NIAT WUJUDKAN UNDANG-UNDANG DI RUMAH

Beberapa hari lalu, suami menyatakan hasrat mewujudkan undang-undang baru di rumah. Sebetulnya rumah kami tidak pernah ada undang-undang. Hasrat ini saya sambut baik dengan hati sangat terbuka. Sudah lama saya inginkan satu rang undang-undang diwujudkan dalam rumah kami supaya kami boleh belajar dan mengajar disiplin pada anak-anak.

Langkah pertama adalah solat berjemaah apabila berkesempatan. Langkah ini saya jayakan dengan doa dan usaha menarik suami dekati jalan Allah sehabis boleh. Baik cara lembut mahupun kasar. Kami tidak maksum. Pastilah banyak ranjaunya. Alhamdulillah. Setakat ini saya dan suami dapati ia berjalan dengan baik. Tinggal lagi untuk mengajak dan mengajar anak-anak ikut berjemaah. Semoga usaha ini akan berjaya dan kekal ke akhir hayat.

Langkah kedua pula, suami menetapkan waktu gajet. Tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar ketika bersama keluarga iaitu pada hari cuti. Hati saya yang memang sudah lama ingin menyatakan hasrat ini kepadanya. Tidak sangka Allah mengilhamkan kepadanya untuk menyatakan hasrat saya. Alhamdulillah. Petang tadi, suami menyatakan gajet hanya dibenarkan digunakan pada jam 5 petang selama 1 jam sahaja. Nampaknya ia berhasil. Saya sudah mula berkira-kira untuk mencetak peraturan keluarga kami. Berbunga-bunga rasa hati.

Dalam menentukan peraturan dan pengurusan rumahtangga, kerjasama antara suami dan isteri adalah perkara yang sangat penting. Alhamdulillah. Setelah 8 tahun usia perkahwinan kami yang penuh badai, bermula tahun ini, badai taufan di tahun-tahun yang lalu semakin mereda dan menjauh. Mungkin kerana hikmah mendekatkan diri dengan Allah sehabis boleh. Benarlah semua janji-janji Allah. Terima kasih Allah.

Baru sebentar tadi saya sempat menyenaraikan kembali jadual rutin untuk kami sekeluarga memandangkan jadual sebelum ini hanya untuk diri saya seorang. Suami yang sudah mula menunjukkan sifat kepimpinannya menaikkan semangat saya untuk mula menyediakan dokumen-dokumen pengurusan rumahtangga dan perniagaan yang lebih sistematik. Insya-Allah akan dicetak dalam masa terdekat.

Satu lagi berita gembira dikhabarkan kepada saya petang tadi adalah saya 'dilantik' menjadi pengurus online untuk produk percetakan syarikat tempat adik saya bekerja. Ia adalah projek saya dan adik saya. Proses penghantaran dokumen dan katalog akan diuruskan tidak lama lagi. Nampaknya saya akan kembali berkecimpung dalam dunia percetakan. Alhamdulillah.

Hanya dengan izin Allah sahajalah semua ini. Seperti dinyatakanNya, "Aku tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka berusaha mengubahnya."

Allahu Akbar. Nikmat yang mana lagi mahu didustakan? Terima kasih Allah. Semoga kami kekal bersama momentum mengenal cinta-Mu dan berjaya mewujudkan keluarga yang beriman hanya pada-Mu hingga akhir hayat kami.

Bukan senang nak masuk syurga. Bukan susah nak masuk neraka. Tiada istilah terlambat selagi hayat dikandung badan. Doa, usaha, ikhtiar dan tawakal sahaja jalan utamanya. Sabar adalah perkara paling utama. Penantian pasti berakhir. Itulah qada' dan qadar.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN