PENGALAMAN BERMAIN SIDE DRUM PANCARAGAM
Tahun 2003. Saya tinggal di asrama sekolah persendirian. Jadual padat. Penuh aktiviti. Seawal jam 5 pagi hingga 9 malam.
Manisnya kenangan di situ ketika itu, saya adalah pemain alat muzik side drum. Setiap hari jam 2 petang, selepas solat Zuhur, kami akan berlatih beramai-ramai. Lagu-lagu patriotik dan lagu-lagu lama sekitar 60-an akan dimainkan bagi memantapkan dendangan dan melatih ahli pasukan baru.
Jika cuaca baik dan tiada tanda-tanda akan hujan, kami akan berlatih formasi pancaragam sambil memainkan lagu-lagu yang diberi. Seronok walau sangat meletihkan. Bukan saja letih. Warna kulit juga bertukar dari cerah kepada gelap.
Latihan juga akan disambung pada waktu malam selepas solat Isyak sekiranya kami mendapat tempahan persembahan dari orang luar. Biasanya mereka yang menempah adalah dari sekolah berdekatan, badan kerajaan dan pasukan bola sepak. Kami akan dibayar sebanyak RM50 seorang setiap kali membuat persembahan.
Menjadi pemain side drum bukan sesuatu yang mudah. Kami dilatih untuk mendengar muzik dengan baik dan tidak lari tempo. Mesti peka dengan bunyi. Cara memegang pengetuk dram (drumstick) juga perlu tahu supaya tidak terlepas ketika membuat persembahan memandangkan kami diwajibkan memakai sarung tangan yang sedikit licin ketika membuat persembahan. Bertambah mencabar apabila ada sesetengah persembahan memerlukan skil tertentu dalam pengawalan pengetuk dram. Kami juga adalah pemain barisan hadapan yang memastikan keadaan susun atur formasi pasukan seragam atau tidak.
Selain daripada skil bermain, menahan berat dram juga menjadi satu cabaran. Pertama kali bermain sambil berkawad formasi, paha saya terdapat kesan lekuk yang ketara selain daripada rasa lenguh berpanjangan. Bukan lenguh paha dan kaki kejang sahaja, bahu dan tengkuk turut terasa berat kesan penggunaan tali dram yang dipakai di bahu.
Pakaian suit pancaragam juga tidaklah selesa dipakai. Kainnya agak kasar dan panas. Banyak butang aksesori perlu dipasang. Belum lagi ditambah berlawan mengilat kasut but pancaragam lagi. Suit yang paling mudah diurus adalah suit hijau seperti uniform pasukan RELA. Tetapi ia memerlukan kami memakai but seperti askar pula. Tinggi, banyak lubang tali, berat dan berladam besi. Silap cara, melecet kaki berhari-hari.
Kami pernah menyertai pertandingan pancaragam pada 10 September 2003 di bawah Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat di peringkat negeri yang pada ketika itu diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor. Meriah. Sayang sekali kami kalah. Namun menonton persembahan pasukan dari negeri lain adalah perkara yang sangat menyeronokkan. Berbagai formasi yang mengagumkan dapat dilihat dan dipelajari.
Apa yang buat saya jatuh cinta dengan pancaragam adalah semangat patriotisme yang terasa seperti menusuk hati ketika lagu-lagu patriotik negara dimainkan. Padat, bersemangat dan menerbitkan rasa sayang pada negara. Dari situ saya belajar menghargai negara dan negeri kelahiran saya, mengenal erti sepasukan dan disiplin tinggi.
Sebetulnya saya rindu pasukan kami. Sudah 12 tahun berlalu. Begitu lama. Sayang sekali saya terputus hubungan dengan mereka semua. Seorang pun tidak dapat saya hubungi lagi. Entah apa khabar mereka.
Maaflah. Gambar saya bermain side drum tiada salinannya. Gambar tersebut ada di rumah guru. Entah dia masih bekerja di situ atau tidak, saya tidak tahu. Semoga suatu hari nanti saya dapat bertemu mereka semua kembali. Sekadar bertanya khabar.
Di bawah ini adalah gambar contoh dram yang saya mainkan. Besarnya seperti tayar kereta Kancil. Di bawahnya terdapat spring yang akan menimbulkan bunyi bergetar yang unik. Nak tahu bunyinya? Pernah dengar bunyi dram yang dimainkan semasa pengumuman anugerah-anugerah pentas? Itulah bunyinya. Drum roll jika disebut dalam bahasa Inggeris.
Sumber foto: Google
Ulasan
Catat Ulasan