DISERANG DAN DIUGUT PEMUDA BIADAB

Alhamdulillah. Assalamu'alaikum semua.

Syukur kerana masih bernyawa untuk terus memperbaiki diri dan menyebar kebaikan serta ilmu melalui blog ini. Salam kemaafan pada yang terasa hati (jika ada). Terima kasih pada yang setia membaca.

Hari ini kami (saya dan suami) agak terkejut kerana rumah kami diserang individu yang saya kategorikan sebagai bermasalah. Begini ceritanya.

Pagi-pagi lagi (jam 7.30 pagi) adik saya telah mesej saya melalui Whatsapp menyatakan beliau akan datang sebentar lagi untuk menghantar simkad dan merujuk saya berkenaan syarikat percetakannya. Saya setuju dan sambil menunggunya, saya meneruskan aktiviti rutin saya bersama anak-anak.

Lebih kurang jam 11 lebih rasanya baru adik saya sampai. Dia membawa bersama fail-fail syarikat dan komputer ribanya. Dia mahu menyiapkan laporan tahunan untuk dihantar ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri. Walaupun untung tidak banyak dan masih bertatih, syarikat ini sebenarnya mampu berkembang lagi jika kena caranya. Dengan izin Allah jua.

Sedang berbincang, adik saya mula membebel kerana diganggu mesej-mesej dari seorang teman yang saya rasa agak biadab. Sebelum ini juga begitu. Setiap kali adik saya mahu mulakan kerja-kerjanya, tumpuannya terganggu hingga tidak mampu membangunkan syarikat gara-gara teman yang seorang itu.

Sebagai kakak pastilah saya amat tidak setuju sekiranya adik saya meneruskan hubungan dengan orang sebegini. Sentiasa menuduh, mengugut dan melemparkan pelbagai perkara negatif pada adik saya. Malahan saya melihat sendiri individu tersebut menyebarkan gambar ayah saya di laman WeChat miliknya dengan tujuan tidak baik. Sangat biadab!

Senja tadi, selepas azan Maghrib, saya yang sedang menyuap anak kedua makan sambil menonton televisyen dikejutkan dengan bunyi hon kereta milik adik saya. Adik saya yang mengecam bunyi hon keretanya terus keluar. Rupanya individu tersebut telah berada di hadapan rumah dan sedang menendang sisi keretanya. Adik saya segera keluar dan kemudian saya terdengar bunyi tapak kaki adik saya berlari masuk ke dalam rumah semula dan cuba tidak mempedulikannya dengan menutup kembali pintu. Sekali lagi ditendang-tendangnya kereta adik saya menyebabkan penggera kereta berbunyi. Segera adik saya keluar rumah semula dan memarahi individu tersebut. Saya yang terkejut dan ingin tahu membuka pintu lebih luas dan cuba melihat wajah individu tersebut. Kurus sahaja orangnya dan biadab. Dia menengking-nengking. Begitu juga adik saya. Saya yang turut panas hati, diam dan merenung lelaki tersebut. Suami saya pula sedang menunaikan solat Maghrib.

Seketika saya berpaling dari individu tersebut, saya lihat suami sudah keluar dari bilik dan bertanya apa yang terjadi. Saya lantas menunjuk keluar pagar dan menyatakan ada individu sedang buat kacau di depan rumah. Terus suami saya keluar dan bertemu muka dengan individu tersebut. Tidak pula kedengaran dia meninggi suara dengan suami saya. Saya bingkas membasuh tangan selepas selesai menyuap makan pada anak saya tadi dan terus menuju ke ruang tamu ingin melihat keadaan seterusnya.

Suami saya sudah berada di ruang tamu semula dan sedang menonton televisyen manakala adik saya sambung bertekak dengan individu terbabit. Saya faham suami ingin dengar dari jauh apa masalah mereka sebenarnya. Dari perbalahan mereka, individu tersebut cuba memeras wang sebanyak RM3000 dari adik saya (sebagai bayaran dia membaiki kereta tersebut) setelah hubungan mereka terputus siang tadi setelah bertengkar di dalam talian internet melalui Whatsapp. Sekiranya adik saya tidak bayar, dia mahu adik saya menyerahkan kereta tersebut kepadanya. Suami mencadangkan saya menghubungi polis. Adik saya yang kejap di luar, kejap masuk ke dalam rumah juga turut meminta saya hubungi polis kerana kami tidak nampak tanda-tanda individu tersebut akan pergi dengan baik.

Saya cuba menghubungi talian balai polis terdekat iaitu Kajang di talian 03-87362222. Namun tiada jawapan. Hampir 5 kali panggilan saya tidak berjawab. Saya akhirnya menghubungi talian 999 iaitu talian kecemasan. Syukur. Ada operator yang menjawabnya dan terus menyambungkan panggilan saya kepada polis.

Tidak sampai 5 minit, ada talian tidak dikenali menghubungi saya dan bertanya tentang laporan saya tadi. Saya mengesahkan laporan dan polis terbabit dalam perjalanan. Selepas 5 minit, polis terbabit sekali lagi menghubungi saya. Dia tersalah tempat rupanya dan saya berikan alamat sebenar. 5 minit kemudian, polis sampai dan menghalang individu terbabit. Kata polis, individu tersebut tidak ada hak untuk mengambil kereta tersebut. Individu tersebut akur namun masih sempat bertengkar dari dalam kereta sebelum berlalu pergi, diiringi polis tadi.

Alhamdulillah. Selesailah masalah yang tiba-tiba ada ini. Moga kelak adik saya tidak tersalah memilih orang lagi. Walau apa pun, hanya Allah tempat kami berlindung. Ya Allah ya Malik yang memiliki seluruh alam, lindungilah kami dari seluruh makhluk jahat di dunia ini. Hanya kepada Mu kami berserah. Amiin ya robbal alamin.

Foto: Polis hadir menghalau pemuda biadab.
Terima kasih kepada pihak polis yang segera datang tadi sekaligus menakutkan bakal penjenayah tersebut. Sebetulnya individu tersebut masih tidak berpuas hati lagi dan menghantar pelbagai mesej ugutan kepada adik saya. Sahabat semua doakanlah kami ye. Moga terlindung dari sebarang kejahatan.

Foto: Sebahagian mesej ugutan dari pemuda biadab.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN