DAH BACA QURAN BELUM?

Pagi sebelum Subuh yang indah tadi, buka mata, terpisat-pisat sebentar. Langsung berterima kasih pada Allah kerana berhasil bangun sebelum Subuh menjelang.

"Alhamdulillahillazi ahyana ba'dama amatana wa ilaihin nusyur." -Doa bangun tidur.

Teringat untuk membaca al-Ikhlas. Usai bacaan, langsung ke kamar mandi. Usai membersih diri, sejadah dibentang telekung dipakai. Bersila menghadap ke arah rumah Allah s.w.t. Damai mengalun semuka bacaan al-Quran sebelum kedengaran alunan azan Subuh. Perlahan ditutup al-Quran. Tenangkan diri menjawab setiap seruan dari hati.

Usai Subuh, cubaan membaca al-Kahfi seluruhnya. Fikiran terganggu sedikit dek terasa lapar. Bacaan diteruskan. Fikiran terganggu lagi. Sambil membaca sambil menyelak helaian mencari di mana penamatnya suratul Kahfi. "Jauh lagi.", desis hati. Fikiran terganggu lagi. "Bolehkah ditamatkan sehingga habis sebelum Aleef bangun?", soal hati. Bacaan diteruskan. Hampir 1 jam berlalu jika dihitung dari selesai solat tadi.

"Ehek." Suara kecil.

"Ek...." Lagi sekali. Sedikit kuat.

Isyarat sebelum tangisan berpanjangan. Tutup al-Quran. Baru separuh suratul Kahfi. Terasa ralat. Al-Quran dicium. Diletak semula ke tempatnya.

Aturan langkah ke kamar tidur. Masih merengek kecil. Hampir menangis. Tangan menarik selimut menutup tubuh kecil kesejukan. Erat pelukan sambil dibiar menikmati titisan emas. Kembali lena.

Alhamdulillah. Salam pagi Jumaat yang indah.

Sumber foto: Kumpulan Whatsapp DBQB (Dah Baca Quran Belum)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

AKU JUAL MASA