AKTIVITI MERAWAT ANAK MENYANTUNI KELUARGA

Teks: Ziadah Zainal Abidin

Alhamdulillah pagi ini dikurniakan kesihatan yang semakin membaik pada diri saya. Sebaliknya Aleef pula demam panas. Mungkin gara-gara terkena hujan renyai semasa kami bawa anak-anak berjalan-jalan di Putrajaya kelmarin.

Subuh tadi berjemaah dengan si dia. Dia kemudian bergegas ke tempat kerja selepas menghirup secawan teh tarik campuran daun misai kucing berjenama Super Power. Kebiasaan bersalaman sebelum berpergian pastilah tidak ditinggalkan. Hari ini tugasnya ke Pontian, Johor Bahru. Entah balik hari ini atau esok, tidak pula diberitahu pegawai atasannya.

Sambil menunggu anak-anak bangun tidur, sempat saya melipat kain baju sebakul. Semasa sedang mengemas pinggan mangkuk di dapur, barulah Aleef terjaga. Panas lagi kepalanya. Saya salinkan lampinnya yang sudah penuh dan cuba susukannya. Tidak selera nampaknya dia. Masih mengantuk. Saya ambil kain lampin dan basahkan. Kemudian mengangkatnya masuk ke dalam buaian dan meletakkan kain basah di kepalanya. Dodoikan dengan selawat syifa' bersama harapan agar segera kebah demamnya. Amiin.

Setelah yakin dia sudah tertidur kembali, saya sambung tugas rumah yang berbaki dan menyiapkan sarapan pagi untuk Akif sekaligus memasak makanan tengahari dan malam. Akif yang baru terjaga, mengadu punggungnya sakit (sebenarnya gatal). Segera saya perlahankan api dapur dan memandikan serta memakaikannya lampin. Saya masih belum dapat cara untuk mengajarnya tidak memakai lampin.

Selesai memasak, segera kami bersarapan. Akif betul-betul berselera semenjak baik dari demam berturut-turut yang lalu yang disertai selsema, batuk dan asma. Alhamdulillah. Selepas makan, pencuci mulutnya adalah aiskrim Malaysia buatan saya berperisa lobak merah.

Melihatkan hampir semua kerja rutin sudah terurus, saya ambil buku yang baru dibeli minggu lalu bertajuk "Anak Lelaki Kool dan Hebat" karangan Jamilah Samian. Baru bab 3 saya baca. Nampak gaya buku ini membantu memahami bukan sekadar anak lelaki tetapi juga memahami gaya fikir dan tindakan lelaki. Mahu saja berkongsi ilmu ini tetapi bolehkah? Kan sudah tercatat "tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel...."? Jadi untuk yang mahu juga buku tersebut demi ilmu mendidik anak lelaki, google lah ye.

Selepas makan tengahari dan zuhur, saya berpeluang melayan Akif dan Aleef bermain blok sambil mengenal warna dalam dwibahasa. Akif nampak seronok dengan aktiviti yang sekali-sekala begini. Sememangnya dia nampak lebih minat dalam pelbagai bentuk pelajaran tidak kira samada menulis, membaca, mengira, mewarna dan sebagainya. Aleef bermain sekejap saja. Dia masih demam. Entah kerana beralih bulan atau baru nak pandai merangkak atau kerana hujan. Banyak faktor. Merengek, menyusu dan tidur saja aktiviti Aleef hari ini. Nampak niat mahu bermain tetapi mungkin kerana demam, merengek dan menangis saja kesudahannya. Begitulah keadaannya sampai ke malam.

Jam 10.30 malam baru suami sampai ke rumah. Begitu keletihan kerana memandu terus-menerus dari pejabat ke Pontian, Johor dan memandu pulang pada hari yang sama. Sempat juga dia membeli ole-ole kuew tiau kungfu kegemaran saya memandangkan saya turut keletihan berhempas pulas menguruskan kerja rumah dan melayan kerenah zuriatnya. Alhamdulillah. Terima kasih awak.

Selesai makan secara bergilir kerana melayan kerenah Aleef, tiba masa tidur pula. Melihatkan anak-anak yang sukar tidur, saya bacakan surah-surah pendek untuk mendodoikan mereka disertai zikir nama Allah yang Maha Lembut iaitu Lathif sambil mendoakan (bicara hati) agar semua yang mendengar termasuk diri saya, berhati lembut untuk menerima ilmu yang baik dan diserap menjadi amalan hidup nanti.

Jadi, selamat malam semua. Terima kasih Allah kerana nikmat yang sangat banyak. Terima kasih mak ayah yang melahirkan saya untuk merasa pahit manis dunia ini. Terima kasih suami kerana masih setia menyemai cinta. Terima kasih anak-anak kerana mengubah mama menjadi manusia bertanggungjawab.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN