MENGELAK MASALAH DARI MANUSIA BIADAB

Assalamu'alaikum semua. Apa khabar iman? Bertambah ke masih di takuk lama? Moga bertambahlah ye. Amiin.

Apa cerita hari ni ye? Saya hari ni duduk rumah semula. Malam semalam ayah dan ibu saya hantar. Kebetulan mereka mahu ke rumah Mak Teh (isteri arwah abang ibu saya). Jadi saya tumpang sekali sebab rumah Mak Teh dekat dengan rumah saya.

Seperti biasalah rutin saya bersama anak-anak. Memasak, menonton televisyen, bermain bola, makan minum dan berbual bersama. Aman. Walaupun kadang Aleef meraung, kadang Akif nerengek, itulah suara yang tak akan saya dengar nadanya lagi 20 tahun akan datang. Ya. Apabila usia tua menjengah, anak sudah remaja, pastilah suasana tangis, raung dan rengek itu tak akan ada lagi. Nadanya mungkin berubah menjadi ketawa, serius atau tiada bunyi lagi kerana kurang komunikasi dan masa.

Sambung cerita hari ini, petang pula anak-anak layan diri bermain. Saya pula bermesyuarat dengan keluarga di dalam kumpulan Whatsapp. Ia tentang individu biadab (pernah saya siarkan) yang mengganggu adik perempuan saya dan kini ibu saya serta rakan-rakan adik saya.

Saya terpanggil untuk berkongsi masalah ini kerana ia pernah berlaku kepada ahli keluarga suami saya juga dan saya turut terlibat menyelesaikan masalah seperti ini. Mungkin anda semua boleh praktikkan jika anda juga punya masalah yang sama. Saya tak tahu nak namakan apa masalah ini sebab nak kata cinta, cinta apa kalau sampai mengugut, mencederakan dan sebagainya?

Kemarahan ibu ayah sudah mula meluap dari segi gaya bahasa digunakan dalam mesyuarat online kami. Sebagai anak dan kakak, saya sedih dan sakit hati membaca luahan ibu ayah. Apa saya boleh buat hanyalah mengetengahkan idea dari pengalaman lalu.

Saya cadangkan adik supaya tidak menghubungi individu tersebut sama sekali, sekat akaun onlinenya dari menghubungi adik, tukar simkad, tidak sesekali keluar dari rumah tanpa kebenaran ibubapa atau tanpa ahli keluarga, jaga solat wajib, jaga hati ibu ayah, mohon ampun pada Allah dengan solat taubat, mohon ampun dengan ibubapa dan bertindak mengikut cadangan. Alhamdulillah. Adik saya mengikut cadangan yang diberikan. Semoga dia terus istiqomah menurut nasihat kakaknya yang tidaklah sebagus dan sebaik mana.

Ya. Semua anak-anak pasti berbuat salah pada ibubapa. Tidak kira kecil atau besar. Namun, hati ibubapa itu tersangat mudah memaafkan biarpun mulutnya membebel berkata itu dan ini, marahkan kita, anak-anaknya. Semoga kita semua dalam lindungan Allah dan sempat bertaubat sebelum ajal menjemput. Matikanlah kami dalam husnul khatimah ya Allah. Ampunkanlah dosa ibubapa kami dan adik-beradik kami. Kamilah manusia akhir zaman. Penuh dosa setiap hari. Ampuni dan lindungilah kami dengan kekuasaan-Mu yang lebih berkuasa dari semua di dunia ini. Amiin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN