DUNIA CETAK: PERMULAAN PENGLIBATAN SAYA

Assalamualaikum.

Hari ini sekali lagi Facebook mengingatkan saya permulaan penglibatan saya dalam dunia percetakan t-shirt kira-kira 2 tahun yang lalu.

Ketika itu saya tinggal bersama adik bongsu saya yang sudah bernikah. Beliau bekerja sebagai seorang pereka grafik syarikat pengiklanan di Kuala Lumpur. Isterinya juga bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat percetakan kad kahwin di Taman Putra Kajang.

Saya agak kagum melihat kesungguhannya bekerja. Pada siang hari dia akan ke pejabat. Pada malam hari pula dia akan menyiapkan tempahan baju cetak.

Saya perhatikan dari awal dia mula melibatkan diri dalam dunia percetakan ini. Dia sendiri menukang dan merekacipta meja mencetak baju sebaik pulang dari kerja atau ada waktu terluang. Berbagai percubaan dilakukan.

Baju-baju lama yang tidak digunakan menjadi mangsa hasil cetakan percubaannya. Gigih dan konsisten.

Lampu pemanas untuk mengalih imej yang dicetak di kertas ke atas kain yang digunakan untuk mencetak baju juga diusahakannya sendiri. Biarpun secara manual dan memakan masa serta tenaga elektrik yang tinggi, dia tidak putus asa.

Usahanya dibantu salah seorang rakannya yang mengambil upah memasang plug khas untuk digunakannya dalam proses mencetak. Ini kerana penggunaan wayar penyambung biasa yang terdapat di pasaraya tidak mampu menampung aliran tenaga elektrik yang diperlukan.

Bermula dengan penyediaan meja mencetak, lampu yang boleh mengalih cetakan kertas ke atas kain, pembinaan blok-blok cetak dan proses mencetak dan mengering baju yang sangat banyak, dia akhirnya berjaya berkerjasama dengan rakannya mendapatkan tempahan demi tempahan setiap minggu.

Saya yang melihat jerih-payahnya tersenyum di dalam hati. Kadang-kadang saya ikut membantunya membungkus pakaian yang telah siap dicetak dan dikeringkan. Kasihan melihat dia bersendirian melakukan hampir seratus-peratus kerja. Itupun jika saya belum tertidur dek kerana letih menguruskan rumahtangga.

Sehingga kini dia masih mengambil tempahan mencetak baju secara sambilan. Seringkali pulang lewat malam atau pagi kerana menyelesaikan tempahan. Mujur dibantu oleh adik-adik lelaki saya yang lain serta rakan-rakannya.

Begitulah kisah bermulanya saya juga turut terlibat dalam dunia percetakan. Dari mata turun ke hati. Ya, saya kembali terlibat dalam dunia cetak ini bermula awal Oktober 2015 lalu secara sambilan di atas talian juga. Insya-Allah saya akan kongsikan lagi perkembangannya.

Semoga usaha kami semua berkat lagi halal serta bertambah baik.

Bismillahitawakkaltualallah.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN