KARNIVAL 1001 RASA SATE DI STADIUM KAJANG

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Foto: Peribadi

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini hampir saja terlepas Subuh. Terima kasih kepada suami yang menelefon demi mengejutkan saya untuk menunaikan tanggungjawab kepada Allah. Usai solat, saya bancuh kopi jenama Power Root yang sudah lama saya tidak beli dan minum. Sambil minum kopi, sambil membaca status rakan-rakan Facebook. Tangan pula menggagau meletakkan cawan kopi. Tiba-tiba terasa hangat seluruh kain yang dipakai. Allah! Tumpah pula air dek kerana tidak melihat ke mana diletakkan cawan tadi. Leka sangat membaca. Sebenarnya rasa malas mandi pagi. Akhirnya kena mandi kopi. Aduhai diri. Disiplin itu kan penting.

Ibu saya memasak sarapan untuk kami 5 beradik, 1 menantu dan 4 cucu lelakinya. Seorang lagi adik saya tidak kelihatan. Tidur di rumah satu lagi. Menu sarapan ringkas dan menu tengahari juga dimasaknya. Nasi goreng biasa dan ayam goreng berempah. 

Usai membersihkan diri, saya memandikan anak-anak pula. Selepas mandi, Aiman, Akif dan Rafie sambung permainan Lego malam tadi sebelum Rafie mengikut ibunya ke pejabat berdekatan rumah. Aiman dan Akif yang agak kerap bergaduh tatkala bermain, berhenti dan membuka komputer untuk menonton video Ultraman kegemaran mereka. Saya pula sibuk melayan Aleef. Kadang-kadang saja saya melayan Aiman dan Akif bermain Lego. Sekadar melayan kehendak mereka untuk bergambar.

Menjelang tengahari, saya suapkan anak-anak makan nasi putih berlauk ayam berempah tadi. Aleef saya tidurkan di dalam buaian automatik. Selepas makan, saya cuba menyambung tugasan membina blog perniagaan. Ibubapa saya sudah keluar ke tempat kerja ayah di Universiti Putra Malaysia. Ibu hanya menemani ayah.

Alhamdulillah. Allah beri ilham pada saya walaupun saya tiba-tiba rasa gugup dan hilang idea mahu tulis apa dan dari mana mahu bermula. Sedang leka merangka templat yang mahu digunakan, Rafie pulang bersama ibu, ayah dan makciknya. Bunyi bising mengejutkan Aleef yang sedang tidur di dalam buaian. Terpaksalah saya berhenti dan melayan Aleef. Mujur juga adik-adik saya mahu melayan anak-anak sementara saya memasak lauk baru memandangkan lauk yang ada tinggal sedikit.

Selesai memasak, saya melayan Aleef. Aiman dan Akif sibuk bermain dengan Rafie yang nampak kurang sihat. Terkena selsema dan batuk. Jam 6 petang Rafie mengikut ayah, ibu dan makciknya berjalan ke Stadium Kajang. Ada karnival 1001 Rasa Satay. Saya yang mulanya merancang untuk pergi pada waktu malam membatalkan niat kerana Aiman dan Akif tidak tidur siang. Sudah pasti mereka akan keletihan nanti dan memberontak saja. Bukan sekali dua pernah berlaku. Daripada kepenatan marah-marah, baiklah duduk di rumah saja.



Jam 8 lebih suami saya menelefon. Rindu sangat agaknya. Akif sudah tertidur pula. Aiman sibuk dengan komputer di luar. Kami berbual bersama Aleef yang tercari-cari dari mana suara ayahnya. Katanya ada kolam air panas di sana yang telah dikomersialkan. Seronok katanya. Hatinya teringin membawa kami tetapi tempat rekreasi alam itu jauh ke dalam hutan. Saya pastilah tidak mahu. Keselamatan perlu diutamakan.

Selesai berbual, Aleef yang kebosanan melihat saya yang asyik pula membaca mesej perbincangan di dalam kumpulan Dah Baca Quran Belum yang dicipta Ustaz Norudin Drahman, mula mencari susu. Aleef menyusu hingga tidur. Aiman sudah saya arahkan untuk tidur. Jika tidak ditegur, sampai jam 3 pagi pun dia masih mampu menghadap internet.

Terasa mengantuk pula mata ini menaip. Saya undur diri dahulu walau banyak ingin dikongsi lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN