SEHARIAN KE SANA SINI

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber Gambar: Peribadi
Entri: 34

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari Ahad ini selalunya suami saya akan berniaga di Car Boot Sales di Semenyih. Entah kenapa dia hanya ingin berjalan-jalan sahaja di sana pagi ini. Selepas bersiap-siap dan bersarapan, saya dan suami mengemas rumah sedikit. Anak-anak sudah kelihatan tidak sabar lagi. Akif sampaikan terjatuh hingga luka lutunya bermain bola sambil menunggu kami siap. Selesai semuanya, kami mulakan destinasi pertama hari ini ke Car Boot Sales di Semenyih. Kebeutlan di sebelahnya ada permainan dinosaur yang saya tulis beberapa minggu lepas. Teruja betul anak-anak melihat dinosaur patung yang besar itu. Selalu tengok dalam komputer riba sahaja dari permainan Dora The Explorer. Kami tidak masuk. Cuma berdiri dan berjalan mengelilingi pagar sahaja. Ia dibuka jam 5 petang. Jadi kami sekadar melihat sahaja. Kadar harganya adalah RM10 untuk orang dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak.

Cuaca sudah mula panas dan jam menunjukkan 11.00 pagi. Kami membuat keputusan berjalan-jalan di dalam pasaraya Tesco, Semenyih memandangkan cuaca mula panas. Sengaja mencuci mata ber'window shopping'. Lama tidak jejakkan kaki ke sini semenjak kes Palestin. Tiada apa yang berubah. Masih sama seperti tahun-tahun sudah. Saya teringat akaun bank masih ada berbaki RM50. Jadi saya ajak suami keluarkan wang tersebut mengenagkan snek untuk anak-anak dan barangan dapur sudah agak susut. Selepas saya keluarkan wang saya, suami pula teringin memeriksa akaun banknya. Manalah tahu ada elaun peruntukan yang masuk seperti dijanjikan, Memang tidak disangka. Ada. Senyum lebarlah encik suami. Apalagi, dia mengajak kami makan tengahari di situ juga. Kebetulan tempat makan bersebelahan dengan pusat permainan kanak-kanak. Seronoklah anak-anak bermain. Diajak makan bersama pun tidak mahu. Mungkin masih kenyang kerana pagi tadi sudah bersarapan mee.

Selesai makan tengahari, kami menuju ke tempat letak kereta. Kebetulan semasa turun dari eskalator, ada kedai buku di hadapan tangga eskalator. Hati saya begitu tertarik hingga tidak dapat menahan tangan untuk mula membelek satu per satu buku yang dijual. Yang paling menarik, buku-buku pendidikan tentang Al-Quran dan Hadis untuk anak-anak. Menggigil rasa tangan nak keluarkan wang saya yang tinggal RM50 itu. Tapi saya tewas dengan keinginan memiliki buku tersebut. Harganya RM39.90 dengan diskaun sebanyak 15 peratus, saya membeli buku tersebut dengan harga RM32.70 dan tidak ketinggalan sebuah majalah di mana salah satu kolumnisnya adalah pengasas ABDR, puan Masayu Ahmad, bernama Minggun Wanita. Harganya RM4.00. Sewaktu ingin membayar jumlah keseluruhan, saya terpandang buku tulisan Fathuri Salehuddin bertajuk Buku Mini Mudahnya Menjemput Rezeki. Lagi tak boleh tahan. Saya beli 3 buah dengan niat untuk dihadiahkan kepada ibu mertua, suami dan ibu saya. Harga sebuah RM2.70 yang menjadikan jumlahnya RM8.10. Pemilik kedai hanya mengambil RM8.00 dan menolak wang 10 sen yang berbaki. Alhamdulillah. Moga Allah melipatgandakan rezekinya dengan sedekah itu.

Selesai membeli buku, saya fikir suami akan ke rumah emaknya, menghantar Aiman. Rupanya ada hajat lain. Dia mengajak kami ke The Mines, Seri Kembangan pula. Saya yang sedikit letih, teragak-agak juga mahu mengikut. Akhirnya, saya setuju dengan syarat kami cari surau dahulu apabila tiba di sana. Mungkin keletihan, anak-anak tertidur dalam perjalanan ke sana. Sampai di The Mines, suami meletak kereta di bahagian luar. Kami berjalan kaki masuk melalui terowong dan laluan bot. Tempat biasa kami pergi di sini adalah pusat permainan yang terletak di tingkat 2 (jika tidak salah). Hanya dengan bayaran RM3 seorang anak, mereka sudah boleh bermain melompat dan berlari di dalamnya. Aleef turut teruja melihat ramai kanak-kanak dan permainan yang berwarna-warni. Akif yang sakit lutut, pada mulanya tidak mahu bermain. Tak seronok katanya. Selepas 10 minit barulah dia mula bermain. Entah berapa jam kami di situ. Tidak sedar jam menunjukkan pukul 2.40 petang. Kami belum solat.

Suami yang baru datang dari pasaraya Giant untuk membeli makanan dan minuman untuk anak-anak, membenarkan saya menuanikan solat terlebih dahulu. Saya tinggalkan semua barangan kepada suami dan berlenggang ke surau. Sebelum itu singgah di tandas dulu membersihkan diri sedikit. Kemudian, barulah ke surau menunaikan solat. Saya tidak bawa telekung. Jadi terpaksalah memakai telekung yang ada di situ. Di sini saya rasa sedikit terganggu kerana kesemua telekungnya kekungingan dan penuh kesan kosmetik. Saya rasa geli juga. Maaflah. Sedikit emosi. Namun saya perlu solat. Saya tawakal sahaja menggunakan telekung yang ada. Dalam hati memang kesal dengan wanita-wanita yang suka memakai barangan kosmetik ini. Terfikir juga saya, jika bahan kosmetik ini boleh melekat pada telekung tersebut, adakah wudhu' mereka benar-benar kena pada kulit mereka? Saya jenis yang tidak suka mengenakan barangan kosmetik kerana jika saya memakainya walaupun hanya memakai foundation, kulit muka saya akan mula timbul jerawat. Sambung cerita tadi, selesai solat, saya segera memakai tudung dan keluar menuju ke pusat permainan tadi. Giliran suami pula menunaikan solat.

Saya menunggu sambil bermain dengan Aleef. Tiba-tiba sakit kepala. Ah! Mungkin kerana masalah sakit gigi saya yang semakin menjadi-jadi. Sudah beberapa hari gusi saya bengkak.

Apabila ternampak suami saya, segera saya mengajaknya pulang kerana sakit kepala. Saya minta maaf kerana tidak dapat berlama-lama di situ memuaskan hati anak-anak. Suami yang ingat esok Aiman perlu ke sekolah mencadangkan untuk kami ke rumah ibunya terus. Saya bersetuju. Sebelum masuk ke simpang menuju rumah ibunya, kami singgah membeli air batu campur (ABC) bagi meredakan kepanasan dan dahaga akibat cuaca panas.

Air muka gembira jelas kelihatan pada wajah ibu mertua saat melihat kelibat kereta kami. Saya yang sakit kepala segera ke dapur menyediakan ABC yang dibeli tadi dan minum bersama keluarga mertua. Saya ambil peluang ini menghadiahkan buku MMR yang saya beli tadi kepada ibu mertua. Senyumannya sudah cukup menyatakan tanda terima kasih.

Kami berehat sehingga jam 7 petang dan berhasrat pulang ke rumah. Selepas bersalaman dan memeluk cium Aiman yang kelihatan tidak gembira terpaksa ditinggalkan, kami masuk ke kereta. Sangka saya suami akan terus pulang. Salah lagi dugaan saya. Dia mengajak kami ke pasaraya Mydin di Bandar Teknologi Kajang, Kajang. Saya menurut sahaja dengan syarat kami tunaikan solat Maghrib dahulu di situ. Selesai solat, kami membeli barang keperluan yang sudah habis dan pulang. Suami yang kelihatan lapar, mencari sebuah restoran makanan di sekitar perumahan untuk membeli nasi goreng USA kegemarannya dan saya hanya minta kuey teow kungfu kegemaran saya. Kemudian barulah kami pulang.

Letih memang letih. Kami sampai rumah jam 10.00 malam. Saya segera mandi dan solat Isya' sementara suami menjaga anak-anak yang mula buat perangai kerana keletihan merayau sehari suntuk. Selesai solat, saya bawa anak-anak tidur di bilik sementara suami menyiapkan beg pakaiannya untuk perjalanannya ke Pahang dan Kelantan selama 3 hari bermula esok. Saya sekadar membantunya menyeterika pakaian kerjanya untuk esok hari. Siap semuanya, kami terus tidur. Letih yang amat sangat namun berterima kasih kepada Allah untuk satu lagi hari gembira.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN