MENIAGA BAZAR RAMADHAN

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Peribadi
Entri: 14

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman saya berniaga di bazar Ramadhan. Mungkin ramai yang ada pengalaman ini. Mungkin juga ada yang baru nak belajar. Pada masa itu, usia saya 10 tahun (jika tidak salah). Ketika itu, bulan Ramadhan. Ibu dan ayah saya bekerja dengan kerajaan sebagai pembantu makmal ketika itu di tempat yang berasingan. Ayah bekerja di Universiti Putra Malaysia manakala ibu pula bekerja di Kementerian Kesihatan di Petaling Jaya. Oleh kerana waktu kerja mereka setakat jam 5 petang, ada masa terluang untuk menambah pendapatan untuk menyara saya dan adik-beradik lain.

Masih saya ingat ayah menyewa beli sebuah van terpakai yang entah berapa harganya ketika itu dan kelengkapan memasak serta membungkus untuk berniaga di bazar Ramadhan. Saya sebagai anak sulung pastilah diberi kepercayaan membantu. Pulang dari kerja, ibulah yang akan memasak bersama ayah. Kami berniaga nasi ayan hainan dan air. Saya akan membantu pembungkusan sos cili. Memang seronok. Walaupun berpuasa, tidak terasa langsung yang kami sedang berpuasa.

Perniagaan kami dibuat di tapak bazar yang berada dalam lingkungan 3km dari rumah kami, iaitu di Taman Zamrud, Kajang. Hanya saya yang akan ikut membantu jualan di bazar bersama ayah. Seronok walaupun letih. Rasanya saya tidak meminta upah apa-apa ketika itu. :-)
Mungkin dari situlah datangnya minat saya berniaga.

Apabila menjelang waktu berbuka puasa, memang saat yang saya nanti-natikan kerana rezeki banyak. Para peniaga yang tidak kehabisan barang niaga akan saling bersedekah. Saya masih ingat di hadapan tapak perniagaan kami ada seorang warga Arab (jika tidak salah). Beliau meniaga nasi tomato. Saya adalah orang yang paling tertunggu-tunggu pemberiannya setiap kali habis waktu berniaga. Saya tidak meminta tetapi Allah tahu hati kecil budak hingusan seperti saya ketika itu. Rasa nasi tomato itu masih saya ingat tetapi sayang, zaman sekarang ni memang sudah tiada lagi rasa sesedap itu.

Apa pun, semua itu tinggal kenangan saja selepas ayah dan ibu saya tidak lagi meniaga sehabis bulan Ramadhan tersebut. Van pun sudah dijual. Barangan meniaga pula guna untuk masak sendiri. Ada juga yang telah rosak. Tapi semangat dan minat yang sudah terserap masuk ke dalam diri saya, tidak pernah hilang. Walaupun saya pernah gagal banyak kali. Terima kasih ibu dan ayah yang memberikan peluang kepada saya ketika itu. Sayang ibu, sayang ayah.

Sekian. Terima kasih sudi membaca.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN