MENGEMAS RUMAH DALAM MASA 4 MINGGU

Teks: Ziadah Zainal Abidin
Sumber: Pengalaman
Entri: 5

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Saya selalu muatnaik status di Facebook tentang Projek April 2015 saya sejak bulan Mac lalu. Sebenarnya projek tersebut adalah projek mengemas rumah saya yang semakin tunggang-langgang kerana terlalu sibuk dengan bayi baru saya yang berusia 4 bulan yang memerlukan perhatian penuh dan penyusuan eksklusif.

Di sini saya kongsikan mengenai tips susun atur dan mengemas rumah dalam masa 4 minggu yang saya buat untuk pastikan rumah sentiasa bersih dan kemas. Tips ini boleh diulang-ulang setiap bulan supaya makin hari, rumah makin kemas dan bersih. Ikuti tips di bawah:

MINGGU PERTAMA

  • Isnin - Bersihkan dompet, kemas beg tangan dan beg lampin anak.
  • Selasa - Bersihkan peti sejuk. Jika peti sejuk 2 pintu, bersihkan bahagian bawah.
  • Rabu - Bersihkan peti ais. Jika peti sejuk 2 pintu, bersihkan bahagian atas.
  • Khamis - Bersihkan bahagian bawah katil dan perabot. Barang-barang yang tidak digunakan atau tidak berkaitan, buang atau letak di tempat yang sesuai. Alihkan perabot (jika boleh) dan vakum di bawahnya.
  • Jumaat - Bersihkan tempat duduk. Buka sarung kusyen/sofa dan bersihkan semua kotoran, permainan yang terselit di celahan kusyen/sofa. Vakum kusyen/sofa, bawahnya dan semua bahagian. Bersihkan kesan-kesan tumpahan cecair pada kain kusyen/sofa.
MINGGU KEDUA
  • Isnin - Bersihkan bahagian dalam kenderaan (kereta). Buang semua sampah dan barang yang tidak digunakan letak di tempat sesuai. Vakum tempat duduk dan lantai kenderaan.
  • Selasa - Lap semua permukaan meja di dalam rumah. Jika ada anak-anak yang boleh membantu, bahagikan tugas mengikut ruang.
  • Rabu - Lap semua tombol pintu di dalam rumah.
  • Khamis - Bersihkan semua suis lampu.
  • Jumaat - Buang habuk pada semua kipas siling dan bersihkan semua lampu. Periksa jika ada mentol lampu yang tidak berfungsi dan gantikan.
MINGGU KETIGA
  • Isnin - Bersihkan rak pinggan mangkuk. Keluarkan semua barang dan bersihkan. Vakum habuk dan keluarkan barang yang tidak digunakan untuk letak di tempat sesuai atau buang. Susun semula.
  • Selasa - Bersihkan ketuhar gelombang mikro (microwave) dan tungku dapaur (stove).
  • Rabu - Bersihkan bahagian atas almari dapur dan peti sejuk. Jika ada barangan yang tidak berkaitan di atas peti sejuk, alihkan ke tempat yang lebih sesuai. Di atas peti sejuk sepatutnya tidak perlu letak apa-apa. Lap bahagian luar pintu almari dapur.
  • Khamis - Bersihkan laci alatam memasak. Keluarkan semua barang. Buang sampah dan barang yang tidak berkenaan. Lap dan susun semula alatan mengikut jenisnya.
  • Jumaat - Bersihkan komputer/laptop. Lap skrin dan papan kekunci (keyboard) dengan kain, susun fail-fail di dalam komputer, padam emel lama dan sebagainya.
MINGGU KEEMPAT
  • Isnin - Bersihkan ruang pengaliran udara. Vakum dan bersihkan kotoran.
  • Selasa - Bersihkan dan susun atur almari dapur dan pantri.
  • Rabu - Vakum almari baju dan karpet. Sapu dan mop lantai. Buang semua sampah dan barang yang tidak berkenaan.
  • Khamis - Bersihkan tingkap dan langsir. Bersihkan bahagian luar dan dalam. Basuh langsir.
  • Jumaat - Bersihkan dan susun semula bekas ubat-ubatan. Periksa tarikh luput dan buang jika sudah sampai tarikh luputnya.
Projek ini sebenarnya sudah lama saya usahakan. Namun, kekerapan saya bersama keluarga berpindah-randah menghalang saya menjalankan aktiviti ini secara bulanan. Setiap bulan, inilah yang akan saya usahakan. Maklumlah. Jika rumah bersepah, mulalah saya menggigil satu badan dan rasa serabut. Saya kongsikan tips ini kepada semua supaya lebih mudah untuk kita buat sesuatu mengikut perancangan. Jika tidak jadi, usaha lagi.

Tips ini saya gabungkan dengan rutin harian saya. Saya luangkan masa 15 minit setiap hari untuk selesaikan 1 kerja 1 hari. 15 minit itu saya bahagikan 3 kali sehari iaitu pagi, tengahari dan petang. Contohnya: Hari Khamis, minggu keempat. 5 minit luangkan untuk turunkan langsir. 5 minit untuk bersihkan tingkap. 5 minit untuk kumpul langsir dan letak dalam mesin basuh untuk dibasuh.

Boleh saja tips ini dijadikan dalam bentuk jadual atau dicatat pada kalendar. Ikut keselesaan masing-masing. Setakat ini sahaja dapat saya kongsikan. Selamat mencuba dan terima kasih sudi baca.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN SEBAGAI PEMBANTU TADBIR N17 DI SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH, UPM

BERNIAGA KIOSK

PENGALAMAN PERNIAGAAN PERCETAKAN