BILA SUSAH, KELUARGA PEMBANTU PALING DEKAT

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 39

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Jumaat yang indah harmoni.

Pagi ini suami bersiap ke tempat kerja seperti biasa. Dari minggu lepas sudah ditunjukkannya pada saya surat arahan mengikuti kursus transformasi yang dianjurkan kerajaan di Port Dickson bermula hari ini hingga hari Ahad. Jadi, minggu ini tiada cuti untuk kami bersiar-siar. Selepas entah berapa kali kami anak-beranak suami isteri bersalaman,  saya iringi pemergiannya dengan doa agar tiada panahan syaitan yang menusuk hatinya untuk selingkuh di belakang saya mahupun meninggalkan kewajibannya sebagai hamba Allah. Amin ya rabbal 'alamin.

Saya jenguk anak-anak yang masih tidur. Bagi suri yang sibuk seperti saya, waktu anak-anak diulit mimpi adalah waktu paling efektif untuk bekerja. Melihatkan baju-baju yang bertimbun sudah mencecah 2 bakul penuh, inilah masanya saya lipat dan kemas kain baju yang tidak teratur akibat penangguhan kerana mengutamakan si kecil Aleef yang sudah mencecah 6 bulan usianya. Ini bukan alasan menangguh kerja. Bayi memang sukar dijangka kemahuannya. Siapa pernah alami, fahamlah. Selesai lipat baju, dengar suara Aleef. Sudah bangun comel seorang. Suaranya saja sudah cukup membangunkan abangnya sekali.

Memandangkan perancangan hari ini untuk ke rumah ibu saya di Taman Putra Kajang, saya masak makanan awal-awal. Menunya bihun lada hitam yang memang jadi kegemaran saya. Memasak dengan dikelilingi anak-anak kecil adalah perkara yang sangat mencabar kebolehan seorang surirumah. Untung saja ayam yang dibeli minggu lepas memang sudah awal-awal saya bersihkan. Tinggal nyahbeku, bilas, potong dan masak saja. Sedang saya memasak, suami menelefon pula untuk memberitahu dia sudah memasukkan wang ke akaun saya untuk membayar bil-bil yang tertunggak selama 2 bulan. Sambil menjawab panggilan dengan tangan kiri, tangan kanan sibuk menggaul bihun di dalam kuali. Kaki kiri pula menahan kerusi roda Aleef supaya tidak terlalu dekat dengan dapur. Kaki kanan menahan keseimbangan badan.

Memang begitulah lumrahnya setiap hari, memasak macam berperang. Andainya robot kurita yang wujud dalam filem Spiderman yang dipasang pada badan profesor jahat itu benar-benar ada dijual dengan harga mampu milik, mungkin saya akan kumpul duit untuk beli.

Selesai memasak, Akif yang sudah kelaparan dek bau wangi masakan yang beraroma lada hitam itu, tidak sabar-sabar mengambil bekas makanannya. Bihun yang masih panas berasap, saya sendukkan ke dalam bekas yang Akif hulurkan. Saya letakkan di atas meja dan minta dia tunggu sebentar hingga bihun tersebut sejuk. Saya ambil Aleef yang juga sudah merengek mahukan susu. Saya mandikan dahulu sebelum susukan dia. Tidak perasan pula bila masa Akif makan bihun panas tadi. Tahu-tahu, dia minta tambah. Hingga 3 kali tambah. Selera betul. Bukan senang mahu minta dia makan banyak. Senang hati tengok dia sudah selera makan.

Aleef yang tertidur saya tinggalkan dan segera kemaskan pakaian untuk dibawa ke rumah ibu saya. Adik perempuan saya sudah bersetuju untuk membantu saya memandangkan saya tidak tahu memandu kereta. Cadangan kami mahu menunggu Aiman dihantar ke rumah saya di Taman Sri Jelok ini sebelum bergerak menyelesaikan semua rancangan lain.

Lebih kurang jam 11 pagi adik saya sampai bersama ibu saya. Sengaja ibu saya ambil cuti rehat hari ini rupanya. Kami pun menunggu ketibaan Aiman. Saya pinjam kredit ibu saya untuk menelefon ibu mertua saya kerana belum ke kedai membeli kad tambah nilai. Langsung tiada orang menjawab panggilan saya. Bapa mertua juga begitu. Saya fikir mungkin mereka sedang memasak atau berkebun sehingga tidak dengar panggilan telefon. Jadi, kami tunggu sahaja. Adik dan ibu saya sempat juga melelapkan mata sekejap. Begitu juga Aleef.

Menjelang jam hampir 12 lebih, Aiman masih tak sampai. Saya hairan juga kerana saya sudah beritahu kami akan bercuti ke rumah ibu saya membawa Aiman, pada minggu lepas. Jadi, Aiman akan dihantar secepat mungkin sebaik sahaja habis waktu sekolah. Begitu jangkaan saya. Saya usaha minta bantuan adik ipar menggunakan aplikasi Whatsapp memandangkan jumlah kredit yang ditarik akibat panggilan tidak berjawab agak tinggi. Nasib baik dia memang selalu menggunakan waktu rehat untuk pulang ke rumah. Rupanya ibu mertua saya bercadang untuk menghantar Aiman di waktu petang. Jadi saya pun bercadang menggunakan waktu menunggu Aiman pulang itu untuk menyelesaikan bil-bil yang sudah beratur panjang.

Ibu saya mencadangkan hanya bawa beg pakaian kami sahaja apabila melihat saya mahu membawa semua barang penting termasuk laptop dan kerusi roda Aleef. Katanya nanti akan patah balik juga untuk ambil Aiman. Saya terpaksa setuju walau hati rasa ralat. Kan kita perlu patuh pada ibu kita.
Kami pun bertolak. Persinggahan pertama adalah mesin ATM di pam minyak berdekatan untuk mengeluarkan tunai dari akaun saya. Sempat juga saya menukar nombor telefon untuk set TAC akaun CimbClicks saya. Sambil itu, adik saya mengisi minyak keretanya juga. Selesai mengisi minyak, kami menuju ke Tenaga Nasional Berhad di Bandar Baru Bangi. Untung ada aplikasi Waze yang memudahkan perjalanan. Kami semua tidak ingat jalan mana harus dilalui padahal pernah pergi ke situ. Banyak sangat yang difikirkan hingga memori menjadi pendek. Sebenarnya ini pertama kali saya membayar bil elektrik sepanjang 8 tahun perkahwinan saya dan suami. Macam rusa masuk kampung. Terpinga-pinga. Nasib baik tidak ramai orang dan pekerja TNB agak mesra melayan.

Selesai urusan TNB, kami menuju ke Metro Avenue 2, Kajang untuk membayar bil telefon TM Unifi dan pinjaman motor dari Aeon Credit Services. Sekali lagi, untung kedua-dua tempat melunaskan bayaran ini bersebelahan. Jimat masa saya dan minyak kereta adik saya. Tetapi, dalam pada jimat itu rupanya terkena juga saya. Bil ansuran motor ditambah sebanyak RM80 lagi sebagai denda kelewatan pembayaran. Terkejut saya. Tapi redha sahaja. Lepas GST makin tinggi pula denda lewatnya. Sebelum ini, kalau lewat, dendanya sekitar RM23 hingga RM28. Saya halalkan saja. Serah pada Allah.

Selesai membayar, suami telefon tiba-tiba. Katanya ibu mertua minta jemput Aiman pula. Ibu saya yang terdengar perbualan kami terpaksa membantah kerana adik saya tiada lesen. Lagi pula banyak sekatan jalan raya diadakan akhir-akhir ini. Saya pun menelefon ibu mertua semula menggunakan kredit ibu saya. Saya lupa menambahnilai kredit saya. Ibu mertua setuju untuk menghantar Aiman. Katanya petang sikit. Pada jangkaan saya, mungkin selepas Asar.

Sebelum pulang ke rumah mengambil barang lain dan menunggu Aiman, ibu saya mengajak ke kedai 99 Speedmart berdekatan. Sudah pastilah membeli makanan untuk cucunya. Sementara menunggu ibu saya, saya terfikir untuk hanya menunggu Aiman terus di rumah ibu saya selepas mengambil barang yang berbaki di rumah. Sedang berfikir, saya lihat Akif meneran. Alamak! Buat tempoyak pula dia. Kami bergegas ke rumah saya selepas ibu saya selesai membeli-belah. Sempat juga membebel tentang GST.

Sampai di rumah, saya sudah lupa untuk terus ke rumah ibu saya menunggu Aiman. Selepas membersihkan Akif, baru saya teringat semula. Pastilah adik saya sudah jauh memandu. Saya duduk di hadapan televisyen sambil membelek telefon bimbit saya. Baru terasa keletihan sangat. Saya masih tunggu Aiman yang tidak lagi sampai.

Melihatkan anak-anak yang lagi 2 orang ini juga kelihatan letih, saya bawa mereka ke bilik tidur. Sambil susukan Aleef dan sebelah tangan lagi memeluk Akif, saya masih tertanya-tanya ke mana Aiman ini. Ada apa-apa masalahkah? Mahu dihubungi, kredit saya lupa tambah nilai. Telefon rumah pula wayarnya sudah putus digigit tikus. Sehingga saya terlena juga dengan pagar rumah yang tidak berkunci saat terdengar sayup-sayup suara azan menandakan masuk waktu Asar dari telefon bimbit saya.

Saya tersedar jam 5 petang. Aiman masih belum tiba. Saya berbual dengan ibu saya di Whatsapp sambil menyusukan Aleef. Hingga jam sudah menginjak ke pukul 6.15 petang baru saya perasan saya belum solat. Aleef masih menyusu sambil tidur. Mahu tidak mahu, saya bangun juga meninggalkan Aleef yang nampak seperti belum puas menyusu. Nasib baik dia masih mengantuk dan sambung tidur. Saya tunaikan solat dan makan baki bihun pagi tadi. Elok lagi dan tidak basi.

Selesai makan, saya kemas apa yang patut di dapur dan meja makan. Aiman masih tidak muncul hingga jam 7 malam. Saya mula hilang sedikit kesabaran. Saya usaha sabar dan tunggu lagi. Tepat jam 7.15, masih tidak muncul. Macam-macam prasangka singgah di fikiran saya. Saya mesej adik ipar tetapi tidak berjawab. Mungkin masih bekerja lebih masa. Saya beritahu suami sambil membebel dalam mesej. Nasib baik dia sudah pandai pujuk saya bila saya mula diterjah ketidakstabilan emosi.

Saya teringat yang saya sudah menukar nombor telefon CimbClicks saya tengahari tadi. Jadi, mungkin saya boleh tambahnilai kredit secara atas talian. Berbekalkan wifi tumpang hasil tangan adik lelaki saya, saya masuk akaun CimbClicks dan cuba tambahnilai dari situ. Alhamdulillah berjaya.

Saya terus menghubungi ibu mertua. Panggilan saya dijawab Aiman. Tergamam sekejap. Aiman terus panggil ibu mertua saya. Rupanya ibu mertua memang hendak menghantar Aiman ke rumah saya tetapi adik ipar saya menghalang. Katanya mahu bantu hantarkan Aiman tetapi terlambat pula dia. Terpaksalah saya batalkan niat untuk bawa anak-anak bercuti di rumah ibu saya. Sekaligus terpaksa batalkan niat mencetak nota-nota saya. Saya pujuk hati. Mungkin ada hikmah sebalik sedikit kegagalan rancangan saya hari ini.

Selepas isya', saya layan anak-anak bermain di bilik tidur. Habis tunggang-langgang katil. Maklumlah hero semuanya. Lasak usah kata. Selepas letih bermain, mereka tidur juga akhirnya. Saya pula, ambil peluang menaip di sini sambil merangka aktiviti esok hari yang perlu difikirkan semula memandangkan program bercuti di rumah ibu saya tak menjadi.
Apa pun, syukur untuk hari ini kerana hutang-piutang utama berjaya dilangsaikan. Alhamdulillah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN