SEKOLAH DI RUMAH

Assalamualaikum semua. Lama juga saya tidak menulis di blog ini.

Sebenarnya saya sedang menyusun atur perancangan untuk aktiviti tahun 2016. Sebagai seorang surirumah sepenuh masa, aktiviti rutin urusan rumahtangga adalah satu keutamaan. Memandangkan tahun depan, anak kedua saya akan masuk usia 4 tahun, saya mahu usahakan mengajarnya sendiri. Tanpa menghantar ke taska atau pra-sekolah! Ia tidak mustahil.

Pada tahun 2013, anak pertama saya yang ketika itu mencecah usia 4 tahun, saya hantar ke taska. Dia tidak fokus di sekolah dan lebih kerap membantu tukang masak sekolah memasak daripada menghadap guru! Ini kerana saya jarang dan boleh dikatakan tidak pernah membacakan buku, menulis atau melukis dengannya di rumah. Saya lebih banyak mengajarnya kemahiran kerja rumah! Tapi saya tidak perasan semua itu dan tidak ada ilmu tentang keibubapaan. Selepas 3 bulan bersekolah, saya dan suami menghentikan persekolahannya.

Saya pula masih tidak tahu sumber mana untuk saya rujuk. Walaupun pernah dengar dan cari aktiviti homeschool di internet, saya tidak berjumpa laman yang berbahasa Melayu pada masa itu. Saya suka baca dan rujukan dalam bahasa Melayu walaupun saya faham dan tahu bahasa Inggeris.

Pada tahun 2014, saya hantar anak pertama saya ke sekolah lain pula. Kali ini dia lebih fokus malahan sangat sayang guru yang mengajarnya hingga digelarnya guru itu "cikgu cantik". Kadang-kadang suami terpaksa tunggu sebentar sebelum mengambilnya pulang kerana dia pasti akan ada kelas tambahan (beberapa minit) dengan gurunya itu. Markah peperiksaannya juga agak memberangsangkan.

Tahun ini saya menghantarnya ke pra-sekolah bantuan penuh kerajaan pula. Dia sudah semakin pandai membaca walaupun gurunya kali ini garang orangnya dan juga selalu hilang sabar dengan anak pertama saya ini yang agak cengeng (sikit-sikit menangis). Saya faham situasi guru tersebut memandangkan bukan anak saya seorang sahaja yang perlu dihadapnya. Jadi, saya tidak kisah dia sering marah-marah anak saya asalkan tidak berlebihan perkataan negatif.

Jadi, berdasarkan pengalaman dengan anak pertama, saya berazam untuk mengajar anak kedua dan ketiga saya sendiri. Buku-buku sekolah anak pertama saya tahun lepas masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Silibusnya juga lebih menjurus kepada sahsiah diri sebagai seorang muslim.

Ditambah pula dengan tertubuhnya kumpulan-kumpulan homeschool di Facebook, perkongsian para ibu dan sedikit kaum bapa tentang homeschool sangat banyak membantu. Malahan sekarang jika saya taip "muslim homeschool", Google akan memaparkan maklumat yang memang banyak dan perlu. Banyak juga bahan mengajar yang boleh dimuat turun dan dicetak secara percuma. Masa tahun 2013 dulu, belum ada lagi saya jumpa. Kebanyakan perkara mengenai homeschool adalah untuk orang bukan Islam. Untuk orang baru jadi ibu seperti saya memanglah sangat sukar untuk saya reka sendiri tanpa faham konsep homeschool.

Begitulah salah satu azam saya untuk sekolah di rumah sahaja anak-anak saya tahun depan. Jadual pun sedang difikirkan dan dilakar. Ada 7 bahagian rancangan 2016 saya. Sebelum ini saya tidak pernah merancang dengan kertas secara konsisten. Sebenarnya, jika kita benar-benar merancang dan buat dengan teliti, badan kita automatik akan ikut apa yang kita rancang itu. Ini kuasa minda! Minda kita beri arahan mengikut perancangan yang telah kita buat. Tak percaya? Cuba buat dulu.

Saya akan kongsikan rancangan 2016 saya sepenuhnya nanti. Sudah siap barulah seronok nak kongsi, kan? Barulah pembaca semua juga boleh cuba dan ikut. Saya bersengkang mata untuk menyiapkannya. Sudah hampir seminggu! Masih belum siap. Lakaran sahaja. Harap boleh siap sebelum Disember ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN