ZZA BLOGSHOP: TRANSFORMASI BLOG NIAGA SAYA

Assalamualaikum. Alhamdulillah untuk hari ini.

Semenjak kebelakangan ini setelah tugasan-tugasan latihan penulisan blog saya hampir siap, saya dapati diri saya punya masalah untuk menyediakan ruang untuk fokus. Inilah masalah saya dari dulu yang menyebabkan saya sering gagal. Gagal di sini bukanlah bermaksud saya berhenti terus tetapi sering terjadi saya 'berehat' terlalu lama. Setiap kali KPI diri saya hampir mencapai matlamat, saya akan mula suam-suam kuku.

Bulan September ini saya ambil inisiatif untuk bangkit kekalkan momentum semula. Masih banyak perlu diperbaiki. Sikap menangguh-nangguh kerja dan mencari alasan ini mesti saya buang jauh-jauh.

Setelah meneliti aktiviti saya sepanjang bulan Julai dan Ogos serta membuat kajian semula perjalanan perniagaan saya sepanjang beberapa tahun ini yang turun naik tidak menentu, saya buat keputusan untuk ambil masa beberapa hari merangka semula perjalanan perniagaan saya selain menulis blog dan menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus online akademi.

Sebagai surirumah sepenuh masa yang mempunyai anak-anak sekecil 9 bulan hingga 6 tahun tidak mungkin menjadi alasan saya untuk berehat-rehat seperti selalu. Masa berlalu begitu pantas apabila kita sudah punya anak-anak. Perkara ini tidak mudah tetapi juga tidak mustahil untuk dijayakan.

Saya menulis ini hanyalah sekadar mencatat untuk diri saya walaupun hakikatnya sesiapa yang membaca blog ini pasti akan turut tahu. Tidak kisahlah. Asalkan sarat beban rasa di hati dapat diringankan. Pendam itu akan menjadi dendam. Dendam itu boleh buat kita tenggelam. Ada baiknya meluah rasa tetapi caranya perlulah beretika (berbudi bahasa).

Jadi, apa yang ada di blog niaga saya? Sebetulnya saya telah menyertai dropship dari tahun 2012. Sudah berpengalaman merasa hasil dropship. Jadi, blog niaga saya yang baru ini adalah barangan dropship yang saya ada dan akan terus jual selain daripada produk hakiki akademi memandangkan saya telah pun mengeluarkan sejumlah modal untuk mendapat jawatan pengurus online akademi ini. Tak mungkin saya akan ulangi kesilapan saya yang lalu lagi.

Blog niaga ini saya namakan ZZA Blogshop sempena nama saya sendiri. Seperti yang diajarkan di dalam akademi, penjenamaan diri itu penting. Jadi, inilah langkah pertama saya. Blog ini bertujuan mengasingkan aktiviti penulisan dan perniagaan saya kerana saya mudah keliru jika saya letak di dalam satu blog sahaja. Kalau saya keliru, pembaca apatah lagi.


Dengan izin Allah jugalah kesemua ini. Ya Allah Ya Razzaq, semoga momentum ini terus naik dan naik hingga sukses. Semoga kita semua berjaya dunia dan akhirat. Amin ya rabbal 'alamin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN