MAJLIS JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI DI SURAU AL-ASMAH, TAMAN SRI JELOK
Assalamua'laikum semua.
Hari ni saya dan suami sudah merancang untuk menghadiri jemputan rumah terbuka yang diadakan di surau al-Asmah, Taman Sri Jelok, tempat tinggal kami. Jadi, hari ini saya dapat cuti memasak.
Pagi-pagi lagi suami sudah memasak mee goreng basah yang memang menjadi kebolehannya di waktu dia rasa teringin nak masak. Akif jadi orang pertama merasa masakan ayahnya hari ini. Siap menambah. Selera betul walaupun pedas sedikit. Saya hanya membancuh air teh uncang sahaja sebagai minuman pagi. Aiman pula tidak makan mee goreng ayahnya kerana sudah bersarapan biskut coklat cicah air teh. Sambil menonton filem kartun Turbo, sambil bersarapan. Alhamdulillah.
Lepas sarapan, mereka masing-masing buat aktiviti sendiri dengan menonton filem dan bermain PS2. Saya pula menyiapkan pakaian untuk ke jamuan tengahari ini.
Selesai semuanya, kami pun bergegas ke surau. Ramai orang. Kami sampai lebih kurang jam 1 petang rasanya. Terlupa tengok jam. Menu yang disediakan banyak juga. Ada lemang, nasi impit, rendang, lodeh, kuah kacang, nasi beriyani, ayam masak merah, roti Arab yang diuli dan digoreng, gulai kari daging tetel, mee, bihun, sup ayam, rojak buah dan buah oren serta pear sebagai pencuci mulut. Air minuman pula sirap oren, teh tarik dan lagi satu saya tak ingat. Alhamdulillah.
Kami makan bersuap-suap sesama sendiri. Rasa segan pun ada sebab saya tak nampak suami orang lain saling menyuap isteri dan anak-anaknya. Alhamdulillah. Terima kasih encik suami. Buang rasa segan sebab perut lapar dan suami dapat pahala. Hehe. Fikir positif. Aiman yang rasa tak cukup disuap mengambil sendiri nasi impit dan rendang di kaunter khas menu itu. Dua kali dia berulang-alik ke kaunter tersebut untuk menambah. Akif pula minta tambah lemang. Pulut memang kegemarannya. Aleef juga makan pulut.
Hampir selesai makan, Aleef sudah mula merengek mengantuk. Saya berdiri dan peluk dia rapat ke bahu. Terus tertidur. Kenyang agaknya. Kami solat zuhur di surau selepas selesai makan dan azan kebetulan berkumandang pada waktu itu. Aiman dan Akif sudah menjauh bermain di kolam ikan bersaiz mini di tepi surau bersama kanak-kanak lain. Selesai solat zuhur, Aleef bangun tidur.
Suami memberitahu dia tidak pernah menderma darah selepas terdengar pengumuman aktiviti surau hari ini. Saya galakkan dia mencuba sambil bergurau mencabarnya. Kami pun bawa anak-anak ke ruangan khas untuk menderma darah. Tak ramai orang pun. Masa pengumuman tadi pun ada terdengar yang mereka memerlukan 70 orang penderma. Waktu kami masuk, baru 40 lebih saja yang sudah menderma. Belum mencapai sasaran.
Ingatkan derma darah tidak perlu isi borang. Kena isi juga. Suami saya memanglah orang yang sangat tak suka bab mengisi borang. Jadi, sayalah sebagai setiausaha seumur hidup, mengisinya. Soalan-soalan terakhir tentang seks haram, suami saya isi sendiri sebab Aleef merengek.
Lepas isi borang dan tandatangan, jururawat periksa jenis darah. Darah suami dari jenis B. Lepas tu, ke meja pemeriksaan tekanan darah pula. Selepas semuanya baik sahaja, barulah suami dibawa ke katil pengambilan darah. Sementara suami menderma darah, saya ke ruangan solat wanita untuk menyusukan Aleef. Akif mengikut. Tak lama pun menyusu Aleef. Sekitar 5 minit sahaja, dia sudah menolak. Yang sebenarnya, dia masih mengantuk.
Saya kembali ke ruangan penderma darah tadi. Telefon suami berbunyi. Saya tak sempat jawab kerana sedang memegang Aleef sambil membuka pintu. Saya periksa nombor pemanggil. Adik ipar menelefon rupanya. Saya telefon semula. Katanya, dia dan ibu mertua saya berada di depan rumah. Saya minta dia datang surau kerana menunggu abangnya siap menderma darah.
Langkah kanan mereka. Sampai di surau, saya menjemput mereka masuk. Segan nak masuk sendiri sebenarnya. Ibu mertua saya pula enggan masuk dan minta kunci rumah kerana bimbang aiskrim yang dibelinya cair. Rupanya mereka datang untuk menghilangkan bosan di rumah. Suami yang lebih rasional menawarkan diri untuk menyimpan aiskrim tersebut di rumah sementara ibu mertua dan adik ipar saya makan di surau. Semua setuju dan saya menunjuk arah ke meja kaunter hidangan.
Hampir jam 4, suami pun mengajak pulang. Kami naik kereta manakala adik dan ibunya menunggang motosikal. Sampai di rumah, ibu mertua menyuruh saya menggoreng cempedak yang dibawanya. Sebenarnya saya tidak pernah menggoreng cempedak. Tanpa segan silu saya tanya apa resepinya. Rupanya mudah saja. 1 sudu besar tepung beras dicampur dengan tepung gandum dan air. Sambil saya menggoreng cempedak sambil membasuh pinggan mangkuk kuali semua. Siap menggoreng dan menghidang, saya sambung membasuh. Suami melayan anak-anak sambil menonton filem Fast & Furious 6. Aiman pula sudah membuka laptop dan menonton permainan video Super Mario di Youtube.
Jam 6.30 petang barulah ibu mertua dan adik ipar pulang membawa bersama Aiman dan Akif. Aiman seperti biasalah akan ke sekolah esoknya. Akif pula memang sudah 2 minggu mencari peluang mengikut opahnya ke kampung. Tinggallah saya, suami dan Aleef. Suami mengambil peluang ini untuk bermain permainan video bola di PS2. Saya pula bersiap-siap dan menyiapkan Aleef untuk ke pasaraya Mydin membeli barang dapur dan menghantar komputer ke rumah ibu saudara suami. Semasa di rumah ibu saudaranya, sempat juga kami berbincang mengenai hal pembinaan rumahayam mentah, ubat nyamuk dan minuman coklat. Jumlahnya RM30.10. Kami bertolak selepas Maghrib.
Ini peristiwa paling kelakar bagi saya. Pertama kali saya beli barang di pasaraya dengan jumlah tidak sampai RM50. Sebenarnya kewangan sudah sangat menyusut sementara menanti gaji suami pada 25 Ogos 2015 ini. Dalam tangan saya ada RM40 yang dicampur wang suami namun dalam bentuk wang kertas RM1. Pastinya anda juga segan mahu berbelanja kerana bimbang disangka mengambil wang pemberian sedekah raya anak-anak yang lalu. Saya cuba keluarkan wang dari mesin ATM semalam sebanyak RM30 lagi kerana itu sahaja baki yang tinggal hasil jualan karipap mini di bulan Ramadhan lalu.
Saya teringat yang kad bank saya adalah kad debit dan VISA. Semasa mengaktifkan semula akaun bank dulu, saya diberi dua pilihan untuk memilih samada mahu kad itu dijadikan kad kredit atau kad debit. Saya dijelaskan bahawa kad debit boleh digunakan untuk membeli-belah tanpa saya perlu membawa keluar wang tersebut dari bank. Saya tidak pernah menggunakan keistimewaan itu. Tetapi oleh kerana segan mahu menggunakan wang RM1 yang berjumlah RM40 itu, saya cuba juga. Semasa pembayaran di kaunter, suami sudah awal-awal menunggu di luar. Saya guna teknid BAD sahaja supaya Allah tutup rasa malu. Jumlah RM30.10 tadi saya bayar gunakan kad debit tadi. Alhamdulillah. Berjaya. Selepas menandatangani resit, saya pun keluar dari kaunter menuju ke arah suami yang tersenyum simpul. Lucu rasanya dengan peristiwa ini. Tak mungkin saya dapat lupakan. Kami pulang dengan rasa lega dan terima kasih pada Allah.
Alhamdulillah untuk hari yang berjalan lancar dan rezeki yang melimpah ruah dikala sedang kesempitan. Allah Maha Mendengar. Minta pada-Nya pasti ditunaikan dengan syarat jalankan tugasan utama tanpa tertinggal (rukun pertama dari 5 rukun Islam).
![]() |
Sumber foto: Peribadi |
Ulasan
Catat Ulasan