RINDUKAN ANAK DAN KELUARGA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Foto: Peribadi
Entri: 44

Alhamdulillah. Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini guru di sekolah Aiman menelefon tetapi saya tidak perasan kerana telefon pintar saya matikan bunyinya dari malam tadi. Saya cuba menelefon ibu mertua saya menggunakan telefon rumah tetapi tidak berjaya. Telefon rumah saya langsung tidak mengeluarkan bunyi. Entah kenapa. Mujur kredit simkad baru saya masih ada. Ibu mertua saya setuju untuk mengambil Aiman pulang. Semoga dia tidak apa-apa di sana. Saya sangat berharap Aiman tidak terasa hati kerana terpaksa tinggal bersama neneknya di kampung. Bukanlah sengaja kami tinggalkannya di sana tetapi oleh kerana sudah 'terdaftar' sekolahnya di sana, terpaksalah juga tinggalkan dia. Sabarlah anakku. 


Semasa mengemas ruang tamu saya lihat lubang di siling sudah terbuka semula. Bau tikus sangat kuat memenuhi ruang tamu. Kertas yang saya sumbat di siling pula, sudah koyak digigit tikus. Entah bagaimana lagi hendak dibuat. Saya terfikir untuk menampal lubang tersebut dengan kayu lebihan. Saya cadangkan pada suami. Mujur dia setuju untuk bersama saya membantu menyelesaikan masalah ini pada hari Sabtu nanti jika dia tidak ditugaskan ke mana-mana.


Menjelang 11.30 pagi, Aleef mula menunjukkan reaksi mengantuk. Saya bawa dia tidur di bilik sambil menyusukannya. Sempat lagi saya mengolah sebuah perkongsian dari sebuah blog mengenai tips menarik minat anak-anak untuk membaca tanpa paksaan.

Selepas solat zohor, entah kenapa tiba-tiba mata saya hampir menangis saat menitipkan doa buat adik-adik dan ibubapa. Terasa hati begitu sayu sekali hingga saya menekup muka. Harapnya mereka baik-baik saja.

Selesai makan tengahari bersama Akif, saya lihat Aleef sudah meniarap di atas katil. Saya bukakan komputer riba untuk Akif belajar dari aplikasi-aplikasi pendidikan yang saya muatturun. Ia masa emas saya bersama mereka. Ada masa saya gomol Aleef yang sedap dipeluk kerana saiz badannya yang montel dan berisi berbanding abang-abangnya dulu. Hinggakan naik rimas dia. Terasa sungguh bahagia ini. Terima kasih Allah.


Selepas solat Asar, tiba masa untuk mandikan anak-anak. Agak lewat saya memasak hari ini. Entah kenapa seperti tiada selera. Solat tadi pun, terasa pilu saja. Sudah memasak, saya melayan Akif yang sibuk mahu saya menjadi jurugambarnya. Selepas maghrib, saya hanya makan sedikit dan terus ke bilik setelah menutup televisyen. Hati masih tertanya-tanya. Ada apa hari ini?

Sedang berbaring-baring di bilik sambil membaca Facebook, saya terasa ada orang menyentuh hujung kaki. Segera saya alihkan pandangan. Suami saya rupanya. Terkejut tau! Dia lantas memberi salam. Saya langsung tidak perasan kepulangannya. Kami saling bersalaman. Alhamdulillah.
Saya kembali menyambung bacaan di Facebook sementara suami membersihkan diri. Tiba-tiba saja terasa lapar. Oleh kerana saya hanya masak keropok lekor sahaja, tiada lauk lain, saya pun goreng ikan masin. Jadilah, kan. Asalkan ada makanan. Sementara saya nasi berlauk ikan masin dan tempoyak cili potong, suami saya melayan anak-anak. Selepas selesai makan, kami solat Isya' berjemaah dan terus ke bilik bersama anak-anak.

Saya usaha menelefon Aiman yang entah apa ceritanya di kampung. Mujur ada aplikasi WeChat yang membolehkan saya menelefonnya menggunakan panggilan video. Dapatlah tengok keadaan dia di sana. Talian internet yang tiba-tiba bermasalah menghalang kami berkomunikasi lebih lama lagi. Tamat perbualan, suami padamkan lampu. Masa untuk tidur.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN