TAHUN PENUH PERUBAHAN

Assalamualaikum semua. ヾ(^-^)ノ

Tahun 2015 sudah beberapa hari meninggalkan kita. Guru online memberi tugasan mencatat peristiwa sepanjang tahun 2015. Saya cuba catatkan juga dalam waktu senggang ini (takdelah senggang sangat - sambil menyusu anak).

Bermula awal tahun 2015 saya bersama Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR), di mana ketika itu semangat saya mengendalikan bisnes percetakan sedang sangat menurun dan saya menceburi bidang penulisan blog dengan bimbingan guru dan rakan di dalam ABDR.

Tiada perkara sangat istimewa sepanjang tahun 2015 melainkan pembabitan saya dalam usaha menggilap penulisan saya dan perkongsian ilmu yang saya ada melalui blog. Banyak yang dipelajari. Banyak perubahan saya buat bermula dengan usaha kekal positif dan mengelak anasir minda negatif dari bertapak dalam hati dan fikiran.

Syukur juga apabila suami diterima bekerja dalam sektor kerajaan sebagai pemandu. Ia sekaligus mengubah penerimaan dirinya kepada nasibnya sendiri yang hidup dalam keluarga susah selama ini. Ia juga meningkatkan keyakinan diri beliau sekaligus menjadikan dia lebih positif.

Sepanjang tahun 2015 juga, dalam saya berusaha merubah corak pemikiran, ada 1 lompong dalam diri sebenarnya. Saya rindu anak sulung saya, Muhammad Aiman. Ini kerana dia terpaksa tinggal berasingan dengan saya hingga habis pra-sekolah di Semenyih (sudah daftar sekolah di situ). Melihat dia dari jauh dan seminggu sekali, tidak mengetahui perkembangan dan kebolehan sebenarnya adalah satu perkara yang menyeksa jiwa raga saya.

Bagi melupakan ruang kosong di hati, saya usaha mengalih perhatian kepada bisnes dan blog. Alhamdulillah.

Menjelang Oktober 2015, saya kembali ke dunia bisnes percetakan setelah bisnes dropship tidak mendapat sambutan. Selepas sebulan membina tapak blog seperti dipelajari di dalam ABDR, tempahan mulai masuk sedikit demi sedikit. Ditambah dengan sedikit ilmu dari tuan Bukhari Ramli dan tuan Aqif Azizan yang saya praktikkan sekadar perlu.

Kini, 2016 menjengah, saya menjadi sangat sibuk dengan urusan persekolahan anak sulung saya, perniagaan percetakan yang masih baru, keadaan SOHO dan dekorasi rumah yang masih tunggang-langgang, jadual yang terpaksa diolah semula setelah saya dapati ia tidak sesuai dengan keadaan saya memandangkan anak yang sudah mula bersekolah dan sebagainya.

Semoga tahun 2016 ini saya dapat menyusun langkah lebih baik lagi dan mampu menjana pendapatan yang halal lagi berkat dan melimpah-ruah supaya dapat membantu orang lain pula.

(^.^)Amiin. Ya robbal alamiin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN