BANTUAN ZAKAT

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman Peribadi
Foto: Printscreen Status Facebook Dr. Maza
Entri: 40

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu 'alaikum.

Setelah membaca status Dr. Maza di lama Facebook, saya ingin berkongsi pengalaman saya berurusan dengan pusat zakat ketika saya dan suami cuba mohon bantuan zakat hampir hujung tahun 2013 dahulu. Saya agak keberatan sebenarnya tetapi apa yang diutarakan Dr. Maza ada benarnya.
Kami tiada wang simpanan lagi ketika itu. Ke sana ke mari mencari pekerjaan namun tiada jawapan. Kami usaha ke pusat zakat berdekatan kerana memang sudah benar-benar kekeringan untuk membeli barangan dapur dan keperluan anak-anak. Hari itu, kami bersiap seperti biasa. Kami memakai pakaian yang elok dan cantik. Ia pemberian saudara-mara. Alhamdulillah.

Pertama kali melangkah masuk ke dalam pejabat zakat di tengah bandar itu, sebak sedikit hati ini. Namun udara yang nyaman sekali dari penghawa dinginnya terasa menenangkan berbanding cuaca panas terik di luar sana. Maklumlah, rumah dan kereta kami tiada penghawa dingin. Kereta kami dibeli ketika suami membantu arwah ayahnya meniaga lama dulu. Perniagaannya tamat selepas ayahnya meninggal dunia.

Sebelum duduk menunggu giliran, saya ambil pamplet yang tersedia di atas meja di tepi dinding pejabat. Saya baca. Sampai habis. Ada banyak bantuan ditulis di situ. Antaranya bantuan perumahan, bantuan perniagaan, bantuan bulanan (makanan dan keperluan) dan bantuan asnaf.
Saya tertarik pada bantuan perumahan kerana kami ada tanah yang diberikan ibu mertua untuk bina rumah. Sayangnya, kami belum punya wang untuk mendirikannya. Kami lebih tumpukan pada anak-anak kecil kami. Malahan kami tinggal menumpang di rumah ibu saya yang berbelas kasihan pada kami.

Sampai saat giliran kami dipanggil mengikut nombor. Suami sahaja yang bersuara. Saya hanya melihat reaksi dan cara penerangan pegawai tersebut kepada suami. Suami hanya ingin mendapatkan bantuan bulanan.

Kata pegawai itu, kami perlu ke masjid atau surau berdekatan tempat tinggal dahulu dan mohon didaftarkan di situ dan perlu bukti kami tidak mampu melalui beberapa prosedur lagi. Bermula Mac 2014, baru kami akan dapat bantuan.

Luluh hati saya mendengarnya. Saya masih kawal rasa. Saya tanya mengenai bantuan perumahan yang terang-terangan ditulis pada pamplet tersebut. Dengan muka yang mula kelihatan menyampah, laju dia menjawab, tiada bantuan seperti itu. Walhal ia ditulis pada pamplet itu. Allahurabbi...
Kecewa. Sangat kecewa. Saya enggan bertanya lagi apabila melihat reaksi pegawai tersebut semakin menampakkan kemarahan. Saya bingkas bangun, bercampur aduk perasaan yang tidak tahu mahu berkata apa. Saya tarik perlahan tangan suami. Memberi isyarat, sudahlah... Suami memang nampak belum mahu berganjak tetapi akur.

Ketika menuju keluar, kami nampak seorang lelaki bersama seorang kanak-kanak berpakaian compang-camping dan koyak sedang duduk menanti giliran.

Terdetik di hati saya, apakah kerana pakaian kami yang masih cantik dan nampak seperti orang berduit ini menyebabkan pegawai itu acuh tak acuh? Wallhu a'lam.

Kami keluar dengan sedikit kekecewaan. Kami berbincang di dalam kereta. Saya lihat betapa masih suami saya berharap untuk mendapatkan bantuan perniagaan pula daripada pihak zakat. Saat itu saya sudah putus harap untuk minta bantuan zakat lagi. Saya hanya diam mendengar celoteh suami. Saya serah pada Allah.

Hingga kini, kami tidak lagi jejakkan kaki ke pusat zakat untuk memohon bantuan. Suami juga sudah tidak menyebutnya lagi semenjak diterima bekerja akhirnya. Alhamdulillah.
Kami kini hidup seperti biasa. Sederhana. Sepenuhnya yakin dan meminta hanya pada Allah. Alhamdulillah.

Ini hanya sekadar pengalaman saya sekeluarga. Maafkan saya jika ada yang terasa hati dengan perkongsian ini. Lain orang, lain pengalamannya. Baik mahupun buruk. Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN