IMAGINASI ANAK MELANGKAU LOGIK FIKIR MAMA

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Foto: Ziadah Zainal Abidin
Entri: 43

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini saya kembali menyusun rutin saya mengikut jadual yang saya sediakan di Google Keep sebelum ini. Alhamdulillah. Saya dapat sentiasa berada di atas landasan dengannya. Saya membuat sedikit penambahan waktu untuk dhuha, tahajjud dan bacaan al-Quran. Alhamdulillah. Semoga istiqomah terus.

Tengahari selepas makan, saya berbaring di bilik bersama anak-anak dan melayan mereka. Akif yang sekarang sudah semakin banyak celotehnya juga berjaya buat saya tertawa dengan idea kreatifnya. Lihat gambar di bawah.


Nampak warna hijau dalam bulatan itu? Itu adalah gam bersifat seperti plastesin. Diambil dari poster belajarnya yang saya sudah cabut untuk diletakkan di sudut dinding rumah yang lebih baik.
"Mama! Tengok! Adik dah letak kasut kat situ!", jerit Akif.

Saya cuba lihat apa yang dibuatnya. Sekali imbas, saya hanya nampak setempek gam plastesin. Saya renung dan perhatikan betul-betul. Bentuknya seperti stokin yang digantung pada pokok krismas. Nah! Begitu rupanya. Ketawa saya melihatnya sambil memuji ideanya. Akif, penuh idea yang tidak dijangka. Dari umurnya 2 tahun lagi.

Tiba-tiba bunyi telefon mengganggu kami. Rupanya suami menelefon. Katanya ada orang Telekom menunggu di depan pagar rumah. Memang saya tidak perasan jika ada orang yang datang apabila kami berada di bilik. Saya terus bersiap menutup aurat.

Melihat di depan pagar, ada 2 orang lelaki berseragam Telekom. Saya bukakan pagar dan menunjukkan wayar talian internet dan telefon yang digigit tikus. Setelah diperiksa, rupanya kedua-dua wayar yang menghubungkan talian tersebut sudah digigit hingga putus. Sambil memasang wayar baru, sambil berbual sedikit. Ternyata Aleef seronok diagah orang 'asing' ini hingga payah saya memegangnya.

Tidak sampai 10 minit, sudah siap dipasang. Alhamdulillah. Saya bertanya kosnya. Katanya, tiada kos. Saya agak terkejut tetapi bersyukur. Katanya lagi, jika diikutkan prosedur, caj perkhidmatannya adalah RM50. Mungkin kerana melihat keadaan rumah yang berselerak dan anak-anak kecil ini menggamit simpatinya. Boleh saja kemungkinannya kerana saya solat Dhuha pagi tadi, jadi Allah bukakan hatinya untuk menghalalkan keringatnya. Apapun, alhamdulillah. Wallahu a'lam.


Ini gambar kedudukan wayar yang baru dipasang. Walaupun semak mata melihat kerana nampak tidak kemas, ia lebih baik daripada berdekatan dengan lubang tikus di siling yang menjadi laluan tikus.


Nampak suratkhabar di siling itu? Itulah laluan tikus yang saya sebutkan. Wayar itu pula adalah wayar talian Astro yang dipasang oleh penyewa rumah kami sebelum ini.

Memang sakit sedikit hati saya bila sebut mengenai penyewa itu. Dia bukan sahaja tidak membayar sewa selama hampir 5 tahun dan melarikan diri. Bahkan tidak langsung membayar bil air dan elektrik hingga mencecah RM5000 yang menyebabkan keseluruhan utiliti ditarik balik. Ibu sayalah yang terpaksa mengeluarkan simpanannya untuk menyambung semula utiliti tersebut dan juga kos-kos sampingan atas kerosakan yang berlaku di rumah ini. Semoga Allah menggantikan hak ibu saya yang telah diambil ini dengan yang lebih baik.

Selesai menutup dan mengunci pagar rumah, saya kembali ke bilik bersama anak-anak. Sempat juga muatnaik status. Sambil susukan Aleef, saya menaip di sini dan membaca status kawan-kawan. Setelah Aleef tidur, begitu juga Akif, saya bingkas bangun. Jadual saya mesti turuti. Tidak boleh tidak. Saya mandi dan lipat baju yang sudah 2 bakul bertimbun.


Alhamdulillah. Sambil melipat, sambil 'lari' susukan Aleef yang kadang terjaga dan sambil menonton kartun di TV9. Antara slot kegemaran saya adalah slot Bananana TV9 yang bermula jam 2 petang dan tamat jam 5.30 petang. Maklumlah, saya dibesarkan bersama dunia komik. Kartun dan saya memang agak serasi.

Waktu Aleef sudah bangun tidur, masih banyak lagi pakaian belum dilipat. Saya masih perlu mengikut jadual. Jadi, saya berhenti sekejap dan memandikannya. Begitu juga Akif. Selesai mandikan mereka, giliran saya pula membersihkan diri dan solat Asar. Kemudian, kami makan malam (jam 6.30 petang adalah waktu makan malam kami). Saya kemudiannya menyambung melipat pakaian lagi sambil mendengar ceramah di TV Alhijrah.

Sebelum azan maghrib, pakaian sudah siap dilipat dan saya susun. Alhamdulillah. Siap 1 tugas lagi. Saya ambil wudhuk dan bersedia di atas sejadah. Sambil mendengar azan, sambil melayan Aleef dan Akif. Selesai solat maghrib, saya ajarkan anak-anak surah al-Fatihah dan ayat Kursi. Aleef nampak seronok. Kami kemudiannya menonton Berita di TV9. Habis berita, saya solat Isyak dan kemudian mengajak anak-anak tidur.

Baru saja berbaring menyusukan Aleef, suami menelefon dengan menggunakan panggilan video dari aplikasi WeChat. Lama juga kami berbual kali ini bersama dengan anak-anak. Sambil berbual, sambil mengawasi Aleef yang semakin lasak dan sudah pandai mengengsot ke sana sini. Bimbang pula jatuh katil jika saya leka.

Begitulah aktiviti hari ini. Aleef pun sudah tidur ketika saya menaip di sini. Tinggal Akif belum mengantuk. Sampai sini saja catatan hari ini. Alhamdulillah untuk hari ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN