Jumaat, 23 Oktober 2015

LANGKAH MUDAH BINA GALERI DI BLOG

Assalamu'alaikum semua. (^_^)

Oleh kerana saya agak sibuk menyediakan blog khas perniagaan percetakan saya, saya kurang jenguk blog peribadi ini.

Perniagaan ini menyediakan khidmat mencetak kad undangan perkahwinan dan surah Yasin untuk majlis tahlil. Kalau sudi menjenguk boleh ke link ini, Put3 Sweet Gallery Semenyih. (*^_^*)

Dalam saya memasang "tiang seri" di blog tersebut, saya terfikir, bagaimana mahu meletakkan gambar produk yang banyak di dalam satu album? Kan kalau kita guna blog, gambar yang dimasukkan perlu ditarik ke bawah untuk melihat semua gambar. Ia agak meletihkan jika gambar mencecah puluhan. Saya pun cuba tanya pakcik Google. Walaupun kebanyakan blog di dalam bahasa Indonesia dan perkongsian mereka agak memeningkan, saya teruskan juga klik setiap pautan sehinggalah terjumpa satu blog yang menghubungkan saya dengan satu laman yang memang disarankan untuk anda guna jika mahu bina galeri atau katalog dengan cara mudah. Sangat senang dan praktikal.

Saya perkenalkan laman ini dengan pautannya Quick Gallery. Anda akan dibawa ke paparan seperti di bawah.

 
Quick Gallery ini adalah sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan web yang membantu anda untuk memaparkan gambar dari akaun Facebook, Instagram, Picasa dan Flickr dengan cara yang mudah.

Ia boleh digunakan dalam laman web dan juga ia kelihatan menakjubkan dengan blog. Ia berfungsi dengan baik dengan mana-mana platform berblog seperti Blogger.com.

Foto-foto akan diambil dari album-album sedia ada di dalam akaun-akaun media sosial yang saya sebut tadi.

Di bawah ini saya kongsikan cara masukkan gambar melalui akaun Facebook sahaja ye. Akaun lain tu anda boleh rujuk di laman web tersebut.

  1. Klik "Create Gallery" atau "Build Your Gallery" pada laman utama QuickGallery.com.
  2. Pilih "Facebook".
  3. Klik butang "Sign In".
  4. Masukkan username dan password akaun Facebook anda.
  5. Pilih album mana dari akaun Facebook yang anda mahu jadikan galeri di dalam senarai drop down.
  6. Klik "Next".

Tak faham boleh tonton tutorial video di pautan ini --> Video Tutorial Quick Gallery.

Sekian. Terima kasih sudi singgah. Kongsi jika ada manfaat untuk rakan-rakan lain.


Jumaat, 16 Oktober 2015

KEMBALI KE DUNIA CETAK!

Assalamu'alaikum semua.

Sudah pagi hari. Saya masih belum tidur. Baru selesai memasang tiang-tiang utama blog perniagaan percetakan saya dan adik saya. Hampir 6 jam saya berjaga pagi ini. Beberapa jam lagi sudah Subuh.

Inilah hikmahnya ilmu yang diajar di dalam kelas asas blog bisnes. Saya aplikasikan untuk perniagaan saya pula.

Sekarang tinggal menyiapkan galeri, mempromosi blog dan membuka fanpage Facebook sahaja.

Ringkas saja catatan pagi ini. Mata sedikit berat. Bahu sudah sengal. Pinggang sudah lenguh. Takut terlajak pula solat Subuh nanti.

Nak tengok sikit blog cetak saya? Silalah. Klik Put3 Sweet Gallery Semenyih.

Ahad, 11 Oktober 2015

HOMESCHOOL VERSI MAMA DIGITAL

Assalamu'alaikum semua dan salam sejahtera kepada yang bukan Muslim.

Hari ini saya berfikir cara bagaimana saya mahu mengajar anak-anak melalui cara digital memandangkan dakwat printer habis digunakan aktiviti file folder dan dakwat marker juga habis dikerjakan anak-anak masa main lukis smiley face di mangkuk polistrin beberapa minggu lalu. Selepas perah otak sambil urus rutin rumahtangga, saya terpanggil untuk mencari di internet.

Sebagai seorang ibu yang kenal komputer seawal usia 10 tahun (jika tidak salah), dunia skrin digital memang sangat sinonim dengan saya. Anak-anak apatah lagi. Mereka kenal komputer dari dalam perut lagi (hamil).

Walaupun ramai juga berselisih pendapat tentang pendidikan melalui gajet dan digital ini, saya tidak nafikan keburukannya. Sebagai ibubapa, kitalah yang menentukan apa yang boleh dan tidak boleh ditonton. Saya lebih rela anak-anak menonton kartun daripada menonton filem-filem yang dilakonkan manusia yang sememangnya 90 peratus daripadanya mendedahkan aurat mereka samada rambut, bentuk badan dan sebagainya. Lebih-lebih kagi filem Hindustan yang ditayangkan pada hari cuti. Sakit mata menontonnya.

Okay. Sambung cerita yang nak disampaikan. Termelencong pula.

Perasan tak jika kita buka DVD atau VCD di komputer atau laptop, format fail video adalah format .mpeg atau .mkv?

Selalunya, bila saya muat turun fail video melalui TubeMate (untuk telefon pintar sahaja) dan KeepVid (untuk komputer) atau VLC Media Player, saya akan dapat format fail .mp4 dan sebagainya, di mana ia tidak boleh dimainkan di televisyen.

Jadi, saya pun cuba cari di internet hari ini memandangkan anak-anak nampak kebosanan dengan rancangan kartun di televisyen yang berulang-ulang. Rancangan kartun yang tak membosankan anak-anak saya hanyalah Upin Ipin dan Pada Zaman Dahulu. Kebetulan pula pihak LesCopaque Production telah menambah video berbentuk pelajaran di saluran YouTube mereka, bagus juga jika dapat dimuat turun dan ditonton di televisyen.

Cerita banyak tak guna. Jom baca cara-caranya. Sebelum itu, jangan lupa sediakan pendrive atau harddisk yang bersaiz besar ye. Kalau setakat 2GB, jangan mimpilah nak simpan banyak-banyak video.

Ingat ni! 8GB = 1 keping DVD = 15 video berdurasi 20 minit untuk setiap 1 video. Lebih kurang begitulah kiraannya ye.

*********

LANGKAH DEMI LANGKAH MUAT TURUN VIDEO UNTUK TONTON DI TELEVISYEN
  • Muat turun software Freemake Video Converter
  • Klik link ini --> Freemake Video Converter. Anda akan dibawa ke laman yang memaparkan gambar di bawah.

  • Klik pada ikon segitiga berwarna oren dan bertulis "Download" untuk memuat turun software.
  • Install dan buka software tersebut. Ia akan memaparkan gambar seperti di bawah.

  • Buka laman YouTube atau mana-mana laman video pada mana-mana browser anda.
  • Pilih video yang anda mahu muat turun.
  • Salin (copylink video tersebut dan klik butang "Paste URL" pada paparan software. Bahagian hujung sebelah kanan. Anda dapat lihat link video tersebut muncul di skrin seperti gambar di bawah.
  • Klik pula pada butang ikon TV bertulisan "to MPEG" di bahagian bawah.

  • Anda akan dibawa ke paparan "Conversion to MPEG" seperti gambar di bawah yang menandakan video sedang dimuat turun dan dialih kepada format .mpeg, iaitu format video yang boleh dimainkan di televisyen.


  • Setelah selesai memuat turun dan menukar format, klik pada tulisan "Show In Folder" seperti gambar di bawah. Anda akan dibawa terus ke fail video yang telah dimuat turun. Sekarang anda hanya perlu salin dan tampal di dalam pendrive anda untuk dimainkan di televisyen pada bila-bila masa.

*********

AMARAN!!!
Pastikan anda hanya gunakan untuk kebaikan. Muat turun video yang berfaedah sahaja!
Saya tidak akan bertanggungjawab jika anda salah klik dan menyebabkan komputer anda bermasalah. Sila ikuti arahan satu per satu hingga selesai. Sila komen atau mesej saya jika tidak faham. Selamat mencuba!!

***Format pendrive anda juga perlu sesuai dengan televisyen yang anda gunakan. Sama ada format .FTP atau exFTP.

Jumaat, 9 Oktober 2015

KPI OKTOBER 2015 KELAS ABDR

Assalamu'alaikum.

Lama rasanya tidak menaip di sini.

Kebelakangan ini saya agak sibuk membaca dan mencari sumber rujukan untuk menghasilkan e-book yang masih belum diberi tajuk.

Puan pengasas menawarkan kelas dan penerbitan e-book secara percuma jika saya berhasil mendapatkan sejumlah pelajar baru untuk akademi ini. Ia bernilai lebih RM500. Terasa seperti dicabar. Saya sudah aturkan jadual sendiri untuk mencapai KPI yang ditetapkan. Semoga ada pelajar mahu menyertai kami melalui saya.

Dalam masa sama sudah 3 entri yang hampir siap untuk e-book itu. Biarlah ia terperam dahulu dalam laptop. Rezeki manusia Allah sahaja yang tahu kan?

Selain sibuk dengan penulisan, urusan rumahtangga dan aktiviti homeschool dalam kumpulan Facebook, saya juga sedang membina laman web khas produk percetakan hasil kerjasama dengan adik perempuan saya dan memasarkan produk-produk akademi serta buku-buku ilmiah.

Semoga usaha ini akan membuahkan hasil suatu hari nanti. Allahumma amiin.

Rabu, 7 Oktober 2015

DUNIA CETAK: PERMULAAN PENGLIBATAN SAYA

Assalamualaikum.

Hari ini sekali lagi Facebook mengingatkan saya permulaan penglibatan saya dalam dunia percetakan t-shirt kira-kira 2 tahun yang lalu.

Ketika itu saya tinggal bersama adik bongsu saya yang sudah bernikah. Beliau bekerja sebagai seorang pereka grafik syarikat pengiklanan di Kuala Lumpur. Isterinya juga bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat percetakan kad kahwin di Taman Putra Kajang.

Saya agak kagum melihat kesungguhannya bekerja. Pada siang hari dia akan ke pejabat. Pada malam hari pula dia akan menyiapkan tempahan baju cetak.

Saya perhatikan dari awal dia mula melibatkan diri dalam dunia percetakan ini. Dia sendiri menukang dan merekacipta meja mencetak baju sebaik pulang dari kerja atau ada waktu terluang. Berbagai percubaan dilakukan.

Baju-baju lama yang tidak digunakan menjadi mangsa hasil cetakan percubaannya. Gigih dan konsisten.

Lampu pemanas untuk mengalih imej yang dicetak di kertas ke atas kain yang digunakan untuk mencetak baju juga diusahakannya sendiri. Biarpun secara manual dan memakan masa serta tenaga elektrik yang tinggi, dia tidak putus asa.

Usahanya dibantu salah seorang rakannya yang mengambil upah memasang plug khas untuk digunakannya dalam proses mencetak. Ini kerana penggunaan wayar penyambung biasa yang terdapat di pasaraya tidak mampu menampung aliran tenaga elektrik yang diperlukan.

Bermula dengan penyediaan meja mencetak, lampu yang boleh mengalih cetakan kertas ke atas kain, pembinaan blok-blok cetak dan proses mencetak dan mengering baju yang sangat banyak, dia akhirnya berjaya berkerjasama dengan rakannya mendapatkan tempahan demi tempahan setiap minggu.

Saya yang melihat jerih-payahnya tersenyum di dalam hati. Kadang-kadang saya ikut membantunya membungkus pakaian yang telah siap dicetak dan dikeringkan. Kasihan melihat dia bersendirian melakukan hampir seratus-peratus kerja. Itupun jika saya belum tertidur dek kerana letih menguruskan rumahtangga.

Sehingga kini dia masih mengambil tempahan mencetak baju secara sambilan. Seringkali pulang lewat malam atau pagi kerana menyelesaikan tempahan. Mujur dibantu oleh adik-adik lelaki saya yang lain serta rakan-rakannya.

Begitulah kisah bermulanya saya juga turut terlibat dalam dunia percetakan. Dari mata turun ke hati. Ya, saya kembali terlibat dalam dunia cetak ini bermula awal Oktober 2015 lalu secara sambilan di atas talian juga. Insya-Allah saya akan kongsikan lagi perkembangannya.

Semoga usaha kami semua berkat lagi halal serta bertambah baik.

Bismillahitawakkaltualallah.


Isnin, 5 Oktober 2015

10 TIPS RUMAH SENTIASA KEMAS & BERSIH

Sebagai surirumah seperti saya, menguruskan 3 orang anak sendirian memang rasa seperti nak gila. Apalagi mereka yang mempunyai lebih ramai anak.  Ada hari-hari yang kita rasa huru-hara. Di samping menyiapkan anak-anak, menjalankan perniagaan online dan penulisan, menyediakan makanan tepat pada masanya, kerja-kerja rumah yang ada berkemungkinan besar tertangguh. Walau bagaimana gila pun hidup kita, ada beberapa perkara mudah kita boleh lakukan untuk pastikan rumah sentiasa bersih dan kemas — hanya dalam beberapa minit setiap hari!

#1 15 MINIT SAHAJA
Setiap petang, ambil 15 minit untuk mengemas rumah. Bila kita lakukan ini, kita akan tidur dengan rumah yang teratur dan bangun dengan keadaan yang sama. Ini akan menurunkan kadar tekanan atau stress ketika bangun dari tidur, terutama apabila terpandang pinggan-mangkuk yang perlu dibasuh atau permainan anak-anak yang bersepah menanti diletakkan di tempatnya semula. Kita akan rasa menakjubkan apabila dapat membuat perkara ini dalam masa yang pendek!

#2 GUNAKAN JAM RANDIK
Pasti ada ibu-ibu dan suri semua pernah menonton rancangan Nanny 911 di NTV7 suatu masa dulu. Perasan tak mereka akan gunakan jam randik untuk mendisiplinkan anak-anak? Sebenarnya kita boleh amalkan bukan sahaja pada anak-anak, tetapi diri kita sendiri! Setkan masa (boleh mula dengan langkah #1 di atas) dan bila jam telah berbunyi, kita sudah siap mengemas. Jangan risau jika tidak siap semuanya. Makin lama kita latih diri dan jadikan ia rutin, kita akan jadi semakin cekap dan cepat!

#3 JANGAN BENARKAN PENAMBAHAN BARANGAN TIDAK PERLU
Sering terjadi di mana kita hanya letak sesuatu barang itu bukan di tempatnya dan biarkan hingga berlonggok dan kemudian terlupa untuk mengemasnya semula. Jangan benarkan ia terjadi! Apabila kita sudah selesai dengan sesuatu perkara itu seperti membaca buku, melipat baju, mengira bil, mencatat resit perbelanjaan — apa-apa sahaja — letakkan di tempatnya. Jika kita tidak bertindak melonggok kerja kita, kita tak tahu di mana ia, kita akan menambah masalah dengannya!

#4 FOKUS PADA SATU TUGAS
Jika kita tiada 15 minit untuk mengemas, fokus pada satu sahaja dahulu. Contohnya; membersihkan dapur atau perlu mengadakan mesyuarat dan membersihkan ruangan keluarga? Hanya pilih satu ruangan untuk fokus dan jangan risaukan yang lain.

#5 BERIKAN TEMPAT TINGGAL UNTUK SEMUA
Apabila sesuatu barang itu ada "tempat tinggal" ia menjadi lebih mudah untuk mengemas dan menyusun-atur. Semakin kita tersusun, semakin kurang masalah rumah bersepah atau tidak kemas. Kita boleh mulakan dengan menyediakan fail untuk semua bil yang perlu dibayar setiap bulan. Jadikan ia tabiat supaya jika kita mempunyai masalah sering mengumpulkan semua surat di satu tempat, kita akan mendapati tabiat ini membantu kita. Jadi, apabila kita mencari sesuatu bil, ia ada di tempatnya. Dari tabiat ini, gunakan juga untuk menyusun-atur keadaan di bilik anak-anak, dqpur dan ruangan lain di dalam rumah.

#6 PASTIKAN SELURUH ISI RUMAH TERLIBAT
Apabila tiba masa mengemas, libatkan semua ahli keluarga. Arahkan anak-anak mengutip permainan mereka. Minta bantuan suami mengemas ruangan keluarga sementara kita membersihkan dapur. Bukan seorang sahaja yang terlibat menyepahkan rumah — semua orang menyumbang. Ini bukan sahaja memudahkan kerja memastikan rumah teratur, tetapi juga mengajar anak-anak tentang tanggungjawab dan saling membantu dalam rutin di rumah.

#7 LAKUKAN TUGASAN BERGANDA DENGAN BETUL
Kita mesti tahu had kita. Kita mungkin mampu melipat baju sambil mengajar anak-anak menyiapkan kerja sekolah. Walau bagaimanapun, menyusun pinggan dan memasak mungkin tidak dapat dilakukan serentak. Melakukan tugasan serentak boleh membantu kita menyelesaikan lebih banyak kerja dalam jangka masa yang pendek — selagi mana kita melakukannya dengan cara yang betul.

#8 BASUH BAJU PADA WAKTU MALAM
Pakaian adalah satu perkara yang sering menjadi masalah terkumpul dengan cepat. Jadikan tabiat meletakkan pakaian ke dqlam mesin basuh setiap petang. Kita boleh mulakan sebaik sahaja pulang kerja (untuk suri berkerjaya) dan basuh ia sementara kita siapkan menu makan malam. Selepas makan malam, keringkan baju (jika ada mesin pengering). Sebelum tidur, lipat baju dan simpan.

#9 GUNA VAKUM
Jika kita tiada masa untuk membersihkan rumah, sekurang-kurangnya sapu rumah. Hanya dengan menyapu atau vakum lantai sahaja sudah boleh menjadikan rumah kelihatan lebih bersih.

#10 KESEMPURNAAN TIDAK WUJUD Jangan risau tentang rumah kita yang kelihatan tidak sempurna. Semakin cepat kita tahu apa itu "cukup bersih", kita akan menjadi lebih gembira.

*********

Sekian 10 Tips Rumah Sentiasa Kemas dan Bersih dari saya.

Sumber foto: Google

Jumaat, 2 Oktober 2015

SAKIT PERUT? INI UBAT PALING MUJARAB!

Oleh kerana hari ni suami mengadu sakit perut, cirit-birit dan sebu, saya ingin kongsi dengan anda satu resepi turun-temurun yang memang belum pernah gagal sepanjang saya amalkan.

Resepi yang sangat mudah. Jom baca!

Bahan:
Beras segenggam.
Air suam segelas.
Gula / madu.

Cara-cara:
1. Basuh beras bersih-bersih. Jangan lupa selawat.
2. Masukkan dalam kuali. Goreng tanpa minyak hingga hitam atau perang.
3. Masukkan beras yang sudah digoreng ke dalam gelas.
4. Tambah air suam dan gula. Madu juga boleh dijadikan pemanis.
5. Siap untuk diminum.

Nota:
Beras yang keperangan tidak pahit dan sedap dikunyah juga.

*********

Selamat mencuba!

Khamis, 1 Oktober 2015

1 HARI SEBAGAI PEMBANTU RESTORAN

Assalamu'alaikum.

Hari ini sekali lagi Facebook mengingatkan saya pengalaman bekerja 4 tahun lalu di sebuah restoran makanan. Ketika itu saya tinggal di Taman Kajang Sentral, Kajang, Selangor. Telah 5 bulan hamil anak kedua dan sudah 3 bulan mencari kerja di sekitar tempat tinggal.

Entah bagaimana saya "terborak" dengan jiran sebelah rumah saya. Maksud "terborak" ini kerana saya seorang yang tidak keluar rumah untuk menemuramah dan bermesra dengan jiran-jiran. Hidup saya hanya di dalam rumah. Jika keluar pun hanya untuk ke kedai runcit berdekatan bagi membeli barangan keperluan dapur. Jika pembaca pernah menemui saya, memang akan faham bagaimana saya. Saya agak pasif dan introvert, jika tidak kenal. Kesempatan berbual ini hanya terjadi apabila saya dan jiran terserempak ketika mahu masuk ke rumah masing-masing.

Melalui perbualan inilah saya diberikan peluang bekerja di restoran ini (rujuk gambar Facebook di bawah). Rupanya saya berjiran dengan seorang pensyarah kolej. Suaminya pula bekerja di MIROS, belakang rumah sahaja pejabatnya. Dia juga adalah pemilik restoran yang menawarkan pekerjaan kepada saya.

Mulanya dia kelihatan ragu-ragu juga memandangkan saya sudah hamil. Namun, masih memberi peluang saya mencuba. Kebetulan ibunya tinggal bersama menjaga anaknya yang sebaya anak saya, Aiman. Ibunya menawarkan diri menjaga Aiman. Saya juga ragu-ragu kerana Aiman jenis kuat merengek dan menangis. Saya kentalkan hati untuk mencuba juga. Ibu bos pernah juga mengadu kepada saya hasrat anak lelakinya yang ingin berhenti kerja demi membantu perniagaan isterinya. Saya hanya diam dan tersenyum.

Hari pertama, saya memilih memakai baju kurung. Lebih sopan. Pagi-pagi lagi saya sudah terpacak di depan restoran. Jam 7.00 pagi. Ada seorang tukang masak (lelaki), pembantu dapur (perempuan), pembuat roti canai (lelaki) dan pembancuh air (lelaki). Saya yang terpinga-pinga, segera diarahkan bos lelaki untuk membantu menggoreng telur mata kerbau.

Saya ditunjukkan tempatnya dan mula menggoreng. 20 biji sahaja diminta. Saya mula tidak sedap hati kerana telur itu tidak dibasuh terlebih dahulu. Saya serba salah, namun masih meneruskan. Bos menyuruh saya buat dengan cepat. Saya hanya diam dan teruskan kerja. Habis menggoreng, saya diarahkan belajar melipat kertas pembungkus nasi lemak. Mesti cepat. Saya turut sahaja.

Jam 10 pagi, kanopi di depan restoran sudah lengang memandangkan kebanyakan orang telah mula bekerja. Bos lelaki juga sudah ke pejabat. Tinggal adik (lelaki) bos perempuan sahaja memantau pekerja. Bekas-bekas jualan menu pagi kami bawa masuk. Pembantu dapur pula telah pulang kerana hanya bekerja sambilan sahaja. Tinggal saya seorang sahaja perempuan.

Saya masuk ke dapur dan membantu bahagian dapur pula. Memotong bawang dan sebagainya untuk menu tengahari. Suasana yang kurang menyenangkan kerana kebersihannya kurang dijaga. Saya tabahkan saja hati. Di dalam fikiran asyik teringatkan Aiman yang suami sudah titipkan kepada ibu bos. Sambil fikiran menerawang, sambil berbual memperkenalkan diri masing-masing.

Tukang masaknya (bapa saudara bos) agak banyak bertanya itu dan ini kepada saya. Sesekali membebel tentang gaji yang terlalu rendah, bos kedekut dan sebagainya. Sesekali menyakat saya juga. Saya tidak selesa tetapi hanya senyum melindungi rasa hati.

Menjelang jam 11 pagi kami semua sudah bertungkus-lumus membersihkan meja, menyusun kerusi, meletakkan lauk-pauk di tempatnya dan sebagainya.

Jam 12 tengahari, pelanggan mula memasuki restoran. Menu utama adalah nasi ayam. Saya ditugaskan menjaga bahagian nasi ayam. Mujur ada pengalaman dengan ibu dan ayah saya dulu. Tidaklah kekok sangat. Tetapi yang membuat saya geram, saya jaga nasi ayam, saya juga pelayan dan saya juga penghantar makanan.

Ada juga adik bos membantu tetapi kebanyakan masalah orang lelaki ini adalah cuai. Lepas buka bekas simpan makanan, tidak ditutup semula. Lepas makan, tidak basuh. Sudah guna, tidak disusun semula. Yang paling memualkan, ayamnya dibiarkan terdedah hingga dihinggapi lalat. Beberapa kali saya terpaksa membersihkan ayan dan menutup semula bekas.

Jam 1.30 petang saya sudah agak letih. Mujur pelanggan sudah berkurangan dan saya mohon undur diri untuk menunaikan solat Zuhur di rumah. Terketar-ketar rasa kaki menaiki tangga pulang ke rumah. Selesai menunaikan solat Zuhur, saya bergegas semula ke restoran kerana waktu rehat diberi sangat singkat. Hajat hati mahu juga menjenguk Aiman di sebelah rumah. Tetapi takut pula nanti dia mahu mengikut. Saya kembali juga ke restoran walau kaki rasa nak tercabut dan pinggang mula sakit sedikit.

Pelanggan yang datang tidaklah ramai pada waktu petang jika dibandingkan dengan waktu pagi dan tengahari tadi. Jam 5 petang, ibu bos datang membawa cucunya bersama anak saya. Kelihatan seronok pula si Aiman dapat kawan baru. Begitu juga kawannya itu. Keduanya anak sulung. Belum ada adik. Terujalah bila ada kawan. Sebentar sahaja mereka datang ke restoran. Mujur Aiman tidak kisah.

Mata asyik memandang jam. Saya akan tamat tugas jam 6 petang. Hati sudah tidak sabar mahu pulang. Badan sudah berlengas dan teramat letih. Kaki sudah kebas. Pinggang sudah sakit. Jiwa terseksa kerana melihat sesi penyediaan dan penyimpanan makanan yang kurang bersih.

Tepat jam 6, saya bergegas pulang. Wang upah saya tidak fikirkan lagi. Saya hanya mahu pulang dan rehat. Saya serik. Saya jemput Aiman pulang ke rumah.

Malam itu saya menyatakan hasrat saya kepada suami. Saya tidak sanggup lagi bekerja di situ. Persekitaran yang nampak bersih tetapi sebenarnya tidak itu buat saya serik. Badan saya juga tidak tahan untuk bekerja tanpa duduk rehat yang agak lama memandangkan kehamilan saya. Walaupun bos perempuan ada berkias yang dia boleh angkat tong gas semasa habis berpantang bersalin, saya tak mungkin akan ikut jejaknya. Ia satu penyeksaan.

Suami setuju saya berhenti. Cukuplah satu hari bekerja di restoran itu. Ia agak bermasalah dari segi pengurusan hingga ke dapur. Saya menghalalkan saja keringat saya hari itu memandangkan ibu bos telah membantu saya menjaga Aiman. Sejak itu saya dan suami tidak pernah makan lagi di situ. Setelah beberapa bulan, restoran tersebut tutup. Tidak tahulah apa sebabnya.

*********
Iktibar dari pemerhatian saya dari pengalaman ini ialah:
+ suami isteri perlu saling bekerjasama jika membuka perniagaan.
+ suami tidak perlu berhenti kerja untuk menguruskan perniagaan milik isteri kerana "panas mungkin tidak sampai petang, mungkin hujan di tengahari".
+ pengambilan pekerja mestilah di kalangan orang yang menjaga solat dan tutur kata. Baik dari ahli keluarga mahupun dari luar.
+ kebersihan adalah perkara paling penting sebagai pengusaha restoran. Pekerja mesti sentiasa bersih dan menjaga kebersihan.
+ berniaga mestilah jujur. Ia satu dosa apabila memberi makanan yang tidak bersih kepada pelanggan. Allah tahu walau manusia tidak tahu.
+ pengurusan masa bekerja perlu diteliti di samping mengkhususkan setiap pekerja kepada kerja tertentu sahaja.
+ penyelarasan gaji perlu mengikut standard ditetapkan dan diberi tepat masa agar pekerja lama tidak meracun pekerja baru.

*********
Sekian cerita pengalaman lalu untuk hari ini. Semoga menjadi iktibar.