BERKUNJUNG KE RUMAH KELUARGA DI KAJANG

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Foto: Peribadi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah masih mampu menghirup udara bersih pemberian Allah s.w.t yang percuma ini.

Pagi ini suami bersiap pergi ke Sik, Kedah pula. Tengah pagi tadi dia menghantar mesej. Malam tadi dia hanya berkesempatan tidur beberapa jam saja kerana majlis makan malam yang dihadiri pegawai atasan lewat habis. Jam 2 pagi baru dia sampai rumah. Entah bila dia mengemas begnya, saya tidak perasan.

Aleef bangun awal pagi ini. Sempatlah mengiring ayahnya ke pintu. Kelihatan tidak puas suami meluangkan masa bersama keluarga. Dipeluk erat, dicium sepuasnya. Harga pengorbanan masa ini terlalu besar. Moga Allah memberkati dan melindungi kami.

Selepas bersalaman dengan suami dan mengiringnya ke pintu, merestui dan mendoakannya ke tempat kerja, saya mandikan Aleef. Selesai memakaikannya pakaian, saya bancuhkan susu untuk Akif. Aleef saya tinggalkan di dalam kerusi rodanya sementara saya membasuh pinggan dan kuali. Selesai membasuh, saya mandikan Akif yang mula kerimasan. Sambil memakaikan pakaian Akif, sempat juga menonton seorang idola rakyat, Raja Shamri yang tidak pernah berhenti memberi sumbangan tenaga dan menjadi titik perhentian penyumbang-penyumbang lain, di saluran TV9 melalui slot Nasi Lemak Kopi O.

Selesai memakaikan Akif baju, masa untuk menidurkan Aleef. Pagi ini bangun awal menyebabkannya mengantuk. Kemudian saya sediakan sarapan. Sarapan ringkas sahaja berupa biskut coklat jenama Tiger yang dicicah bersama kopi O jenama Kapal Api. Akif ikut sama bersarapan. 10 minit selepas sarapan, Aleef bangun ketika saya sedang membersihkan cawan. Saya susukan dan bermain dengan anak-anak.

Hampir tengahari, waktu untuk memasak sudah lewat. Tambahan lagi saya akan ke rumah ibu saya. Jadi saya hanya memasak Maggi sahaja memandangkan bihun dan lauk mentah tiada. Mahu menggoreng telur, jemu pula. Anak-anak pun dah tak lalu menelan. Saya biarkan Akif belajar makan sendiri sementara saya suap Aleef makan nestum. Sedikit saja Aleef mahu makan. Dia lebih suka minum air kosong. Habis bagi Aleef makan dan minum, susukan pula. Akif belum habis makan. Aleef pula sudah mengantuk. Saya letakkan di dalam buaian yang menghenjut secara automatik. Nasib baik dia mahu tidur. Selalunya susah mahu biar dia tidur buaian. Giliran saya pula makan sekadar mengalas perut. Alhamdulillah.

Ibu mertua saya memberitahu melalui telefon yang dia mahu menghantar Aiman ke rumah jam 1 petang nanti. Saya pula masih mencari kenderaan untuk ke rumah ibu saya bersama anak-anak. Adik perempuan saya tidak sihat. Jadi terpaksalah saya minta bantuan ayah.

Jam 6 petang ayah datang. Alhamdulillah. Anak-anak teruja kerana sudah lama tidak ke rumah neneknya di Kajang ini. Sampai di rumah ibu saya, tidak sabar-sabar Akif mahu naik. Teringat permainan Lego yang tersedia dan adik susuannya barangkali. Segera kami menapak naik ke tingkat paling atas. Alhamdulillah. Walaupun keletihan, anak-anak yang gembira sudah cukup buat saya tersenyum. Seronok benar mereka bermain Lego. Bukan saya tidak pernah beli tetapi sudah hilang kebanyakan permainan mereka kerana kekerapan kami berpindah rumah.

Sambung cerita. Saya mengambil kesempatan ini melayan Aleef sahaja. Abang-abangnya terlalu leka bermain, tidak peduli lagi sekeliling mereka. Selesai azan menandakan waktu maghrib, anak susuan saya, Muhammad Rafie pulang bersama ibu dan neneknya (ibu saya). Bertambah meriah suasana memandangkan sudah lama sangat tidak bersua muka. Alhamdulillah. Rafie pun sudah 1 tahun 7 bulan usianya.

Hampir jam 11 malam barulah anak-anak semua tidur. Saya ambil peluang ini menyiapkan tugasan menambah senarai blog pengasas, guru, rakan-rakan dan alumni Akademi Bekerja Di Rumah. Hampir jam 12 pagi barulah siap. Lega sedikit walaupun masih ada beberapa tugasan lagi perlu saya buat iaitu membina blog perniagaan pula. Semoga sukses hendaknya. Semua hanya dengan izin Allah subhanahu wa ta'ala. Wallhu a'lam.

Sampai sini sahaja dahulu. Terima kasih sudi membaca.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN