BERSAMA ANAK-ANAK DI RUMAH MERTUA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 28

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini saya tersedar jam 5 ketika terdengar bunyi orang mandi di bilik air. Pastinya ibu mertua saya. Aleef juga terjaga mahu menyusu. Saya yang masih mamai segera menyusukannya. Aiman pula bangun awal pagi ini penuh semangat. Saya dengar suara ibu mertua saya menyiapkannya ke sekolah dan menyuruh Aiman bersalam dengan saya dahulu sebelum ke sekolah. Saya yang masih menyusukan Aleef pastilah dengan senyuman mencambah semangat buat Aiman, menyambut salamnya dengan peluk cium yang sudah lama saya teringin buat sejak awal dia masuk sekolah. Maklumlah dia terpaksa tinggal dengan neneknya kerana sekolahnya berdekatan dengan rumah neneknya. Nampak air muka semangat Aiman yang senyum saja melangkah le sekolah bersama neneknya.

Akif yang sudah turut terjaga dari tidur pula meminta mahu menonton Super Mario dan Ultraman di YouTube. Sukar juga mahu mengajar dia faham rumah neneknya tiada talian internet. Sehingga tertidur semula dia.

Saya ambil peluang ini membantu mertua saya mengemas dan menyapu lantai rumah yang berpasir. Biasalah rumah kampung berpasir lantainya. Kenalah rajin menyapu jika tidak mahu mendapat penyakit. Aleef masih tidur. Kulitnya yang kelihatan seperti ruam sudah mula beransur pulih selepas diberi minum air kelapa oleh ibu mertua saya. Syukur sekali. Lena dan selesa tidurnya hinggakan lewat mandi. Sementara Aleef tidur, saya mengemas bilik yang sudah banyak habuk. Sudah lama tiada tuannya, berhabuklah. Saya susun semula baju-baju anak, suami dan saya sendiri yang bercampur-aduk. Senang hati melihatkan semuanya sudah kemas.

Selesai mengemas, Aleef pun terjaga. Saya bawanya mandi dan melayannya bermain bersama Akif. Tiba waktu tengahari, ibu mertua seperti biasa menjemput Aiman pulang. Saya hanya menunggu di rumah. Tidak terniat mengikut sekali. Pulangnya Aiman membawa jajan dari majlis hari lahir kawan-kawannya di sekolah dan berkongsi dengan adiknya, Akif.

Tiba makan tengahari, ibu mertua menyuruh saya menyuapkan anak-anak makan sementara dia menjaga Aleef. Selesai makan, saya bawa anak-anak ke bilik. Saya melayan keinginan mereka untuk melukis sambil menyusukan Aleef hingga Aleef tertidur. Sambil-sambil itu saya  bertukar khabar dengan suami dan rakan-rakan perniagaan yang lain. Bercerita tentang rakan perniagaan ini, hari ini mereka kongsikan sesuatu yang agak menarik. Dinosaur. Ya. Mereka hantarkan gambar dinosaur berdekatan tapak perniagaan mereka. Ini memang sesuatu yang baru untuk kami.

Selesai solat Asar, saya mandikan anak-anak. Bermula dengan Aiman dan Akif. Selesai memakaikan pakaian mereka, saya mandikan Aleef pula. Saya cuba lakukan secepat mungkin. Kononnya nak mengikut ibu mertua pusing keliling kampung dengan motosikal. Maklumlah sudah lama tidak tengok keadaan di kampung. Sayang sekali, tak sempat saya mengikut. Anak-anak tak sabar menunggu adiknya pakai baju, diajaknya neneknya cepat. Tidak sampai hati ibu mertua saya melihat gelagat cucu-cucunya, terpaksalah tinggalkan kami di rumah bersama bapa mertua saya. Saya pun temankan bapa mertua menonton televisyen sambil menyusukan Aleef hingga tertidur Aleef.

Hampir setengah jam menunggu ibu mertua saya pulang, bapa mertua saya bangkit ke dapur untuk minum petang sendiri. Hampir jam 6.30 petang baru ibu mertua saya pulang membawa roti kegemaran cucunya, roti inti coklat jenama Gardenia. Tak sabar-sabar masing-masing meminta saya bukakan bungkusan roti,

Malamnya, saya bertukar khabar dengan suami sambil membantu Aiman menyiapkan kerja sekolahnya. Saya hantarkan gambar dinosaur siang tadi. Terus dia tanya pergi dengan siapa naik kereta. Walhal gambar tersebut bukan milik saya. Aduhai. Tergelak saya. Masih ada cemburu rupanya dia walau sudah 8 tahun kami bersama. Habis berborak tentang aktiviti masing-masing dan Aiman pun selesai menyiapkan kerja sekolahnya, kami menamatkan perbualan. Saya tidur bersama anak-anak dengan hati berbunga.

Terima kasih Allah untuk hari gembira ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN