1 HARI SEBAGAI PEMBANTU RESTORAN

Assalamu'alaikum.

Hari ini sekali lagi Facebook mengingatkan saya pengalaman bekerja 4 tahun lalu di sebuah restoran makanan. Ketika itu saya tinggal di Taman Kajang Sentral, Kajang, Selangor. Telah 5 bulan hamil anak kedua dan sudah 3 bulan mencari kerja di sekitar tempat tinggal.

Entah bagaimana saya "terborak" dengan jiran sebelah rumah saya. Maksud "terborak" ini kerana saya seorang yang tidak keluar rumah untuk menemuramah dan bermesra dengan jiran-jiran. Hidup saya hanya di dalam rumah. Jika keluar pun hanya untuk ke kedai runcit berdekatan bagi membeli barangan keperluan dapur. Jika pembaca pernah menemui saya, memang akan faham bagaimana saya. Saya agak pasif dan introvert, jika tidak kenal. Kesempatan berbual ini hanya terjadi apabila saya dan jiran terserempak ketika mahu masuk ke rumah masing-masing.

Melalui perbualan inilah saya diberikan peluang bekerja di restoran ini (rujuk gambar Facebook di bawah). Rupanya saya berjiran dengan seorang pensyarah kolej. Suaminya pula bekerja di MIROS, belakang rumah sahaja pejabatnya. Dia juga adalah pemilik restoran yang menawarkan pekerjaan kepada saya.

Mulanya dia kelihatan ragu-ragu juga memandangkan saya sudah hamil. Namun, masih memberi peluang saya mencuba. Kebetulan ibunya tinggal bersama menjaga anaknya yang sebaya anak saya, Aiman. Ibunya menawarkan diri menjaga Aiman. Saya juga ragu-ragu kerana Aiman jenis kuat merengek dan menangis. Saya kentalkan hati untuk mencuba juga. Ibu bos pernah juga mengadu kepada saya hasrat anak lelakinya yang ingin berhenti kerja demi membantu perniagaan isterinya. Saya hanya diam dan tersenyum.

Hari pertama, saya memilih memakai baju kurung. Lebih sopan. Pagi-pagi lagi saya sudah terpacak di depan restoran. Jam 7.00 pagi. Ada seorang tukang masak (lelaki), pembantu dapur (perempuan), pembuat roti canai (lelaki) dan pembancuh air (lelaki). Saya yang terpinga-pinga, segera diarahkan bos lelaki untuk membantu menggoreng telur mata kerbau.

Saya ditunjukkan tempatnya dan mula menggoreng. 20 biji sahaja diminta. Saya mula tidak sedap hati kerana telur itu tidak dibasuh terlebih dahulu. Saya serba salah, namun masih meneruskan. Bos menyuruh saya buat dengan cepat. Saya hanya diam dan teruskan kerja. Habis menggoreng, saya diarahkan belajar melipat kertas pembungkus nasi lemak. Mesti cepat. Saya turut sahaja.

Jam 10 pagi, kanopi di depan restoran sudah lengang memandangkan kebanyakan orang telah mula bekerja. Bos lelaki juga sudah ke pejabat. Tinggal adik (lelaki) bos perempuan sahaja memantau pekerja. Bekas-bekas jualan menu pagi kami bawa masuk. Pembantu dapur pula telah pulang kerana hanya bekerja sambilan sahaja. Tinggal saya seorang sahaja perempuan.

Saya masuk ke dapur dan membantu bahagian dapur pula. Memotong bawang dan sebagainya untuk menu tengahari. Suasana yang kurang menyenangkan kerana kebersihannya kurang dijaga. Saya tabahkan saja hati. Di dalam fikiran asyik teringatkan Aiman yang suami sudah titipkan kepada ibu bos. Sambil fikiran menerawang, sambil berbual memperkenalkan diri masing-masing.

Tukang masaknya (bapa saudara bos) agak banyak bertanya itu dan ini kepada saya. Sesekali membebel tentang gaji yang terlalu rendah, bos kedekut dan sebagainya. Sesekali menyakat saya juga. Saya tidak selesa tetapi hanya senyum melindungi rasa hati.

Menjelang jam 11 pagi kami semua sudah bertungkus-lumus membersihkan meja, menyusun kerusi, meletakkan lauk-pauk di tempatnya dan sebagainya.

Jam 12 tengahari, pelanggan mula memasuki restoran. Menu utama adalah nasi ayam. Saya ditugaskan menjaga bahagian nasi ayam. Mujur ada pengalaman dengan ibu dan ayah saya dulu. Tidaklah kekok sangat. Tetapi yang membuat saya geram, saya jaga nasi ayam, saya juga pelayan dan saya juga penghantar makanan.

Ada juga adik bos membantu tetapi kebanyakan masalah orang lelaki ini adalah cuai. Lepas buka bekas simpan makanan, tidak ditutup semula. Lepas makan, tidak basuh. Sudah guna, tidak disusun semula. Yang paling memualkan, ayamnya dibiarkan terdedah hingga dihinggapi lalat. Beberapa kali saya terpaksa membersihkan ayan dan menutup semula bekas.

Jam 1.30 petang saya sudah agak letih. Mujur pelanggan sudah berkurangan dan saya mohon undur diri untuk menunaikan solat Zuhur di rumah. Terketar-ketar rasa kaki menaiki tangga pulang ke rumah. Selesai menunaikan solat Zuhur, saya bergegas semula ke restoran kerana waktu rehat diberi sangat singkat. Hajat hati mahu juga menjenguk Aiman di sebelah rumah. Tetapi takut pula nanti dia mahu mengikut. Saya kembali juga ke restoran walau kaki rasa nak tercabut dan pinggang mula sakit sedikit.

Pelanggan yang datang tidaklah ramai pada waktu petang jika dibandingkan dengan waktu pagi dan tengahari tadi. Jam 5 petang, ibu bos datang membawa cucunya bersama anak saya. Kelihatan seronok pula si Aiman dapat kawan baru. Begitu juga kawannya itu. Keduanya anak sulung. Belum ada adik. Terujalah bila ada kawan. Sebentar sahaja mereka datang ke restoran. Mujur Aiman tidak kisah.

Mata asyik memandang jam. Saya akan tamat tugas jam 6 petang. Hati sudah tidak sabar mahu pulang. Badan sudah berlengas dan teramat letih. Kaki sudah kebas. Pinggang sudah sakit. Jiwa terseksa kerana melihat sesi penyediaan dan penyimpanan makanan yang kurang bersih.

Tepat jam 6, saya bergegas pulang. Wang upah saya tidak fikirkan lagi. Saya hanya mahu pulang dan rehat. Saya serik. Saya jemput Aiman pulang ke rumah.

Malam itu saya menyatakan hasrat saya kepada suami. Saya tidak sanggup lagi bekerja di situ. Persekitaran yang nampak bersih tetapi sebenarnya tidak itu buat saya serik. Badan saya juga tidak tahan untuk bekerja tanpa duduk rehat yang agak lama memandangkan kehamilan saya. Walaupun bos perempuan ada berkias yang dia boleh angkat tong gas semasa habis berpantang bersalin, saya tak mungkin akan ikut jejaknya. Ia satu penyeksaan.

Suami setuju saya berhenti. Cukuplah satu hari bekerja di restoran itu. Ia agak bermasalah dari segi pengurusan hingga ke dapur. Saya menghalalkan saja keringat saya hari itu memandangkan ibu bos telah membantu saya menjaga Aiman. Sejak itu saya dan suami tidak pernah makan lagi di situ. Setelah beberapa bulan, restoran tersebut tutup. Tidak tahulah apa sebabnya.

*********
Iktibar dari pemerhatian saya dari pengalaman ini ialah:
+ suami isteri perlu saling bekerjasama jika membuka perniagaan.
+ suami tidak perlu berhenti kerja untuk menguruskan perniagaan milik isteri kerana "panas mungkin tidak sampai petang, mungkin hujan di tengahari".
+ pengambilan pekerja mestilah di kalangan orang yang menjaga solat dan tutur kata. Baik dari ahli keluarga mahupun dari luar.
+ kebersihan adalah perkara paling penting sebagai pengusaha restoran. Pekerja mesti sentiasa bersih dan menjaga kebersihan.
+ berniaga mestilah jujur. Ia satu dosa apabila memberi makanan yang tidak bersih kepada pelanggan. Allah tahu walau manusia tidak tahu.
+ pengurusan masa bekerja perlu diteliti di samping mengkhususkan setiap pekerja kepada kerja tertentu sahaja.
+ penyelarasan gaji perlu mengikut standard ditetapkan dan diberi tepat masa agar pekerja lama tidak meracun pekerja baru.

*********
Sekian cerita pengalaman lalu untuk hari ini. Semoga menjadi iktibar.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN