URUSAN PENDAFTARAN SEKOLAH ANAK TAHUN 1

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 27

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini terlepas Subuh. Cuaca sejuklah katakan. Bangun pagi jam sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Selepas qadha solat Subuh, segera saya mandikan anak-anak. Hari ini perlu ke kedai fotostat untuk membuat salinan sijil kelahiran Muhammad Aiman, membeli sampul surat bersaiz A4 dan membawa dokumen ke sekolah baru yang Aiman bakal daftar.

Selepas menyediakan susu untuk Akif, saya dan Akif bersarapan biskut kering sahaja. Mujur Akif tidak banyak kerenah makan. Apa saya sediakan hari ini, dimakan sahaja. Selesai sarapan baru saya susukan Aleef. Ruamnya masih tidak hilang.

Jam 8 pagi masih belum nampak batang hidung ibu mertua saya. Saya segera menelefon. Manalah tahu ibu mertua saya lupa. Katanya selepas bersarapan bersama ayah mertua barulah dia akan ke rumah saya. Tanggungjawab sebagai isteri taat masih sempat dia tunaikan. Hebat mertua saya ini. Begitulah kata hati saya.

Jam 9.30 pagi ibu mertua saya sampai. Alhamdulillah. Semua dokumen saya sudah sediakan untuk dibuat salinan dan saya letakkan di dalam fail. Ibu mertua saya masuk dan menghulurkan bungkusan berisi roti canai.  Alhamdulillah. Rezeki kami. Kami makan bersama dan saya bancuhkan air madu suam untuk menambah tenaga.

Selesai sarapan, kami bergerak keluar rumah menuju ke kedai fotostat. Tiada yang buka. Risau mula bertandang di hati saya. Kami teruskan ke sekolah apabila teringat di kawasan sekolah juga ada kedai buku. Pasti ada mesin fotostat juga.

Sampai di sekolah, ibu mertua turunkan saya di depan pagar sementara dia meletakkan motosikal di sebelah perhentian bas berdekatan sekolah. Saya terus menuju ke pagar sekolah. Pengawal keselamatannya seorang wanita. Bertanya tujuan saya. Belum sempat menerangkan, dia bertanya lagi mengenai ibu mertua saya. Saya hairan juga bagaimana dia kenal ibu mertua saya. Saya segera membawanya kepada ibu mertua saya. Rupanya mereka rakan sekampung di Kampung Pasir Baru, Semenyih, tempar ibu mertua saya tinggal. Kecil betul dunia ini, bisik hati saya. Ada saja jodoh bertemu dengan orang Semenyih.

Kami diberitahu supaya mengisi borang pendaftaran secara online sebelum tarikh tutup 30 April 2015. Saya yang tidak perasan notis pendaftaran tersebut. Rasa kasihan pada ibu mertua saya yang susah-payah datang membantu tetapi rupanya pendaftaran hanya secara atas talian. Nasib baik ibu mertua saya baik hati dan tidak marah-marah. Allah. Malu betul rasa masa itu. Saya sudah menyusahkannya. Saya minta maaf dan kami pulang ke rumah saya.

Kami berehat sebentar sambil berbual. Saya pula rasa terdorong untuk mengikut ibu mertua pulang ke rumahnya saat dia mempelawa Akif ke rumahnya. Mungkin kerana rasa bersalah tadi. Aleef pula mula mengantuk. Tidak mahu diam dan merengek saja. Ibu mertua menyuruh saya meletakkannya tidur di dalam buaian dahulu serta mengemas apa yang patut. Saya segera mengemas baju-baju Aleef dan lampin pakai buangnya. Turut saya bawa komputer riba saya bagi menghilangkan kebosanan anak-anak nanti.

Selesai mengemas, segera saya ke dapur dan menjemur pakaian yang sudah dibasuh. Pakaian yang saya bawa hanya baju Aleef kerana pakaian saya dan Akif sudah ada di rumahnya. Sengaja saya tinggalkan pakaian lebih di sana supaya senang jika ada acara mengejut. Jam 11.00 baru Aleef bangun. Masa makin suntuk. Kami segera keluar rumah selepas memastikan semua berada dalam keadaan selamat.

Sampai di rumah ibu mertua saya, segera ibu mertua menuju ke dapur menyiapkan bahan untuk memasak makan tengahari. Saya pula meletakkan beg di bilik yang memang sudah disediakan untuk kami. Bilik itu dibina hasil wang pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan sedikit sumbangan ibu mertua saya. Alhamdulillah.

Ibu mertua saya sudah biasa memasak sendirian. Jadi saya tidak ke dapur mengganggunya. Hanya jika dipanggil barulah saya membantu. Tambahan pula dapur sempit dan hanya muat mertua saya seorang sahaja. Saya hanya melayan kerenah anak-anak syurga saya sambil menemankan ayah mertua saya menonton TV. Leka melayan anak-anak dan bapa mertua, kami tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari. Masa untuk mengambil Aiman dari sekolah. Mujur ibu mertua saya perasan. Cepat-cepat dia bersiap menjemput Aiman dari sekolah. Kasihan. Saya masih trauma kesan kemalangan 6 tahun lalu. Jadi saya tidak berani menunggang motosikal lagi hingga kini.

Aiman pulang dan nampak Akif. Dia tidak menyangka saya juga ada. Jelas kelihatan gembiranya dia. Sudah hampir 1 tahun saya tidak tidur di rumah mertua sejak berpindah semula ke Kajang. Ada sebabnya. Biarlah rahsia.

Saya sambung melayan anak-anak syurga saya sementara ibu mertua saya memasak di dapur. Saya bukakan komputer riba membiarkan anak-anak bermain aplikasi berunsur pendidikan bahasa Inggeris. Lama mereka leka sebelum tumpuan teralih dan cuba membuka YouTube. Rumah mertua saya tiada talian internet. Hanya ada Astro sahaja. Berulang kali anak-anak bertanyakan saya dan berulang kali juga saya jelaskan rumah nenek mereka tiada internet.

Oleh kerana bosan, Aiman mula mencari aktiviti sendiri. Diam-diam dia keluar rumah mengejar ayam. Rupanya itulah aktivitinya setiap hari jika mertua saya sedang sibuk di dapur. Bapa mertua saya pula tidak berapa sihat kerana sudah 2 kali diserang strok. Geram juga saya dibuatnya bila terdengar ibu mertua saya terpanggil-panggil Aiman tapi tidak berjawab. Terpaksalah saya juga memanggil Aiman masuk dengan suara keras. Begitulah setiap hari gelagat Aiman bila bosan, adu mertua saya. Dalam hati saya memang kasihan dan ingin Aiman berpindah ke Kajang supaya tidak menyusahkan mertua saya lagi. Apakan daya. Sudah terlajak mendaftar sekolahnya di Semenyih tahun lepas. Terpaksalah biarkan dia bersekolah di situ. Tahun hadapan baru pindah ke Kajang dan mengambil khidmat van sekolah memandangkan saya trauma menunggang motosikal dan tidak tahu memandu.

Tiba waktu Zuhur dan makan tengahari, ibu mertua mengarahkan saya makan dan solat dulu sementara dia bermain dengan Aleef. Begitulah rutinnya di sini sejak saya melahirkan cucu-cucunya. Selesai semuanya barulah saya bawa Aleef ke bilik untuk tidurkannya dan mengalih perhatian 2 lagi abang-abangnya dengan membuka kartun kegemaran mereka di tablet dan komputer riba. Akhirnya saya tertidur bersama anak-anak. Begitu juga ibubapa mertua saya. Menjelang Asar, barulah masing-masing terjaga.

Ibu mertua menunaikan solat Asar terlebih dahulu sebelum mula menyediakan minum petang. Saya pula melayan kerenah anak-anak sekadar mampu. Tepat jam 6 petang, ibu mertua menjemput semua ke dapur. Berlumba-lumba anak-anak ke dapur. Tidak sabar rasanya minum air teh tarik nenek mereka. Begitulah setiap kali anak-anak berada di kampung, teh tarik untuk datuknya akan dikongsi bersama mereka. Tidak pernah bapa mertua saya mengeluh dan membezakan cucu-cucu ini walaupun sebenarnya mereka hanya cucu tiri. Alhamdulillah juga nikmat Allah beri pada saya ini. Dapat mertua yang baik.

Aktiviti malam kami hanya berbaring-baring menanti rasa mengantuk sambil membantu Aiman menyiapkan kerja sekolahnya. Malam ini kami tidur berempat. Sebelum tidur sempat juga bertanya khabar suami di Perak. Katanya dia ditugaskan menjadi pembantu pegawai urusetia disana memandangkan orang yang dibawanya adalah pegawai urusetia. Cuma sedikit bosan kerana tiada talian internet dan suasana sunyi seperti di dalam hutan. Kawasannya seperti kem latihan PLKN. 

Selesai berbual dan melihatkan anak-anak pun sudah tidur, saya akhirnya turut tertidur.

Sumber foto: Peribadi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN