AKTIVITI MENGUMPUL BAHAN HOMESCHOOL DAN MENYUSUN JADUAL

Hari ini diuji dengan kesakitan gigi yang semakin memberat. Hampir 3 hari. Sakit sungguh. Setelah berpuluh tahun tidak sakit gigi. Rutin harian masih diteruskan biarpun sakit menyucuk hingga ke kepala. Begitulah hebat Allah menciptakan wanita. Sesakit apa pun masih tetap meneruskan rutin. Perawakan yang lemah tetapi di sebaliknya tersembunyi kekuatan menahan kesakitan yang luar biasa. Alhamdulillah.

Semenjak 3 hari kebelakangan ini juga Akif Aqil menunjukkan minat melukis dan menulis. Hati ibu mana yang tidak turut teruja. Saya akhirnya ambil keputusan mengadakan sekolah di rumah (homeschool). Alhamdulillah. Petang tadi selepas makan tengahari dan solat Zuhur, masa yang terluang saya gunakan untuk menyediakan jadual rutin kami sekeluarga, jadual berblog, perancangan tahun 2016 dan set pendidikan untuk anak-anak mengikut usia mereka. Sambil memuatturun, merekacipta dan mencetak, sambil melayan Akif Aqil melukis dan Aleef mengempeng (menyusu sambil tidur). Hampir jam 4 petang sudah separuh kerja siap. Tengkuk yang terasa berat meminta istirehat. 15 minit. Itu sahaja waktu yang saya dapat untuk tidur sebentar (nap). Tidak lama kerana Aleef yang sudah pakar merangkak melanyak-lanyak badan saya.

Usai solat Asar, kerja memuatturun fail pendidikan masih diteruskan. Semuanya dalam format pdf. Hingga waktu mencecah senja, saya masih belum siap memuatturun. Biasalah kerja sebagai ibu yang memerlukan khidmat jelmaan tangan sotong. Bukan serampang dua mata lagi kalau sudah jadi ibu. Perlu cekap dan pantas. Mahirkan diri membuat banyak kerja dalam satu masa.

Suami yang pulang jam 6 petang dan kelaparan juga perlu layanan. Manisnya ukhuwah niat cinta yang telah ditukar kepada cinta kerana Allah ini. Saya sendukkan nasi dan lauk, suami pula suapkan kami anak-beranak. Makan berjemaah. Masakan air tangan isteri. Suapan air tangan suami. Allahu rahim. Nikmat mana lagi yang saya nak dustakan? Alhamdulillah.

Usai mengisi perut, berjemaah pula solat Maghrib. Aleef yang sudah mula mengantuk langsung kami bawa dan tidurkan di bilik. Gaya tidurnya agak lasak. Berpusing ke sana sini, memanjat badan kami, bergolek kiri kanan, sehinggalah dia letih dan akhirnya mengempeng lagi. Lena sudah. Turut terlena suami saya. Tinggal saya dan Akif yang belum tidur.

Saya masih mahu meneruskan kerja-kerja dokumen yang tinggal. Jadual rutin harian sudah, jadual pelajaran anak-anak sudah, jadual berblog sudah. Semoga usaha ini akan konsisten dan berjaya. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN