SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-6

Hari ini adalah ulangtahun kelahiran anak sulung saya yang ke-enam. Sudah 6 tahun berlalu. Berbagai kisah suka dan duka dilalui bersamanya. Saya sebenarnya hampir terlupa hari istimewa ini dek menghadap kerenah si kecil. Mujur suami mengingatkan.

6 tahun dahulu. Ramadhan ke 16. Beberapa hari sebelum itu sebenarnya sudah terdapat tanda-tanda akan berlaku kelahiran. Ada cecair pekat yang mengalir yang saya fikir ia adalah masalah keputihan. Maklumlah kelahiran pertama. Tiada pengalaman. Biarpun sudah banyak teori mengenainya yang saya baca dari buku-buku keibubapaan, masih tidak dapat saya kesan saat yang hampir tiba.

Harta yang kami ada masa itu hanyalah komputer riba, motosikal dan kereta lama. Saya juga tidak bekerja. Semasa usia kandungan mencecah 4 bulan saya sudah berhenti kerja kerana tidak mampu menahan keletihan. Manalah tahan mata bekerja di pusat siber dengan keadaan diri begitu. Suami pula bekerja di Depot Tahanan Imigresen Semenyih. Pendapatan bulanan kami ketika itu hanyalah RM960 hasil suami bekerja sebagai anggota kawalan RELA di situ. Wang yang diperlukan tidak mencukupi untuk menampung kami apabila ditolak bayaran sewa ketika menyewa rumah bersama anggota RELA lain.

Kami pindah ke rumah keluarga suami. Rumah yang agak daif berbanding rumah-rumah jiran lain. Ya. Saya berkahwin dengan keluarga orang susah. Saya tidak menyesali perkara itu. Ia banyak mengajar saya. Oleh kerana bilik yang ada ketika itu hanya 2 bilik iaitu bilik adik perempuannya dan bilik ibunya, kami menumpang tidur di bilik adiknya. Alhamdulillah. Kebetulan adiknya sudah bekerja dan diberi kemudahan hostel di tempat kerjanya, jaranglah dia pulang tidur di rumah.

Saya banyak belajar pelbagai perkara dengan ibu mertua dan bapa mertua (tiri) sejak tinggal bersama mereka. Waktu makan berjadual, waktu memasak, berkebun dan sebagainya. Kebetulan juga saya baru tamat Diploma semasa kandungan berusia 5 bulan. Walaupun pergi ke sana sini memohon pekerjaan, majikan mana yang mahu mengambil pekerja yang hamil. Jadi, masa yang terluang saya gunakan dengan menjadi teman mertua. Selalunya saya akan menemani bapa mertua menonton filem Hindustan kegemarannya sementara menunggu suami pulang kerja. Perkara memasak saya akan membantu sekiranya ibu mertua memerlukan pertolongan. Ini kerana bapa mertua saya sangat cerewet dengan masakan terutama masakan kegemarannya masak lemak cili api. Orang sebelah Negeri Sembilan kan kuat makan pedas. Kadang-kadang ada masa terluang dengan suami di waktu malam, saya akan ajak dia membaca al-Quran. Saya juga minta dia hafalkan doa selepas solat supaya mampu menjadi imam untuk anaknya nanti. Alhamdulillah. Hatinya terang dan cepat menghafal.

Hampir bulan Jun 2009, suami diberhentikan kerja dan dihantar ke pusat latihan polis (PULAPOL) untuk diserap sebagai anggota sukarelawan polis selama 2 minggu. Saya tinggal sendirian jika ibubapa mertua pulang ke kampung asal bapa mertua di Beranang. Mujur ada kucing menemani. Jadilah kan. Perut semakin membesar dan saya fikir masih lama lagi masa. Kadang-kadang ada jiran datang menjenguk. Manalah tahu saya tiba-tiba nak bersalin. Risau betul semua orang masa tu. Tamat latihan polis, suami bekerja sebagai sukarelawan polis. Sayangnya dia terpaksa mencari alternatif lain dan berhenti kerja kerana tidak dibayar gaji. Kebetulan pula kilang berdekatan kampung mahu pemandu lori. Suami diberi tarikh untuk hadir temuduga pada 3 September 2009. Ramdhan juga sudah hampir pertengahan ketika itu. Saya banyak membantu ibu mertua memasak kuih raya. Masih saya ingat waktu berbual dengan ibu mertua sambil menggoreng kuih ros. Suasana yang tak akan dilupakan.

3 September 2009. Selepas sahur bersama suami dan keluarganya, saya ke bilik air dan mengambil wudhu'. Seperti biasa, kami solat Subuh berjemaah. Usai solat, terasa ada cecair hangat mengalir keluar. Saya fikir ia hanya discaj biasa. Saya simpan telekung dan sejadah dan berbaring di katil. Rasa pelik kerana cecair yang keluar agak banyak dan hangat. Saya tidak merasa sakit pula. Saya panggil suami ke bilik. Suami pula memanggil ibunya. Ibu mertua saya pula yang kelihatan panik. Dia menyuruh saya segera bersiap-siap untuk ke hospital kerana air ketuban sudah pecah. Manalah saya tahu rupa air ketuban masa tu. Cemas betul masa tu. Kebetulan pula kereta kami bermasalah, jadi kami pinjam kereta bapa saudara suami. Jam ketika itu sekitar 6.30 pagi. Masuk ke dalam kereta, ibu mertua tidak sudah-sudah mengurut pinggang saya sepanjang perjalanan sambil bertanya jika sakit. Saya ketawa dalam hati kerana rasa pelik dilayan sebegitu walhal saya memang tidak rasa sakit.

Sampai di hospital, saya diarahkan doktor ke bahagian pemeriksaan. Penuhlah wayar berselirat dipasang pada perut saya untuk mendengar kadar denyutan jantung bayi. Pertama kali doktor memeriksa 'jalan' barulah saya merasa sakit. Sedikit demi sedikit. Entah berapa kali saya diperiksa oleh beberapa orang doktor. Kontraksi makin kerap tetapi jalannya tidak terbuka. Soalan-soalan dari doktor agak banyak dan setiap kali doktor bertukar juga tanya soalan sama. Ini kerana jangkaan tarikh bersalin adalah lebih 3 minggu lagi. Salah saya juga kerana tidak mengamalkan pengiraan kitaran haid.

Jam 10.30 pagi saya masih di bilik pemeriksaan. Keletihan. Doktor menyarankan pembedahan ceaserean. Satu-satunya perkara paling mahu dielakkan bagi kelahiran pertama. Namun saya terpaksa akur kerana bayi sudah hampir lemas. Suami diminta menurunkan tandatangan kebenaran. Saya kemudian disorong ke bilik pembedahan. Doktor menyuntik ubat bius yang menyebabkan anggota badan dari paras pinggang hingga kaki tidak rasa sakit. Saya mamai. Seorang doktor perempuan berbangsa Cina mengajak saya berbual supaya saya tidak tertidur ketika proses pembedahan. Saya cuba juga melihat prosesnya melalui cermin di atas muka saya tetapi yang saya nampak hanya darah dan kain-kain hospital. Pembedahan yang tidak terasa sakitnya tetapi saya dapat merasa tangan-tangan doktor yang menggodek-godek perut saya untuk mengeluarkan bayi dan uri.

Alhamdulillah. Proses mengeluarkan bayi selesai tepat jam 12.30 tengahari. Lahirlah Muhammad Aiman, anak sulung saya. Sayangnya saya tidak boleh memegangnya kerana masih sangat lemah. Saya juga tidak dapat melihat betul-betul wajahnya ketika bayi ditunjukkan pada saya kerana mamai. Saya dibenarkan untuk tidur. Saya tidak tahu apa terjadi sepanjang proses jahitan diselesaikan. Sedar-sedar sahaja saya sudah berada di luar bilik bedah, menanti masa untuk disorong ke wad. Saya masih tidak mampu bergerak. Keseorangan.

15 minit kemudian, jururawat datang bersama beberapa kakitangan yang lain dan membawa saya ke wad. Perlahan-lahan saya dibantu untuk beralih ke katil disediakan. Saya masih belum memegang Aiman. Hati saya runsing. Mana anak saya? Tidak berapa lama kemudian jururawat menyorong troli berisi bayi. Akhirnya saya dapat memegang anak saya setelah beberapa jam. Jururawat mengajar cara menyusukannya. Selepas 10 minit, barulah suami dan ibu mertua masuk.

Saya mendengar celoteh ibu mertua tentang keadaan mereka yang menunggu di luar wad. Katanya semasa jururawat membawa keluar bayi, mereka sempat menegur dan bertanya "Bayi siapa ini?" ketika jururawat yang kelihatan tergesa-gesa melintas bersama seorang bayi yang kelihatan sedikit bengkak kepalanya (mungkin kesan forcep) dan mata bulat bayi merenung mereka. "Ini bayi Ziadah." jururawat memberitahu setelah langkahnya agak jauh. Pantas mereka mengejar jururawat sebelum bayi dimasukkan ke dalam inkubator. Orang yang dibenarkan masuk hanyalah suami dan ibu kandung saya yang ketika itu masih bekerja sebagai pembantu pegawai farmasi di Hospital Kajang.

Biarpun berasa ralat kerana suami memberitahu yang Aiman diberikan susu khas semasa di dalam inkubator, saya masih perlu bersyukur kerana dikurniakan anak yang sihat dan cergas serta sempurna. Ibu mana yang tidak mahu memegang dan menyusukan anak sejurus selepas bersalin? Lebih-lebih lagi anak pertama. Alhamdulillah. Kurnia Allah lebih besar biarpun ada sedikit keinginan kita tidak dapat dipenuhi.

Terima kasih Allah. Terima kasih suami. Terima kasih ibu mertua. Terima kasih ibu kandung. Terima kasih bapa saudara suami yang meminjamkan kereta. Terima kasih semua doktor dan jururawat Hospital Kajang. Terima kasih semuanya yang terlibat. Alhamdulillah.

SELAMAT HARI LAHIR KE-ENAM BUAT PUTERA SULUNG SAYA, MUHAMMAD AIMAN. Semoga Allah menempatkan iman, amal soleh dan taqwa di hati kamu hingga akhir hayat. Amin ya rabbal 'alamin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN