SELAMAT ULANGTAHUN YANG KE-34 BUAT SUAMIKU

Hari ini adalah ulangtahun suami yang ke-34 tahun. Sayangnya tahun ini kami tidak dapat mengadakan apa-apa acara kerana dia perlu bekerja di luar kawasan. Dia ditugaskan ke 4 buah negeri dalam masa 7 hari bersama seorang pegawai atasan. Entah apa urusannya saya tidak ambil tahu. Yang saya tahu dia bekerja sebagai seorang pemandu yang berhemah dan tanggungjawabnya adalah membawa pegawai-pegawai atasan kerajaan. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah s.w.t.

Tahun lalu saya mengadakan majlis kecil-kecilan untuknya yang pertama kali saya buat. Lama juga saya rancang. Menunya adalah rendang ayam dan ketupat. Bermula dari pagi saya sudah sibuk di dapur memasak kerana saya turut menjemput saudara-maranya. Dalam hati, takut juga kalau rumah diserbu dan makanan tidak cukup.

Saya usahakan mencari sebuah gitar kapok untuknya melalui adik saya sebagai hadiah kerana saya tahu dia sangat suka muzik. Kebetulan harijadinya jatuh pada hari raya ke-4 jika tidak salah. Jadi, ramai orang masih dalam mood raya. Suami pula kebetulan bekerja pada hari itu. Masa tu dia masih seorang anggota RELA di Depot Tanahan Imigresen Semenyih. Waktu kerjanya pula mengambil masa 12 jam tidak termasuk perjalanan dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya. Jadi saya ada banyak masa merancang dan menyusun atur segalanya dengan tenang.

Adik perempuan saya dan rakannya banyak membantu saya mendapatkan gitar tersebut. Dari KL ke Kajang, Kajang ke Bangi, kemudian ke KL semula dan akhirnya saya minta beli di sebuah kedai menjual peralatan muzik di Times Square kerana di situlah saya mendapat idea ketika sedang membeli-belah pakaian raya bersama. Adik saya pula beritahu kedai akan buka hanya pada jam 8 malam. Suami pula akan pulang jam 8.30 malam. Maknanya saya tak sempat untuk membalut hadiah tersebut. Saya tawakal sahaja demi menggembirakan hati suami. Sementara adik saya sampai, saya meneruskan saja kerja-kerja memasak, menyusun atur hidangan dan perabot serta membeli kek di Secret Recipe Kajang.

Agak mencabar kerana saya tidak tahu memandu dan trauma menunggang motosikal. Jadi, saya perlu bantuan untuk ke mana-mana. Inilah salah satu sebab saya sentiasa berada di rumah. Mujurlah ada adik-beradik yang punya kereta untuk saya usung anak-anak sekali mengikut membeli semua yang diperlukan. Memang kelam-kabut sedikit.

Malamnya, saya berdebar menanti kepulangan suami. Bapa saudara dan ibu saudara serta ahli keluarga mereka sudah sampai. Saya jemput mereka makan dahulu. Kek harijadi berada di dalam peti sejuk. Suami tidak tahu saya mengadakan majlis ini.

Pulangnya dia terpinga-pinga sedikit bersama ucapan terima kasih. Walau nampak keletihan, saya tahu dia gembira kerana tidak pernah diadakan majlis seperti ini untuknya. Selepas dia makan masakan saya, saya keluarkan kek dari peti sejuk, nyalakan lilin dan bawa ke ruang tamu. Dia malu-malu tetapi bapa saudaranya agak sporting, menghilangkan rasa malunya.

Adik saya mesej beritahu sudah hampir sampai ke rumah. Saya tidak tahu bagaimana hendak menyorokkan hadiah tersebut. Saya pun minta adik sorokkan sedikit di tepi rumah. Entah bila suami pula keluar rumah dan duduk di tepi untuk merokok. Dia perhatikan kotak berbentuk gitar itu. Saya pula terlambat untuk menghalang dia keluar rumah.

"Gitar siapa ni?" Tanyanya sambil membelek kotak gitar yang belum berbuka tu.

Dalam hati saya, tak tahu nak cakap apa sebab dah kantoi. Reaksi saya yang tersenyum-senyum tu pun pastilah lebih 'mengantoikan' lagi. Saya akhirnya mengaku saja itu untuk dia. Tak sempat balut sebab kedai lambat buka dan majlis sudah bermula.

Saya benarkan dia buka dan main. Sementara tu, saya berdiri di tepi memerhatikan reaksinya. Sepanjang masa majlis saya lihat dia tidak berhenti senyum. Tetamu yang hadir juga terhibur dan sama-sama berhibur.

Usai majlis, pelukan dan ciuman ikhlas pula diberi pada saya berserta ucapan terima kasih yang berulang-kali. Saat itu, saya hanya berdoa agar hubungan kami kekal hingga ke syurga tanpa gangguan dari sesiapa pun. Alhamdulillah. Masih kekal hingga ke hari ini malahan bertambah mesra.

Itu kisah tahun lalu. 2014. Tahun ini, saya hanya mengucapkan selamat sahaja melalui mesej dan mengingatkannya untuk membelikan hadiah untuk ibunya kerana ibunya sahaja sebenarnya yang layak menerima hadiah pada hari ulangtahunnya. Ibunyalah yang telah bersusah-payah mengandungkannya dan melahirkannya 34 tahun lalu penuh derita dan seksa zahir dan batin sehingga saat membesarkannya. Ibunyalah yang paling layak dihargai dan digembirakan.

Saya masih menanti kepulangannya. Semoga pulang dengan selamat dan sentiasa di dalam lindungan Allah s.w.t.

SELAMAT HARI JADI CINTA... SUAMIKU, SUDIR SYAHRIN BIN KASTOR. Semoga terus menjadi insan beriman dan bertambah iman serta menjadi insan berjaya yang sentiasa diberkati. Amiin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN