TIPS QADA SOLAT SEWAKTU JAHIL : BUAT KITA PENDOSA

Teks: Ziadah Zainal Abidin

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Malam ini agak membosankan dengan ketiadaan "sang raja". Putera-putera kecil tidak sudah-sudah berkelintau dan bertanyakan ketiadaan ayahanda mereka yang tercinta. Mujur saja ada kumpulan ilmu agama yang saya sertai melalui rakan akademi bekerja di rumah juga. Dapat juga mengetahui sedikit sebanyak ilmu agama dari mereka yang tahu.

Benarlah seperti yang diperkatakan. Apabila kita berusaha melonjak diri kita menjadi khalifah yang baik, Allah akan datangkan orang yang baik-baik dan berpengetahuan untuk membimbing kita melalui proses transformasi diri. Proses transformasi ini juga tidaklah mudah untuk insan kotor seperti kita. Lebih-lebih lagi jika pernah melakukan dosa-dosa besar yang dilarang Allah yang Maha Baik.

Bermula dengan berusaha menjaga solat 5 waktu yang semua orang tahu ia wajib dan utama. Hatta orang bukan Islam juga tahu kita wajib tunaikan solat ini. Permulaan menjaga solat 5 waktu ini memang memakan masa apabila kita pernah jadi jahil atau sengaja menjahilkan diri. Faham-faham sajalah apa yang saya maksudkan dengan menjahilkan diri. Lebih kurang sama seperti orang yang ada ilmu dan tahu hukum-hakam tapi ilmu itu tidak digunakan atau diamalkan malah sengaja pula diputar-belitkan untuk membenarkan keinginan nafsu sendiri. Astaghfirullahal 'azhim.

Apabila sudah berhasil menjaga solat yang wajib ini, teruslah menjaga rukun Islam yang lainnya. Boleh juga mula menggantikan solat-solat yang sudah pernah tertinggal dahulu. Sedikit demi sedikit.
Proses menjaga solat ini saya sendiri alaminya di mana saya telah dengan sengaja menjahilkan diri kerana mengikut emosi. Saya mula kembali menjaga solat setelah mengandung anak pertama. Bahkan juga membaca al-Quran. Betapa benar kata-kata ulama dahulu. Selangkah kita usaha mendekati Allah, seribu langkah Allah mendekati kita. Sedikit demi sedikit usaha murni saya membuahkan hasil. Sedikit demi sedikit pintu rezeki Allah bukakan. Baik dari segi rezeki pendapatan mahupun rezeki ilmu pengetahuan. Alhamdulillah.

Itulah tiang utama titik mula jika kita mahu menjadi orang yang baik. Usaha jaga solat.
Dalam proses pembersihan dan transform diri ini, kita akan didatangkan ujian yang sangat banyak dan bermacam-macam. Bahkan juga ujian yang maha berat yang tidak kita sangka-sangka. Boleh jadi ujiannya datang dalam bentuk perselisihan faham dengab pasangan hidup hingga mahu berpisah. Boleh jadi kifarahnya datang dalam bentuk kita difitnah. Boleh jadi juga nikmat kesihatan, kekayaan, kesenangan kita ditarik atau hilang. Ini semua adalah proses pengampunan dan penghapusan dosa yang telah kita lakukan. Allah akan beri satu per satu. Ia proses yang sangat panjang dan penuh susah-payah.

Setelah proses ini makin hampir penamatnya (dosa-dosa sudah terampun), perlahan-lahan kita akan dapat rasa nikmat yang jauh lebih baik dan berkat. Saat itu, apabila kita diuji perkara yang sama seperti sebelum kita bertaubat dahulu, hati kita tidak akan sama sekali resah tak keruan. Sebaliknya, ujian itu kita akan dapat tempuhi dengan penuh tenang dan tiada langsung gelisah. Walhal jika diikutkan perangai lama dahulu, bermacam seranah keluar saat diuji (contoh).

Allah itu tidak pernah mungkir janjiNya. Kita saja yang sengaja membiarkan diri menjadi bodoh dan terus bodoh. Mengikut telunjuk nafsu yang memang tak pernah cukup dengan apa yang ada.
Saya kongsikan juga contoh pengiraan solat yang wajib kita ganti walaupun sudah lama kita tinggalkan. Jika jumlah gantiannya sehingga berpuluh ribu, aturkanlah jadual untuk kita gantikan sebelum ajal menjemput. Semoga kita semua boleh kembali kepada Allah tanpa berhutang denganNya. Amin ya robbal 'alamin.

Sumber Foro: Sebaran Whatsapp

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN