleef terus tidur masa saya letakkannya atas tilam dan baring menyusukannya. Orang Jawa sebut mengempeng. Saya tak dapat lelapkan mata dek terpaksa bermesyuarat online bersama keluarga. Masih tidak selesai hal ugut-mengugut individu biadab tersebut.

Modus operandinya adalah untuk menarik perhatian adik saya supaya membalas setiap mesejnya walaupun sekali sahaja. Kami melarang sekeras-kerasnya adik daripada membalasnya. Biarkan saja mesej ugutan itu semua sebagai bukti. Sehingga menjelang Asar barulah keadaan sedikit kendur dan tenang.

Saya sudah printscreen dan mengambil gambar mesej-mesej ugutan yang telah dihantar melalui SMS, Whatsapp dan Facebook untuk dijadikan bukti. Gambar rumah, keluarga, kenderaan dan alamat individu tersebut turut saya simpan dan letak dalam mesyuarat online tadi. Maklumlah. Individu bermasalah seperti ini akan guna apa cara saja untuk menarik perhatian. Kitalah yang perlu bersedia.

Dalam mesyuarat tadi, sempat juga adik-adik bertekak sesama sendiri, salah-menyalahi dan ungkit-mengungkit. Sebagai kakak, tidaklah saya menyiram minyak ke dalam api. Bergaduh tidak semestinya berpatah-arang. Cuma mencari kata sepakat yang paling bernas. Alhamdulillah. Ibu ayah mencadangkan untuk bersemuka ibubapa individu tersebut yang merupakan guru agama di sekolah berdekatan. Saya tidaklah campur tangan lagi selepas mendapatkan maklumat secukupnya secara online. Semuanya terserah pada Allah dan keputusan kepala keluarga.

Inilah kelebihan saya sebagai pengurus online yang bekerja memang di rumah sahaja. Semuanya online. Alhamdulillah.

Jadi, saya nasihatkan kepada adik-adik di luar sana yang berjantina perempuan, jangan sesekali tertipu dengan lelaki yang bijak berkata-kata indah. Lebih-lebih lagi yang selalu bercakap hal-hal agama tetapi dalam masa yang sama, melakukan perkara-perkara yang dilarang agama. Biarpun latar belakangnya keluarga yang nampak baik dan bagus atau berstatus anak pendidik agama, ia tidak menjamin dirinya adalah terbaik untuk membimbing kamu.

Satu pesan saya yang sangat pasti.

Sebelum nikah, lain.
Sudah nikah, lain.
Sebelum ada anak, lain.
Sudah ada anak, lain.
Anak bertambah, lain.
Anak sudah remaja, lain.
Sudah tua, lain.


Manusia sentiasa berubah-ubah. Sentiasa. Yang membezakan adalah iman dan amalnya. Samada buruk atau baik.

Ini sangat betul dan sangat benar. Tanyalah kepada wanita-wanita di luar sana yang menjadi mangsa kepada suami mereka. Alhamdulillah saya tidak dijodohkan bersama lelaki durjana seperti itu. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


Rabu, 19 Ogos 2015

MENGELAK MASALAH DARI MANUSIA BIADAB

Assalamu'alaikum semua. Apa khabar iman? Bertambah ke masih di takuk lama? Moga bertambahlah ye. Amiin.

Apa cerita hari ni ye? Saya hari ni duduk rumah semula. Malam semalam ayah dan ibu saya hantar. Kebetulan mereka mahu ke rumah Mak Teh (isteri arwah abang ibu saya). Jadi saya tumpang sekali sebab rumah Mak Teh dekat dengan rumah saya.

Seperti biasalah rutin saya bersama anak-anak. Memasak, menonton televisyen, bermain bola, makan minum dan berbual bersama. Aman. Walaupun kadang Aleef meraung, kadang Akif nerengek, itulah suara yang tak akan saya dengar nadanya lagi 20 tahun akan datang. Ya. Apabila usia tua menjengah, anak sudah remaja, pastilah suasana tangis, raung dan rengek itu tak akan ada lagi. Nadanya mungkin berubah menjadi ketawa, serius atau tiada bunyi lagi kerana kurang komunikasi dan masa.

Sambung cerita hari ini, petang pula anak-anak layan diri bermain. Saya pula bermesyuarat dengan keluarga di dalam kumpulan Whatsapp. Ia tentang individu biadab (pernah saya siarkan) yang mengganggu adik perempuan saya dan kini ibu saya serta rakan-rakan adik saya.

Saya terpanggil untuk berkongsi masalah ini kerana ia pernah berlaku kepada ahli keluarga suami saya juga dan saya turut terlibat menyelesaikan masalah seperti ini. Mungkin anda semua boleh praktikkan jika anda juga punya masalah yang sama. Saya tak tahu nak namakan apa masalah ini sebab nak kata cinta, cinta apa kalau sampai mengugut, mencederakan dan sebagainya?

Kemarahan ibu ayah sudah mula meluap dari segi gaya bahasa digunakan dalam mesyuarat online kami. Sebagai anak dan kakak, saya sedih dan sakit hati membaca luahan ibu ayah. Apa saya boleh buat hanyalah mengetengahkan idea dari pengalaman lalu.

Saya cadangkan adik supaya tidak menghubungi individu tersebut sama sekali, sekat akaun onlinenya dari menghubungi adik, tukar simkad, tidak sesekali keluar dari rumah tanpa kebenaran ibubapa atau tanpa ahli keluarga, jaga solat wajib, jaga hati ibu ayah, mohon ampun pada Allah dengan solat taubat, mohon ampun dengan ibubapa dan bertindak mengikut cadangan. Alhamdulillah. Adik saya mengikut cadangan yang diberikan. Semoga dia terus istiqomah menurut nasihat kakaknya yang tidaklah sebagus dan sebaik mana.

Ya. Semua anak-anak pasti berbuat salah pada ibubapa. Tidak kira kecil atau besar. Namun, hati ibubapa itu tersangat mudah memaafkan biarpun mulutnya membebel berkata itu dan ini, marahkan kita, anak-anaknya. Semoga kita semua dalam lindungan Allah dan sempat bertaubat sebelum ajal menjemput. Matikanlah kami dalam husnul khatimah ya Allah. Ampunkanlah dosa ibubapa kami dan adik-beradik kami. Kamilah manusia akhir zaman. Penuh dosa setiap hari. Ampuni dan lindungilah kami dengan kekuasaan-Mu yang lebih berkuasa dari semua di dunia ini. Amiin.

Isnin, 17 Ogos 2015

ISTIMEWA OGOS 2015

Bulan Ogos ini ada 2 promosi dilancarkan oleh akademi. Saya sebagai pengurus online akademi telah mewar-warkan berita ini di laman Facebook, Wechat dan Whatsapp. Hari ini saya war-warkan di blog pula.

Bagi mereka yang belum bersedia memasuki kelas dan ingin tahu lebih lanjut mengenai bekerja di rumah digalakkan memiliki promosi ebook bulan ini.

Ada 2 promosi pada bulan ini iaitu:

1. Pakej Ebook RM50 dan dapat BONUS Ebook 101 Idea Home-Based Bisnes.

2. Pakej Ebook RM30 (Yeay! Mama Sudah Resign) dan BONUS mana-mana ebook akademi pilihan anda.

HARI YANG SUPER SIBUK DAN SEDIKIT STRESS

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera. ヽ(^。^)ノ

Hari ni saya balik rumah ibu saya di Putra Kajang kerana suami saya ke luar kawasan selama 3 hari. Adik saya yang ambil. Mulanya saya rancang nak menyelesaikan pendaftaran Aiman di sekolah berdekatan untuk Tahun 1 pada 2016 nanti. Saya terlupa yang suami terlupa berikan wang untuk membayar tanda nama dan tali leher yang akan dipakai Aiman nanti. Langsung saya menelefon sekolah untuk tahu samada bolehkah jika menghantar borang sahaja dahulu. Kata guru yang menjawab panggilan saya, lebih baik hantar bersama wang tersebut. Jadi, tak perlulah saya berulang-alik nanti.

Oleh kerana tak jadi untuk ke sekolah, saya bawa anak-anak ke rumah ibu saya terus. Alhamdulillah selamat sampai. Terima kasih kepada adik saya yang menumpangkan kami.

Ibubapa saya pulang selepas azan Maghrib. Mereka tiba dari Perak (kampung asal ibu saya) dengan 2 guni buah rambutan dan pulasan, isi durian dan beberapa buah tangan lagi. Alhamdulillah. Rezeki itu turut diamanahkan untuk diberi sama kepada kakak ipar ibu saya (Mak Teh).

Kata ibu, abang sepupu saya bernama Azhar (anak ketiga Mak Ngah saya) sudah punya kedai kek dan roti sendiri di sana. Dia mengusahakannya bersama isterinya. Entah berapa orang anaknya sekarang. Dah lama saya tak bersua muka dengannya. Semoga mereka terus maju dan berjaya serta diberkati Allah s.w.t.

Sambung cerita hari ini, hajat hati saya mahu memasak sebelum ibu ayah saya pulang. Sayang sekali, Aleef asyik merengek dan menangis setiap kali saya cuba tinggalkan dia sekejap. Sabar sahajalah hati ini. Akif pula tidak jemu-jemu bertanya itu dan ini di samping sibuk mengadu keadaan tapak kakinya yang naik kudis semenjak pulang dari kampung minggu lalu. Memang super sibuk saya hari ini melayan anak-anak. Rasa ingin menjerit sepuas hati untuk menghilangkan kepenatan fizikal dan mental.

Mujur saja adik perempuan saya yang seorang lagi membelikan nasi ayam untuk saya. Alhamdulillah. Syukur sangat. Aleef dan Akif pun makan bersama. Lepas makan, Aleef mengantuk. Saya tidurkan dia sambil menyusukan dan mendodoikannya dengan zikir. Alhamdulillah. Tidur juga akhirnya. Harap dia dapat tidur hingga pagi.

Ini sahaja catatan hari ini. Alhamdulillah untuk sehari lagi nafas yang percuma pada hari ini.
Oh ya. Doakan keluarga saya dijauhi dari malapetaka ye. Orang yang biadab yang saya pernah ceritakan sebelum ini masih mengganggu keluarga saya (ibubapa dan adik). Petang tadi dia cuba merentap adik saya masuk kereta hingga koyak baju adik saya semasa adik saya ke kedai runcit berdekatan.

Kasihan ibubapa saya yang kerisauan. ╮(╯_╰)╭

Ahad, 9 Ogos 2015

MAJLIS JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI DI SURAU AL-ASMAH, TAMAN SRI JELOK

Assalamua'laikum semua.

Hari ni saya dan suami sudah merancang untuk menghadiri jemputan rumah terbuka yang diadakan di surau al-Asmah, Taman Sri Jelok, tempat tinggal kami. Jadi, hari ini saya dapat cuti memasak.

Pagi-pagi lagi suami sudah memasak mee goreng basah yang memang menjadi kebolehannya di waktu dia rasa teringin nak masak. Akif jadi orang pertama merasa masakan ayahnya hari ini. Siap menambah. Selera betul walaupun pedas sedikit. Saya hanya membancuh air teh uncang sahaja sebagai minuman pagi. Aiman pula tidak makan mee goreng ayahnya kerana sudah bersarapan biskut coklat cicah air teh. Sambil menonton filem kartun Turbo, sambil bersarapan. Alhamdulillah.

Lepas sarapan, mereka masing-masing buat aktiviti sendiri dengan menonton filem dan bermain PS2. Saya pula menyiapkan pakaian untuk ke jamuan tengahari ini.

Selesai semuanya, kami pun bergegas ke surau. Ramai orang. Kami sampai lebih kurang jam 1 petang rasanya. Terlupa tengok jam. Menu yang disediakan banyak juga. Ada lemang, nasi impit, rendang, lodeh, kuah kacang, nasi beriyani, ayam masak merah, roti Arab yang diuli dan digoreng, gulai kari daging tetel, mee, bihun, sup ayam, rojak buah dan buah oren serta pear sebagai pencuci mulut. Air  minuman pula sirap oren, teh tarik dan lagi satu saya tak ingat. Alhamdulillah.

Kami makan bersuap-suap sesama sendiri. Rasa segan pun ada sebab saya tak nampak suami orang lain saling menyuap isteri dan anak-anaknya. Alhamdulillah. Terima kasih encik suami. Buang rasa segan sebab perut lapar dan suami dapat pahala. Hehe. Fikir positif. Aiman yang rasa tak cukup disuap mengambil sendiri nasi impit dan rendang di kaunter khas menu itu. Dua kali dia berulang-alik ke kaunter tersebut untuk menambah. Akif pula minta tambah lemang. Pulut memang kegemarannya. Aleef juga makan pulut.

Hampir selesai makan, Aleef sudah mula merengek mengantuk. Saya berdiri dan peluk dia rapat ke bahu. Terus tertidur. Kenyang agaknya. Kami solat zuhur di surau selepas selesai makan dan azan kebetulan berkumandang pada waktu itu. Aiman dan Akif sudah menjauh bermain di kolam ikan bersaiz mini di tepi surau bersama kanak-kanak lain. Selesai solat zuhur, Aleef bangun tidur.

Suami memberitahu dia tidak pernah menderma darah selepas terdengar pengumuman aktiviti surau hari ini. Saya galakkan dia mencuba sambil bergurau mencabarnya. Kami pun bawa anak-anak ke ruangan khas untuk menderma darah. Tak ramai orang pun. Masa pengumuman tadi pun ada terdengar yang mereka memerlukan 70 orang penderma. Waktu kami masuk, baru 40 lebih saja yang sudah menderma. Belum mencapai sasaran.

Ingatkan derma darah tidak perlu isi borang. Kena isi juga. Suami saya memanglah orang yang sangat tak suka bab mengisi borang. Jadi, sayalah sebagai setiausaha seumur hidup, mengisinya. Soalan-soalan terakhir tentang seks haram, suami saya isi sendiri sebab Aleef merengek.

Lepas isi borang dan tandatangan, jururawat periksa jenis darah. Darah suami dari jenis B. Lepas tu, ke meja pemeriksaan tekanan darah pula. Selepas semuanya baik sahaja, barulah suami dibawa ke katil pengambilan darah. Sementara suami menderma darah, saya ke ruangan solat wanita untuk menyusukan Aleef. Akif mengikut. Tak lama pun menyusu Aleef. Sekitar 5 minit sahaja, dia sudah menolak. Yang sebenarnya, dia masih mengantuk.

Saya kembali ke ruangan penderma darah tadi. Telefon suami berbunyi. Saya tak sempat jawab kerana sedang memegang Aleef sambil membuka pintu. Saya periksa nombor pemanggil. Adik ipar menelefon rupanya. Saya telefon semula. Katanya, dia dan ibu mertua saya berada di depan rumah. Saya minta dia datang surau kerana menunggu abangnya siap menderma darah.

Langkah kanan mereka. Sampai di surau, saya menjemput mereka masuk. Segan nak masuk sendiri sebenarnya. Ibu mertua saya pula enggan masuk dan minta kunci rumah kerana bimbang aiskrim yang dibelinya cair. Rupanya mereka datang untuk menghilangkan bosan di rumah. Suami yang lebih rasional menawarkan diri untuk menyimpan aiskrim tersebut di rumah sementara ibu mertua dan adik ipar saya makan di surau. Semua setuju dan saya menunjuk arah ke meja kaunter hidangan.

Hampir jam 4, suami pun mengajak pulang. Kami naik kereta manakala adik dan ibunya menunggang motosikal. Sampai di rumah, ibu mertua menyuruh saya menggoreng cempedak yang dibawanya. Sebenarnya saya tidak pernah menggoreng cempedak. Tanpa segan silu saya tanya apa resepinya. Rupanya mudah saja. 1 sudu besar tepung beras dicampur dengan tepung gandum dan air. Sambil saya menggoreng cempedak sambil membasuh pinggan mangkuk kuali semua. Siap menggoreng dan menghidang, saya sambung membasuh. Suami melayan anak-anak sambil menonton filem Fast & Furious 6. Aiman pula sudah membuka laptop dan menonton permainan video Super Mario di Youtube.

Jam 6.30 petang barulah ibu mertua dan adik ipar pulang membawa bersama Aiman dan Akif. Aiman seperti biasalah akan ke sekolah esoknya. Akif pula memang sudah 2 minggu mencari peluang mengikut opahnya ke kampung. Tinggallah saya, suami dan Aleef. Suami mengambil peluang ini untuk bermain permainan video bola di PS2. Saya pula bersiap-siap dan menyiapkan Aleef untuk ke pasaraya Mydin membeli barang dapur dan menghantar komputer ke rumah ibu saudara suami. Semasa di rumah ibu saudaranya, sempat juga kami berbincang mengenai hal pembinaan rumahayam mentah, ubat nyamuk dan minuman coklat. Jumlahnya RM30.10. Kami bertolak selepas Maghrib.

Ini peristiwa paling kelakar bagi saya. Pertama kali saya beli barang di pasaraya dengan jumlah tidak sampai RM50. Sebenarnya kewangan sudah sangat menyusut sementara menanti gaji suami pada 25 Ogos 2015 ini. Dalam tangan saya ada RM40 yang dicampur wang suami namun dalam bentuk wang kertas RM1. Pastinya anda juga segan mahu berbelanja kerana bimbang disangka mengambil wang pemberian sedekah raya anak-anak yang lalu. Saya cuba keluarkan wang dari mesin ATM semalam sebanyak RM30 lagi kerana itu sahaja baki yang tinggal hasil jualan karipap mini di bulan Ramadhan lalu.

Saya teringat yang kad bank saya adalah kad debit dan VISA. Semasa mengaktifkan semula akaun bank dulu, saya diberi dua pilihan untuk memilih samada mahu kad itu dijadikan kad kredit atau kad debit. Saya dijelaskan bahawa kad debit boleh digunakan untuk membeli-belah tanpa saya perlu membawa keluar wang tersebut dari bank. Saya tidak pernah menggunakan keistimewaan itu. Tetapi oleh kerana segan mahu menggunakan wang RM1 yang berjumlah RM40 itu, saya cuba juga. Semasa pembayaran di kaunter, suami sudah awal-awal menunggu di luar. Saya guna teknid BAD sahaja supaya Allah tutup rasa malu. Jumlah RM30.10 tadi saya bayar gunakan kad debit tadi. Alhamdulillah. Berjaya. Selepas menandatangani resit, saya pun keluar dari kaunter menuju ke arah suami yang tersenyum simpul. Lucu rasanya dengan peristiwa ini. Tak mungkin saya dapat lupakan. Kami pulang dengan rasa lega dan terima kasih pada Allah.

Alhamdulillah untuk hari yang berjalan lancar dan rezeki yang melimpah ruah dikala sedang kesempitan. Allah Maha Mendengar. Minta pada-Nya pasti ditunaikan dengan syarat jalankan tugasan utama tanpa tertinggal (rukun pertama dari 5 rukun Islam).

Sumber foto: Peribadi

KELAS ONLINE WEBINAR BERSAMA AQIF AZIZAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Jam 8.30 malam, 7 Ogos 2015, saya terbaca status copywriter terkenal dari syarikat Write To Wealth iaitu Aqif Azizan di Facebook. Yang menarik perhatian saya adalah perkataan percuma. Ya. Kelas online percuma secara live. Dari jam 9.00 malam hingga jam 10.30 malam.

Perkongsian beliau kali ini sebenarnya lebih kepada back to basic atau kembali kepada asas. Ini pendapat saya sahaja ye. Pembaca semua boleh rujuk slaid beliau yang saya sempat screenshot di dalam kelas tadi di bawah ye.

Selepas pembaca semua membaca dan melihat serta memuatturun slaid ini (minta izin dulu ye), apa yang anda belajar dari slaid-slaid di bawah? Kongsi dengan saya pendapat atau soalan anda. Terima kasih.


Di dalam slaid ini, kami (semua penonton termasuk saya) dijelaskan tentang bagaimana syarikatnya membuat kajian memilih pelanggan. Ini boleh dipraktikkan sebelum anda mulakan bisnes anda. Ingat! Setiap eksperimen anda akan memberi keputusan berbeza. Eksperimen ni bukanlah bermaksud anda perlu kenal luar dalam peribadi pelanggan atau bakal pelanggan. Ia bermaksud anda kenal apa pelanggan mahu.


Slaid ini pula menerangkan cara terbalik memilih pelanggan sebelum anda mengarang ayat iklan anda. Selalunya, kita kenal pelanggan dahulu, baru kenal masalah dia. Kaedah ini diterbalikkan kepada kenal masalah dulu, baru cari pelanggan yang ada masalah tu.

Contohnya masalah ibu-ibu yang stress nak kerja dan tinggal anak sebab baca, dengar dan tonton banyak berita anak-anak didera pengasuh atau mati tersedak susu. Ini contoh ye. Jangan marah pula.
Penyelesaiannya? Kita tawarkan penyelesaian dengan membuka peluang bekerja hanya di rumah seperti Akademi Bekerja Di Rumah ini. Boleh mulakan mengikut bajet dan masa ibu-ibu tersebut. Jadi, ibu-ibu tidak perlu risau anak-anak berisiko didera apabila dihantar kepada pengasuh yang tidak dikenali sikap dan hati budinya.

Sekali lagi saya beritahu, ini contoh ye. Kakak-kakak pengasuh janganlah marah pula. Siapa terasa dia ada buatlah tu. Kan?


Slaid yang ini pula menggunakan kajian kes terhadap pelanggan mereka (Write To Wealth) iaitu peniaga powerbank. Siapa tak tahu powerbank tu apa, silalah tanya pakcik Google ye. 

Ketiga-tiga masalah di atas adalah kajian untuk mendapatkan pelanggan yang tepat. Menurut tuan Aqif Azizan, masalah yang paling mendapat perhatian adalah yang pertama. Kenapa? Saya rasa anda semua boleh jawab soalan tu.


Slaid yang ni pula, menerangkan yang kita mesti ikut prinsip untuk 1 iklan 1 tawaran sahaja dan letakkan had masa tawaran.

Contoh dalam Akademi Bekerja Di Rumah:
Masalah: Stress kerja di luar rumah dan mahu berhenti
Target Pelanggan: Ibu-ibu bekerja
Iklan: Beli 2 ebook berkaitan kerja di rumah
Tawaran: Bonus 1 ebook berkaitan
Had masa: Hingga 31 Ogos 2015

Kalau contoh dari slaid tu:
Masalah: Susah caj telefon guna plug dan pengecas ambil ruang banyak dalam beg.
Target pelanggan: Wanita eksekutif.
Iklan: Powerbank mini
Tawaran: Waranti dan tukar baru
Had masa: 60 hari

Ini saya taip berdasarkan apa yang saya faham la ye. Agak kurang fokus tadi sebab sambil dengar sambil tonton sambil susu anak dan 'bersilat' dengan anak-anak.


Lepas dah faham masalah, kenal pelanggan, tulis tawaran iklan tu, barulah buat arahan pembelian atau orang sekarang panggil Call To Action (CTA). Boleh juga panggil cara beli atau cara hubungi kami. Apa-apa je la kan. Asal boleh faham.

Dalam hal nak suruh bakal pelanggan tadi bertindak, tuan Aqif Azizan ada berkongsi pengalaman beliau bahawa dalam kebanyakan cara berhubung ni, Whatsapp lebih menjadi keselesaan pelanggan berbanding SMS biasa.

Ada juga yang tanya, guna nombor +60123456789 atau terus 0123456789 untuk dihubungi lebih baik? Jawapannya, untuk kita yang meniaga dalam negara ni, tak perlulah nombor +60 tu. Guna macam biasa saja pun dah memadai.

Saya ada juga soal tentang bahasa yang tuan Aqif Azizan gunakan dalam hubungan pelanggan. Samada bahasa baku atau bahasa pasar. Sambil betulkan soalan saya (bukan bahasa baku tapi bahasa profesional), katanya, biasanya beliau mengikut keselesaan pelanggan. Ada juga yang menyampuk jawab di ruangan chat menyatakan Bahasa Melayu Tinggi. Terus saya teringat Puan Ainon Mohd. Jadi, ikutlah bahasa yang pelanggan guna ye. Tapi kalau bahasa "kurang belajar" tu, janganlah ikut ye. Lurus bendul sangat pula.

Lagi satu perkara dalam hal CTA ni, anda tidak disarankan untuk memberikan terus nombor akaun bank anda. Sebaik-baiknya tanya pada bakal pelanggan soalan yang tepat.



Yang ini screenshot ruangan chat contoh ayat iklan yang tuan Aqif Azizan sediakan. Bolehlah dipraktikkan ye.



Ni pula contoh ayat iklan tadi beserta gambar. Sebetulnya, gambar juga memainkan peranan penting dalam menarik pelanggan. Sesiapa yang hantu IG (Instagram) tu fahamlah kan?



Ini pula slaid yang menerangkan tentang pengurusan kewangan. Ni memang ramai orang gagal bisnes kerana sengaja tak rekod aliran kewangan. Saranan tuan Aqif Azizan adalah anda masuk Klinik BRC atau tuan klinik tu, tuan Bukhari Ramli.

Dalam Akademi Bekerja Di Rumah juga ada belajar tentang perakaunan ini. Jadi, anda ada 2 pilihan. Nak guru lelaki atau guru perempuan. Pilihan di tangan anda. Nak dua-dua pun boleh.




Ok. Dua slaid ini menyenaraikan 3 proses penting sebelum dapat berurusniaga dengan pelanggan anda ye.

Pertama: SEBELUM
Ini adalah proses paling kritikal kerana anda perlu kenal masalah, kenal pelanggan yang tepat, reka dan bereksperimen dengan tawaran iklan anda serta cipta CTA. Ia mungkin agak memakan masa. Paling cepat adalah 3 hari (ini pengalaman tuan Aqif ye).

Kedua: SEMASA
Proses yang ini lebih kurang seperti Trial and Error. Belajar, eksperimen dan tambah baik. Bukannya belajar, eksperimen dan berhenti. Hehe. Tu saya yang dulu.

Ketiga: SELEPAS
Yang ini akan menentukan samada anda dapat atau tidak pelanggan anda. Samada tetap atau sekali sahaja. Di sinilah anda membina kepercayaan dan kredibiliti. Sepantas mana anda menjawab CTA pelanggan, mengendalikan pesanan pelanggan dan sebagainya,


Yang tentang produk tak laku tu, saranan tukar segmen pelanggan bermaksud anda tukar target. Contoh, sebelum ni target anda semua wanita (maklumlah, cepat terpukau), tukar kepada wanita berkerjaya yang stress. Contoh sahaja ye. Spesifikkan masalah. Nampak tak?



Mula eksperimen iklan dengan skala kecil ini maksudnya anda gunakan kos paling minima untuk beriklan. Contoh, jika anda gunakan ruangan iklan di SOHO Directory dalam rangkaian Akademi Bekerja Di Rumah ini, pilih kos paling minima sebagai permulaan (jika anda belum pernah beriklan atau baru belajar). Apabila respon dan jualan meningkat, baru naikkan kos untuk lebih peluang mendapat pelanggan tepat.

Itu saja buat masa ni. Semoga berjaya.

Jumaat, 7 Ogos 2015

PENIAGA ONLINE PENIPU?

Assalamualaikum.

Hari ni terbaca hal peniaga online penipu di blog nameeroslan.blogspot.com.

Cerita tentang penipuan ni, saya teringat kisah masa saya baru lagi dalam dunia perniagaan online ni. Masa tu dropship baru berkembang dalam 30 ke 40 peratus di Malaysia ni rasanya.

Kes ni bukan di Instagram macam yang saya baca tu. Kes saya ni di laman Facebook. Masa tu adik saya kerja dengan pengaturcara majlis perkahwinan. Dia belajar solek orang dan memang pandai bab solek-solek ni dari sekolah menengah lagi. Saya tak pandai langsung.

Satu hari, saya diminta untuk terima seorang individu yang saya tak kenal sebagai rakan Facebook. Saya terima saja tanpa ada niat apa-apa. Baru kenal Facebook la katakan. Dalam pada memunggah profil timeline individu tersebut, saya nampak iklan produk solekan (eye-shadow jenama MAC dengan warna yang sangat banyak). Saya pun tambah rakan melalui individu tersebut. Saya pun tunjuk kat adik saya ni gambar alat solek tu. Apalagi. Terus dia bayar dan tempah. Orang tu tak letak gambar dia. Dia letak gambar alat solek je.

Masa bayar tu, saya yang bayarkan melalui online banking. Jadi, dapatlah saya trace nama dia. Saya dapat harga RM90. Tapi terlebih bayar jadi RM100. Saya pun minta dia berikan semula baki duit sebab itu bukan duit dan barang saya. Dia jawab, dia salah kira. Harga saya dapat tu tak termasuk harga pos. Dalam masa sama, dia beritahu adik saya, alat solek tersebut adalah original.

Lepas beberapa hari, barang sampai. Adik saya telefon dan membebel. Adik saya cakap barang diterima bukan original. Ia produk tiruan.

Saya pun tanya semula individu tersebut. Dia diam. Tak jawab. Saya jadi bengang sebab dia tak jawab dan saya rasa malu dengan adik sebab rasa ditipu.

Adik saya pun serang dia melalui chat di Facebook. Adik saya tunjuk semua mesejnya di Facebook. Dia pula buat tak tahu dan senyap.

Saya mulanya beri amaran di laman Facebook saya tanpa tag nama sesiapa. Oleh kerana tiada respon, saya akhirnya screenshot urusniaga kami serta nama penuh dan nombor kad pengenalan beliau di Facebook. Mungkin rakannya perasan, dia terus membalas chat kami dan mohon maaf serta mohon memadamkan kembali apa yang saya siarkan. Saya berikan syarat, pulangkan wang adik saya dan saya pulangkan alat solek tersebut.

Saya minta alamatnya untuk saya hantar semula alat solek tersebut. Apa yang dijawabnya menandakan dia memang penipu. Dia enggan memberikan alamatnya dan menyatakan tidak perlu menghantar kembali kepadanya. Ambil saja percuma.

Akhirnya dia mengaku salah dan membayar semula wang adik saya. Saya pun tunaikan janji saya untuk memadamkan status tentangnya. Tidak lama selepas itu, saya dan adik saya disekat dari laman Facebooknya. Saya pula terus mencari individu yang berkaitan dengannya dan terus membuang dari senarai rakan. Kes selesai setakat di situ.

Sekian cerita saya.

Selasa, 4 Ogos 2015

DISERANG DAN DIUGUT PEMUDA BIADAB

Alhamdulillah. Assalamu'alaikum semua.

Syukur kerana masih bernyawa untuk terus memperbaiki diri dan menyebar kebaikan serta ilmu melalui blog ini. Salam kemaafan pada yang terasa hati (jika ada). Terima kasih pada yang setia membaca.

Hari ini kami (saya dan suami) agak terkejut kerana rumah kami diserang individu yang saya kategorikan sebagai bermasalah. Begini ceritanya.

Pagi-pagi lagi (jam 7.30 pagi) adik saya telah mesej saya melalui Whatsapp menyatakan beliau akan datang sebentar lagi untuk menghantar simkad dan merujuk saya berkenaan syarikat percetakannya. Saya setuju dan sambil menunggunya, saya meneruskan aktiviti rutin saya bersama anak-anak.

Lebih kurang jam 11 lebih rasanya baru adik saya sampai. Dia membawa bersama fail-fail syarikat dan komputer ribanya. Dia mahu menyiapkan laporan tahunan untuk dihantar ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri. Walaupun untung tidak banyak dan masih bertatih, syarikat ini sebenarnya mampu berkembang lagi jika kena caranya. Dengan izin Allah jua.

Sedang berbincang, adik saya mula membebel kerana diganggu mesej-mesej dari seorang teman yang saya rasa agak biadab. Sebelum ini juga begitu. Setiap kali adik saya mahu mulakan kerja-kerjanya, tumpuannya terganggu hingga tidak mampu membangunkan syarikat gara-gara teman yang seorang itu.

Sebagai kakak pastilah saya amat tidak setuju sekiranya adik saya meneruskan hubungan dengan orang sebegini. Sentiasa menuduh, mengugut dan melemparkan pelbagai perkara negatif pada adik saya. Malahan saya melihat sendiri individu tersebut menyebarkan gambar ayah saya di laman WeChat miliknya dengan tujuan tidak baik. Sangat biadab!

Senja tadi, selepas azan Maghrib, saya yang sedang menyuap anak kedua makan sambil menonton televisyen dikejutkan dengan bunyi hon kereta milik adik saya. Adik saya yang mengecam bunyi hon keretanya terus keluar. Rupanya individu tersebut telah berada di hadapan rumah dan sedang menendang sisi keretanya. Adik saya segera keluar dan kemudian saya terdengar bunyi tapak kaki adik saya berlari masuk ke dalam rumah semula dan cuba tidak mempedulikannya dengan menutup kembali pintu. Sekali lagi ditendang-tendangnya kereta adik saya menyebabkan penggera kereta berbunyi. Segera adik saya keluar rumah semula dan memarahi individu tersebut. Saya yang terkejut dan ingin tahu membuka pintu lebih luas dan cuba melihat wajah individu tersebut. Kurus sahaja orangnya dan biadab. Dia menengking-nengking. Begitu juga adik saya. Saya yang turut panas hati, diam dan merenung lelaki tersebut. Suami saya pula sedang menunaikan solat Maghrib.

Seketika saya berpaling dari individu tersebut, saya lihat suami sudah keluar dari bilik dan bertanya apa yang terjadi. Saya lantas menunjuk keluar pagar dan menyatakan ada individu sedang buat kacau di depan rumah. Terus suami saya keluar dan bertemu muka dengan individu tersebut. Tidak pula kedengaran dia meninggi suara dengan suami saya. Saya bingkas membasuh tangan selepas selesai menyuap makan pada anak saya tadi dan terus menuju ke ruang tamu ingin melihat keadaan seterusnya.

Suami saya sudah berada di ruang tamu semula dan sedang menonton televisyen manakala adik saya sambung bertekak dengan individu terbabit. Saya faham suami ingin dengar dari jauh apa masalah mereka sebenarnya. Dari perbalahan mereka, individu tersebut cuba memeras wang sebanyak RM3000 dari adik saya (sebagai bayaran dia membaiki kereta tersebut) setelah hubungan mereka terputus siang tadi setelah bertengkar di dalam talian internet melalui Whatsapp. Sekiranya adik saya tidak bayar, dia mahu adik saya menyerahkan kereta tersebut kepadanya. Suami mencadangkan saya menghubungi polis. Adik saya yang kejap di luar, kejap masuk ke dalam rumah juga turut meminta saya hubungi polis kerana kami tidak nampak tanda-tanda individu tersebut akan pergi dengan baik.

Saya cuba menghubungi talian balai polis terdekat iaitu Kajang di talian 03-87362222. Namun tiada jawapan. Hampir 5 kali panggilan saya tidak berjawab. Saya akhirnya menghubungi talian 999 iaitu talian kecemasan. Syukur. Ada operator yang menjawabnya dan terus menyambungkan panggilan saya kepada polis.

Tidak sampai 5 minit, ada talian tidak dikenali menghubungi saya dan bertanya tentang laporan saya tadi. Saya mengesahkan laporan dan polis terbabit dalam perjalanan. Selepas 5 minit, polis terbabit sekali lagi menghubungi saya. Dia tersalah tempat rupanya dan saya berikan alamat sebenar. 5 minit kemudian, polis sampai dan menghalang individu terbabit. Kata polis, individu tersebut tidak ada hak untuk mengambil kereta tersebut. Individu tersebut akur namun masih sempat bertengkar dari dalam kereta sebelum berlalu pergi, diiringi polis tadi.

Alhamdulillah. Selesailah masalah yang tiba-tiba ada ini. Moga kelak adik saya tidak tersalah memilih orang lagi. Walau apa pun, hanya Allah tempat kami berlindung. Ya Allah ya Malik yang memiliki seluruh alam, lindungilah kami dari seluruh makhluk jahat di dunia ini. Hanya kepada Mu kami berserah. Amiin ya robbal alamin.

Foto: Polis hadir menghalau pemuda biadab.
Terima kasih kepada pihak polis yang segera datang tadi sekaligus menakutkan bakal penjenayah tersebut. Sebetulnya individu tersebut masih tidak berpuas hati lagi dan menghantar pelbagai mesej ugutan kepada adik saya. Sahabat semua doakanlah kami ye. Moga terlindung dari sebarang kejahatan.

Foto: Sebahagian mesej ugutan dari pemuda biadab.