PERSIAPAN MENYAMBUT AIDILFITRI

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Lama sangat 'cuti' menaip blog. Apa pun sebabnya, biarkanlah. Alasan je semua tu.
Jadi, apa khabar rakan dan sahabat semua? Bagaimana dengan persiapan menyambut Syawal tahun ini?

Sebenarnya tahun ini saya tidak bernafsu untuk membeli-belah baju raya dan kuih raya. Tetapi dek kerana paksaan suami untuk bergaya pada hari raya yang memang sudah menjadi rutin dari awal perkenalan kami, saya ikutkan sahajalah.

Pagi-pagi suami sudah bersiap-siap bersama anak-anak untuk keluar membeli-belah. Sayalah yang menjadi tempat rujukan suami untuk ke mana membeli. Saya cadangkan untuk ke Plaza Metro Kajang kerana ibu mertua saya cadangkan kami ke situ beberapa hari yang lalu selepas membeli baju raya adik ipar saya. Murah dan cantik katanya.

Sampai di Plaza Metro Kajang, kami 'cuci mata' sebelum membeli. Selepas belikan anak-anak makanan untuk 'alas perut', mulalah aktiviti mencari dan memilih baju yang sesuai. Bertawaflah kami di dalam pusat beli-belah tersebut.

Suami gunakan konsep 'lady first' untuk memilih dan membeli baju. Maklumlah, saya seorang sahaja berjantina perempuan di dalam keluarga kami. Lepas satu ke satu butik saya kunjungi. Baju-baju di butik semuanya cantik-cantik dan menarik. Dari tingkat bawah tanah (lower ground) ke tingkat dua, kami mengelilingi pusat beli-belah. Malangnya saya yang berbadan kecil dan kurus ini, tidak ada saiz di semua butik-butik yang nampak mewah di sini.

Setelah letih berpusing-pusing mencari, kami berhenti di tingkat tiga. Tingkat ini tingkat teratas yang ada butik pakaian setaraf pakaian dijual di Mydin iaitu Bintang Fashion. Selain dari butik itu, ada juga kedai buku Smart, kedai sticker, kedai komputer, kedai peralatan aktiviti outdoor, karaoke dan permainan, gerai-gerai kecil dan panggung wayang.

Kami berhenti sekejap dan sempat saya bincang dengan suami untuk mencari kedai yang menjual pakaian untuk semua. Tidak perlu ke tempat berlainan kerana ia sangat meletihkan. Suami setuju.
Kami kunjungi butik terakhir di tingkat tiga ini. Alhamdulillah. Semua yang dimahukan ada di butik ini. Dari baju Melayu bersaiz bayi hingga saiz dewasa semua ada. Suami dahulukan saya. Kami akhirnya memilih warna hijau zamrud. Sedondon. Songkok juga beli di tempat sama. Selesai misi kami. Tinggal tudung saya sahaja belum dibeli.

Misi kedua, membeli kasut. Oleh kerana keletihan, kami tidak lagi berpusing mencari. Suami mencadangkan untuk membeli di sebuah kedai kasut di luar pusat beli-belah Plaza Metro Kajang. Entah apa namanya. Lupa saya untuk mencatatkannya. Hanya saya dan anak-anak sahaja yang membeli kasut. Suami enggan. Adalah seleranya itu di tempat lain.

Selesai membeli-belah, matahari sudah terik. Segera kami pulang dan menunaikan solat zuhur serta berehat-rehat. Aiman ambil peluang menonton kartun di Youtube. Akif, saya dan Aleef tidur. Suami saya pula menonton drama Tamil di saluran TV2.

Hampir jam 5 petang barulah kami bersiap-siap lagi sekali untuk menghantar Aiman ke kampung. Masih berbaki dua hari lagi untuk dia bersekolah sebelum cuti hari raya. Suami mencadangkan untuk berbuka puasa di luar memandangkan letih masih berbaki lagi. Selesai berbuka puasa, kami biarkan anak-anak bermain di taman permainan berdekatan sementara kami bergilir menunaikan solat.
Selesai bersolat, kami bergegas menghantar Aiman ke kampung. Hanya ada ayah mertua tiri saya di rumah. Kami berbual sebentar. Beberapa kali ayah mertua saya mengadu tangannya sakit. Urat tangannya kejang tidak boleh diluruskan. Tidak diketahui puncanya. Saya ceritakan pada suami dan suami bercadang mencari tukang urut sebelum raya.

Hampir 10.30 malam baru nampak kelibat ibu mertua saya pulang dari masjid. Gembira terpancar di wajah dan tona suaranya melihat cucu-cucunya menyambut kepulangannya. Kami berbual sebentar. Hampir jam 11 malam baru kami bergerak pulang ke rumah. Saya sempat masak nasi untuk sahur sebelum tidur.

Alhamdulillah untuk hari ini.

Warna tema Aidilfitri tahun ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN