PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

Dua minggu sebelum tarikh 3 November 2011, satu panggilan telefon meminta saya bersiap-sedia untuk melapor diri di Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia. Saya hairan kerana saya belum ditemuduga. Saya hanya menghantar borang memohon jawatan melalui ayah saya yang kebetulan bekerja di universiti itu kira-kira 2 bulan sebelumnya.

Saya terima pelantikan itu hanya melalui telefon dengan menjawab mahu atau tidak. Pastilah saya mahu merasa bekerja dalam sektor kerajaan itu. Ia peluang yang sangat ditunggu-tunggu semua orang! Tambahan lagi saya tidak perlu temuduga! Macam bermimpi rasanya.

Hanya ada dua kemungkinan saya diterima bekerja tanpa perlu temuduga. Pertama, semasa ayah saya menghantar borang tersebut kepada pihak atasan di Sekolah Pengajian Siswazah itu, ayah saya memakai baju uniform universiti. Jadi, ayah saya mungkin dikira sebagai "orang dalam".
Kedua, berkat hamil anak kedua saya. Ketika saya menerima jawatan tersebut, saya sedang sarat hamil. Hanya 3 bulan lagi saya akan bersalin. Rezeki manusia Allah saja yang tahu kan?

Pagi 3 November 2011, saya berdebar-debar menanti kaki melangkah ke tempat kerja baru saya. Saya pergi bersama ayah saya kerana suami saya perlu membantu abahnya (arwah) berniaga di Klang dan lumpuh separuh badan. Anak sulung saya juga dijaga suami ketika itu. Terima kasih kepadanya.

Perkara pertama saya perlu buat semasa tiba di Sekolah Pengajian Siswazah di UPM ialah melapor diri kepada pegawai pembantu tadbir. Perasaan saya bercampur-baur antara gembira dan teruja. Pegawai tersebut seorang wanita. Tutur katanya sopan dan teratur. Sekaligus menghilangkan perasaan gementar saya. Dia agak terkejut kerana saya diterima bekerja sedangkan saya sedang sarat hamil.

Ya. Jika sedang hamil memang tidak ada orang mahu ambil kita bekerja. Sebelum saya mendapat jawatan ini, saya sudah bertanya sana-sini untuk pekerjaan. Tetapi oleh kerana hamil, tiada yang berani mengambil saya bekerja. Rupanya rezeki saya di UPM ketika itu.

Pegawai tadi memberitahu saya skop tugas saya sebagai pembantu tadbir di situ. Dia turut memberikan salinan skop tugas, carta aliran kerja dan beberapa borang untuk saya isi dan tandatangan. Dia kemudiannya memperkenalkan saya kepada barisan pembantu tadbir kendaliannya. Saya diletakkan di bahagian pengurusan tesis dan peperiksaan VIVA VOCE untuk siswazah yang mengambil Master dan PhD bagi Fakulti Pengajian Pendidikan.

Hari pertama ini memang saya 'blur'. Saya tidak tahu mahu mula dari mana dan buat apa. Mahu bertanya, saya lihat semua orang sangat sibuk. Akhirnya, saya ditunjuk ajar juga setelah keadaan kurang sibuk pada waktu petang. Keesokannya saya sudah mulakan tugas.

Inilah jadual rutin kerja saya sebagai Pembantu Tadbir di Sekolah Pengajian Siswazah, UPM.

7.30 pagi - 8.00 pagi : Daftar masuk kerja secara atas talian. Sarapan.
8.00 pagi - 10.00 pagi : Semak jadual peperiksaan dan VIVA VOCE pelajar, Sediakan bilik peperiksaan jika ada temujanji peperiksaan pada waktu dan tarikh ini. Sambut kedatangan pensyarah dan pelajar serta bawa ke bilik peperiksaan yang telah disediakan. Kemas, tutup peralatan elektrik yang digunakan setelah peperiksaan selesai.
10.00 pagi - 10.15 pagi : Minum pagi.
10.15 pagi - 12:30 tengahari : Cetak, masukkan dalam sampul, taip atau tulis nama dan alamat atas sampul surat-surat rasmi kepada pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah berkaitan peperiksaan. Susun surat yang telah siap di tempat khas untuk dikutip penghantar surat. Isi maklumat penghantaran di dalam buku log. Sediakan bilik peperiksaan jika ada temujanji peperiksaan pada waktu dan tarikh ini.  Sambut kedatangan pensyarah dan pelajar serta bawa ke bilik peperiksaan yang telah disediakan. Kemas, tutup peralatan elektrik yang digunakan setelah peperiksaan selesai.
12.30 tengahari - 1.30 petang : Makan tengahari dan solat Zuhur.
1.30 petang - 4.00 petang : Buat panggilan dan hantar emel untuk menentukan tarikh dan masa temujanji peperiksaan kepada semua pensyarah terlibat. Sediakan bilik peperiksaan jika ada temujanji peperiksaan pada waktu dan tarikh ini.  Sambut kedatangan pensyarah dan pelajar serta bawa ke bilik peperiksaan yang telah disediakan. Kemas, tutup peralatan elektrik yang digunakan setelah peperiksaan selesai.
4.00 petang - 5.00 petang : Semak dan siapkan fail-fail untuk peperiksaan keesokan hari (jika ada). Simpan fail pelajar yang telah selesai peperiksaan di bilik rekod fail. Sediakan bilik peperiksaan jika ada temujanji peperiksaan pada waktu dan tarikh ini.  Sambut kedatangan pensyarah dan pelajar serta bawa ke bilik peperiksaan yang telah disediakan. Kemas, tutup peralatan elektrik yang digunakan setelah peperiksaan selesai.
5.00 petang : Daftar keluar kerja secara atas talian.

Pengalaman selama 3 bulan berturut-turut itu sangat banyak membuka mata saya bagaimana sibuknya kerja-kerja pejabat seperti sektor kerajaan. Bermacam-macam kerenah pelajar dan pensyarah dijumpai. Ada pelajar hari-hari telefon untuk mengetahui tarikh peperiksaan VIVA hingga mengganggu jadual kerja yang telah disusun. Kebiasaannya pelajar-pelajar dari negara Iran bersikap begini. Ada juga yang bersikap biadab dan masuk ke kawasan pejabat kakitangan dan mendesak kami mempercepatkan proses peperiksaan. Ada yang menghadiahkan kami dengan kek dan manisan dari negara mereka sebagai tanda terima kasih atau cubaan membodek mempercepat proses.

Pensyarah juga begitu. Ada yang tiba-tiba membatalkan temujanji hingga menyusahkan pensyarah lain dan kami kerana terpaksa menelefon setiap pensyarah semula untuk menentukan tarikh baru. Ada juga yang agak angkuh dengan gelaran mereka dan akan marah-marah apabila kami tidak menyebut gelarannya. Ada yang pakaiannya tidak memenuhi etika berpakaian walaupun sudah diletakkan poster di pintu masuk. Ada yang perlu sentiasa diingatkan tarikh peperiksaan. Ada yang kaki komplen tentang penyediaan makanan semasa peperiksaan dan macam-macam lagi.

Ditambah lagi dengan politik di tempat kerja. Ada staf yang gemar melepak sambil mengumpat. Ada staf yang suka mengadu-domba. Ada staf yang suka berpuak-puak. Ada juga yang berebut bilik peperiksaan untuk pelajar dan pensyarah bagi fakulti yang mereka uruskan. Ada staf yang suka cari gaduh dan sebagainya.

Selalunya kerja saya juga terganggu kerana sistem pemfailan staf yang memegang jawatan saya sebelum ini tidak teratur. Semuanya caca-marba. Sudahnya saya pening dan sering naik angin apabila kerja saya terganggu dengan kehadiran pelajar-pelajar yang datang mendesak.

Saya akhirnya berhenti kerja walaupun berhasrat ingin menyambung kontrak. Ini kerana keadaan saya yang hamil dan tinggal lagi 3 bulan bersalin menghalang saya dari teruskan kontrak. Saya tidak mampu naik turun tangga menyiapkan bilik peperiksaan, berjalan ke hulu ke hilir menyimpan fail pelajar dan keluar membeli makanan kerana tiada kantin di situ.

Di sebalik semua kepayahan itu, saya juga sangat bersyukur kerana saya sudah faham bagaimana "golongan pejabat hawa dingin" bekerja di dalam sektor kerajaan. Pokok pangkalnya mesti sangat banyak bersabar dengan kerenah manusia yang pelbagai.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN