ULANGTAHUN PERKAHWINAN KE-9

Alhamdulillah. Syukur atas nikmat hari ini dan sebelumnya. Kalau rajin, bacalah. Bawah sekali saya kongsikan sikit tips cari jodoh. Sikit je.

Ya. Hari ini ulangtahun perkahwinan saya dan suami yang ke-9 tahun. Banyak perubahan sepanjang perjalanan mengenalnya.

2004 - Kami berkenalan sebagai rakan biasa. Asalnya saya mahu jadi 'cupid' untuk kawan baik saya. Bahasa KAU - AKU itu biasa walaupun dia tua 4 tahun. Tak hormat orang tua betul kan? 

2005 - Dari cuba jadi 'cupid', saya akhirnya terpanah diri sendiri. Baru belajar guna bahasa ABANG - AWAK. Kelakar pun ada dari KAU - AKU jadi ABANG - AWAK. 

Sakitnya tu di sana sini! Sebab saya dan dia bercinta jarak jauh. Pada katil double decker asrama, saya tampal gambar ukuran pasport dia di papan katil atas saya (saya tidur katil bawah) dan tengok setiap hari sambil berbual bila saya bosan. Kami juga guna cara kirim surat. Tu pun beberapa bulan sekali. Telefon 3 kali saja sepanjang saya di asrama. Maklumlah. Saya tinggal di asrama. Dia pula bantu arwah abahnya meniaga pasar. Jauh pula jaraknya.

2006 - Keluar dari asrama, saya tinggal dengan nenek di Johor selama sebulan sementara tunggu panggilan dari kolej. Tak dapat jumpa lagi. Dapat telefon saja.
Sebaik terima panggilan dari kolej, saya ditempatkan di hostel pula. Dapat juga jumpa akhirnya dengan dia bila saya cuti semester atau hujung minggu.

Dek kerana kecemburuan menguasai diri, kami memutuskan untuk bertunang. Dengan rasminya saya dan dia bertunang dengan pinangan dihadiri oleh kaum keluarganya (adik-beradik mak mertua). Bertunang tak perlu majlis hebahan ye awak semua. Ingat tu. Kan Nabi Muhammad s.a.w. dah pesan.
Hari dia meminang tu, saya demam pula. 

2007 - Dek kerana pergaduhan akibat cemburu (sehingga saya tanpa niat telah mencederakan pipi dia - tumbuk dengan cincin tunang bersarung di jari - maaf ye awak), kami pun membuat keputusan segera bernikah. Niat untuk nikah dahulu, majlis kemudian sebab saya masih belajar di kolej.

12 Jan 2007 - Kami disahkan sebagai suami isteri. Alhamdulillah.  Oleh kerana saya masih belajar, kebanyakan masa senggang saya, saya akan ikut dia pergi kerja. Masa tu dia kerja pemandu lori kilang air mineral. Kerja berat tu. Saya pernah cuba angkat 1 karton air mineral tu. Jangan harap la dapat angkat kalau badan kalah papan lapis kan? Ada hati nak tolong! 
Masa ni banyak kerja kami buat bersama. Pergi mana pun bersama. Maklumlah. Isteri pelajar, suami pemandu. Bos suami  pun tak kisah saya ikut suami.

Masa ni saya mula kenal kawan-kawannya dan mereka juga jadi kawan-kawan saya. Saya yang tak pernah konvoi motosikal, dapat ikut. Saya yang tak pernah tahu dunia sebenar mat motor atau mat rempit, dapat tahu. Tak semua mereka ni jahat ye. Saya paling suka bab gosok motor dan topi keledar sama-sama untuk tukar warna cover set motor tu. Selalu juga saya bersengkang mata dengan dia menghadap enjin motor "jerung" dia tu.

2008 - Saya mula kerja sambil belajar di kolej. Saya kerja di CyberCafe, pusat snuker (sila jangan salah anggap sebab suami saya pun kerja sama-sama), kerani kedai baiki mesin dan juga berniaga pasar malam. Nak tampung belanja pengangkutan dan makan di kolej punya pasal, macam-macam kerja buat.

Akhir tahun, tamatlah pengajian di kolej. Saya pula disahkan hamil anak pertama selepas kemalangan dilanggar orang asli mabuk ketika pulang ke rumah bersama suami. Tak jadilah perancangan keluarga saya nak buat majlis sanding saya. 

Suami juga sudah bekerja sebagai anggota RELA di Depot Tahanan Imigresen masa tu. Saya tak lagi
bekerja dan hanya mengular di rumah (layan game The Sims saja). Nasib suami jenis penyabar yang amat.  Teruk betul! Jangan kecam saya ok. Saya cerita pengalaman je. Takde ilmu macam tu la jadinya. Why so serious? Ambil pengajaran ok?

April 2009 - Saya ambil sijil di majlis konvokesyen dengan semua orang perasan saya dah hamil, terutama pensyarah kegemaran saya, Puan Roslaily.  Malu je rasa. Masa tu kandungan sekitar 5 bulan. Perut dah besar walau pakai baju besar tetap tak boleh sorok. 

September 2009 - Lahirlah anak pertama yang kecil macam saya.  2.4 kg sahaja. Saya tinggal dengan mertua sepanjang masa pantang. Ceaserean adalah satu mimpi ngeri.

Tinggal dengan mertua ni, banyak sangat saya belajar dari dia. Rajin mengemas, memasak, membasuh dan sebagainya. Rumah sentiasa teratur. Tiada longgokan baju yang perlu dilipat menjelang malam! Waktu masak dan makan sentiasa tepat. Kalau lewat pun setakat beberapa minit. Sampah juga akan dibuang setiap petang.

2010 - Begitulah hidup saya hingga saya berpindah ke rumah ibu saya di Kajang (ibu saya tinggal di rumah lain) dan suami bertukar kerja lagi. Saya hanya mengurus anak dan makan minum di rumah. Cukup bulan, suami bayar bil dan kami beli barang dapur. Agak membosankan. Jadi, suami pasang Astro. Kurang bosan. Tapi tidak membantu.  Bazir je. Bukan tengok semua saluran pun.

2011 - Saya mula kerja di kilang pembekal bahan pastri dan kek sebagai kerani am sebaik sahaja anak pertama bercerai susu.

Sekitar 2 minggu kemudian saya disahkan hamil anak kedua.  3 bulan saya bekerja sebagai kerani dan saya berhenti kerana mendapat tawaran kerja sebagai pembantu tadbir di Sekolah Pengajian Siswazah di UPM. Suami pula membantu arwah abahnya meniaga di Klang.

Februari 2012 - Sepatutnya saya sambung kontrak dengan UPM tapi rasa penat sangat. Bukan senang jadi pembantu tadbir ni dengan perut besar naik turun tangga berkejar ke sana sini. 

Anak kedua saya lahir. Besar sikit dari abangnya. 2.6 kg. Alhamdulillah. Normal.

Saya kembali duduk di rumah mengasuh anak dan mengurus rumahtangga. Surirumah sepenuh masa. Kebosanan. Saya gunakan internet untuk mencuba dropship dan topup. Baru belajar, takde guru, pandai-pandai sendiri, mana nak ada untung.  Main hentam je.

2013 - Saya berpindah ke rumah ayah saya pula di Kajang. Rumah yang tak perlu saya turun naik tangga dan kedai agak jauh. 

Saya mula berminat dengan bisnes percetakan dan mencari tahu serba sedikit, mengikuti program HEARTS untuk surirumah bersijil dan berijazah.

2014 - Saya berpindah ke rumah mertua semula. Saya sah hamil anak ketiga dan  berhenti bekerja RELA dan berusaha menumpukan kerjaya baru di bawah HEARTS. Namun...
Tahun ini paling perit kerana proses perubahan mendadak yang saya lakukan demi menjadi insan lebih baik. Saya mula cuba amalkan tahajud, usaha menjaga solat 5 waktu, baca al-Quran dan sebagainya. Pelbagai kifarah saya terima sepanjang proses membaiki diri hingga saya jadi amat pelupa dan hampir hilang akal. Malah hampir tidak peduli kehamilan saya.

Saat berjuang dengan maut kerana denggi berdarah dan konflik diri serta keharmonian rumahtangga adalah saat paling saya tahu siapa yang sentiasa ada di belakang saya saat saya susah dan jatuh. Terima kasih Allah.

Saya bangkit kembali selepas pulih mental dan fizikal sekitar 40%, berpindah ke rumah ayah saya semula dan mula  melibatkan diri dengan dunia percetakan.

November 2014 - Anak ketiga lahir. 2.6 kg. Normal.

Bisnes percetakan saya merudum kerana tidak cukup kakitangan dan ilmu. Saya biarkan dan tumpu pada anak-anak dan urusan rumahtangga.

2015 - Tahun saya mengasuh anak-anak tanpa anak pertama turut serta kerana telah terdaftar di sekolah yang jauh nun di rumah mertua. Emosinya tercalar walau agak cemerlang pelajarannya.

Saya pulih 80% dari segi mental dan fizikal. Suami juga mendapat kerja baru bersama kerajaan.
Alhamdulillah. Rumahtangga tidak lagi dibadai taufan. Aman. Kami jaga solat. Kami belajar jaga aurat. Kami usahakan menatap al-Quran dan membacanya.

Saya buang senarai kawan yang negatif. Saya audit diri habis-habisan. Saya mula cari ilmu perniagaan, ilmu penulisan, ilmu kewangan, ilmu pengurusan rumahtangga dan anak-anak. Alhamdulillah. Semua semakin lancar.

Jan 2016 - Ulangtahun perkahwinan ke-9 ini penuh makna apabila saya mengimbas perubahan diri dan teguran Allah beri. Tidak perlu hadiah atau janji manis apa-apa. Cukup hanya keharmonian ini kekal selamanya. Alhamdulillah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN