MANDI LAUT DI PORT DICKSON - SEKELUARGA BERKUMPUL
Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 30
Alhamdulillah kerana masih bernafas di pagi yang ceria ini. Kelmarin sudah bersetuju membawa ibu mertua dan adik-adik ipar berkelah ke Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini. Ibu mertua awal-awal sudah berpesan untuk datang menjemputnya sekitar jam 9 pagi. Dia tidak mahu diganggu awal pagi kerana mahu memasak sendiri makanan untuk berkelah nanti. Kalau kami datang awal, dia bimbang cucu-cucu lasaknya akan ikut 'membantu'. Jadi, saya pun sekadar menyiapkan sarapan pagi roti putih diintikan dengan madu dan air coklat jenama 1 Malaysia. Selesai sediakan sarapan, saya mandikan anak-anak dengan dibantu suami. Sambil itu saya menyiapkan beg pakaian untuk kami mandi-manda nanti. Suami saya pula membasuh kereta. Anak-anak pula menunggu di depan televisyen.
Ketika sedang bersiap-siap, ada pula hamba Allah yang berminat menawarkan saya untuk menjadi penulis e-book. Surya Sufie namanya. Saya pun tidak ingat bagaimana saya berkenalan dengannya. Rasanya dari Facebook juga. Lama berbincang sambil saya berlari anak menyiapkan barangan dan kadang berbaring menyusukan Aleef, akhirnya dia perkenalkan diri sepenuhnya. Baru saya teringat yang saya pernah komen statusnya di Facebook mengenai menjadi penulis e-book untuk menjana pendapatan.
Katanya, beliau adalah anak murid Dr Azizan Osman, Tuan Khairul Azan, Ainon Bisnes School dan juga sahabat bisnes Tuan Basit. Kesemua nama ini saya sudah kenali dan memang terkenal. Beliau juga menyatakan yang beliau seorang penulis buku. Buku pertamanya berjudul "Hebatnya Sirah Cinta Para Solehin" terbitan Mustread. Untuk meyakinkan saya, beliau minta saya Google untuk mengesahkannya. Buku keduanya diterbitkan oleh Karangkraf dan buku ketiga adalah terbitannya sendiri. Artikelnya turut keluar di website Iluvislamcom. Guru penulisan bisnesnya adalah Tuan Zamri manakala penulisan Islami dengan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Katanya lagi, beliau dilatih bercakap dan memberikan seminar mengenai cinta dan rumahtangga oleh Les Brown, seorang pakar motivasi negara barat. Ini sangat menarik perhatian saya (cinta dan rumahtangga).
Dari mesejnya di Facebook lagi, beliau menyatakan sudah mempunyai lebih dari 10 buah e-book dan juga seorang pelatih inspirasi dan kekayaan. Seminarnya juga di seluruh negeri Malaysia dan minggu hadapan seminarnya diadakan di Kuala Lumpur mengenai penulisan dan bakal mengadakannya di negeri jiran iaitu Singapura. Genre penulisannya adalah membantu orang menjemput kekayaan melalui cinta dan psikologi. Beliau juga seorang keluaran ijazah pengurusan dan seorang guru tahfiz yang pernah berkhidmat di As Syakirin Tahfiz Cheras. Beliau mempunyai syarikat katering di Klang dan mempunyai sebuah syarikat yang menguruskan majlis (event) bernama Tarbiyah Project.
Beliau menyatakan sudah membuat bisnes e-book lebih dari 5 bulan dan sudah mencapai 200 sehari dalam jualan. Sebulan pendapatannya melebihi 7 ribu Ringgit Malaysia dan sekarang ini sedang dalam usaha membuat minisite untuk semua e-booknya supaya boleh membuat duit sendiri tanpa perlu mempromosikannya. Itu yang best katanya. Beliau juga ada bercerita tentang perkongsiannya di kolej mengenai kahwin muda (pengalamannya sendiri) tanpa menggunakan bajet sendiri, psikologi sifat pasangan dan pengurusan kewangan untuk berkahwin.
Saya yang agak teruja ingin tahu lebih lanjut terpaksa mengundur diri selepas membaca mesejnya kerana suami sudah menunggu. Sedang mengambil kunci untuk keluar rumah, terdengar bunyi telefon. Pastinya dari ibu mertua saya, detik hati saya. Sangkaan saya hampir betul. Sebetulnya adik ipar saya yang menelefon bertanya sudah siap atau belum. Saya menjeling jam. Sudah hampir jam 11 pagi. Patutlah orang di kampung sudah bertanya. Setelah menjawab, terus saya keluar dan kunci pagar. Anak-anak dah tak sabar lagi. Nampak gembira betul.
Maklumlah sebelum ini terperuk di rumah saja apabila cuti kerana ayahnya bekerja pemandu lori di kedai perabot jati. Cutinya cuma hari Jumaat saja. Akif pun sudah berulang-kali menyebut mahu ke laut mengikut Pak Ngahnya kerana pertama kali dia ke laut dia pergi bersama adik ipar saya itu. Padahal, sebelum ini, setiap kali kami bawa mandi sungai, bergulung kakinya ke atas tidak mahu dicecah ke dalam sungai. Kata mertua saya, pertama kali ke laut tu, dia yang mengejar ombak sampai naik risau ibu mertua saya. Saya ketika itu sedang dalam tempoh berpantang selepas melahirkan Aleef.
Sambung cerita ke Port Dickson. Kami menuju ke Semenyih selepas mengisi minyak kereta. Kira-kira jam 11.20 pagi barulah kami sampai ke rumah ibu mertua saya. Saya segera ke dapur membantu menyiapkan bekalan makanan yang sudah siap dimasak oleh ibu mertua dan adik ipar. Hampir 2 jam kami menunggu adik-adik ipar dan ibu mertua bersiap, lebih kurang jam 12.30 tengahari baru kami bertolak. Tinggal bapa mertua sahaja di rumah. Bukan tidak mahu membawanya sekali. Cuma kenderaan yang ada tidak cukup ruang dan penghawa dingin kurang berfungsi. Kasihan bapa mertua yang menghidap masalah stroke jika kami bawa dengan keadaan yang kurang selesa itu. Suami juga menyatakan kepada ibu mertua hasratnya untuk mendapatkan kenderaan serba baru supaya boleh membawa seluruh keluarga ke mana-mana dengan selesa memandangkan dia sudah bekerja di bawah kerajaan.
Perjalanan ke Port Dickson mengambil masa lebih kurang 3 jam kerana masalah kesesakan lalu lintas. Maklumlah ramai orang bercuti ke pantai bila cuti panjang ini (1 Mei hingga 4 Mei). Untung ibu mertua ada seorang kawan yang bekerja di tepi pantai. Tugasnya menjaga rumah rehat syarikat dengan bayaran sebanyak RM2000 sebulan. Kami menumpang menunaikan solat secara bergilir di situ sementara anak kedua saya, Akif, dijaga Pak Ngah dan Mak Sunya (adik-adik ipar) dan suami membeli ais di kawasan sekitar untuk membancuh air minum. Aiman, anak sulung saya mengikut kami bersolat.
Selesai solat, saya dan ibu mertua menuju ke tapak perkelahan kami. Kelihatan suami saya seorang sahaja. Saya tinggalkan Aleef bersama ibu mertua saya sebentar untuk menunjukkan suami tempat solat dan kemudian bergegas ke tapak perkelahan. Aiman sudah tidak kelihatan. Mengikut Pak Ngahnya ke laut. Ibu mertua mengajak saya makan tengahari. Memanglah perut sedang berkeroncong tapi Aleef kelihatan mahu menyusu pula. Jadi, saya susukannya sambil melindungi dengan kain batik sarung. Menggeliat-geliat Aleef kerimasan kerana ditutup begitu. Mujur suami yang sudah selesai solat dan makan ada untuk membantu. Sangka kami Aleef mahu tidur, ternyata dia turut teruja dengan angin pantai yang bertiup. Saya ambil peluang ini untuk mengisi perut yang sudah kelaparan melihat nasi ayam air tangan ibu mertua.
Selesai makan, ibu mertua saya berehat dan berbaring sebentar. Saya pula segera ke laut memantau keadaan anak-anak. Akif seronok digendong Pak Ngahnya ke tengah. Aiman pula cuba berenang. Suami saya menghampiri. Saya minta dia ambilkan telefon pintar untuk menangkap gambar. Memang sudah menjadi kegemaran saya menangkap gambar sebagai kenangan. Cuma saya kurang gemar bergambar. Tidaklah banyak gambar yang saya ambil. Sekitar 45 keping sahaja. Jimat bateri. Suami kemudiannya mengajak saya masuk ke laut. Berulang-kali mengajak, barulah saya simpan telefon pintar kami dan masuk ke laut. Sudah lama tidak berendam di laut mahupun sungai. Baru masuk ke paras dada, adik ipar saya yang membawa Aleef mandi laut juga, memanggil. Aleef tidur katanya. Memang kelakar. Sedang mandi di laut, dia tertidur pula. Letih sangatlah tu. Saya segera membawanya ke pantai dan membalutnya dengan kain batik selepas memakaikannya lampin pakai buang.
Saya fikir mahu sambung mandi laut lagi. Ibu mertua pula menyuruh saya mandikan dahulu Aleef dengan air paip. Saya mengalah. Lain kali sajalah, bisik hati saya. Saya bawa Aleef yang sudah tidur ke rumah rehat dan segera menyalin baju saya sebelum memandikan Aleef serta memakaikannya baju. Aleef yang terganggu tidurnya, menangis ketika saya memandikannya. Kalau saja dia boleh bercakap. Selesai mandi dan pakaikan baju, saya bawa dia ke ruang tamu sementara ibu mertua saya pula bersiap dan solat. Kemudian baru giliran saya pula membersihkan diri dan solat sementara ibu mertua membawa Aleef berbual dengan kawannya. Kami semua bersiap-siap untuk pulang selepas solat. Sempat juga saya mengambil gambar pemandangan matahari yang mula terbenam. Cantik sungguh ciptaan Allah. Manusia hanya mampu menzahirkannya melalui lukisan. Namun lukisan alam jauh lebih cantik.
Perjalanan pulang mengambil masa 2 jam. Suami yang sudah kelihatan letih bersungut menempuh lampu isyarat yang banyak. Rasanya hampir 10 buah lampu isyarat sebelum kami keluar dari kawasan Port Dickson itu. Kami akhirnya sampai ke rumah ibu mertua sekitar jam 9.30 malam. Saya segera menunaikan solat Maghrib yang sudah terlepas dalam perjalanan tadi dan kemudian Isya'. Begitu juga suami. Ibu mertua pula sempat memanaskan lauk-pauk yang berbaki untuk kami bawa balik. Selepas menurunkan barangan yang perlu diturunkan, kami segera bersalaman dan pulang. Nampak air muka gembira ibu mertua dan adik ipar. Sebenarnya sudah lama kami tidak berkumpul bersama begini. Semenjak pemergian arwah bapa kandung suami saya, masing-masing membawa diri dan terlalu sibuk menghadapi 'ujian penambah iman' dari Allah s.w.t.
Alhamdulillah untuk hari gembira ini. Lembaran 2015 ini kelihatan semakin membaik. Terima kasih Allah.
Ulasan
Catat Ulasan