SYUKUR UNTUK KELUARGA KECIL SAYA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 21

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah masih dapat menaip di sini untuk tugasan 44 entri wajib siap yang diberi guru. Petang tadi sementara menanti ketibaan anak sulung saya, Muhammad Aiman yang dihantar neneknya dari Semenyih, saya dan 2 orang anak lagi berbaring-baring sahaja di dalam bilik.

Tepat jam 5 petang, mak mertua saya sampai. Kelam kabut anak kedua saya, Muhammad Akif Aqil berkejar ke ruang tamu hingga terlepas bekas biskut kegemarannya dan bertaburan di atas lantai. Teruja betul. Begitulah setiap kali tiba hari Jumaat. Maklumlah, abangnya sudah "terdaftar" di sekolah di Semenyih. Jadi, terpaksalah dia ditinggalkan di rumah neneknya yang lebih dekat dengan sekolah itu, Setiap hari Jumaat masing-masing sudah tertunggu-tunggu untuk bermain bersama.

Sepatutnya kami menghadiri majlis kesyukuran yang dianjurkan bapa saudara suami saya malam ini sempena kedai makan yang baru dibukanya. Tetapi memandangkan suami saya tiada dan tiada kenderaan saudara lain yang boleh kami tumpang, tidaklah kami dapat hadir ke sana. Jadi, melepaklah di rumah dengan anak-anak.

Selesai solat maghrib, saya mengajarkan anak-anak membaca muqaddam. Laptop dan telefon tidak dibenarkan sentuh. Televisyen juga saya tutup. Selesai mengajar, saya teruskan membaca al-Quran sambil memegang anak ketiga, Muhammad Aleef Azfar. Sampai terkoyak al-Quran ditarik Aleef yang masih bayi.

Selepas solat Isya', saya menelefon suami supaya anak-anak boleh bercakap dengannya. Habis bercakap, giliran saya pula bermesej dengan suami. Tidak perasan entah bila anak-anak tertidur dek kerana leka dating dalam telefon. Aleef tidur selepas saya letakkan kain basah di dahinya. Kali ini dia memang betul-betul demam. Mungkin proses belajar meniarap yang buat dia demam, Sudah 2 hari saya perhatikan dia meniarap sendiri. Tetapi apabila sudah meniarap, menangis pula sebab tidak boleh berbaring semula. Lucu mengenangkannya.

Bila difikirkan semua peristiwa manis atau pahit bersama keluarga kecil saya ini, sebenarnya inilah rezeki saya yang paling berharga yang Allah berikan. Ada orang kaya berharta membumbung tetapi tidak dikurniakan rezeki anak. Ada orang tiada rezeki harta tetapi kaya dengan rezeki anak sehingga berbelas orang. Maha Besar Allah yang membahagikan rezeki dengan begitu adil. Setiap yang ada kelebihan tetap ada kekurangan. Hubungan manusia saling bersangkut-paut. Dunia ini indah sebenarnya.

Alhamdulillah. Terima kasih kerana membaca,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN