UJIAN BERPUASA - MEMBERI PEMAHAMAN KEPADA ANAK USIA 3 TAHUN

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Sudah selesai berbuka puasa tadi. Sekarang saya berbaring-baring untuk merenung kejadian hari ini. Subhanallah.

Hari ini saya terlewat bangun dan terlepas sahur. Begitu juga suami. Saya lupa untuk hidupkan bunyi telefon yang saya letakkan di dalam mod senyap.

Menjelang jam 10.30 pagi tekak saya dan perut mula merayu diisi. Maklumlah ibu menyusu bayi ini sangat perlukan air untuk keseimbangan nutrisi. Saya abaikan saja sehabis boleh.

Sehingga hampir waktu tengahari, saya sudah siap memasak untuk anak-anak. Berlaukkan telur dadar dan kacang buncis tumis. Saya minta suami yang suapkan kerana saya perlu menyiang ikan dan ayam di dapur. Stok untuk 3 minggu. Sambil itu saya juga sediakan bahan untuk memasak lauk berbuka puasa nanti.

Jam 2 petang barulah selesai saya mengerjakan stok-stok bahan memasak termasuk cili api yang menjadi menu rutin suami. Setelah membersihkan diri barulah terasa letih sangat. Teringin sangat tekak ini minum air di dalam peti sejuk. Allahu robbi. Rasa lemah sangat. Saya baring-baring hilangkan penat. Sudah bertenaga sedikit, barulah saya ikut suami solat berjemaah. Semasa suami sedang membaca doa, Akif menghulurkan saya secawan air epal yang diminumnya. Tepat di hadapan mata. Astaghfirullah. Sesaat terpegun merenung air tersebut. Terus saya tekup muka dengan telekung. Rasa nak menangis sebab terasa hinanya diri ini dengan ujian kecil ini.

Suami yang melihat reaksi saya cuba menguji lagi. "Mama hauslah, adik."

Akif terus mengambil semula cawan yang baru diletakkan setelah saya menyatakan saya berpuasa. Dia pegun di hadapan ayahnya.

"Mama puasalah." Jawabnya sambil merenung ayahnya. Bingung bagaimana mahu menghilangkan haus mama yang sedang berpuasa.

Saya hanya senyum dan terus melipat sejadah dan telekung. Saya ke bilik meninggalkan Akif dan suami berteka-teki. Saya memang sangat tidak bertenaga lagi. Terus berbaring di bilik. Cuaca yang sangat panas hari ini menghalang mata saya lelap. Dalam pada berbaring menahan lapar dan dahaga yang amat sangat kerana tidak bersahur pagi tadi, saya usaha pujuk diri untuk tidak berbuka.

Bagaimana saya pujuk diri saya walaupun saya sedar yang ibu menyusu dibolehkan berbuka puasa jika tidak berdaya?
1. Saya bayangkan keadaan umat Islam di negara-negara asing di luar sana yang jauh lebih derita demi agama ini.
2. Saya terkenang sekeping gambar yang pernah tersiar di laman mukabuku satu ketika dulu. Gambar seorang anak kecil yang sedang menyusu ibunya sedang ibunya hanya tinggal tulang dan kulit. Malahan payudaranya kempis seolah tiada setitis susu pun.
3. Saya mengingatkan diri bagaimana Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda mampu berperang di bulan Ramadhan walhal mereka itu berpuasa.
3 perkara ini sudah cukup untuk saya mengingatkan diri dan tabah berpuasa juga. Saya usaha juga menyediakan juadah berbuka sekadar mampu tenaga saya. Kaki memang sudah rasa lemah. Badan juga terasa berat. Kepala juga rasa melayang sekali-sekala.

Sejurus mendengar azan maghrib, saya makan kurma basah. Alhamdulillah. Sempat juga menyuapkan sedikit pada mulut Aleef. Beria-ia dikunyahnya inti kurma itu. Suami masih dalam perjalanan dari kedai. Katanya mahu membeli Nata De Coco untuk dicampur dalam air anggur yang saya bancuh.

Seminit selepas azan, baru dia sampai ke rumah. Terkocoh-kocoh menambah bahan untuk jadikan air anggur yang saya bancuh tadi sebagai anggur susu. Sambil membancuh air, sambil buka puasa. Anak-anak juga ikut huru-hara. Pening dibuatnya. Sudahnya, suami arahkan mereka duduk jauh sedikit dari meja makan hingga semuanya siap. Barulah dapat bertenang sedikit menghadap makanan dan minuman. Anak-anak pun bergilir mengambil minuman dan tidak lagi rasa huru-hara.

Saya sempat merenung peristiwa huru-hara semasa berbuka tadi. Betapa tidak kuatnya kami sedangkan baru sehari tidak bersahur. Astaghfirullahal'azhim. Semoga Allah s.w.t menerima puasa kami dan kami berazam tahun ini akan berpuasa penuh. Bi iznillah. Dengan izin Allah.

Selamat malam dan selamat berpuasa hingga habis Ramadhan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN