HARI GEMBIRA SEKELUARGA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 9

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah s.w.t yang memberi peluang merasa gembira hari ini. Semenjak suami diterima bekerja dalam sektor awam Isnin lalu, ibubapa kami nampak begitu gembira dan mampu menarik nafas lega. Hasil doa ibu, isteri, diri sendiri dan keluarga serta penjagaan 'tiang agama', nampak sedikit demi sedikit Allah yang Maha Memberi membuka pintu rezeki kami.

Hari ini, saya menyambung Projek April menyusun atur rumah dengan dibantu suami. Sambil melayan kerenah anak-anak yang kebelakangan ini sering jatuh sakit selsema, batuk, asma dan demam, sambil mengemas. Bila ada yang dapat membantu ni, ringanlah kerja di rumah ni.
Menjelang makan tengahari, saya sempat memasak sambal ayam madu. Menu untuk anak-anak yang kurang sihat. Madu kan makanan sunnah. Syukur. Selesai makan dan solat zuhur, masing-masing berehat. Saya pula berhempas-pulas cuba menidurkan si kecil Muhammad Aleef Azfar yang sukar tidur kerana masalah pernafasan. Akhirnya saya mengalah. Minta bantuan suami untuk tidurkan Aleef. Tidurlah dia berdukung dengan ayahnya. Beratnya 7.1kg. Tak tahan badan saya mendukung dia dengan keadaan cuaca panas.

Tiba waktu Asar, kami bergilir solat kerana menjaga Aleef. Melihat waktu sudah hampir 6 petang dan cuaca yang baik, kami buat keputusan membawa anak-anak ke taman. Waktu yang paling ditunggu anak-anak. Tengok saja gambar-gambar yang saya selitkan. Sampai 2 buah taman permainan kami pergi. Yang pertama tu, banyak nyamuk aedes. Bahaya betul. Jadi, kami pergi ke taman yang lebih baik dan baru dibina. Walaupun jauh sedikit, ia lebih baik berbanding mendapat sakit denggi. Nampak gembira betul anak-anak termasuk si Aleef. Hilang sekejap sakitnya.

Jam 7 malam sudah mula kedengaran suara mengaji dari masjid berdekatan. Jadi, kami bergegas pulang dan mandi. Si sulung Muhammad Aiman kelaparan dek kerana banyak tenaga keluar. Selesai mandi, terus duduk di meja makan yang baru dipindahkan dan makan sendiri. Saya yang selesai mandi segera menyiapkan tempat solat dan berjemaah bersama anak-anak. Alhamdulillah.

Selesai solat, makan malam pula sambil menonton berita. Azan isya', kami segera tunaikan solat dan berehat di bilik tidur. Masing-masing melayan gajet. Suami menonton perlawanan bola sepak di laptop. Anak-anak yang sudah besar menonton video kartun di YouTube. Saya pula menaip catatan ini menggunakan telefon pintar yang dihadiahkan suami bulan lepas. Cuma bayi kecil Aleef saja yang tidur selepas menyusu.

Sampai sini saja catatan hari ini.













Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN