MENCARI TEMAN BIAR YANG BAIK BUDI PEKERTI

Assalamualaikum. Alhamdulillah untuk hari ini.

Pagi ni saya perlu ke klinik kesihatan bagi menepati temujanji pemeriksaan kesihatan Aleef. Temujanji pada jam 11 pagi tapi saya datang awal jam 10 pagi. Suami saya hantarkan dan tinggalkan kami berurusan di sana. Akif mengikut suami saya untuk menjemput ibu mertua saya ke Pesuruhjaya Sumpah di Putrajaya bagi menyelesaikan permohonan Rumah Mesra Rakyat. Aiman terpaksa cuti kerana ikut sekali ibu mertua. Jika tidak, tiada orang dapat mengambilnya pulang sekolah nanti.

Dalam masa saya menunggu giliran, sempat juga membaca Whatsapp. Masalah ugutan masih berlanjutan. Sehingga bergaduh adik-beradik saya. Sebagai kakak, saya tidak menyebelahi sesiapa. Hanya cuba mengekalkan fokus mereka agar tidak saling menuding jari dan hilang fokus. Ayah bercadang berjumpa ibubapa individu biadab tersebut yang masih mengugut pelbagai perkara sehingga ada pula kaitan dengan dadah. Haih. Semoga Allah berikan jalan terbaik kepada kami untuk menjernihkan keadaan.

Selesai urusan di klinik jam 11.30 pagi. Alhamdulillah. Cepat kerana datang awal dari temujanji ditetapkan. Saya telefon suami untuk memberitahunya. Suami minta saya naik teksi memandangkan dia sudah berada di Putrajaya kerana ada tugas untuk menghantar pegawai ke KLIA (Kuala Lumpur International Airport) dan akan kembali ke Putrajaya untuk membawa ibunya ke Pesuruhjaya Sumpah di sana bersama anak-anak. Sementara itu ibu dan anak-anak saya ditinggalkan di Alamanda Putrajaya bagi mengisi perut dan bersiar-siar.

Saya takut sebenarnya untuk keluar dan menunggu di hentian bas berdekatan kerana terlalu banyak kes orang hilang dilaporkan melibatkan kanak-kanak dan wanita. Saya rasa sangat tidak selamat. Mujurlah awal-awal lagi saya sudah tambah nilai kredit untuk memastikan talian internet berfungsi dan saya sudah memuatturun aplikasi MyTeksi.

Ini pertama kali saya menggunakan aplikasi MyTeksi. Alhamdulillah. Saya hanya perlu isi ruangan destinasi dan menunggu pemandu teksi sampai setelah diberikan nombor plat teksi yang akan mengambil saya serta nama dan nombor telefon pemandu. Saya fikir mahu menghantar mesej tetapi oleh kerana nak cepat sebab Aleef sudah merengek-rengek mengantuk, saya terus menelefon pemandu teksi tersebut. Kurang 5 minit, pemandu teksi tersebut sampai dan sudah menunggu saya. Mudahnya dunia online. Alhamdulillah.

Tahniah kepada pengasas MyTeksi dan pemandu yang ramah dan cepat bertindak. Kamaruddin namanya. Tak sempat pula saya ambil gambar tadi memandangkan Aleef merengek-rengek. Ditambah pula dengan masalah sandal saya tiba-tiba putus. Sabar sajalah. Lepas bayar tambang teksi sebanyak RM9, kami bergegas masuk ke rumah. Alhamdulillah. Selamat sampai.

Aleef terus tidur masa saya letakkannya atas tilam dan baring menyusukannya. Orang Jawa sebut mengempeng. Saya tak dapat lelapkan mata dek terpaksa bermesyuarat online bersama keluarga. Masih tidak selesai hal ugut-mengugut individu biadab tersebut.

Modus operandinya adalah untuk menarik perhatian adik saya supaya membalas setiap mesejnya walaupun sekali sahaja. Kami melarang sekeras-kerasnya adik daripada membalasnya. Biarkan saja mesej ugutan itu semua sebagai bukti. Sehingga menjelang Asar barulah keadaan sedikit kendur dan tenang.

Saya sudah printscreen dan mengambil gambar mesej-mesej ugutan yang telah dihantar melalui SMS, Whatsapp dan Facebook untuk dijadikan bukti. Gambar rumah, keluarga, kenderaan dan alamat individu tersebut turut saya simpan dan letak dalam mesyuarat online tadi. Maklumlah. Individu bermasalah seperti ini akan guna apa cara saja untuk menarik perhatian. Kitalah yang perlu bersedia.

Dalam mesyuarat tadi, sempat juga adik-adik bertekak sesama sendiri, salah-menyalahi dan ungkit-mengungkit. Sebagai kakak, tidaklah saya menyiram minyak ke dalam api. Bergaduh tidak semestinya berpatah-arang. Cuma mencari kata sepakat yang paling bernas. Alhamdulillah. Ibu ayah mencadangkan untuk bersemuka ibubapa individu tersebut yang merupakan guru agama di sekolah berdekatan. Saya tidaklah campur tangan lagi selepas mendapatkan maklumat secukupnya secara online. Semuanya terserah pada Allah dan keputusan kepala keluarga.

Inilah kelebihan saya sebagai pengurus online yang bekerja memang di rumah sahaja. Semuanya online. Alhamdulillah.

Jadi, saya nasihatkan kepada adik-adik di luar sana yang berjantina perempuan, jangan sesekali tertipu dengan lelaki yang bijak berkata-kata indah. Lebih-lebih lagi yang selalu bercakap hal-hal agama tetapi dalam masa yang sama, melakukan perkara-perkara yang dilarang agama. Biarpun latar belakangnya keluarga yang nampak baik dan bagus atau berstatus anak pendidik agama, ia tidak menjamin dirinya adalah terbaik untuk membimbing kamu.

Satu pesan saya yang sangat pasti.

Sebelum nikah, lain.
Sudah nikah, lain.
Sebelum ada anak, lain.
Sudah ada anak, lain.
Anak bertambah, lain.
Anak sudah remaja, lain.
Sudah tua, lain.


Manusia sentiasa berubah-ubah. Sentiasa. Yang membezakan adalah iman dan amalnya. Samada buruk atau baik.

Ini sangat betul dan sangat benar. Tanyalah kepada wanita-wanita di luar sana yang menjadi mangsa kepada suami mereka. Alhamdulillah saya tidak dijodohkan bersama lelaki durjana seperti itu. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN