MAJLIS TAHLIL, NAZAR & CUKUR RAMBUT

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Foto: Peribadi
Entri: 37

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Pagi ini ibu mertua saya paling awal bangun menyiapkan makanan untuk sarapan pagi para pembantu majlis yang dirancang hari ini. Saya tidak dapat membantu kerana menyusukan Aleef. Majlis ini diadakan atas 3 tujuan iaitu untuk menunaikan nazar suami saya, meraikan kehadiran Aleef dan mengadakan tahlil untuk arwah bapa mertua saya (bapa kandung).

Hampir jam 8.30 pagi adik-beradik dan ipar duai ibu mertua saya sampai bersama sepupu-sepupu suami saya. Meriah dan kecoh. Anak-anak seronok bermain dengan pakcik-makcik mereka yang sesetengahnya hampir sebaya dan ada yang lebih muda juga. Maklumlah, keluarga ibu mertua saya ini besar. Jadi, kalau setakat kenduri kecil-kecilan begini, serah saja pada mereka.

Saya agak bernasib baik dengan adanya mereka. Kebetulan pula Akif tidak sihat kerana diserang selsema, batuk dan asma. Jadi saya hanya melayan kerenah Akif dan Aleef. Suami kadang-kadang membantu bila berkelapangan. Aiman yang sudah berusia hampir 6 tahun pula sudah pandai membawa diri bermain. Ada ketika juga dia disuruh suami saya untuk menyiapkan kerja sekolahnya apabila mula ada bibit pergaduhan dengan kanak-kanak lain. 

Akhirnya tugas memasak selesai kira-kira jam 4 petang setelah para tukang masak berhempas pulas dengan cuaca panas luar biasa dan kemudiannya disusuli hujan lebat. Semua lauk-pauk yang masih panas diletak di atas bekas telur bagi melambatkan proses menjadi lauk basi. Ini kata ibu mertua saya.

Aleef yang juga kepanasan kerana cuaca, akhirnya tertidur ketika hujan mula turun lebat sekitar jam 5 petang. Saya letakkannya di dalam buaian. Ibu mertua pula mengambil peluang ini meminta saya membantu pembungkusan 'buah tangan' untuk tetamu khas (orang-orang masjid). Aiman juga turut membantu dengan rela hati. Turut sama membantu saya, sepupu dan adik bongsu suami.

Selesai membungkus, saya membantu pula mengalih perabot dan memasang alas meja. Riuh juga perbincangan susun atur meja makan dan bufet untuk tetamu. Saya hanya menurut arahan sehinggalah ibu mertua saya datang dan memperbetulkan susun aturnya. Suami saya pula bergegas bersiap mengambil wudhuk dan bertolak ke masjid selepas azan maghrib. 


Saya terus mandi dan siapkan anak-anak selepas solat maghrib. Cuma Akif seorang yang enggan mandi walau berulang-kali dipujuk. Saya tidak memaksa memandangkan keadaan dia yang tidak sihat. Akhirnya, saya sarankan dia hanya menukar pakaian sahaja. Mujur dia mahu setelah melihat abang dan adiknya berpakaian cantik. Kami kemudiannya berselfie dahulu sementara menanti tetamu.

Di samping itu, adik ipar saya (lelaki), menyiapkan hidangan makanan dan minuman untuk tetamu. Sedang kami sibuk dengan aktiviti sendiri, tiba-tiba kucing adik ipar saya (perempuan) berlari selaju-lajunya, keluar masuk dan mencakar-cakar tikar yang dibentang di dalam rumah membuatkan kami semua terperanjat. Adik ipar saya ambil dan kurungkan dia di dalam bilik saya. Kebetulan saya ada barang yang tertinggal di dalam bilik, membuka pintu. Saya lihat kucing itu cuba membuka bekas kek coklat yang berlebihan. Lapar rupanya dia. Patutlah buat perangai. Adik ipar ambil dan bawa ia untuk diberi makan. Terlalu sibuk hingga kami lupa hamba Allah yang seekor itu.


Selepas solat isyak, kira-kira 20 minit selepas azan, para tetamu sampai diketuai suami saya. Kaum wanita segera ke bahagian belakang (dapur) dan duduk di sepanjang laluan ke dapur. Tetamu lelaki pula duduk berkeliling di ruang tamu membuka ruang kosong di tengah ruang tamu. Seorang pakcik yang saya kenali sebagai pakcik Hamzah mengepalai dan memulakan bacaan yasin dan tahlil.

Selesai bacaan yasin, majlis mencukur jambul pula berlangsung. Saya hanya sempat merakam sedikit sahaja kerana Akif minta perhatian. Tetamu hanya berselawat sahaja dan bermarhaban untuk mempercepatkan majlis atas permintaan ibu mertua. Tiada acara berzanji. Kata ibu mertua, kasihan pada tetamu terutama kaum wanita yang kadang terpaksa pulang jauh malam kerana bacaan terlalu panjang. Maklumlah, ibu mertua seorang yang selalu juga ikut ke majlis-majlis begini di sekitar kampung dan juga salah seorang ahli jawatankuasa masjid. Pastilah dia lebih maklum keadaan dan permasalahannya.


Selesai semua acara, semua tetamu dijemput makan. Tetamu lelaki makan di bahagian depan luar rumah manakala tetamu wanita pula makan bersila di ruang tamu. Anak-anak juga turut sama.
Kira-kira 5 minit kemudian, saya ternampak lampu kereta menghala ke arah kami. Saya mengagak keluarga saya sudah sampai. Dalam pada terjenguk-jenguk kerana tidak nampak penumpangnya akibat suasana jalan yang agak gelap, saya melangkah mendekati kereta tersebut. Seorang wanita keluar. Memang benar jangkaan saya saat melihat wanita itu adalah ibu saya. Gembira dan lega hati saya. Alhamdulillah. Setelah memarkir kereta betul-betul di hadapan rumah di mana ramai tetamu di situ, saya terus bersalaman dengan ayah dan mengajak mereka masuk dan makan. Turut bersama hadir, satu-satunya adik ipar saya buat masa ini dan anaknya (juga anak susuan saya bernama Muhammad Rafie) serta salah seorang adik perempuan saya.

Oleh kerana Rafie sudah tertidur, saya membawa mereka ke bilik saya. Ayah saya tidak mengikut dan terus menuju ke arah tetamu yang ada. Saya menemani Rafie sambil menyusukan Aleef sementara keluarga saya menjamu selera. Lama juga saya tidak bersua muka dengan anak susuan saya ini. Hampir setahun rasanya. Cepat benar dia membesar, detik hati saya.

Selesai menyusukan Aleef, saya bawanya keluar dan meninggalkan Rafie yang masih tidur. Keluarga saya berkumpul di satu sudut dan sedang makan. Cuma ayah saya yang sudah selesai menanti kami menghabiskan makanan. Mereka juga sudah agak lama tidak berjumpa. Sekitar 2 bulan rasanya. Dapatlah Aleef berkenalan lagi dengan datuk dan neneknya ini.

Hampir jam 11.30 malam barulah kelihatan tetamu mula beransur pulang. Begitu juga keluarga saya. Adik-adik ipar saya, sepupu-sepupu mereka dan pakcik-makcik mereka mula mengemas dan membantu membasuh pinggan dan cawan serta membungkus lebihan makanan untuk dibawa balik para tetamu. Saya pula membawa anak-anak yang keletihan ke bilik. Lena sekali tidur mereka. Puas barangkali.

Setelah semua orang pulang dan pintu juga sudah ditutup, ibu mertua masih sibuk di dapur memanaskan lauk-pauk yang berlebihan. Saya yang sudah keletihan hanya membantu menyimpan makanan yang tidak sempat dipanaskan ke dalam peti sejuk. Berkali-kali ibu mertua saya pesan untuk membawa balik sedikit lebihan makanan tersebut kerana takut tiada yang mampu menghabiskan lauk-pauk tersebut. Saya mengiakan saja. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

Syukur semuanya berjalan lancar hari ini. Lebih bersyukur kerana keluarga saya turut hadir. Alhamdulillah.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN