BEKERJA SEBAGAI KERANI AM DI MEGA DISCOVERY SDN. BHD.

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber Gambar: Printscreen Status Facebook
Entri: 33

Baca status ni buat saya teringat tentang sebuah syarikat pembekal bahan kek tempat saya kerja dulu. Ada seorang pelanggan wanita bangsa saya yang bersifat begini. Kedai keknya di Kuala Lumpur. Orangnya sangat kasar dan kadang-kadang biadab. Namun, oleh kerana dia pelanggan setia, bos tetap melayannya.


Kadang-kadang kami (kerani) yang geram mengadu pada bos hingga menganggap pelanggan ini seperti 'tahi'. Bos yang faham kerenah pelanggan yang seorang itu, akan menenangkan kami dan berkata, 'Jangan cakap tu tahi. Dia la yang buat kita ada duit bayar gaji kamu. Sabar je.'
Ayat bos ini akan serta-merta buat kami diam. Dalam hati, bos memang seorang yang sabar. Sebab itu dia boleh berjaya dan syarikatnya semakin besar. Bos saya ini berbangsa Cina. Mari saya ceritakan serba sedikit tentang kilang ini.

     

Mega Discovery Sdn. Bhd. ini ditubuhkan lebih dari 20 tahun lalu di bawah sebuah syarikat bernama Perniagaan Chinta. Pada April 1996 di bawah program penambahbaikan, Perniagaan Chinta ditukarkan kepada Mega Discovery Sdn. Bhd. dan ditempatkan di sebuah lokasi baru.
Perniagaan utama Mega Discovery Sdn. Bhd. adalah pengilangan, pengimport dan pembekal semua jenis bahan industri bakeri.

Mega Discovery Sdn. Bhd. mengilangkan produk seperti grease-proof, glassine, cawan kertas untuk kek cawan dan mangkuk kertas untuk biskut raya. Syarikat ini juga mengilangkan semua jenis kotak seperti kotak berlipat (folding boxes), papan lapik kek (cake boards) dan kotak kek (cake boxes), di mana kotak-kotak ini juga boleh ditempah mengikut saiz dan rekabentuk pelanggan. Di samping pengilangan, syarikat ini mengimport produk seperti lilin kek, kertas kalis minyak (bleached dan unbleached), kertas Glassine, cawan aluminium, reben hiasan dan produk dekorasi kek. Syarikat ini juga membekalkan bahan-bahan seperti perisa, warna, jem, jeli, buah-buahan tin, coklat masakan dan sebagainya. 

Pemiliknya berbangsa Cina. Sepasang suami isteri sekitar usia 50 hingga 70. Saya kurang tahu umur mereka. Saya hanya sering melihat si suami sahaja yang hadir ke kilang bagi menghadiri mesyuarat. Isterinya hanya muncul ketika hari pembayaran gaji. Gaji hanya dibayar secara tunai pada tarikh yang tepat seperti dijanjikan. Kadang-kadang gaji dibayar berlebihan.

Pekerjanya bukan saja terdiri dari penduduk setempat dan warga asing, tetapi juga ahli keluarga. Salah seorang anak perempuannya menjaga bahagian pengurusan pentadbiran dan satu-satunya anak lelaki mereka bekerja di bahagian operasi. Seorang saudara mereka bekerja sebagai pengurus stor dan seorang lagi bekerja sebagai jurujual. Mereka tidak sombong dan juga tidak kedekut. Saya tidak pernah melihat mereka bertengkar.

Pernah satu ketika, salah seorang pemandu ditangkap cuba mencuri jualan. Namun tidak dibuang kerja. Dia hanya diberi nasihat dan kata dua. Walaupun pemandu terbabit sering memburuk-burukkan nama syarikat, bos masih membiarkannya bekerja.

Saya tidak lama bekerja di situ kerana mendapat tawaran kerja di Universiti Putra Malaysia, Serdang sebagai pembantu tadbir sambilan harian di bahagian perkeranian dan operasi.

Pengalaman 4 bulan bekerja di kilang ini sebagai kerani memahirkan saya mengenal bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kek, pastri dan coklat. Saya juga hampir menjadi dropshipper sebelum saya mendapat tawaran UPM yang lebih menarik.

Insya-Allah. Jika ada peluang lagi kelak, saya mungkin akan mengatur strategi untuk menjadi pembekal juga. Kita tidak dapat baca apa akan terjadi pada masa hadapan kan? Senyum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN